Adab dan Etika Pemimpin

Perbincangan mengenai adab dan etika seseorang pemimpin, yang pertama-tama harus diketahui dan difahami oleh pemimpin ialah hakikat kepemimpinan (al-wilayah) dan bahaya-bahayanya – jika tidak amanah. Al-Wilayah ialah kenikmatan yang diberikan oleh Allah SWT untuk digunakan dengan tujuan kemaslahatan umat manusia. Maka, apabila seseorang pemimpin diberikan kenikmatan tersebut dalam hidupnya, tetapi tidak mengetahui hakikat nikmatnya, malah sebaliknya pemimpin tersebut berbuat zalim dengan kekuasaannya serta mengikuti hawa nafsunya, maka pemimpin yang demikian telah menempatkan kedudukannya sebagai musuh Allah (Abu Hamid Al-Ghazali,1983:148).

Jika seseorang pemimpin telah meletakkan kedudukannya sebagai musuh Allah SWT, maka bermulalah titik bahayanya pemimpin tersebut. Untuk menghindari hal tersebut, al-Ghazali mengingatkan seseorang sultan atau khalifah agar tidak boleh meninggalkan ulama. Namun, pemimpin tidak boleh semberono meminta nasihat ulama tanpa mengetahui latar ulama itu. Pemimpin tidak boleh melantik ulama Sû’ (ulama jahat) kerana ulama jenis ini akan menjerumuskan negara pada kerosakan. Ciri-ciri ulama su’ antaranya, mereka selalu memuji-muji raja secara tidak wajar dan tujuan dakwahnya hanya untuk kepentingan duniawi. Sebaliknya, seorang ulama sejati (ulama al-akhirah) sama sekali tidak mengharapkan balasan wang daripada tangan raja. Dia memberikan nasihat yang ikhlas kerana dia menginginkan kemaslahatan dalam diri raja, negara dan masyarakat (Dhiauddin Rais,2001:279).

Sebagaimana peringatan Rasulullah SAW, seorang pemimpin harus memperhatikan tiga perkara: Pertama, apabila rakyat meminta/memerlukan bantuan dan belas kasihan, maka khalifah wajib memberikan kasih sayang dan bantuan kepada mereka. Kedua, apabila menghukum rakyat, maka berbuatlah adil. Ketiga, laksanakan perkara yang telah dijanjikan dan jangan memungkiri janji. Al-Ghazali memperingatkan sultan bahawa jika tiga perkara tersebut ditinggalkan, maka bahaya akan mengancam negara (Abu Hamid Al-Ghazali, jilid I:22-23).

Terdapat dua perkara penting yang ditekankan oleh al-Ghazali dalam nasihat-nasihatnya, iaitu pengukuhan akidah dan adab. Dua perkara ini bagi al-Ghazali merupakan faktor utama untuk menjadi hamba Allah SWT yang sejati. Dengan istilah lain, keyakinan asas yang ingin dikukuhkan kepada para pemimpin negara ialah al-tasawwur al-Islamiy (pandangan hidup Islam) kerana al- tasawwur al-Islamiy ialah perkara asas bagi setiap perilaku manusia, termasuk aktiviti-aktiviti ilmiyah dan teknologi. Setiap aktiviti manusia akhirnya dapat dikenalpasti dalam pandangan hidupnya (Dhiauddin Rais,2001:102). Seorang khalifah yang memiliki pandangan hidup Islam yang kukuh, maka segala bentuk keputusannya tidak akan terlepas daripada pola fikir Islam (Haslam, Jonathan,2002:168).

Adab menjadi penting kerana manusia yang beradab (Insan adabi) ialah manusia yang menyedari sepenuhnya tanggungjawab dirinya kepada Tuhan Yang Maha Benar, yang memahami dan menunaikan keadilah terhadap dirinya dan orang lain dalam masyarakatnya; yang terus berupaya meningkatkan setiap aspek dalam dirinya menuju kesempurnaan manusia (Alparslan Acikgence,1996: 6). Pemikiran tersebut lahir kerana al-Ghazali pada masa itu berdepan dengan cabaran yang besar iaitu perang pemikiran dan kemunduran moral. Maka, bagi membaiki keadaan beliau menawarkan konsep adab politik sekaligus bagi menjawab kesesatan pemikiran Syiah Bathiniyah (Al-Syahrastani, jilid I:27).

Al-Ghazali dalam teori kenegaraannya mengutamakan perpaduan moral dengan kekuasaan. Negara dan pemerintahan dipimpin oleh manusia biasa, tetapi harus pemimpin memiliki moral yang baik demi mewujudkan kesejahteraan masyarakat secara universal, kebahagiaan dunia dan akhirat. Maka, beliau memandang agama dan negara tidak dapat dipisahkan, agama ialah asas sedangkan pemerintahan ialah penjaga (Al-Qashandi, 1964:217).

Pemikiran Al-Ghazali mengenai adab politik menjadi contoh terbaik kepada semua pemimpin ketika berdepan sebarang krisis yang berlaku. Hal ini kerana corak pemikiran politik al-Ghazali berlatarbelakangkan pengalamannya dengan dunia kekuasaan pada masa itu yang dikatakan menyeleweng dari tuntutan agama. Di zaman al-Ghazali, praktik-praktik politik banyak yang menyimpang daripada jalur syariat, seperti korupsi, penyalahgunaan kuasa, perpecahan umat dan krisis ulama. Al-Ghazali melihat masalah tersebut berpunca daripada krisis keilmuan (Al Ghazali – Hujjat Al Islam – Abu Hamid:211).

Kritikan al-Ghazali itu terutama ditujukan kepada para ulama sebagai penyebar ilmu. Kezaliman ilmu telah membuat krisis epistemologi yang berakibat kepada lemahnya umat Islam melawan kekuatan-kekuatan asing, termasuk kekalahan dalam perang salib (Abu Hamid Al-Ghazali, 1990:1- 4). Selain memperbaiki masalah epistemologi, al-Ghazali juga mempunyai misi mempersatukan umat dalam satu bendera akidah, membuang fanatisme kesukuan dan nasionalisme sempit (Rifa’at Rafi’ At Tahtawi,1977:22).

Menurut al-Ghazali, khalifah ialah pelindung pelaksanaan syariat Islam. Pelaksanaan hukum Ilahi menjadi tanggungjawab seseorang pemimpin. Oleh sebab itu, kewujudan negara adalah sangat penting. “Keteraturan agama tidak dapat dihasilkan kecuali dengan seorang Imam (pemimpin negara) yang ditaati”, kata Al-Ghazali. Justeru, seorang sultan dengan pemimpin-pemimpin politiknya harus menjalankan tugas sesuai dengan adab berpolitik. Jika seseorang sultan menjaga adab berpolitik, maka sebenarnya politik ialah tugas yang mulia. Jika penguasa dan pejabat negara berbuat zalim, maka mereka hendaknya dijauhi (Abu Hamid Al-Ghazali:151).

Al-Ghazali berpendapat penyimpangan penguasa Buwaihi pada waktu itu sebenarnya berakar daripada krisis ulama. Dalam Kitab Ihyâ Ulumuddin, beliau mengatakan;

“Sesungguhnya, kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para penguasanya, dan kerosakan penguasa disebabkan oleh kerosakan ulama, dan kerosakan ulama disebabkan oleh cinta harta dan kedudukan, dan barang siapa dikuasai oleh cita- cita duniawi, dia tidak akan mampu mengurus rakyat kecil, apalagi penguasanya. Allah menjadi tempat meminta segala hal” (Abu Hamid Al-Ghazali, t.t: 151).

