Walau bagaimanapun, seruan kewajipan untuk mentaati pemimpin tidak menghalang sesiapa pun menegur dan menasihati pemimpin yang melakukan kesalahan. Hal ini kerana seorang pemimpin tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Firman Allah yang bermaksud:

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik . Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. ( surah An-Nahl : 125)

Menurut Imam al-Ghazali, proses amar makruf terbahagi kepada lima peringkat:

  1. Takrif (memberitahu)
  2. Menasihati dengan kata-kata yang lembut
  3. Menggunakan kata-kata yang keras
  4. Mencegah dengan kekuatan
  5. Menggunakan cara ugutan

Tamim Bin Aus meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w:

“إنّ الدين النصيحة لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم” (رواه المسلم وأحمد وأبو داود النسائي والترمذي)

“Sesungguhnya asas hubungan dalam agama adalah nasihat, iaitu bagi (mentaati) Allah dan RasulNya, bagi menolong para pemerintah umat Islam dan rakyat amnya.”

Menurut al-Khatibi, makna perkataan nasihat adalah:

“النصيحة كلمة يعبر بها عن جملة هي: اراده الخير للمنصوح له”

“Nasihat adalah suatu perkataan yang digunapakai  bagi menerangkan sejumlah makna iaitu inginkan kebaikan untuk pihak yang dinasihati.”

Muhammad bin Nasr ketika menjelaskan makna nasihat untuk para pemerintah umat Islam berkata:

أما النصيحة لأئمة المسلمين : فحب صلاحهم ورشدهم وعدلهم وحب الإجتماع الأمة عليهم وكراهية افتراق الأمة عليهم وكراهية افتراق الأمة عليهم والتدين بطاعتهم في طاعة الله عز وجلّ

“Adapun pengertian nasihat kepada para pemerintah umat Islam ialah: Ingin supaya mereka menjadi baik, mendapat petunjuk dan berlaku adil, supaya umat bersatu di bawah pemerintahan mereka dan tidak berpecah-belah.”

Manakala Abu ‘Amr bin al-Salah menyatakan:

أما النصيحة لأئمة المسلمين : معاونتهم على الحق وطاعتهم فيه وتذكيرهم به ونتبيههم في رفق ولطف ومجانبة الوثوب عليهم والدعاء لهم بالتوفيق وحث الأغيار على ذلك

Nasihat untuk pemerintah umat Islam ialah membantu mereka dalam perkara yang benar, taat kepada mereka pada perkara yang enar, mengingatkan mereka pada kebenaran, menegur mereka dengan cara yang lemah lembut, menjauhkan diri daripada bertindak menentang mereka, menggalakkan orang ramai berbuat demikian.”

Sabda Rasulullah SAW:

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقولمن رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمانرواه مسلم ).

Dari Abu Sa’id Al Khudri  radiallahuanhu berkata: Saya mendengar Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam  bersabda:Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah (kemungkaran tersebut) dengan tangannya, jika tidak mampu maka rubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.(Riwayat Muslim)

Kemampuan menegur seorang pemimpin merupakan suatu dakwah yang paling besar kerana bukan semua orang diharuskan menasihati pemimpin. Bahkan dalam hadis tersebut jelas menunjukkan mencegah atau menegur pemimpin pada perkara yang munkar sahaja sebagaimana terdapat di dalam matan hadis tersebut. Walau bagaimanapun, Islam tetap menitik beratkan tentang adab dan akhlak serta menegah daripada bersikap berlebihan dalam menasihati seperti menghina dan mencerca secara peribadi.

Malah dalam sabda Rasulullah SAW dalam hal menyampaikan nasihat,

“من أراد أن ينصح لذي سلطان فلا يبده له علانية ولكن ليأخذ بيده فليخلو به فإن قبل منه فذاك وإلا فقد أدى الذي عليه”

“Sesiapa yang ingin menasihati pihak yang berkuasa mengenai sesuatu perkara, maka janganlah ia menyampaikan secara terang-terangan tetapi hendaklah ia memegang tangannya dan menyampaikan nasihatnya secara bersendirian. Sekiranya nasihat itu diterima maka itulah yang baik tetapi sekiranya tidak diterima, maka ia (pemberi nasihat) dikira telah melaksanakan tanggungjawabnya.” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Implikasi Tidak Mentaati Pemimpin

