Perpaduan bermaksud bergabung menjadi satu. Perpaduan merupakan tuntutan agama Islam sebagai suatu yang makruf, manakala perpecahan pula adalah suatu yang mungkar. Perpaduan terjalin berasaskan dua ikatan iaitu perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berasaskan bangsa dan negara bertujuan memelihara kerukunan politik, ekonomi dan sosial, serta perpaduan dalam kalangan umat Islam yang bersifat kesatuan jiwa dan hati.
Tidak ada manusia percaya bahawa pembinaan negara bangsa dapat dilakukan dengan jayanya tanpa wujudnya perpaduan, sama ada dalam kalangan pemimpin, rakyat mahupun institusi-institusi yang memayungi masyarakat. Apatah lagi dalam situasi sosiopolitik, sosioagama, sosiobudaya, sosioekomi dilaksanakan. Tetapi, perjalanan menuju ‘perpaduan’ tidak boleh berhenti, walaupun telah banyak percubaan telah gagal. Perpaduan dalam kalangan warga Malaysia telah sekian lama terjalin kerana prinsip ini dipelihara dengan perasaan muhibah dan harmoni.
Namun disebabkan perbezaan pegangan politik seringkali menjadi punca kepada perpecahan sedangkan politik sewajarnya menjadi wadah kepada penyatuan. Kepentingan peribadi dan pegangan politik akhirnya mencurahkan bibit-bibit permusuhan yang boleh membawa kepada kehancuran kerukunan negara.
Demikian pula halnya Alquran dan hadis yang memperkenalkan bermacam-macam persaudaraan yang tidak hanya diajarkan untuk sesama muslim saja, tetapi juga kepada antar umat beragama. Menjaga persatuan banyak disebutkan dalam Alquran. Sehingga kita dapat menemukan beberapa ayat yang bermakna persatuan, dan beberapa ayat lain yang bermakna persaudaraan, baik sesama keturunan, keluarga, agama, suku, ras, maupun kepada sesama umat lainnya.
Maknanya semangat al-Quran secara keseluruhan sebenarnya adalah semangat persatuan. Kerana itu jumlah ayat yang menganjurkan semangat persatuan atau perpaduan lebih banyak daripada ayat yang menjelaskan perihal perpecahan. Antaranya ialah Surah al-Hujurat ayat 10, al-Syura ayat 13, al-Mukminun ayat 32 dan ayat yang paling popular ialah surah Ali-Imran ayat 103. Perbezaan yang wujud bukanlah alasan untuk kita berselisih, menghina dan menceroboh hak orang lain. Islam telah menggariskan prinsip yang jelas dalam hal hubungan antara agama, bangsa dan budaya. Prinsip yang sama juga telah menjadi asas kepada peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama bagi persekutuan, tetapi dalam masa yang sama memberi ruang bagi agama-agama lain diamalkan dengan aman di negara ini. Perpaduan dalam kalangan warga Malaysia telah sekian lama terjalin kerana prinsip ini dipelihara dengan perasaan muhibah dan harmoni.
Perpaduan adalah satu-satunya benteng kekuatan yang masih ada untuk mempertahankan maruah dan nasib umat Islam di dunia ini kerana kekuatan-kekuatan yang lain seperti kekuatan ilmu pengetahuan, kekuatan ketenteraan, ekonomi, politik dan lain-lain sudah roboh dan runtuh. Kekuatan ukhwah Islamiah dan perpaduan inilah yang masih tinggal yang perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam. Sekiranya ikatan ukhwah Islamiah dan kekuatan perpaduan ini turut roboh maka tunggulah kehancuran dan malapetaka yang akan menimpa umat Islam. Kita sebagai umat Islam wajib mengikuti petunjuk rasul yang sudah dijelaskan dengan al-Qur’an danas-Sunnah. Allah swt, berfirman dalam al-Qur’an yg bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai..” (Ali-Imran ayat 103).
Oleh hal yang demikian, tidak ada sebab untuk kita cuba menolak seruan dan peluang yang terbuka luas demi merintis jalan ke jalan perpaduan. Dengan merintis jalan itu, ruang jaminan hidup sejahtera akan terlaksana. Lupakanlah alasan peribadi, takutkan pisang berbuah dua kali, atau hakisan kuasa politik, kerana itu adalah dugaan kita dalam mempersiapkan sebuah kehidupan bermasyarakat yg aman dan damai.