Krisis juga disebabkan pemimpin yang berkuasa dikatakan menyimpang daripada fahaman Ahlussunnah wal Jamâah. Penguasa Buwaihiyah tidak saja beraliran Syiah, rasuah dan mengamalkan politik kotor, akan tetapi mereka juga menentang kekhalifahan Abbasiyah yang berfahaman Sunni. Malangnya, beberapa orang khalifah Abbasiyah seperti al-Mustakfi (333-334 H), al-Muti’ (334-363 H), al-Ta’i (363-381H) menggantungkan nasib mereka pada hegemoni Buwaihiyah (Ali Mufrodi, 2008:76). Keadaan itu mendorong al-Ghazali menulis kitab Fadaih Batiniyyah yang mengandungi kritikan terhadap doktrin Syiah batiniah dan konsep Imamah Syiah. Pada bab tujuh kitab Fadâih Batiniyyah, al-Ghazali melancarkan kritik tentang hilangnya konsep Imamah dan membongkar kelemahan hujah mereka (Abu Hamid Al-Ghazali, 2001:133).

Daripada karya-karya tersebut, jelaslah bahawa al-Ghazali ialah seorang ilmuwan yang menerapkan kesepaduan ilmu. Sebagai seorang yang pernah masuk terjun dalam dunia politik, beliau juga menerapkan kesepaduan hubungan antara ulama dan umara, agama dan politik (Watt, W M., 1963: 331). Corak pemikirannya yang menolak pemisahan ilmu ini menarik untuk direlevansikan dengan dunia politik ketika ini.

Hubungan Negara dan Agama

Al-Ghazali tidak memisahkan urusan negara daripada urusan agama. Ditinjau dalam nasihat Al Ghazali kepada khalifah, terlihat bahawa negara yang ideal ialah negara yang pemimpinnya memiliki asas keimanan Islam yang kuat, sehingga negara dapat diurus dengan kayu pengukur syariah. Setelah seorang pemimpin memiliki asas keimanan yang kukuh, mengetahui hakikat kekuasaan, maka hal yang juga penting ialah menghindari sifat takabur, iaitu penyakit hati yang sangat berbahaya. Hal ini kerana sifat tersebut akan mendorong pada perbuatan saling bermusuhan yang akan menjurus kepada pertumpahan darah (Abu Hamid Al-Ghazali,1990:4). Untuk itu, seorang pemimpin (raja) harus sentiasa dekat dengan rakyat kecil, melepaskan jubah kesombongannya. Begitu pentingnya memenuhi keperluan rakyat, al-Ghazali bahkan berfatwa bahawa mendatangi rakyat bagi memenuhi keperluannya lebih utama berbanding menyibukkan diri beribadah sunah (Abu Hamid Al-Ghazali,1983:151). Rakyat yang lemah harus dilayan oleh pemimpin dengan lembut dan penuh kasih sayang. Beliau juga memperingatkan sultan agar jangan sekali-kali menerima rasuah daripada rakyatnya dan menyimpang dari syariat (Abu Hamid Al- Ghazali, 1983:22).

Sebagaimana para pemikir Muslim sunni lainnya, al-Ghazali berpendapat bahawa sebuah pemerintahan harus berlandaskan prinsip syariat Islam. Jika tidak ada pemerintahan yang berkuasa ke atas hal ehwal negara, maka kekacauan, permusuhan, pertumpahan darah, kemiskinan, dan tidak stabilnya ekonomi masyarakat akan berlaku (Abu Hamid Al-Ghazali, 2001:211). Apatah lagi bagi al-Ghazali, tidak ada pemisahan di antara perkara agama dan negara. Maka, kewujudan pemerintahan sangat mustahak dalam mewujudkan masyarakat dan perdamaian.

Ketertiban merupakan keperluan bagi kelangsungan kehidupan beragama. Kestabilan kehidupan beragama sangat penting untuk mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat. Negara menjadi prasyarat penting bagi berlangsungnya hukum-hukum Allah SWT untuk ditegakkan di muka bumi. Tanpa pemerintahan, kehidupan masyarakat tidak dapat diwujudkan dengan baik (Ibnu Khaldun:482-571). Bagi al-Ghazali, kuasa politik tidak hanya bertujuan untuk menghindarkan pergolakan sosial melalui penerapan hukum, ketertiban dan pengurusan awam oleh agensi kerajaan, akan tetapi juga bertujuan untuk menghindarkan pergolakan sosial melalui bimbingan dan kepemimpinan yang diberikan oleh penguasa dengan pelayanan yang menarik (Saeful Anwar,2007:40). Oleh sebab itu, al-wilayah (kepemimpinan) ialah kedudukan yang diamanahkan oleh Allah SWT yang diperlukan oleh warganegara. Disebabkan pentingnya kedudukan ini, al- Ghazali berpendapat bahawa seseorang pemimpin harus memiliki kemampuan yang mantap (Abu Hamid Al-Ghazali:153).

Mengenai pemimpin ideal, pendapat al-Ghazali hampir sama dengan al-Mawardi, yakni seorang yang mampu berbuat adil antara masyarakat (tidak nepotisme), melindungi rakyat daripada kerosakan dan jenayah, dan tidak zalim (tirani). Selain itu, seorang pemimpin harus memiliki integriti, menguasai selok belok hal ehwal pentadbiran kerajaan dan menguasai ilmu agama. Syarat ini diperlukan agar dalam menentukan dasar, seorang pemimpin dapat berijtihad dengan benar, sempurna panca inderanya (mata, pendengaran, lisan tidak terganggu yang dapat menghalanginya dari menjalankan tugas), anggota badannya normal, pemberani, memiliki kepakaran dalam strategi perang dan kemampuan intelektual untuk mengatur kemaslahatan rakyat (Sulaiman Dunya,1971: 295).

Selain itu, bagi al-Ghazali, tujuan penubuhan institusi khilafah adalah bagi memenuhi kebahagiaan manusia di akhirat kelak. Menurut al-Ghazali jika seseorang sultan itu zalim dan sudah membahayakan agama, maka Sultan berkenaan perlu ditinjau semula kedudukannya, sama ada dengan cara diberhentikan (dipecat) atau meletak jawatan. Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa meskipun Sultan bertindak zalim tindakan awal ialah dengan diberi nasihat. Bukan dengan dipecat secara tergesa-gesa, apatah lagi apabila pemecatan itu boleh mencetuskan kekacauan. Selama sultan itu masih menerapkan hukum Islam, seorang pemimpin atau Sultan tidak perlu dipecat, melainkan diberi nasihat dan peringatan. Tindakan yang paling keras menurut al Ghazali ialah dengan mempulau Sultan sehingga pemimpin itu kembali memerintah dengan cara yang baik (H. Hachem,1945:197).

Negara adalah sebuah wadah bagi menjalankan segala bentuk perancangan, teori dan pelaksanaan syariat Islam yang bertujuan membentuk masyarakat madani yang harus direalisasikan demi terwujudnya maqâsid as-Syari’ah (Fatawy Al-Ghazali,1996:219). Oleh itu, negara berkewajipan menyediakan bantuan kepada rakyat untuk mensejahterakan kehidupan di bumi dengan penuh tanggungjawab. Keadaan jiwa dan fizik rakyat harus dilindungi dengan bijaksana, dengan bantuan ulama bagi menjaga kestabilan sosial keagamaan bertunjangkan keimanan. Kehidupan dunia adalah sementara, maka manusia perlu dipersiapkan secara mantap untuk menuju kehidupan yang hakiki kerana kebahagiaan sejati itu hanya didapati ketika di akhirat (Dhiauddin Rais, 2001:143).

Pemikiran politik al-Ghazali ini berasaskan kepada hadis Nabi Muhammad SAW yang bersabda bahawa dunia bagaikan ladang yang mana manusia dapat menuai hasilnya di akhirat kelak. Sedangkan untuk menjaga kestabilan dunia, diperlukan sebuah sistem pemerintahan yang berdasarkan syariah. Negara ialah penjaga bagi terlaksananya hukum-hukum agama Islam (Ahmad bin Sulaiman, 2003:135). Ini bermakna, pemikiran politik yang digagas al-Ghazali bukanlah pemikiran pragmatis, kerana beliau konsisten dengan pemikiran bahawa penubuhan negara tidak hanya bertujuan demi terlaksananya kepentingan individu atau golongan, tetapi demi kepentingan semua umat manusia di dunia. Beliau tidak hanya mementingkan pendidikan fizikal dan moral, tetapi lebih jauh, semua aspek kehidupan dunia sangat penting agar dapat selamat dan bahagia di akhirat (Abu Hamid Muhammad bin Muhamma al-Thusi Al-Ghazali, 2003:213).

