Sesungguhnya amanah merupakan tiang dan dasar bagi setiap amal baik yang bersifat agama ataupun keduniaan dalam setiap urusan yang ada di antara kita dan Allah, atau antara kita dan kerabat-kerabat kita atau masyarakat. Hanya orang yang jujur imannya kepada Allah yang menjaga amanahnya. Lemahnya amanah di dalam hati kerana lemahnya iman. Justeru dalam menegakkan keadilan, pemimpin perlu bersifat amanah iaitu jangan sampai terpengaruh oleh hubungan suka atau tidak suka kepada seseorang. Walaupun kita sedang diselubungi rasa benci terhadap seseorang atau golongan atau kaum, kita harus melaksanakan secara bijaksana dan adil. Demikian juga ketika dalam keadaan senang dan gembira.

Hubungan antaramanusia akan terjaga jika amanah terpelihara.Begitu juga dalam suatu negara,jika pemerentah sebagai pengembang amanah rakyat menjaga dengan baik amanahnya,maka negara akan damai.Apabila amanah rosak kerana diabaikan,maka rosak pula hubungan antara sesame manusia.Allah SWT menyerah amanah kepada manusia.TujuanNya adalah untuk mengangkat manusia kepada kedudukan yang lebih tinggi dari malaikat,sepanjang manusia mengembangkan amanah itu dengan baik.

Pada hakikatnya, semua aspek kehidupan manusia adalah amanah yang harus dipelihara dan di pertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t. Kerjaya, kuasa, pengetahuan, pangkat, hutang, anak, harta benda dan bumi tempat kita hidup adalah beberapa bahagian dalam aspek kehidupan manusia yang merupakan amanah daripada Allah kepada kita sebagai manusia. Oleh itu, amanah itu harus kita tunaikan dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya. Hukum menunaikan amanah adalah wajib, sedangkan mengkhianatinya adalah haram.

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya,dan(menyuruh kamu)apabila menetapkan hukum diantara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik- baiknya kepada kamu.Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat”(Maksud Al-Quran Surah An-Nisa ayat 58)

Ibnu Taimiyah dalam komentarnya mengenai ayat diatas menyebutkan:”Wahai para pemimpin Muslim,Allah memerentahkan kepada kamu untuk berlaku amanat dalam kepimpinan kamu,tempatkanlah sesuatu pada tempat dan tuannya,jangan pernah mengambil sesuatu kecuali Allah mengizinkannya,jangan berbuat zalim,berlaku adil adalah keharusan dalam menetapkan keputusan hukum diantara manusia.Semua ini adalah perentah Allah yang disampaikan dalam Al-Quran dan sunnah.Jangan melanggarnya kerana itu perbuatan dosa”

Banyak sekali amanah yang kita terima dan semua kelebihan yang ada pada kita adalah amanah. Allah s.w.t. hanya menyerahkan amanah kepada manusia kerana langit, bumi dan gunung menolak memikulnya. Namun dalam tubuh manusia terdapat syahwat, maka mereka berbuat zalim dengan mengkhianati amanah itu.

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit,bumi, dan gunung-gunung,maka semua enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya,dan dipikullah amanat itu oleh manusia.Sesungguh manusia itu amat zalim dan amat bodoh”(Maksud Al-Quran Surah Al-Ahzab ayat 72)

Dalam konteks yang lebih luas, perkataan amanah mempunyai maksud yang mendalam dan fundamental dalam Islam. Ia bukan sahaja mempunyai kaitan yang rapat dengan hakikat tugas kekhalifahan manusia, iman dan akhlak tetapi juga penuh dengan nilai- nilai etika yang dapat diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan pentadbiran negara.Demikianlah juga pengiktirafan Allah SWT kepada kepimpinan manusia merupakan satu bentuk amanah.Maka kepercayaan untuk menguruskan alam ini perlulah difahami dan dilaksanakan sepenuhnya oleh insan muslim. Oleh hal yang demikian, dalam usaha kita membuat pilihan antara seorang pemimpin yang baik dengan pemimpin yang kurang atau tidak baik, pertimbangan yang waras dan penuh tanggungjawab perlu diutamakan demi kepentingan bangsa dan agama serta untuk kepentingan kehidupan generasi yang akan datang.

Secara etimologi,amanah atau amanat bererti”kejujuran”atau “kepercayaan”Berdasarkan terminologinya,amanah adalah sesuatu yang diberikan kepada pehak lain sehingga menimbulkan rasa aman bagi pemberinya.Sebaliknya,pehak penerima memelihara amanah dengan baik

Mengikut Imam Ibnu Al Athir dalam kitabnya al nihayah fi gharib al hadith wa al athar, amanah membawa maksud ketaatan, ibadah, kepercayaan dan jaminan keselamatan. Sedangkan pakar tafsir Ibnu Kathir dalam karya legendanya tafsir ibnu kathir menafsirkan pengertian amanah sebagai ketaatan, kewajiban-kewajiban, melaksanakan perintah-perintah agama dan batasan-batasan hukum Islam. Syekh al Mubarakfuri mendefinisikan amanah sebagai segala sesuatu yang mewajibkan seseorang yang diberikan amanah untuk melangsaikannya.

Manakala Syekh Salim ‘Id al Hilali menghuraikan amanah sebagai satu perintah menyeluruh dan merangkumi segala hal berkaitan dengan perkara-perkara, yang dengannya, seseorang terbebani untuk menunaikannya atau dipercayainya. Amanah dalam pengertian ini meliputi seluruh hak-hak Allah atas seseorang seperti perintah-perintahnya yang wajib. Ia juga meliputi hak-hak orang lain, seperti benda-benda jagaan yang mesti dijaga dan disampaikan kepada pemiliknya termasuk lah yang berkaitan dengan agama dan jiwa manusia. Orang yang diberi amanah wajib menjaga dan menunaikan dengan sebaik-baiknya. Ia tidak boleh menyembunyikan, mengingkari atau menggunakannya tanpa landasan hukum syara’.

Syekh Husain bin Abdul Aziz menjelaskan banyak perkara yang berkaitan dengan urusan baik itu urusan dunia mahupun agama dapat dikategorikan sebagai amanah. Kaedah dan asas hukumnya adalah segala sesuatu yang seseorang terbebani dengannya, dan hak-hak yang telah diperintahkan  Allah agar ia menjaga dan menunaikan amanah itu baik yang berkenaan dengan agama, jiwa manusia, akal,harta dan maruah atau kehormatan diri.

Dari sudut realitinya, hari ini bukan senang untuk mencari pemimpin yang benar-benar sempurna, yang disayangi, dipercayai, berkeperibadian terpuji dan dapat dianggap ‘pemimpin sepanjang zaman’. Oleh yang demikian, dalam usaha kita membuat pilihan antara seorang pemimpin yang baik dengan pemimpin yang kurang atau tidak baik, pertimbangan yang waras dan penuh tanggungjawab perlu diutamakan demi kepentingan bangsa dan agama serta kehidupan generasi yang akan datang.

Al-Quran memberi petunjuk sama ada secara tersurat atau tersirat dalam berbagai aspek masalah kehidupan umat manusia, termasuk dalam menjawab soalan, ”Siapakah yang layak kita pilih”. Di dalam Al-Quran ditemui dua sifat utama yang harus dimiliki oleh seseorang yang memegang suatu jawatan yang berkaitan dengan hak-hak masyarakat. Kedua perkara ini harus diberi perhatian dalam menentukan pilihan kita. Hal ini dapat dilihat tentang ciri-ciri seorang pemimpin dalam masyarakat Islam sebagaimana yang diisyaratkan dalam Al Qur’an;

Sesungguhnya orang yang paling baik engkau tugaskan adalah yang kuat lagi dipercayai”’ demikian ucapan puteri Nabi Syuaib yang dirakamkan dalam Al-Quran surah Al-Qashash ayat 26.

Allah juga telah mengkhabarkan tentang ‘lfrit dari golongab jin,yang menperlihatkan kesanggupannya kepada Nabi Sulaiman untuk membawa singgasana Balqis.

Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgasana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu, sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercayai” (Surah An-Naml ayat 39).

Demikian juga ketika Allah SWT menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s ketika ia berkata kepada raja:”….Jadikanlah aku bendaharawan Negara (Mesir), sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan”(Surah Yusuf ayat 55).

