Dengan bergabungnya dalam Malaysia, pada tahun 1965 dengan rasminya Singapura mengisyhtiharkan dirinya sebagai sebuah negara merdeka. Ia diisytiharkan selepas dikeluarkan daripada Malaysia yang disifatkan sebagai ‘tidak serasi’.

Ia berpunca daripada kedudukan PAP yang tercabar selepas beberapa keputusan PRK di Singapura akibat kebangkitan parti-parti yang berasaskan ideologi buruh. Pada PRU ke-2 (1964), PAP tidak melaksanakan ‘pemuafakatan’ di mana calon daripada Perikatan tewas di Singapura manakala calon PAP menang satu kerusi di Bangsar, Kuala Lumpur.

Akibat kekalahan UMNO di Singapura itu telah menyebabkan ahli politik Melayu melihat ‘ketidakjujuran Lee Kuan Yew’ dalam menterjemahkan ‘pemuafakatan politik’ yang akhirnya membawa kepada beberapa isu lain, yang kemudiannya diambil keputusan menyingkirkan Singapura oleh Tunku Abdul Rahman. (Rusli Mohd Yusof, Singapura Dalam Malaysia 1963-1965: Perkongsian Tidak Serasi, Kota Bharu: UMK, 2019).

Singapura dan juga Sudan Selatan mengambil kesempatan daripada kemerdekaan masing- masing. Singapura merasakan jalannya agak sukar jika menuntut kemerdekaan secara langsung daripada British.

Begitu juga dengan Sudan Selatan, ia memerlukan kekuatan tenaga, fikiran dan kemahiran berunding yang tinggi dengan Inggeris. Ia mungkin lebih mudah mencari jalan kemerdekaan daripada Khartoum. Sudan mengambil masa yang panjang (1956-2011) untuk membentuk sebuah negara berasingan, sedangkan Singapura hanya dalam tempoh dua tahun (1963-1965).

Ia merupakan harga yang sangat mahal yang terpaksa dibayar oleh kedua-dua negara itu, kerana membabitkan peperangan yang panjang dan bilangan kematian yang cukup besar. Itu pelajaran pertama yang dapat kita pungut daripada krisis politik di Sudan. Bagaimanapun, krisis politik di Sudan tidak berakhir dengan pemisahan Sudan Selatan, sebaliknya menjadi semakin kritikal apabila dilihat semula mengenai apa yang kita kenali sebagai Konflik Darfour.

Konflik Darfour membabitkan lebih 200,000 orang terbunuh dan 2.5 juta orang terpaksa mencari suaka politik di beberapa buah negara. Hal ini juga berlaku, setelah terpisahnya Singapura, ada persepsi bahawa Tunku adalah seorang pemimpin yang lemah sehingga ‘hilang Singapura’. Juga perihal bagaimana Malaysia hilang Pulau Batu Putih.

Ia mula tercetas pada tahun 2003, di antara Janjaweed (pasukan bersenjata dari puak Abbala Rizelgat (Arab Badwi) dengan etnik Fur, Zaghawa dan Massaleit yang mendiami Darfour. Kesemua kelompok yang terbabit dalam konflik ini terdiri daripada penganut Islam.

Barisan Pembebasan Darfur (Gerakan Pembebasan Sudan) ditubuhkan pada tahun 2002, cuba membangunkan kemarahan rakyat dengan berkempen agar bangkit menentang kerajaan. Gerakan Pembebasan Sudan mendapat bantuan dan sokongan Eritrea yang bermusuh dengan Sudan. Eritrea turut mnenyokong satu lagi kelompok pemberontak yang muncul di selatan Sudan untuk melancarkan serangan ke atas kerajaan.

Ketika itu, Sudan diperintah oleh Jeneral Omar Hasan al-Basyir sebagai Presiden yang autokratik. Al-Bashir memberikan sokongan kepada Janjaweed, tetapi akhirnya Janjaweed mengambil keputusan bersama tentera untuk melancarkan revolusi bagi menyingkirkan al- Basyir yang dilihat cenderung salah guna kuasa dan rasuah (penggubahan wang haram).

Janjaweed pada tahun 2013 dinamakan sebagai Rapid Support Force (RSF), kelompok separa militia yang cukup berpengaruh dan dianggarkan keanggotaanya mencecah 150,000 orang, melebihi jumlah seluruh anggota tentera Sudan. Ketika itu, tentera diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan.