Lantaran itu, melantik pemimpin (imamah) menurut Al Ghazali adalah wajib dengan hujah bahawa:

أن نظام الدين ال حيصل اال بنظام الدنيا ونظام الدنيا الحيصل اال ابءمام مطاع

Maksudnya: Sistem pemerintahan (Islam) tidak akan berhasil kecuali dengan sistem dunia (pemerintahan). Sedangkan sistem dunia itu sendiri tidak akan berhasil tanpa seorang pemimpin yang ditaati. (Abu Hamid Al Ghazali, 1988: 148).

Peraturan syarak tidak berjalan dengan sempurna dan berkesan tanpa disokong oleh adanya pemerintahan yang Islamik. Hujah al-Ghazali tentang pentingnya imamah dan negara sekali gus menjawab idea sekularisme dan konsep imamah Syiah. Pemisahan iman dan dunia – yang bererti sekularisme – menurut al-Ghazali disebabkan oleh kesalahan memahami konsep iman dan konsep imamah. Sesuai dengan ciri khas pemikirannya, al-Ghazali menjelaskan bahawa kehidupan dunia dengan segala kesenangannya adalah sementara dan hidup mewah secara berlebihan dapat merosakkan jiwa dan moral. Hidup cukup untuk memenuhi keperluan asas manusia. Orang yang memahami hal tersebut disebut orang beradab, dan orang beradab ialah orang yang benar-benar mukmin. Penubuhan negara, bukanlah sekadar memenuhi keperluan manusia di dunia saja tapi juga untuk kepentingan di akhirat. Oleh itu, al-Ghazali menekankan pentingnya menguasai ilmu dengan betul baik ilmu dunia mahupun ilmu akhirat. Hal itu tidak dapat dicapai dengan berkesan kecuali manusia terpenuhi keperluan asasnya, mendapatkan perlindungan dan keadaan yang damai.

Pembentukan sistem politik yang terorganisasi lebih mantap sekiranya dilengkapi dengan sistem hukum dan peraturan yang benar sehingga dapat memberikan bimbingan tepat bagi warga negara sekaligus menstabilkan keperluan agama rakyat. Menurut al-Ghazali, menjadi Muslim yang baik bukanlah orang yang tidak meninggalkan sama sekali harta duniawi. Seorang zahid bukanlah orang yang tidak mengharapkan kekayaan sama sekali, akan tetapi zahid ialah orang yang tidak terobsesi dan hatinya tidak terlalu dikuasai oleh kekayaan, meskipun ia ditakdirkan menjadi orang terkaya di dunia (Dhiauddin Rais,2001:105).

Pelaksanaan syariat memerlukan legitimasi negara. Ajaran agama meliputi aspek sosial, ekonomi, politik, moral dan budaya. Dengan demikian, urusan agama dipandang sangat penting dan tidak dapat dikesampingkan untuk mencapai keselamatan dan kebahagiaan kekal di akhirat (Abu Hamid Al-Ghazali, 1983:167-168). Oleh itu, penubuhan negara dan mengangkat imam (pemimpin) menurut al-Ghazali tujuan utamanya adalah untuk menghasilkan kebahagiaan hakiki, yakni kebahagiaan di akhirat. Hal ini sebenarnya sejalan dengan misi kenabian. Negara dan politik merupakan bahagian penting terutama untuk mencapai kebahagian baik di dunia mahupun di akhirat (Abu Hamid Al-Ghazali,1989:30). Al-Ghazali menegaskan bahawa agama ialah asas, dan penguasa ialah penjaga, dan sesuatu yang tidak ada penjaganya pasti akan hancur (Abu Hamid Al- Ghazali, 1990:10). Penerapan syariah memerlukan institusi negara kerana tanpa negara maka syariah tersebut tidak berkesan dan kurang sempurna. Pernyataan al-Ghazali jelas menunjukkan bahawa sekularisme tidak dikenal dalam Islam. Kerana sekularisme menceraikan antara urusan agama dengan politik dan menolak penerapan syariah dalam masyarakat Islam (Ibnu Khaldun, Jld III:572).

Pemikiran al-Ghazali mengenai sistem pemerintahan menekankan etika politik yang menjadi panduan kepada masyarakat dan kakitangan negara. Hal yang menarik dan patut menjadi rujukan ahli politik Muslim ialah al-Ghazali mementingkan ilmu dan adab (etika) yang benar dalam berpolitik. Dengan ilmu dan etika yang betul, akan melahirkan pemerintahan yang baik, termasuk unsur-unsur yang sangat penting seperti keadilan, ketelusan dan integriti (Alparslan Acikgence, 1996: 321).

Bagi membaiki sistem politik dan pemerintahan, al-Ghazali mengenalkan konsep amar ma’ruf nahi munkar. Tahap pertama yang dilakukan ialah dengan memberi peringatan, kemudian nasihat. Al-Ghazali mengambil berat perbaikan politik dan mengatakan bahawa seseorang ulama atau ilmuwan semestinya melakukan reformasi konstruktif dalam arena politik kerana ini merupakan manifestasi kepada konsep amar makruf nahi munkar (S. Dunya,1961:324). Reformasi politik harus dimulai daripada diri terlebih dulu, terutama membaiki asas keimanan – kerana hal itu mempengaruhi perilaku manusia. Politik, moral, pemikiran dan tindakan harus benar-benar menyatu dalam sistem yang integratif (Al-Qashandi, 1964:65). Ilmu dan adab yang ditekankan al- Ghazali dalam perbaikan politik ialah model perbaikan integratif. Seorang pemimpin negara tidak saja menguasai teori-teori politik, akan tetapi juga harus faqih (menguasai agama). Seorang politikus tidak sahaja perlu menguasai ilmu-ilmu fardu kifayah, tetapi mereka harus juga menguasai ilmu-ilmu fardu ’ain (Ahmad bin Sulaiman, 2003:298).

Titik penting lainnya yang dapat disimpulkan daripada pemikiran politik al-Ghazali ialah seorang pemimpin negara dan para pembantunya (menteri) mesti membina hubungan baik dengan ulama. Ulama tidak boleh ditinggalkan, sebagaimana agama tidak boleh ditinggalkan oleh negara. Pemerintah akan banyak memperolehi banyak kebaikan dengan melibatkan peranan ulama. Sebagai golongan yang menguasai agama, ulama perlu memainkan peranan dengan nasihat dan peringatan terhadap penguasa terutama nasihat mengenai akidah, syariat dan moral. Walau bagaimanapun, peranan ulama hanya terhad sebagai penasihat dan bukan menjadikannya sebagai pemerintahan yang mengamalkan sistem autokrasi yang dari segi tertentu tidak bersesuaian dengan sistem demokrasi yang dianut negara-negara Islam.

Kebertanggungjawaban dan Kejayaan Kepemimpinan

Dalam kitab Sir al-Alamin wa Kasf ma fi ad-Darain, mengungkapkan pemikiran al-Ghazali yang bertolak daripada kata-kata Mu’awiyah bin Abi Sufyan, ”Saya adalah orang yang berselera tinggi dalam mencapai sesuatu, saya bukanlah seseorang yang layak menduduki jawatan khalifah. Saya faham dengannya maka saya mendapatkannya”. Hal ini dapat difahami betapa tingginya cita-cita yang melatarbelakangkan keinginan politik Mu’awiyah bin Abi Sufyan yang sebenarnya tahu siapa yang paling hakiki (Abu Hamid Al-Ghazali,1990: 29-30).

