Kewajipan Mentaati Pemerintah
Berkata Sheikh Sa’di, “Tidak mungkin tertegak urusan agama dan urusan dunia manusia kecuali dengan memberikan ketaatan kepada penguasa.”
Antara dalil-dalil yang bersumberkan al-Quran dan al-Hadis yang mengisyaratkan perintah wajib mentaati pemerintah adalah seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Makudnya: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “ulil-amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu). (An-Nisa’:83)
Allah berfirman;
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantah, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”-( al-Anfal: 46)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَوْفُواْ بِالْعُقُودِ
Hai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu.” (al-Maidah:1)
وَأَوْفُواْ بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْؤُولاً
“Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti dimintai pertanggungjawabannya.” (Al-Isra’: 34)
وَأَوْفُواْ بِعَهْدِ اللّهِ إِذَا عَاهَدتُّمْ وَلاَ تَنقُضُواْ الأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ اللّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلاً إِنَّ اللّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُون
Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah (mu) itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpah itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat. (al-Nahl: 91)
Manakala perintah taat daripada hadis pula:
عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيْمَا أَحَبَّ وَكرَهَ إِلا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَّةٍ فَإِنْ أَمَرَ بِمَعْصِيَّةٍ فَلا سَمْعَ وَلا طَاعَةَ
“Wajib atas seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada perkara yang ia sukai dan tidak ia sukai, kecuali jika diperintahkan berbuat maksiat, jika diperintahkan berbuat maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat.” (HR Bukhari dan Muslim)
مَنْ أَطَاعَنِيْ فَقَدْ أَطَاعَ اللّهَ وَمَنْ يَعْصِنِيْ فَقَدْ عَصَى اللّهَ وَمَنْ يُطِعِ الْأَمِيْرَ فَقَدْ أَطَاعَنِيْ وَمَنْ يَعْصِ الْأَمِيْرَ فَقَدْ عَصَانِيْ.
“Barangsiapa taat kepadaku beerti ia telah taat kepada Allah s.w.t, dan barangsiapa yang bermaksiat kepadaku bererti ia telah bermaksiat kepada Allah. Dan barangsiapa yang taat kepada amir (yang Muslim) maka ia taat kepadaku dan barangsiapa yang bermaksiat kepada amir, maka ia bermaksiat kepadaku,” (Muttafaq Alaih)
عن أم سلمة رضي الله عنها أنَّ النبي صلى الله عليه وسلم قال: ستكون أمراء فتعرفون وتنكرون فمن عرف برئ ومن أنكر سلم ولكن من رضي وتابع قالوا أفلا نقاتلهم؟ قال : لا ما صلوا) صحيح مسلم رقم 1854
“Akan ada nanti pemimpin-pemimpin yang kamu suka amalan mereka dan ada yang kamu benci (kerana maksiat), sesiapa yang mengenal pasti maksiat yang dilakukan maka dia terlepas, sesiapa yang ingkar dia selamat, tetapi (yang binasa) adalah yang reda dan mengikut”. Para sahabat berkata: ‘Apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Kata baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”.
Sabda Baginda lagi:
مَنْ خَلَعَ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ لَقِيَ اللّهَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا حُجَّةَ لَهُ وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيْتَةً جَاهِلِيَّةً.
“Sesiapa yang menarik kesetiaan terhadap pemerintah, ia menemui Allah s.w.t tanpa sebarang hujah. Sesiapa mati tanpa kesetiaan terhadap pemerintah, matinya seperti kematian dalam jahiliah (maksiat),” (Riwayat Muslim).
Begitu juga dari Ibnu Abbas r.a dari Nabi SAW:
من رأى من أميره شيئا يكرهه فليصبر فإنه من فارق الجماعة شبرا فمات فميتة جاهلية
“Sesiapapun yang melihat sesuatu dari pemimpinnya yang tidak disukainya, hendaklah ia bersabar terhadapnya, sebab siapa yang memisahkan dirinya sejengkal dari Jemaah lalu ia mati, kecuali mati seperti mati jahiliyyah.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar menyifatkan maksud mati jahiliah di sini adalah mati dalam keadaan sesat dan maksiat. Manakala perkataan “jamaah” pula merujuk kepada jemaah pemerintah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ya’la:
“Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh dua puak semuanya dalam neraka kecuali satu puak. Kami bertanya: Wahai Nabi Allah, puak manakah itu? Baginda bersabda : “al-Jamaah”. Yazid al-Raqasyi berkata: Aku berkata pada Anas, “Wahai Abu Hamzah, di manakah Jamaah itu? Berkata Anas,: Bersama dengan pemerintah-pemerintah kamu.”