Perpaduan merupakan satu rahmat yang diberikan oleh Allah SWT. Malah perpaduan merupakan tulang belakang kepada sesebuah negara. Mana mungkin sebuah negara yang mampu berdiri teguh tanpa ada kesatuan dan kesalinghubungan yang harmoni antara rakyat dan pemerintah. Kelangsungan hubungan antara pemerintah dan rakyat berasaskan konsep khalifah dan amanah. Dalam nada yang sama, pemerintahan itu adalah suatu taklif dan amanah yang diberikan kepada mereka supaya merealisasikan tugas-tugas dan kewajipan mereka sebagai pemerintah. Allah berfirman:

“Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”. Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?” (al-A’raf:129).

Maka, kewajipan rakyat bersama-sama kepimpinan negara adalah suatu yang tidak dapat dinafikan lagi sekiranya pemimpin menjalankan amanah mereka dengan adil. Oleh yang demikian kegagalan rakyat mentaati arahan pemimpin mengakibatkan pemimpin tidak dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna.

Seterusnya, implikasi yang akan dihadapi apabila rakyat enggan mentaati pemimpin Islam akan membantut perkembangan Islamisasi dalam pentadbiran negara. Dalam Islam mengiktiraf kedudukan penguasa atau ketua negara sebagai khalifah Allah yang menjadi penerus kepada kelangsungan ajaran Islam dalam sesebuah negara. Allah telah menyatakan kedaulatan-Nya supaya ditaati oleh sekalian makhluk seperti firman-Nya dalam surah al-Nisa’: 80:

Firman Allah s.w.t lagi yang menegaskan pengiktirafan pemimpin atau ketua negara sebagai pemegang kedaulatan dalam kalangan manusia iaitu khalifah di muka bumi ini:

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.”(Al-Ahzab: 36).

Perkembangan semasa negara ini telah mendesak para penguasa memperbaiki malah mengubah sistem sedia ada kepada sistem pentadbiran berlandaskan Islam. Hasilnya yang dapat kita lihat ialah perkembangan institusi-institusi pentadbiran Islam yang tujuannya menjaga kemaslahatan dan lima prinsip maqasid Islam untuk setiap muslim di negara ini.

Rakyat yang tidak taat kepada pemimpin juga boleh membawa implikasi terhadap hak-hak mutlak Islam dan kesuciannya di negara ini. Sebagai contoh, isu penggunaan kalimah Allah dalam akhbar Herald The Catholic Weekly boleh dijadikan rujukan kes yang menunjukkan polemik yang melibatkan akidah tauhid bagi agama Islam[1]. Di sinilah menunjukkan pentingnya penglibatan pemerintah dalam memastikan kesucian agama Islam tetap terpelihara. Peranan pemerintah sama ada menggubal undang-undang bagi menghalang sebarang tindakan yang akan menjejaskan kesucian nilai ketauhidan dalam kalimah Allah yang telah diguna pakai oleh umat Islam adalah dianggap syarie.

Hal ini berdasarkan tanggungjawab pemimpin iaitu melindungi agama dan menguruskan urusan keduniaan. Secara lebih terperinci, al-Mawardi telah mengemukakan sepuluh tugas dan tanggungjawab yang harus dilakukan oleh pemimpin (khalifah) yang meliputi memelihara akidah, melindungi wilayah negara, menguatkuasakan hukum syariah, melindungi sempadan negara, mengawal pengurusan kewangan tanpa berlaku pembaziran, mengangkat tenaga kerja yang terlatih dan beramanah, serta memastikan hal ehwal awam terjaga.

Kesimpulannya, pendekatan menasihati pemerintah adalah pendekatan yang utama dalam mengekalkan kesepaduan ummah. Kepentingan agama dan kedaulatan ummah adalah perkara yang menjadi tanggungjawab ke atas pemimpin. Namun setiap manusia yang melakukan kesalahan perlulah diberikan nasihat dengan cara yang tepat yang berlandaskan ajaran Islam.

Oleh: Haji Sallehuddin Yaacob

 

Translate »