Dalam mengamati cubaan perubahan pemerintahan yang berlaku pada zamannya, al-Ghazali telah mengenalpasti tiga tahap perkembangan yang berlaku. Al-Ghazali menyatakan ada tiga tahapan revolusi dalam sejarah Islam iaitu: (1) Mempelajari sifat-sifat masyarakat dan sifat-sifat kumpulan yang gemar melakukan revolusi, seperti gerakan yang pro terhadap keturunan Ali bin Abi Thalib (Syiah), kumpulan Mu’tazilah dan kumpulan Khawarij. Kumpulan-kumpulan ini menganjurkan cara revolusi dalam masyarakat ketika terjadinya kelaparan akibat krisis ekonomi dan mengabaikan kesejahteraan masyarakat golongan menengah ke bawah; (2) periode persiapan revolusi, iaitu dengan perancangan, penggunaan media, strategi kekerasan dan menciptakan keadaan sosial politik yang tidak stabil, seperti yang telah dilakukan oleh Husain, Hamdan Qaramitah, al-Halaj dan Kailani; dan (3) periode pascarevolusi baik revolusi yang berhasil mahupun yang gagal. Situasi ini memerlukan media dan cara untuk memulihkan semula keadaan, seperti yang dilakukan oleh Abu Muslim al-Khurasani daripada Bani Abbasiyah yang memberontak dan berjaya menggulingkan pemerintah Bani Umayah.

Pada masa al-Ghazali, keadaan politik Abbasiyah semakin tidak stabil. Negara terpecah-pecah menjadi kerajaan-kerajaan kecil yang saling berperang dan berebut wilayah kekuasaan. Pada masa itu, kekuasaan di Mesir berada di tangan kekhalifahan Fatimiyah (909 M) dan Bani Umayah di Andalus (756 M). Pertikaian kelompok dan etnik serta pemberontakan antara suku sering terjadi. Begitu juga dengan pertikaian antara mazhab turut berperanan dalam kekacauan tersebut. Pucuk kepemimpinan dinasti Abbasiyah telah berpindah ke tangan etnik Seljuk, sementara etnik Arab tidak lagi mempunyai peranan penting dalam kekuasaan (Muhammad Mustafa Abu al- `Ula,1968:68).

Kekhalifahan di Baghdad hanya sebagai simbol agama sahaja yang hanya hadir pada acara-acara keagamaan. Bagaimanapun, perkembangan ilmu pengetahuan tidak terjejas. Penterjemahan buku- buku Yunani terus dilakukan yang telah mencetuskan gelombang pemikiran. Keadaan ini telah melahirkan aliran falsafah yang kuat dalam kalangan masyarakat dan berakibat kepada tergoncangnya corak pemikiran keagamaan termasuklah yang dialami oleh Al-Ghazali.

Pada masa yang sama, pertumpahan darah sangat mudah terjadi. Bagi mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak diingini, al-Ghazali memberikan saranan kepada Sultan Malik Syah agar sultan dan menterinya mempunyai pengawal yang dapat menjaganya secara ketat daripada bahaya apa pun, termasuk racun yang dimasukkan ke dalam minuman dan makanan. Sultan harus dijaga pada waktu tidur dan tidak bercampur dengan para tentera terutama pada malam hari. Apabila sultan melakukan solat Jumaat, hendaklah disediakan tempat khusus dan dijaga ketat. Sultan atau menteri tidak diperkenankan keluar masjid sehingga semua orang keluar dari masjid.

Al-Ghazali berpendapat bahawa jabatan perisikan negara merupakan suatu yang penting. Menurutnya, seorang raja tanpa dibantu perisikan bagaikan jasad tanpa roh. Keadaan sosio-politik pada zaman al-Ghazali yang dipenuhi oleh pertikaian dan konfrontasi hanya berdasarkan kepada tujuan-tujuan duniawi. Beliau berkata, ”Saya melihat orang zaman sekarang tujuan hidupnya singkat, hanya berkeinginan mendapatkan sesuatu secara zahir dan batin yang rendah, sesuai dengan keinginan para raja. Beberapa kelompok di lingkaran raja meminta saya menyusun buku sebagai panduan dalam mencapai tujuan mereka, iaitu untuk menaklukkan kerajaan-kerajaan lain (Muhammad Mustafa Abu al-`Ula,1968:70).

Lantaran itu, beliau menyusun karya yang berjudul Sirr al-Alamin dan menjadi buku panduan bagi pemimpin kerajaan bagi mencapai tujuan untuk memperluaskan wilayah kekuasaannya. Pihak yang menginginkan kekuasaan sama ada secara revolusi mahupun golongan oportunis yang menginginkan perubahan, mereka mula mengambil faedah daripada karya tersebut, seperti Muhammad bin Tumart yang telah menubuhkan negara Muwahidin yang memerintah di Maroko dan sebahagian Semenanjung Iberia (Andalus). Muhammad bin Tumart merupakan orang pertama yang membaca karya ini di hadapan Al Ghazali di Madrasah Nizamiyah dan itu terbukti dengan kejayaanya menubuhkan kerajaan di Maroko.

Pemahaman  asas  daripada  naskhah  yang  ditulis  oleh  al-Ghazali  ini  adalah  (الهمة  علو),  iaitu pemahaman psikologi politik yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris disebut “political will” atau kemahuan politik. Konsep ini merupakan intipati daripada karya tersebut. Beliau juga menjelaskan bentuk keadilan yang disampaikannya kepada para penguasa bahawa perbuatan yang paling buruk ialah kezaliman terhadap seorang hamba. Untuk itu, diperlukan keadilan dan keinsafan, walau terhadap diri sendiri (Abu Hamid al-Ghazali, 1989).

Dalam hal ini, al-Ghazali meletakkan asas keadilan bagi para pemimpin, iaitu: (1) Pemimpin harus tahu kapasiti kekuasaannya, kewenangan dan tanggungjawabnya. Pemimpin harus mendekatkan diri kepada ulama dan menjalankan nasihat mereka; (2) pemimpin harus mendidik bawahannya kerana pemimpin bertanggungjawab atas tindak- tanduk para kakitangannya. Tidak sombong, cepat marah, dan tidak terbiasa dengan perkataan-perkataan kesat; (3) pemimpin tidak mengkhianati rakyat; (4) pemimpin menunaikan hajat masyarakat dengan segera; (5) pemimpin mengelak daripada melakukan maksiat; (6) pemimpin menjalankan tugas dengan sistematik dan rapi. Pemimpin harus berusaha mencapai kepuasan masyarakat sesuai dengan tuntunan syarak; dan (7) pemimpin tidak mencari keredaan seseorang yang mengakibatkan pemimpin tersebut menyalahi aturan syarak. Al-Ghazali mengatakan”agama dengan raja, raja dengan tentera, tentera dengan wang”.

Apabila berlaku perubahan pemerintahan, maka hendaklah pemimpin baru berpegang kepada konsep syura yang merupakan tuntutan utama dalam setiap sistem pemerintahan. Al Ghazali juga mengatakan, penguasa yang baru hendaklah melantik pembantu-pembantu (menteri) yang layak dan mempunyai akidah yang bersih dan kuat berpegang syariat yang berteraskan kepada keimanan dan keadilan (Abd al-Wahhab  al-Sha`rani’s:31).

Al-Ghazali berpendapat bahawa bagi memenuhi keperluan asas hidup manusia diperlukan pembahagian tugas antara anggota masyarakat, produksi dan pekerjaan. Menurut al-Ghazali, terdapat empat pekerjaan bagi berdirinya sesebuah negara. Empat pekerjaan tersebut ialah pertanian untuk mengadakan makanan; pemintalan untuk mengadakan pakaian; pembangunan untuk mengadakan tempat tinggal; dan politik untuk penyusunan dan pengelolaan negara, pengaturan kerjasama antara warga negara bagi keamanan dan kepentingan bersama, penyelesaian sengketa antara mereka serta perlindungan terhadap bahaya dan ancaman dari luar.

Daripada empat pekerjaan tersebut, politik merupakan pekerjaan yang paling penting dan paling mulia. Oleh sebab itu, pekerjaan politik menghendaki tingkat kesempurnaan yang lebih tinggi daripada tiga pekerjaan yang lain (Munawir Sadzali:75). Pekerjaan politik, menurut al-Ghazali, meliputi empat pekerjaan, iaitu: (1) Sub pekerjaan pengukuran tanah untuk menjamin kepastian ukuran tanah milik warga negara; (2) sub pekerjaan ketenteraan untuk menjamin keamanan dan pertahanan negara, baik terhadap ancaman dari dalam mahupun ancaman dari luar; (3) sub pekerjaan kehakiman untuk menyelesaikan sengketa antara warga negara; dan (4) sub pekerjaan undang-undang untuk penggubalan undang-undang dan peraturan bagi menjamin keserasian hubungan antara warganegara dan melindungi setiap warganegara dari pelanggaran hak, baik oleh sesama warganegara atau oleh negara sendiri (Abd al-Rahman Badawi, t.t.:21-22).

Memandangkan pekerjaan politik sangat penting, maka mereka yang terlibat dalam pekerjaan politik harus betul-betul memiliki pengetahuan, kemahiran, kearifan dan harus dibebaskan daripada tugas dan tanggungjawab yang lain. Meskipun begitu, perjalanan pemerintahan harus selalu dikawal oleh para ulama dengan mekanisme kritikan yang membina, memutuskan hubungan dengan pemerintah yang zalim bahkan dengan mengirimkan surat sebagai peringatan.

Mekanisme Kritikan Kepada Pemimpin

Bagi menghadapi pemimpin yang zalim, Al-Ghazali menyerukan umat Islam untuk membenci pemimpin tersebut dan menyempitkan hubungan dengannya. Malah, jika perlu, umat menjauhkan diri daripada pemimpin yang zalim agar tidak mengadakan hubungan dengannya (Abu Hamid Al- Ghazali,1990:159). Meskipun al-Ghazali menyerukan untuk memutuskan hubungan dengan pemimpin zalim, akan tetapi beliau tidak bersetuju dengan cara menggulingkan kekuasaan (Ibnu Jauzi, 1985:124). Walau bagaimanapun, seruan dan ajakan tersebut diyakini mempunyai pengaruh yang besar terhadap umat, khususnya terhadap orang yang mempunyai jiwa yang baik dan bertakwa dalam membangun gerakan dan menghindari pemerintah yang zalim. Dengan adanya kesedaran dan semak kepada pemerintah yang seimbang, gerakan ini mampu membawa kepada perbaikan politik (Kamaluddin Nurdin Murjani, 2009).

Sebagai ilmuwan yang memiliki pemikiran dan jiwa yang tajam, al-Ghazali berusaha meletakkkan dirinya sebagai ejen perubahan dalam perbaikan pemerintahan. Yang menariknya, beliau tidak terjun secara langsung dalam kancah politik negara, namun beliau memainkan peranan sebagai ulama yang tegak di atas prinsip amar makruf nahi munkar kepada umara. Peranan tersebut dilaksanakan apabila pemerintahan di bawah kendali Saljuk terkeluar dari ketentuan agama seperti penyalahgunaan wewenang dan masalah moral. Namun demikian, disebabkan Sultan masih sangat mengambil berat perkembangan pendidikan dan keilmuan yang cukup ranca, Sultan perlu dipertahankan. Oleh sebab itu, al-Ghazali memainkan peranan sebagai ulama dengan menulis surat-surat yang berisi nasihat dan melihat pemerintah dapat diperbaiki tanpa menjatuhkannya (Abu Hamid Al-Ghazali, 1983:150).

Nasihat-nasihat al-Ghazali sangat berpengaruh terhadap kestabilan politik sultan Saljuk terutama bagi meredam gerakan Syiah Batiniyah yang tujuan utamanya ialah untuk menyingkirkan pemerintahan Islam Sunni (Abu Hamid Al-Ghazali, 1990:4). Salah satu contoh sepucuk surat yang ditulis oleh al-Ghazali kepada salah seorang penguasa berbunyi: “Sungguh memilukan, engkau kalungkan kesusahan di leher kaum Muslimin, sedangkan engkau mengalungkan leher kudamu dengan kalung emas” (Abu Al-Hasan Ali Al-Husni an-Nadawi,1974:237).

Al-Ghazali turut menulis surat kepada menteri dan bercerita tentang Thawus, kota yang telah dikunjungi oleh menteri tersebut yang dianggapnya tidak sedikit pun menghasilkan perbaikan keadaan (Alparslan Acikgence, 1996,VOL.1 No 1&2:6). Padahal warga kota Thawus telah mengadu tentang kekurangan gizi dan tingginya harga makanan (Wan Mohd Nor Wan Daud, 2003:174). Dalam suratnya, al-Ghazali menyatakan:

“Ketahuilah, kota ini, kota Thawus, telah runtuh kerana kelaparan dan kezaliman. Ketika orang mendengar kedatanganmu dari Istirain dan Damighan, mereka takut. Mulailah para petani menjual biji-bijiannya dan orang zalim menghentikan kezalimannya. Setelah engkau sendiri sampai ke Thawus dan ternyata manusia tidak melihat sedikit pun yang engkau hasilkan, maka rasa takut pun hilang, para petani dan tukang roti kembali meninggikan harga dan menimbunkan bahan makanan, dan orang yang zalim itu semakin berani. Setiap orang yang memberi khabar kepadamu tentang negeri ini berbeza dengan hal tersebut, ketahuilah bahawa ia musuh agamamu” (Wan Mohd Nor Wan Daud, 2003: 238).

Daripada pembahasan yang telah dilakukan, dapat ditarik beberapa kesimpulan pemikiran politik al-Ghazali tentang sumber kekuasaan dalam Islam. Asal mula negara adalah dengan teori ketergantungan bahawa manusia memiliki keperluan hidup yang setiap hari harus diusahakannya. Dengan adanya keperluan itu, mereka berkumpul untuk mendirikan negeri bersama-sama. Kemudian negeri-negeri itu membentuk suatu kekuasaan yang ditaati bersama-sama. Maka dari negeri itu berkembang menjadi “negara” yang memerlukan institusi-institusi yang mengatur keselamatan dan kemaslahatan masyarakat dan peribadi..

Gagasan negara Maslahat yang cukup mendasar dalam pemikiran politik al-Ghazali terlihat dalam ungkapan analoginya bahawa agama merupakan asas sebuah bangunan dan negara adalah penjaganya. Setiap bangunan tanpa ada asas yang kukuh akan runtuh, demikian juga asas tanpa bangunan juga akan sia-sia (Watt, W. Montgomery, 1963:147). Negara tidak sempurna tanpa sultan dan prinsip utama bagi menjalankan pemerintahan adalah dengan syariat Islam dan dipandu oleh hukum Islam (fiqh). Perkara ini selaras dengan kaedah ushul fiqh iaitu “Ma laa yatimmu ad- diin illa bih”. Kaedah ini membawa maksud bahawa tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna urusan agama kecuali dengan adanya negara dan pemerintahan. Kewujudan negara merupakan cerminan kepada kepastian memelihara agama, jiwa, keturunan, harta benda dan akal warga negara yang menjadi prinsip maqashid syariah.

Kesimpulan

Imam al-Ghazali telah memberikan sumbangan yang cukup besar dan sangat bererti dalam dunia Islam. Pemikiran dan pandangan beliau yang meliputi pelbagai bidang, seperti falsafah, tasawuf dan pendidikan Islam yang terdapat dalam karya-karyanya, khususnya Ihya Ulumudin masih diteliti dan dikaji dalam kalangan dunia Islam dan dunia Barat sehingga sekarang. Kemasyhuran beliau dalam bidang teologi menyebabkan penelitian terhadap karya-karyanya lebih tertumpu pada bidang tersebut. Dengan demikian, pemikiran politik Islam yang dikemukakannya ternyata kurang mendapat perhatian para pengkaji.

Bermula dengan teori asal usul negara, al-Ghazali menekankan bahawa negara merupakan prasyarat yang sangat penting untuk manusia melangsungkan kehidupan bagi menjalankan syariat atau undang-undang Allah. Sesuai dengan tuntutan wahyu, al-Ghazali mengatakan bahawa tujuan utama kehidupan manusia adalah untuk mencapai kemaslahatan (kebahagian) di dunia dan di akhirat, maka negara maslahat ialah negara yang memelihara agama Islam dan merealisasikan hukum-hukum agama Islam dalam peraturan dan perundangan negara, baik hukum yang berhubungan dengan pemeliharaan jiwa, keluarga, harta benda mahupun hukum yang berhubungan dengan pemeliharaan akal. Dengan ini jelaslah bahawa al-Ghazali tidak memisahkan urusan agama dengan urusan dunia.

Negara tidak dapat dipisahkan daripada pemimpin. Bagi al-Ghazali, melantik pemimpin seharusnya datang daripada rakyat dengan jalan pemilihan bukan sahaja berdasarkan pertimbangan akal atau lojik, tetapi perlu berdasarkan tuntutan syar’ie. Syarat-syarat pemimpin yang dikemukakan oleh al-Ghazali pula ialah memiliki kemampuan untuk mengurus rakyat, berkemampuan memberikan bimbingan yang benar, berkemampuan untuk memberikan perhatian yang penuh kepada rakyat, memiliki ilmu dan bersikap rendah hati. Sementara syarat keislaman merupakan syarat yang mutlak.

Dalam sistem pemerintahan pula, al-Ghazali menyatakan dua tujuan yang utama, iaitu pertama adalah untuk melaksanakan ketentuan agama, sesuai dengan perintah Allah SWT dan rasul-Nya dengan ikhlas serta patuh dan menghidupkan sunah agar seluruh warganegara dapat melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Kedua, pemerintah perlu memerhatikan dan mengurus soal-soal duniawi, mengumpul dana daripada sumber-sumber yang sah dan menyalurkan kepada yang berhak menerimanya. Untuk mencapai kepada tujuan yang lebih tinggi, iaitu kemakmuran dan mengelakkan daripada berlakunya perpecahan dan kekacauan, maka pemerintah harus memiliki kekuatan tentera, legislatif dan kewangan.

Al-Ghazali juga mengingatkan para pemimpin dalam pemerintahan agar dapat mengawal nafsu kerana nafsu akan mengheret pemimpin ke dalam bencana sistem pemerintahan kuku besi dan autoritarian yang sangat membahayakan negara. Setelah memperingatkan pemimpin negara tentang bahayanya nafsu, terutama apabila memandang dirinya sebagai yang maha kuasa, al- Ghazali memperjelaskan tugas-tugas moral yang harus dilakukan oleh para pemimpin negara.

Dalam nasihat-nasihatnya kepada pemimpin negara, al-Ghazali menekankan dua perkara penting, iaitu akidah dan adab kerana manusia yang berakidah dan beradab menyedari sepenuhnya tanggungjawab dirinya kepada Allah SWT. Dengan demikian, mereka akan memahami dan menunaikan keadilan terhadap dirinya dan terhadap orang lain yang menjadi anggota masyarakat. Pemikiran ini lahir daripada al-Ghazali setelah beliau menghadapi perang pemikiran dan kemunduran moral pada zamannya.

Al-Ghazali juga mengingatkan para pemimpin agar tidak menjauhkan diri daripada ulama. Walau bagaimanapun, pemimpin harus berhati-hati dengan ulama kerana bukan sebarang ulama yang boleh diminta nasihat. Nasihat daripada ulama yang jahat akan menjerumuskan negara kepada kerosakan. Ciri ulama yang jahat ialah mereka memuji-muji pemerintah secara tidak wajar dan tujuan dakwah mereka menjurus kepada duniawi. Seorang ulama yang sejati tidak mengharapkan balasan material atau bantuan pemerintah. Mereka memberikan nasihat yang ikhlas demi perbaikan diri pemerintah, masyarakat dan negara. Justeru, ulama sejati harus memperhatikan perjalanan pemerintah dan mengawal mereka dengan mekanisme kritikan yang membina seperti mengirim surat sebagai peringatan dan memutuskan hubungan dengan pemerintah yang zalim. Sementara revolusi merupakan jalan yang terakhir yang dicadangkan oleh al-Ghazali.

Bibliografi

Abd. al-Rahman Badawi, Muallafat al-Ghazali, Kuwait: Dar al-Salam, t.t.

Abdul Aziz Bari, “Perlembagaan sebagai Pernyataan Sejarah dan Nilai-Nilai asal Negara” dalam

Kongres Sejarah Malaysia II, Kuala Lumpur, 26-28November 1996.

Abdul Aziz, Abdur Rahman Ibrahim, al-Qadha wa Nidzamuhu fi al-Kitab wa al-Sunnah, Madinah: Universitas Ummul al-Qura, 1989.

Abdul Hamid Al-Mutawalliy, Mabadi’ al-Nizham al-Hukm fi al-Islam, Kairo: Maktabah al-Wafa’, 1991.

Abdul Karim al-Usman, Sirah al-Ghazali, Kuwait: Dar al-Fikr, 1977

Abdul Monir Yaacob, “Kuasa Perundangan dalam Sebuah Negara Islam: Kes Malaysia”, dalam Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam, Kuala Lumpur: IKIM, 2005.

Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Islam di Malaysia Sejarah dan Pemikiran, Jakarta: Gema Insani Press, 1997.

Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Islam Klasik: Pengaruh Falsafah Yunani dan Kebangkitan Gerakan Tajdid. K.Lumpur: al-Hidayah Publishers, 2004.

Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah: Perspektif Barat dan Timur. K.Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2005.

Abdul Rashid Moten & Syed Serajul Islam. Introduction to Political Science. Singapore: Thomson Publication, 2005.

Abdul Rashid Moten, “Malaysia an Islamic State: A Political Analaysis” dalam Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam, Kuala Lumpur: IKIM, 2005.

Abdul Salam Yusoff, Idea-Idea Pendidikan Berkesan al-Ghazali & Konfusius. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2010.

Abdullah Ahmad Qadiri, Syura: Prinsip Utama Sistem Pemerintahan Islam. Terjemahan dari al- Syura oleh Hafiz Mahaiyadin.K.Lumpur: al-Hidayah Publishers, 2002.

Abdullah, Asma          & Pedersen, Paul B.,  Understanding Multicultural Malaysia, Petaling Jaya:Pearson Malaysia,  2003.

Abidin Ibnu Rusn, Pemikiran al-Ghazali Tentang Pendidikan. Jogjakarta: Pustaka Pelajar, 2009. Abu Ahmad Yasin. 30 Wasiat Imam Ghazali. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa, 2008.

Abu Al-Hasan Ali Al-Husni an-Nadawi, Rijal al-Fikr wa al-Da’wah fi al-Islam, Kuwait: Dar al- Qolam, 1974.

Abu Zahrah, Muhammad, Aliran Politik dan Aqidah Dalam Islam. Terjemahan dari Tarikh al- Madzhahib al-Islamiyyah oleh Abdul Rahman Dahlan dan Ahmad Qarib. Jakarta: Gaya Media Pratama, 2011.

Abuddin Nata, Perspektif Islam Tentang Pola Hubungan Guru-Murid: Studi Pemikiran Tasawuf al-Ghazali. Jakarta: PT RajaGrafindo Persada, 2001.

Abul Hasan Ali Nadwi , Penyelamat Kerohanian Islam. Terjemahan dari Saviours of Islamic Spirit oleh Daud Hamid & Hanafi Mohd Nor. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.

Ahmad bin Sulaiman, Haqaaiq al-Ma’rifah fi ‘Ilmi al-Kalam , San’aa: Muassasah Zeid bin Ali, t.t.

Ahmad Ibrahim, Tan Sri Datuk Seri, The Malaysian Legal System. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, 1992

Ahmad Saebani, Beni. Fiqh Siyasah: Pengantar Ilmu Politik Islam. Bandung: Penerbit Pustaka Setia, 2008.

Ahmad Syarbasi, Al-Ghazali wa al-Tasawwuf al-Islami , Kairo: Dar al-Hilal, tt.