Ketaatan kepada pemimpin merupakan perkara usul dalam manhaj Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Ini berdasarkan pendapat dan tulisan daripada para ulama salaf yang ditulis dalam kitab-kitab akidah Ahlussunnah. Imam Ahmad rahimahullah berkata dalam risalah Usul Al-Sunnah, “Wajib untuk mendengar dan taat kepada para pemimpin dan amirul mukminin, baik dia orang yang baik maupun orang yang jahat.”
Imam At-Thahawi berkata dalam kitab Al-Aqidah Ath-Thahawiah, “Kami memandang bahawa mentaati penguasa merupakan sebahagian dari ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla. Taat kepada pemerintah adalah suatu kewajipan selama mereka tidak memerintahkan kepada kemaksiatan. Kami mendoakan mereka agar mendapatkan kesalehan dan kebaikan.”
Batas Ketaatan kepada Pemimpin
Prinsip ketaatan adalah suatu yang penting bagi sesebuah negara atau jemaah bagi membolehkan negara melaksanakan matlamat negara (ghayat al-daulah) secara berkesan[1]. Hal ini ditegaskan melalui firman Allah s.w.t dalam surah al-Nisa’ ayat ke 58 dan 59,
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh kamu menghukum dengan adil). Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.”(Surah An-Nisa’:58)
“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, serta Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) di kalangan kamu. Kemudian jika mereka berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran) dan (Sunnah) rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat”.(Surah al-Nisa’: 59)
Perintah ketaatan datang setelah perintah untuk pemerintah melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka. Sepertimana yang disebut oleh al-Mawardi bahawa menjadi tanggungjawab rakyat pula memberi ketaatan kepada pemerintah.
Walau bagaimanapun, ketaatan kepada pemerintah muslim adalah dibatasi atas perkara ma’ruf sahaja dan tidak dibenarkan mentaati dalam perkara maksiat. Sabda Rasulullah s.a.w,
“لا طاعة لمخلوق فى معصية الخالق”
“Tiada taat kepada makhluk pada perintah maksiat kepada al-Khaliq (Allah s.w.t),” (Muttafaq Alaih)
Hadis tersebut menunjukkan hak sesorang pemerintah untuk ditaati tidak sama dengan hak untuk mentaati Allah s.w.t dan Rasulullah. Hal ini dibatasi selagi mana tidak menampakkan kekufuran yang nyata. Sepertimana yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w:
“حدثنا إسحق بن إبراهيم الحنظلي أخبرنا عيسى بن يونس حدثنا الأوزاعي عن يزيد بن يزيد بن جابر عن رزيق بن حيان عن مسلم بن قرظةعن عوف بن مالك عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم ويصلون عليكم وتصلون عليهم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم قيل يا رسول الله أفلا ننابذهم بالسيف فقال لا ما أقاموا فيكم الصلاة وإذا رأيتم من ولاتكم شيئا تكرهونه فاكرهوا عمله ولا تنزعوا يدا من طاعة”
“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu suka dan mereka juga menyukai kamu, mereka mendoakan untukmu, dan kamu juga mendoakan untuk mereka. Pemimpin-pemimpin kamu yang tidak baik pula ialah mereka yang kamu tidak suka dan mereka juga tidak menyukai kamu, kamu mengutuk mereka dan mereka juga mengutuk kamu. Rasulullah s.a.w ditanya, “Bolehkah kami menentang mereka dengan pedang (kekuatan)?”Rasulullah s.a.w menjawab, “Tidak boleh, selagi mereka menegakkan solat di kalangan kamu. Apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak suka pada pemerintah kamu maka hendaklah kamu membenci perbuatannya sahaja tetapi janganlah kamu menarik balik kesetiaan kamu terhadapnya.” (Riwayat Muslim, al-Tabarani, dan al-Baihaqi)
Dalam hadis tersebut menjelaskan bahawa kewajipan rakyat untuk terus memberikan kesetiaan kepada pemerintah selagi mana tindakan pemerintah tersebut tidak membawa kepada kemungkaran dan mafsadah (keburukan).
BERSAMBUNG…
Oleh: Haji Sallehuddin Yaacob
Recent Comments