Jenjaweed atau secara literalnya bermaksud ‘lelaki berkuda’ atau ‘lelaki gilakan kuda’ dianggotai oleh etnik Arab Badwi yang masih mengamalkan budaya nomad. Sebab itulah dalam konflik yang bermula pada 15 April 2023, pihak pemerintah yang dikuasai tentera sukar untuk bertindak kerana RSF tidak mempunyai markas yang tetap dan khusus. Mereka berpindah randah dan kerap menyelinap masuk dalam bandar dan kawasan yang padat dengan penduduk.

Persoalan kedua yang menjadi punca krisis di Sudan ialah ‘rasa tidak puas hati’ dan ‘politik dendam’ yang menguasai kepimpinan RSF, yang diketuai oleh Mohamed Hamdan Dogba atau Hamedti. Beliau merupakan politikus yang cukup oportunis dan pernah mengidamkan jawatan Presiden Sudan, sebaik sahaja bergabung dengan Angkatan Tentera untuk menumbangkan al-Basyir pada tahun 2019.

Al-Basyir yang ditahan sejak lebih tiga tahun lalu (Disember 2019) selepas didapati bersalah melakukan rasuah kini ditempatkan di Hospital Tentera di Khartoum dan sebelumnya di Penjara Kober.

Manakala Ahmad Haroun yang merupakan ketua parti pemerintah al-Basyir berkaya meloloskan diri daripada Penjara Krober di Khartoum atas alasan keselamatan, kekurangan air, makanan dan rawatan. Haroun termasuk dalam senarai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Hamedti tidak berpuas hati dengan pentadbiran al-Basyir yang autokratik walaupun pada peringkat awalnya disokong oleh bekas tentera yang melancarkan kudeta pada tahun 1089 untuk menumbangkan Sadiq al-Mahdi. Selepas berjaya, jawatan PM dimansuhkan dan al- Basyir melantik dirinya sebagai Presiden yang berkuasa penuh.

Apa kaitannya dengan politik Malaysia? Kaitannya ialah kemunculan Mamedti menjadi  tokoh penting dalam krisis politik Sudan apabila tidak berpuas hati dengan Jeneral Abdul Fattah al-Burhan mengenai pelan penyerapan 10,000 anggota RSF dalam angkatan tentera.

Jika kita tinjau mengenai politik Malaysia pasca PRU ke-13, kita menemui sedikit sebanyak persamaan awal yang menjadi kisah pertentangan antara Muhyiddin dan Najib. Muhyiddin sebagai TPM mendakwa Najib terbabit dengan skandal 1MDB dan akhirnya beliau digugurkan dalam kabinet pada tahun 2015.

Bila digugurkan, Muhyiddin menjadi ‘musuh Najib’ dan akhirnya bertindakan melawan Najib dengan bekerjasma dengan Dr Mathathir yang terlebih dahulu membenci Najib. Mereka menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dikenali sebagai Bersatu.

PPBM kemudian bersengkongkol dengan DAP, PKR dan Amanah membentuk Pakatan Harapan. Pada PRU ke-15, PPBM membentuk kerjasama dengan PAS dan Gerakan setelah

PAS mengkhianati Muafakat Nasional yang diasaskan bersama UMNO/BN pada 14 September 2019, yakni selepas BN hilang kuasa sebagai pemerintah yang dipeloporinya sejak merdeka (1957).

Sayangnya, pada PRU ke-15 tiga gabungan kerjasama politik utama – BN, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional – tidak berjaya membuktikan pengaruh mereka yang kuat untuk membentuk kerajaan secara tunggal. Ia melanjutkan kaedah yang buat pertama kalinya berlaku selepas Langkah Sheraton, iaitu pembentukan kerajaan campuran selepas berakhirnya PRU.

Ia bermula bermula dengan rundingan mengenai siapakah yang paling menonjol atau mendapat sokongan majoriti. Dalam keputusan perundingan itu, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong (SPBYDPA) akhirnya menetapkan bahawa Muhyiddin Yassin sebagai PM ke-8, menggantukan Dr Mahathir yang meletakkan jawatan pada 24 Februari 2020.

Ini menggambarkan pembentukan kerajaan campuran sebagai suatu bentuk atau sistem yang semakin mendapat perhatian dalam politik Malaysia. Kaedah ini telah pun berlaku ke banyakan negara sebelum berlaku di Malaysia pada tahun 2020. Misalnya Australia, Britain dan New Zealand.