Perdamaian atau damai dalam bahasa al-Quran, biasanya ditunjuk dengan kata salam. Ia terulang dalam al-Quran sebanyak 42 kali, dalam pelbagai konteks. Di luar al-Quran, kata ini sangat popular, bukan sahaja di kalangan agamawan tetapi juga di kalangan ahli politik.Namun entah kenapa kata tersebut hanya mudah ditemui dalam ucapan dan tulisan tetapi amat sukar untuk dilihat dalam kenyataan.
Kita lupa doa yang sering kita baca setiap selesai solat yang bermaksud: Ya Allah Engkaulah yang Maha Damai, daripada Mu bersumber kedamaian dan kepada Mu kembali kedamaian. Hidupkanlah kami dalam kedamaian dan masukkanlah kami ke syurga negeri yang penuh kedamaian. Namun itu semua belum cukup kuat untuk mendorong terciptanya perdamaian dan kesejahteraan dikalngan peminpin-peminpin politik hari ini.
Konsep mengenai ‘salam’ atau ‘damai’ memang sangat penting dan utama dalam Islam. Perkataan Islam sendiri bermakna “orang yang berdamai dengan Tuhan”. Dan Tuhan pun berdamai dengan orang tersebut. Maka orang tersebut akan memperolehi jalan selamat iaitu keadaan yang sejahtera bahawa kita mencapai qalb-un salim (hati yang sejahtera). Ada suatu gambaran nanti di akhirat bahawa tidak ada orang yang merasa tenteram kecuali mereka yang mempunyai hati yang utuh dan sejahtera.
Kedamaian tidak mungkin tercipta dalam masyarakat sebelum ia disemai dalam diri individu itu sendiri. Bagaimana kita dapat memberi damai kalau kita sendiri tidak memilikinya? Damai yang dikehendaki Islam bukan hanya yang bersifat lahiriah, tetapi juga batiniah, termasuk menghindarkan hati daripada segala aib dan kekurangan, dengki atau hasad, menghasut serta segala macam kehendak negatif terhadap pihak lain.
Demikian juga menurut Al-Ghazali: “Siapa yang selamat hatinya daripada hal-hal tersebut, maka akan selamat pula anggota badannya daripada segala kejahatan dan selamat pula hatinya daripada kesesatan dan dengan demikian dia akan datang menghadap Allah dengan hati yang selamat”.Umat Islam perlukan kematangan untuk menghadapi situasi hari ini dengan tenang supaya segala faktor negatif tidak memerangkap dan menjatuhkan kita sekali lagi dalam fitnah kekacauan seperti yang berlaku di zaman sahabat (Khalifah Ali dan Othman) dahulu.
Sejarah mencatatkan sering kali kita dikalahkan kerana kita tidak bersatu. Demikian juga dalam keadaan berpecah belah itu pasti akan saling menyerang dan saling berusaha menghancurkan satu sama lain. Memang tidak dinafikan, untuk berpendapat dan berfikiran sama tidak mungkin tetapi untuk bersatu pasti tiada halangan, asalkan semua pihak bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati orang lain. Maka sebelum terlanjur menjadi “Negara Jenazah Malaysia” kepada orang-orang politik khususnya kita berharap agar utamakanlah kewajipan untuk menyelamatkan negara bukan berkepentingan untuk mencapai mimpi peribadi yang akan membuat negara Malaysia sebagai bangsa yang hanya tinggal kenangan dengan linangan air mata.
Kita ‘satukan kepelbagaian, elakkan perpecahan’ dengan wawasan baharu dan iktikad yang jelas.Kita berkongsi secara saksama bukan hanya atas nama ‘kebersamaan’ yang bertunjangkan “apa yang ada pada saya adalah milik saya dan apa yang ada pada anda [orang lain] adalah milik saya juga”. Amat malang apabila seseorang yang telah dianugerah Islam serta menjadi pengikut Nabi SAW yang pengasih dan penyayang sentiasa berada di jalan perpecahan.
Ambil iktibar daripada sejarah Islam mengapa kerajaan Bani Umaiyah runtuh? Mengapa kerajaan Bani Abbasiyyah tumbang? Mengapa Daulah Uthmaniyah hancur? Mengapa kerajaan Fatimiyyin dan Muwahhidin lenyap dari pentas sejarah? Mengapa kekuasaan dan kekuatan muslimin terkikis dari Andalusia? Benarlah sepertimana firman Allah bermaksud:
“Dan Tuhanmu tidak sekali-sekali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan kezaliman penduduknya selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri”
(Maksud Al-Quran Surah Hud:117)
Oleh : Aminah Shauki
Recent Comments