Ahmad, Zainal Abidin, Konsep Negara Bermoral Menurut Al-Gazali, Jakarta: Bulan Bintang, 1975.,

Akshah Ismail, Fokus Super SPM Sejarah, Kuala Lumpur: Pelangi Publishing Group Bhd., 2003 Al-‘Abdari, Ibn al-Hajj. Madkhal ash-Shar‘ ash-Sharif [Introduction to the Divine Revelation]. Cairo: Al- Matba‘a al-Ashrafiya, 1902.

Al-Anbariy, Khalid Ali Muhammad. Sistem Politik Islam-Menurut Pandangan al-Quran, al-Hadis dan Pendapat Ulama Salaf. Terjemahan dari Fiqh Siyasah Syariah oleh Ustaz Taib Pa dan rakan- rakan. K.Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd., 2008.

Al-Ghazali and the Ash‘arite School, Durham, NC: Duke University Press , 1994.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Al Iqtishad fi Al I’tiqad. Cairo: Maktabah Al Mahmudiyyah At Tijariyyah, tt.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Al-Iqtishad fii al-‘Itiqad, Beirut: Dar al- Qutaibah, 2003.

Al-Ghazali, Abu Hamid, al-Munqiz min al-Dhalal, Beirut: al-Maktabah al-Sya’biyah.

Al-Ghazali, Abu Hamid, al-Mustasfà fi ‘Ilm al-Usul [The Pure Teaching on the Science of Fundamentals]. Cairo: Al-Maktaba at-Tijariya, 1937. 2 vols.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Al-Tibr al-Masbuk fii Nasihat al-Muluk, Cairo: Bulak 1998.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Deliverance From Error and The Beginning of Guidance. Terjemahan dari al-Munqidh min al-Dalal dan Bidayat al-Hidayah oleh W Montgomery Watt. K.Lumpur: Islamic Book Trust, 2010 (revised edition 2005).

Al-Ghazali, Abu Hamid, Fadaih al-Batiniyah, Beirut: Maktabah al-‘Ashriyah, 2001. Al-Ghazali, Abu Hamid, Ihyâ‘ Ulũm al-Dīn, Juz II, Beirut:Dar al-Fikr, 1991.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Tahafut al-Falasifa, The Incoherence of the Philosophers. Cairo: Dar al- Ma‘arif, 1958.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Bergaul Seperti Penghuni Syurga. Terjemahan dari Adabu Shubbah wal Mu’asyarah. K.Lumpur: Synergy Media, tt.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Bimbingan Hidup Mukmin. Disusun oleh Norainie Abu. Kuala Lumpur: Jasmine Enterprise, 1996.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Ihya Ulumuddin. Terj. TK Ismail Yakub. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd., 1998.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Ihya Ulumudin- Jiwa Agama, 8 Jilid. Terjemahan dari Ihya Ulumudin. Semarang: Menara Kudus, 1980.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Intisari Falsafah al-Ghazali. Terjemahan oleh H Rus’an. Batu Caves, Selangor: Thinkers Library Sdn. Bhd., 2000.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Jadilah Orang Yang Menjiwai Iman dan Hidayah. Terjemahan dari Bidayah al-Hidayah oleh Khadijah Rahman. Batu Caves Selangor: al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd., 2012.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Jalan Para ‘Abid. Terjemahan dari Minhajul Abidin oleh Haji Engku Ali Engku Endut. K.Lumpur: Pustaka Darul Iman, 2012.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Keajaiban Hati. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd., 1991.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Membina Kebahagiaan Hidup. Terjemahan Muhammad Ghazali. K.Lumpur: Syarikat Nurulhas, 2002.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Menyingkap Rahsia Kebahagiaan. Terjemahan oleh H Ru’san. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd., 1982.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Penyelamat Dari Kesesatan. Terjemahan dan tambahan oleh Saifurrahman Amrullah. Johor Bahru, Malaysia: Badan Cemerlang Sdn. Bhd., 2001.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Peringatan Bagi Penguasa: Agar Kekuasaan Tidak Menjadi Korup. Terjemahan dari al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk oleh Ahmadie Thaha dan Ilyas Ismail. Jakarta: Penerbit Hikmah, 2000.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Permata al-Qur’an. Disadur oleh Drs Saifulah Mahyudin. Batu Caves, Selangor: Thinker’s Library Sdn. Bhd., 1987.

Al-Ghazali, Abu Hamid, Rindu Tanpa Akhir. Terjemahan dari al Mahabbah wa al-Syawq wa al- Uns wa al-Ridha oleh Asy’ari Khatib. Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2007, cetakan ketiga. Al-Ghazali, Abu Hamid, Terjemahan Lengkap Kitab Minhajul Abidin. Bogor: Majlis Ta’lim Al- Ihya, 1400H.

Al-Ghazali, Muhammad. Warisan Pemikiran Islam Menurut Syara’ dan Akal. Terjemahan dari Turatsuna al-Islami fi Mizan al-Syar ‘Waal’ Aql oleh Nur Hadi Ihsan. Batu Caves, Selangor: Crescent News Sdn. Bhd., 2009.

Al-Haitami, Ibn Hajar. Tahrir al-Maqal fi Adab wa-Ahkam wa-Fawa’id Yahtaju ilaiha Mu’addibu-l-Atfal, Beirut : Dar al-Kutub al-Misriya, 1992

Ali Mufrodi, Islam di Kawasan Kebudayaan Arab, Jakarta: Logos, 1997.

Al-Ma‘arri, Abu-l-‘Ala’. Risalat al-Ghufran [The Epistle of Forgiveness]. Cairo: Dar al-Ma‘arif, 1977.

Al-Mawardi, Ahkam as-Sultaniyah, al-Tabah: Maktabat Dar Ibn Qutaybah, 1989.

Al-Musleh, Mohamed Abu Bakr A. Al-Ghazali-The Islamic Reformer: An Evaluative Study of the Attempts of Imam al-Ghazali at Islamic Reform (Islah). K.Lumpur: Islamic Book Trust , 2012.

Alparslan Acikgence, “The Framework for A History of Islamic Philosophy”, Al-Shajarah, Journal of The International Institute of Islamic Though and Civilization (ISTAC) 1996, VOL.1 No 1&2.

Al-Qabisi. Ar-Risala al-Mufassala li-Ahwal al-Mu‘allimin wa-Ahkam al-Mu‘allimin wa-l- Muta‘allimin [Detailed Report on the Situation of Schoolteachers and the Regulations Governing Schoolteachers and Pupils]. Cairo: Al-Halabi, 1955.

As-Sirjani, Raghib. Sumbangan Peradaban Islam Pada Dunia. Terjemahan dari Mazda Qaddamal Muslimuna lil’Alam Ishamaatu al-Muslimin fi al-Hadaharah al-Insaniyah oleh Sonif, Masturi Irham dan Malik Supar. Jakarta: Pustaka al-Kautsar, 2011.

Astuti, Demokrasi di Nagara-Negara Muslim Problem dan Prospek. Bandung: Mizan, 1999.

Asy-Syami, Shaleh Ahmad. Biografi Imam al-Ghazali: Hujjatul Islam dan Pembaru Kurun ke-5 (450-505Hijrah). Terjemahan dari al-Imam al-Ghazali oleh Arifin Ladari. K.Lumpur: Jasmin Enterprise, 2007.

Black, Anthony, Pemikiran Politik Islam: Dari Masa Nabi Hingga Masa Kini. Terjemahan dari

The History of Islamic Political Thought: From the Prophet to Present oleh Abdullah Ali dan

Fazlur Rahman. Kebangkitan Semula dan Pembaharuan Dalam Pemikiran Islam: Satu Kajian Tentang Fundamentalisme Islam.Terjemahan dari Revival and Reform in Islam: A Study of Islamic Fundamentalism oleh Amilah Awang Abdul Rahman. K.Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2009.

Fazlur Rahman. Membuka Pintu Ijtihad. Terjemahan dari Islamic Methodology in History oleh Anas Mahyuddin. Bandung: Penerbit Pustaka, 1983.

Funston, John. “Malaysia: Developmental State Challenged”. In John Funston (Ed.), Government and Politics in Southeast Asia, Singapore: Institute of Southeast Asian Studies, 2001.