Sebelumnya, ketika dalam UMNO, Mahathir dan Muhyiddin cukup ‘marahkan’ DAP dengan alasan ‘sebuah parti rasis’ dan juga PKR sebagai sebuah ‘parti terdesak’, hanya bermatlamat membebaskan Anwar, bukan menjaga kepentingan rakyat. Inilah yang membuktikan bahawa dalam politik tidak ada kawan dan musuh selama-lamanya. Semuanya akan berakhir bila mereka bersatu dalam suatu kepentingan.

Anwar boleh bekerjasama dengan Dr Mahathir walaupun Dr Mahathir merupakan musuh dan orang yang cukup menyiksakan perjalanan politiknya. Anwar yang disifatkan oleh Dr Mahathir sebagai ‘gila-gila nak jadi PM’ dipercayai mampu memimpin Pakatan Harapan untuk menjatuhkan UMNO/BN yang berkuasa sejak enam dekad (1957-2018).

Misi itu berjaya pada PRU ke-14, tetapi PH akhirnya kecundang kerana berlakunya pembelotan dari dalam.Inilah juga berlaku ketika era pemerintahan al-Basyir. RSF yang tidak berpuas hati melancarkan kempen dan seterusnya memimpin revolusi sehingga jatuhnya al- Basyir.

Jika parti-parti dalam PH berkongsi kuasa selepas BN ditumbangkan, RSF turut berkongsi kuasa dengan Angkatan Tentera untuk mentadbir Sudan menerusi MTC. Namun, MTC juga tidak kekal lama, pertengahan April lalu terpaksa berhadapan dengan tentangan dan penolakan oleh RSF.

Itulah juga berlaku dalam PH yang berjaya memerintah selama 22 bulan (Mei 2018 hingga 24 Februari 2020). Ia berpunca daripada desakan dalaman, Otai Reformasi memberikan tekanan kepada Dr Mahathir agar menyegerakan proses peralihan kuasa.

Namun, dalam parti-parti komponen PH, mucul dua puak yang berbeza pendirian, yakni mahukan Dr Mahathir terus menjadi PM sehingga sepenggal.

Tekanan demi tekanan dilakukan. Akhirnya, kumpulan yang ingin mempertahankan Dr Mahathir mengambil keputusan untuk melakukan grand design dengan cara bekerjasama dengan parti-parti yang ada kecuali dengan DAP.

Itulah akhirnya Dr Mahathir hilang sokongan majoriti dan Anwar turut gagal mendapatkan kuasa selepas peletakan jawatan PM ke-7.

Ketiga, krisis Sudan membuktikan bahawa ‘agama’ bukan faktor yang menyatukan, sebaliknya menjadi punca kepada perpecahan dan perbalahan. Hal ini dapat dilihat daripada konflik yang muncul akibat ‘oportunis politik’ yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan kelompok yang lain walaupun pernah suatu ketika merintis jalan penyatuan.

Benar, hampir semua politikus bersifat oportunis.

Tetapi, oportunis banyak kategori. Kategori yang sangat jelek ialah politikus yang sanggup memecah tembok tanpa mengira tembok itu adalah konkret, dibuat dengan besi mahupun daripada kayu. Pantang ada ternampak ruang dan peluang, sanggup lakukan walaupun secara normalnya adalah salah dan dilarang agama.

Kenapa PH hilang sokongan majoriti? Kenapa adanya Langkah Sheraton? Kenapa fenomena akuan bersumpah (SD) menjadi sesuatu yang hilang maknanya? Kenapa? Mengapa? Bagaimana? Maka kita pun boleh melihat kembali makna politik dalam kerangka Lasswellian: Siapa? Mendapat Apa? Bagaimana?

Kita kemudian menjengak ke teori. Sayangnya, teori itu cukup mencirikan makna politikus oportunis. Nicolo Machievelli menjadi terkenal kerana pandangannya: Matlamat Menghalalkan Cara. Moral diketepikan.

Kuasa menjadi kemuncak kepada makna dan legitimasi politik. Kuasa mesti diperoleh dengan apa cara sekalipun, termasuklah memburuk-burukkan lawan. Kuasa boleh diperoleh dengan mengadakan kudeta, yakni menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara sah atau elit politik yang berkuasa secara revolusineer.

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »