Usaha untuk menyatukan bangsa Melayu dan umat Islam oleh ahli-ahli politik dalam negara ini merupakan satu kegiatan yang baik dan perlu dialu-alukan. Perpecahan umat Islam akibat perbezaan dan ideologi politik merupakan salah satu faktor yang boleh melemahkan kekuatan Islam dalam negara ini.
Kemenangan dan kejayaan itu hanya akan datang apabila terciptanya perpaduan di antara yang memimpin dengan yang dipimpin. Dan kerana itulah, Rasulullah s.a.w pun menegaskan, “bahawa orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”.
Peri pentingnya kesatuan ummah itu dapat diselaraskan dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka, menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.” (Ali-Imran: 103)
Mempersoalkan kejujuran dan keikhlasan orang lain dengan menggunakan kayu pengukur pengekalan kuasa politik adalah satu bentuk sindrom resah dan kekacauan moral yang tidak selaras antara apa yang diucapkan dengan apa yang dilakukan.
Allah s.w.t menegaskan dalam Surah Al-An’aam ayat 159, yang bermaksud : “Bahawasanya orang-orang yang mencerai-ceraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya)”.
Begitulah realiti umat Islam dewasa ini.Sepatut kita sama-sama mencari jalan penyelesaian sehingga Al-Quran dapat berfungsi kembali sebagai petunjuk tertinggi dalam memecahkan masalah ummah yang tak pernah selesai.Kita harus bersikap jujur dalam memahami Al-Quran,membuang jauh-jauh kepentingan peribadi.Al-Quran sebenarnya juga berfungsi sebagai al-Furqan tetapi mengapa kita masih saja terpasung dalam polarisasi yang meruncing sesama umat Islam?Sebagai petunjuk,Al-Quran menjelaskan secara jelas hakikat antara yang benar dan salah.Kemudian diserahkan kepada manusia dengan kemahuan bebasnya untuk memilih yang benar atau yang salah,tidak terkecuali dalam kaitannya dengan moral dan kekuasaan.
Banyak peristiwa sejarah yang berlaku di Malaysia boleh kita renungi betapa kerana takut kehilangan kuasa, mereka yang berada di tampok kekuasaan itu tidak lagi menghiraukan moral rakyat kebanyakan. Pada ketika itu, rakyat hanyalah sekelompok penyokong yang perlu mengiyakan apa yang diputuskan oleh pemimpin walaupun sedar ada sesuatu yang perlu diperbetulkan.
Permulaan berkuasa penuh dengan kesederhanaan dan rendah diri. Setelah lama berkuasa, kesederhanaan sifat dan tindakan sudah berubah, sehingga pendapat orang lain tidak lagi perlu walaupun orang itu mendapat sokongan padu daripada ahli yang membentuk dan mengemaskan perjalanan organisasi.
Kadangkala pemimpin tersebut terlupa, setiap kata-kata yang pernah dikeluarkan akan terus menjadi bayangan imej dan melakarkan perwatakan pemimpin itu sendiri. Para penyokong akan terus menilai, apakah berlaku paradok dan ketidaksehaluan antara kata-kata dan tindakan? Nyatalah, semakin lama semakin banyak percanggahan. Semakin lama semakin terdesak, malah sanggup bercanggah dengan pegangan sebelumnya.
Dalam setiap kata-kata penuh dengan makna, bahawa kehidupan sebagai umat yang berbudaya dan beragama amat mementingkan penyatuan semangat dan iktikad. Tetapi, telunjuk berkait membawa gambaran di sebaliknya, semangat dan iktikad hanyalah sebuah manifestasi, bukannya sebuah hakikat yang amat perlu dilaksanakan.
Proses penyatuan tidak perlu dirintis secara lebih bermaruah kerana ia akan menggadaikan seluruh perjuangan yang ditegakkan selama ini, akan membongkar kesilapan lalu yang terlalu lama digula-gulakan kepada rakyat.
Ibnu Khaldun, seorang sejarahwan dan pemikir masyarakat yang terhebat pernah dilahirkan oleh Islam memberikan kita banyak penilaian bagaimana pola kehidupan sebuah masyarakat politik yang bertamadun. Analisis Ibnu Khaldun bahawa politik adalah sesuatu yang besar dan mempunyai posisi yang mulia dalam kehidupan bermasyarakat, kerana ianya menjadi pelana mempraktikkan kuasa untuk membangunkan kehidupan masyarakat.
Sebagai pelaku penting, manusia berpolitik kerana ingin memperjuangkan sebuah kehidupan yang bermoral, mendisiplin masyarakat kebanyakan dengan nilai-nilai kemasyarakatan dan mengutamakan pola hidup yang harmoni. Maka, kaedah moral dan adaptasi nilai masyarakat adalah lebih dititikberatkan berbanding nilai-nilai individu secara terpisah dan khusus.
Dalam pengertian moden, politik dihubungkan secara langsung dengan kekuasaan dan menguruskan kuasa dalam masyarakat atau sesebuah negara. Kaedah bernegara dan menguruskan kuasa mendapat lautan dan pautan langsung yang dikisahkan dalam pelbagai peristiwa di dalam al-Qur’an. Mendapat kuasa dan menguruskan kuasa itu hanyalah dalam bentuk relative bagi manusia, kerana itulah kuasa juga disamatarafkan sebagai amanah.