Hodgson, Marshall G.S. Kebangkitan Islam, 3 Jilid. Terjemahan dari The Venture of Islam: Conscience and History in a World Civilization, 3 volume oleh Mastuti Haji Isa dan lain-lain. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004.

Ibnu Khaldun, Kitab al’Ibar wa Daiwa al-Mubtada wa al-Khabar, Beirut: Dar al-Kutub al- Ilmiyah, jld III

Ibnu Khilkan, Wafayât al-A’yân, Cairo: Maktabah al-Nahdyan, 1948, juz III.

Idries Shah. Mahkota Sufi Menembusi Dunia Ekstra Dimensi. Terjemahan oleh M Hidayatullah dan Roudlon,  Surabaya: Risalah Gusti, 2000.

Idris Zakaria. Teori Politik al-Farabi dan Masyarakat Melayu. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.

Ija Suntana, Kapita Selekta: Politik Islam. Bandung: Pustaka Setia, 2010.

Ija Suntana, Pemikiran Ketatanegaraan Islam. Bandung: Pustaka Setia, 2010.

Imran al-Malizi. Memelihara Syahadah: Menghindari Diri Dari Kekufuran. Shah Alam, Selangor, Malaysia: Karya Bestari Sdn. Bhd., 2007.

James Chin. “Politics of Federal Intervention in Malaysia, with reference to Kelantan, Sarawak and Sabah” , Journal of Commonwealth and Comparative Politics, Vol. 35, No 2 (July) 1997.

Kamal Abd Manaf. Manusia dan Personaliti Membentuk Insan Yang Sempurna. K.Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 1996.

Kamal Abd Manaf. Perbezaan dan Persamaan Pandangan Carl Rogers dan Imam al-Ghazali Terhadap Beberapa Aspek Kaunseling. Tesis Sarjana (tidak diterbitkan). Bangi, Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1996.

Kamaluddin Nurdin Murjani, “Mauqif az-Zaidiyah wa Ahli Sunnah min al-Aqidah al-Isma’iliyah wa Falsafatuha, Bierut: Darul Kutub al-Ilmiyah, 2009.

Kareem Newell, Abdul. Akuntabilitas Negara Khilafah. Bogor: Pustaka Thariqul Izzah, 2007.

Khan, Qamaruddin. Pemikiran Politik Ibnu Taymiyyah. Terjemahan dari The Political Thought of Ibn Taymiyyah oleh Anas Mahyuddin. Bandung: Penerbit Pustaka, 1983.

Mahmood Zuhdi Ab Majid, Tokoh-Tokoh Kesarjanaan Sains Islam. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000.

Mahmud Saedon Awang Othman. Tasawuf: Sejarah Perkembangan dan Persoalan. K.Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, 1987.

Majid Fakhry. Sejarah Falsafah Islam. Terjemahan dari A History of Islamic Philosophy. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.

Mohamad Amin Abdullah. The Idea of Universality of Ethical Norms in Ghazali and Immanuel Kant. Ankara, Turkey: Turkiye Dinayet Vakfi, 1992.

Mohd Fauzi Hamat. Ketokohan al-Ghazali Dalam Bidang Logik. K.Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2005.

Mohd Sulaiman Yasin. Ahlis-Sunnah Wal-Jama’ah. Bangi: Yayasan Salman, 1997.

Monir Yaacob dan Suzalie Mohammad, Konsep dan Peranan Ulil Amri di Malaysia,  Kuala Lumpur:IKIM, 2004.

Muhammad Abdulloh Suradi. Lembaran Hidup Ulama’: Warisan Ilmuwan Islam. Petaling Jaya, Selangor: Hijaz Records Publishing, 2008.

Muhammad Aizat Farhan. Mendekati Peribadi Imam-Imam Pewaris Nabi.K.Lumpur: Mulia Terang Sdn. Bhd., 2012.

Muhammad Alfan, Drs. Filsafat Etika Islam. Bandung: Pustaka Setia, 2011.

Muhammad Asad, The Principles of State and Government in Islam , Gibraltar: Dar al-Andalus, 1980.

Muhammad Asy Syalabi: Asy Syaikh Al-Ghazali wa Ma’rikah Al-Mushhaf fi Al-Alam Al-Islami. Cetakan Cairo, tahun 1987.

Muhammad Azhar, Filsafat Politik: Perbandingan Islam dan Barat, Jakarta: RajaGrafindo Persada, 1996.

Muhammad Rawas, Qal’ah Ji Fiqh as-Siyasi li Sirah an-Nabawi, Cairo: Dar al-Ma’rifah, 1988. Munawir Sadzali, Islam dan Tata Negara: ajaran, sejarah dan pemikiran, Jakarta: UI-press, 1991,

Noor Shakirah Mat Akhir. Al-Ghazali and His Theory of the Soul: A Comparative Study. P.Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2008. Reprinted 2010.

Saeful Anwar, Filsafat Ilmu Al-Ghazali Dimensi Ontologi dan Aksiologi , Bandung: Pustaka Setia, 2007.

Salih Syami, Sirah an-Nabawiyah Tarbiyah Umah wa Bina ad-Daulah, Beirut, Maktabah al- Islami, 1990.

Sopiee, Mohamed Noordin, From Malayan Union to Singapore Separation: Political Unification in the Malaysia Region 1945 – 65, K.Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1976.

Sulaiman Dunya, Dr., Al-Haqiqat: Pandangan Hidup Imam al-Ghazali. Terjemahan dari al- Haqiqatu fi Nazari al-Ghazali oleh Ibnu Ali MA. Surabaya: Pustaka Hikmah Perdana, 2002.

Taher Azhary, Negara Hukum: Suatu Studi Tentang Prinsip-prinsipnya Dilihat dari Segi Hukum Islam, Implementasinya Pada Periode Negara Madinah Dan Masa Kini , Jakarta:PT Kencana, 2007.

Taqiyuddin Ibnu Taimiyah, as-Siyasah as-Syar’iyah fi Islah ar-Ra’iy wa ar-Ra’yah Cairo: Dar an-Nasry, 1990),

Umaruddin, Prof Mohammad. The Ethical Philosophy of al-Ghazzali. K.Lumpur: A.S. Nordeen, 2003, (third revised edition, 1996).

Victor Said Basil, Manhaj al-Bahsi an al-Ma’rifa Inda al-Ghazali, terjemahan Ahmadi Thaha, Jakarta: Pustaka Panji Mas, 1990.

Watt, W M. Muslim Intellectual: A Study of al-Ghazali, Edinburgh: Edinburgh University Press, 1963.

Yaacob, Abdul Monir dan Suzalie Mohammad. Konsep dan Peranan Ulil Amri di Malaysia. Kuala Lumpur: IKIM, 2004.

Yahaya Jusoh, dan, Kamarul Azmi Jasmi. Pendidikan Politik dan Khalifah Islam Dalam Pelbagai Perspektif. Skudai, Johor, Malaysia: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, 2006.

Yatimah Sarmani, dan Mohd Tajudin Mingal. Teori Kaunseling al-Ghazali. Batu Caves, Selangor, Malaysia: PTS Islamika Sdn. Bhd., 2011, cetakan ketiga.

Yatimah Sarmani. Pendekatan Kaunseling Islam: Satu Analisis Kualitatif Model Kaunseling Berasaskan Sifat-sifat Manusia oleh Imam al-Ghazali. Tesis Doktor Falsafah (tidak diterbitkan). Skudai, Johor Malaysia: Universiti Teknologi Malaysia, 2005.

Zainal Abidin Ahmad, Konsepsi Negara Bermoral Menurut Imam Gazali, Jakarta: Bulan Bintang, 1975.

Zakaria Stapa. Akidah & Akhlak Dalam Kehidupan Muslim. K.Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2001.

Zurkhani Jahja, Teologi al-Ghazali: Pendekatan Metodologi. Yogyakarta: Pustaka Pelajar, 2009.

Oleh : Dr Alies Anor Abdul

Translate »