Suatu tindakan serta usaha yang baik bagi mengelak perpecahan dikalangan umat Islam Kerajaan Johor telah mengambil inisiatif menguatkuasakan larangan kegiatan politik termasuk ceramah dan ucapan di masjid serta surau di seluruh negeri berkuat kuasa serta merta.

Sejak akhir-akhir ini umat yang prihatin terhadap perkembangan masjid, terkilan dengan apa yang berlaku hari ini di masjid dimana ia telah dicemari kemurniaannya sebagai tempat ibadat.

Mereka mencemarkan kesucian masjid dan cuba memanfaat

Masjid sebagai tempat mencari pengaruh dan melontarkan perasaan benci kepada kerajaan dan kepimpinan Islam hari ini.

Masjid bukanlah gelanggang untukmengecam sikap negatif umat, sebaliknya tempat menghidupkan sikap positif umat melalui dakwah yang bijaksana dan berhikmah.

Masjid adalah milik Allah, kerana itu kesuciannya harus dipelihara. Segala sesuatu yang diduga mengurangi kesucian masjid atau dapat mengesankan hal tersebut, tidak boleh dilakukan di dalam masjid.

Melihat kepada asas pembinaan sesebuah masjid, jelas ia bertujuan supaya umat islam bertakwa kepada Allah dan tempat penyatuan umat. Masjid bukanlah tempat menanam bibit-bibit kebencian satu golongan kepada golongan yang lain dan ia bukan tempat mewujudkan perpecahan di kalangan umat. Dan juga bukan tempat menabur fitnah atau gelanggang politik untuk mencaci atau mencerca pihak yang dibenci. Apatah lagi menggunakan masjid sebagai tempat untuk menghina, mencemuh, mencaci, mencarut pelbagai kata-kata yang tidak wajar diucapkan.

Masjid harus memberikan ketenangan dan ketenteraman pada pengunjung. Justeru, Rasulullah s.a.w. melarang adanya benih-benih pertengkaran di dalam masjid.

Fungsi masjid paling tidak dinyatakan oleh hadis Rasulullah s.a.w. ketika menegur seseorang yang membuang air kecil (di samping) masjid sabdanya yang bermaksud:

“Masjid-masjid tidak wajar untuk tempat kencing atau (membuang sampah). Ia hanya untuk (dijadikan tempat) berzikir kepada Allah Taala, dan membaca (belajar) al-Quran.”(Riwayat Muslim)

Ibnu Majah meriwayatkan bahawa Ibnu Umar telah berkata:

“Beberapa perkara yang tidak harus dilakukan di masjid. Antaranya tidak boleh dibuat jalan, tidak boleh menghunuskan senjata, tidak boleh menghentaknya dengan busar, tidak boleh bermain anak panah kerana ditakuti akan terkena orang ramai yang penuh sesak bersembahyang di dalamnya.”

Apabila pembinaan masjid telah lari atau disalah guna daripada prinsip asas tersebut maka ia tidak bererti lagi matlamat akan suci pembinaannya.

Al-Quran menceritakan orang-orang munafik juga telah membina masjid bertujuan menaburkan fitnah dan merosakkan perpaduan di kalangan umat Islam.

Rasulullah s.a.w. dapat memahami niat buruk mereka, Lalu baginda memerintahkan supaya meruntuhkan masjid tersebut dan membakarnya. Berikutan dengan peristiwa itu Allah menurunkan ayat khusus berhubung dengan membina masjid dan memuji Masjid Quba sepertimana firman-Nya:

Maksudnya: “Sesungguhnya masjid yang berdasarkan takwa (Masjid Quba) semenjak ia didirikan lebih patut engkau bersembahyang di dalamnya. Di dalam masjid ada orang-orang yang ingin supaya dirinya bersih, sedangkan Allah kasihkan orang-orang bersih.:(Surah at-Taubah: 108)

Jelas bahawa pembinaan masjid sejak dari peringkat permulaan hendaklah berlandaskan takwa kepada Allah dengan disertai keikhlasan dan bertujuan beribadat kepada Allah. Pembinaan ini bertujuan menghimpun umat Islam dalam mengikuti jalan yang diredhai Allah, berkenalan sesama umat Islam di samping berbincang dan menyelesaikan masalah yang di hadapi setiap umat. Rasulullah s.a.w. amat mengambil berat tentang soal meninggikan syiar masjid supaya menjadi tempat yang sesuai sebagai pusat dakwah. Di samping tempat masjid berfungsi tempat membina peribadi, menimba ilmu, mempersiapkan diri mempertahankan agama, tempat melansungkan akad nikah, tempat penghakiman dan sebagai tempat untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah.

Masjid adalah segala-galanya dalam kehidupan individu Muslim. Namun begitu, perlu diingat masjid mempunyai adab-adabnya tersendiri dan umat Islam perlu mengikuti adab-adab tersebut.

Apabila seseorang itu berada di dalam masjid, maka dilarang meninggikan suara sebagaimana Imam Ibnu al-Haj berkata:

“Hendaklah dilarang sesiapa yang mengangkat suaranya di masjid ketika khatib sedang berkhutbah atau sebagainya daripada berbuat demikian.” Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Jauhkanlah masjid-masjid kamu daripada (gangguan) anak-anak kecil.orang gila, musuh-musuh, jual beli, pedang yang terhunus, meninggikan suara kamu dan tidak boleh melaksanakan hokum hudud (dalam masjid), tangguhlah pelaksanaan itu pada hari-hari kamu berkumpul.”

Sebenarnya banyak lagi adab-adab masjid seperti cara masuk, duduk,

iktikaf, solat, ketika keluar dari masjid, menjaga kebersihan, tidak boleh berjual beli dan lain-lain lagi. Umat Islam seharusnya sedar akan hakikat fungsi masjis itu sebagai pertemuan kecintaan, keharmoniaan, toleransi dan tolong-menolong.

Mereka bertaut erat seperti saf-saf dalam solat mereka menuju keredhaan Allah s.w.t. dengan membuang segala sifat iri hati atau dengki dan hanya mengharapkan keampunan dan keredhaan serta kebaikan daripada Allah s.w.t.

Oleh : Ibnu Majid

Translate »