Kuasa mutlak milik Allah SWT. Pemimpin tidak berhak mempersoalkan kuasa yang mutlak kerana mempersoalkannya bererti cuba mengambil hak Allah Swt. Apabila pemimpin menyoalkan dan menilai seseorang itu masuk syurga misalnya, ia sudah bermakna sebagai satu percubaan mengambil kuasa yang hanya milik Allah SWT. Mempersoalkan hakikat keimanan seseorang atas kelainan fahaman politik juga merupakan percubaan mempertikai kuasa Allah SWT sedangkan antaranya masih mengucap dua kalimah syahadah, beribadat dan beriman dengan al-Qur’an, keyakinan kepada Tuhan yang sama.
Putaran turun naik dan jatuh bangun sesebuah kekuasaan bukanlah suatu peristiwa yang tidak bermakna, dalam setiap penggiliran kuasa itulah sebenarnya Allah SWT ingin memperlihatkan bentuk pengajaran yang terbaik untuk manusia. Teladan itu akan membentuk satu falsafah moral yang bakal menjadikan panduan buat manusia bagi meneruskan kelangsungan kuasa dan membentuk sebuah peradaban yang kuat.
Beruntunglah bagi manusia yang dapat memahami dan mengambil pengajaran dari setiap peristiwa yang pernah dialami dan menjadikannya sebagai nilai baru sepanjang menguruskan kuasa, tetapi bukan menjadikan kuasa itu sebagai milik mutlak manusia. Kemutlakan tetap milik Allah SWT. Amanah tersebut perlu dilaksanakan secara bermoral dan bertanggungjawab.
Penghayatan dan kupasan Ibnu Khaldun tentunya bersandarkan sepotong ayat yang telah digambarkan dalam al-Qur’an. Bangun dan jatuhnya sesuatu bangsa itu adalah kerana sikap kelompok elit yang tidak mempedulikan hak rakyat yang perlu diberikan perhatian dan akhirnya keegoan kelompok elit dengan pendapatnya sahajalah yang betul, maka rakyat menjadi muak dan benci. Ketika itulah suatu kuasa lain akan muncul mengambil peranan menjatuhkan kelompok elit yang lupakan tanggungjawab dan tidak melaksanakan amanah. (al-Quran surah al-Isra ayat 16).
Kelompok elit terdahulu bukan sahaja jatuh, malah menerima jalan akhir penuh kejelikan. Kita mungkin tidak dapat melupakan bagaimana kekuatan Dinasti Pahlawi dan akhirnya terpaksa berkelana sehingga mati dalam buangan apabila rakyat Iran mula mempersoalkan bagaimana kuasa yang ada telah disalahgunakan. Kita juga memahami bagaimana suatu masa kemunculan Marcos penuh dengan sanjungan dan harapan, tetapi akhirnya dijatuhkan secara tragis sehingga menyebabkan kepulangan mayatnya menjadi konflik dan ketegangan.
Kehancuran kuasa itu akhirnya imejnya dilihat begitu fatal. Tidak ada sisi positif yang boleh diteladankan lagi, kerana kebaikan sebelum telah musnah oleh sikap rakus dan keangkuhan diri. Tidak pernah membayangkan bahawa diri mempunyai kelemahan, kerana kuasa yang ada itu telah menjadikannya kehilangan arah dan pertimbangan moral yang pernah diperjuangkan ketika mula bertapak dalam tirai kuasa.
Dalam sejarah, kaum Majusi dapat menguasai dunia empat abad lamanya. Kuasanya itu dapat bertahan lama kerana melaksanakan tanggungjawab secara adil dan menyeluruh. Dan, ini bertepatan dengan sebuah hadis yang menceritakan bahawa Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Daud AS: Aku mencegahmu memaki para raja bangsa Ajam (bukan Arab). Sesungguhnya mereka telah memakmurkan dunia, dan memberikan hamba-hambaku tempat tinggal di atasnya.
Dunia bukan sahaja menjadi makmur apabila penguasa bertindakan secara adil dan saksama. Jiwa rakyat menjadi tenteram, dapat mencari nafkah dan meneruskan kehidupan harian secara tenang dan mudah. Jiwa seluruh rakyat tidak dilanda kegelisahan dan ketakutan. Zaman pemerintahan Azdasyir, Afrendun, Bahram, Kiwara dan Kaisar Anusyirwan menjadi bukti.
Apabila penguasa bertindak secara zalim, maka rosaklah dunia seperti mana berlaku pada zaman pemerintahan al-Dhahak, Afrasian, Barazdak Al-Khathi dan lainnya. Kebobrokan ini terus berpanjangan sehinggalah umat Islam berjaya menaklukinya. Keamanan terus berlangsung sehingga zaman Khalifah Umar al-Khattab.
Agama dan penguasa saling melengkapi bagaikan saudara kembar yang lahir dari rahim seorang ibu yang sama. Justeru seorang penguasa harus menilai tinggi falsafah moral, menjauhkan diri dari tindakan bersifat bidaah, kemungkaran, subahat kerana itulah punca yang menjadikan agama rosak dan terhakis.
Seorang penguasa wajib menjaga kehormatan agama Islam. Dia harus tetap membangun dan memperkuatkan pertahanan dan berusaha menjunjung tinggi kebenaran dan menjaga kemurnian umat agar langkah perjalanannya terpuji di sisi Allah SWT. Pemimpin juga perlu memperlihatkan sikap dan wibawa yang terpuji, bukan hanya untuk mendapatkan sanjungan manusia, tetapi mencari keredhaan Allah SWT.
Catatan : Ibnu Majid
Recent Comments