Ini kerana dengan kekuatannya, Nabi Yusuf mampu melakukan pekerjaan dan tugas-tugas kenegaraannya dengan baik. Dengan sifat amanahnya, beliau akan meletakkan dirinya pada tempat semua perkara yang berkaitan dengan tugasnya. Malah dengan kekuatannya pula, beliau sanggup menunaikan kewajipan yang telah dibebani atasnya. Pada hakikatnya tidak mudah terhimpun dalam diri seseorang itu kedua sifat tersebut secara sempurna, tetapi kalau harus memilih, maka pilihlah yang paling sedikit kekurangannya, dan lakukan pilihan setelah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan yang terbaik.

Al-Quran dan Hadith menetapkan empat sifat yang harus dipenuhi para nabi yang pada hakikatnya adalah pemimpin umatnya.

Pertama, Al-Siddiq, bermaksud melaksanakan kebenaran serta kesungguhan dalam berucap dan berjuang bersungguh dalam melaksanakan tugasnya. Sifat yang kedua, Al-Amanah atau kepercayaan,yang menjadikan ia memelihara sebaik-baiknya apa yang diserahkan kepadanya baik amanah daripada Allah SWT mahupun orang yang dipimpinnya. Ketiga, Al-Fathanah iaitu kecerdasan yang mampu menghadapi dan menangani persoalan- persoalan semasa. Dan yang keempat, Al-Tabligh iaitu penyampaian yang jujur dan bertanggungjawab serta mengamalkan sikap keterbukaan.

Kadangkala kelayakan yang menjadi syarat utama dalam pemilihan peminpin itu disalahertikan dengan berbagai cara dan gaya, sampai kekuatan itu ditukar dengan kekayaan atau asas kekeluargaan dan sebagainya. Sedangkan kekuatan itu bermaksud kemampuan dan kelayakan sekalipun tidak berharta dan sebagainya.

Banyak sekali pengkhianatan dan penipuan, wang rasuah sudah bermaharajalela di tengah-tengah masyarakat. Tidak sedikit kesaksian bohong dilakukan oleh sesetengah pihak, atau hujjah palsu yang diutarakan oleh orang agama dan pelaksana undang-undang itu sendiri. Ini semua kerana anggota masyarakat hari ini sudah hilang panduan agamanya, lebih tegas lagi tidak ada keimanan dan keikhlasannya dengan Allah swt. dan tidak sedikit pula orang yang selalu menunda-nunda untuk menyampaikan hak orang lain. Semuanya ini adalah menyeleweng daripada amanah, bahkan termasuk juga khianat.

Dalam situasi yang sebegini sudah tentu dalam usaha untuk memilih calon wakil rakyat atau ketua menteri agak sulit memilih yang mana satu yang baik, cemerlang dan terbilang. Rasulullah s.a.w. memberi erti amanah dalam kepimpinan adalah kemampuan atau kepakaran dalam jawatan yang dipangku, bukan ukuran kekayaan semata-mata.

Contoh terbaik dalam memperihalkan aspek kepimpinan ini ialah menerusi cara yang telah diaplikasi oleh Rasulullah s.a.w. Kepimpinan Rasulullah s.a.w berakar umbi dalam jiwa masyarakat. Baginda s.a.w sayang dan kasih kepada umatnya, bukan hanya di bibir, tetapi dipamerkan pada perbuatan serta dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari.

Kita boleh menetapkan pertimbangan dalam memilih pemimpin tapi ingatlah selalu sabda Rasulullah yang bermaksud: “Siapa yang mengangkat seseorang untuk satu jawatan yang berkaitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui ada yang lebih baik, maka sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah, Rasul, dan kaum Muslimin.” HR al Hakim. Sebab itu ketakwaan sahaja tidak mencukupi tanpa memiliki kemampuan yang sebenar seperti apa yang berlaku ke atas Abu Zar Al-Ghifari r.a (sahabat Rasulullah saw yang sangat alim) yang pernah meminta jawatan daripada Nabi. Abu Zar tidak melengkapi syarat kelayakan untuk menyandang sesuatu jawatan dalam pentadbiran walaupun ia seorang yang sangat warak. Dalam hal ini Nabi saw bersabda yang bermaksud “ saya lihat kamu adalah seorang yang lemah (tidak berupaya) melaksanakan tugas dengan baik, aku meyayangimu seperti aku sayangi diriku sendiri” (Riwayat Abu Daud).

Justeru, Rasulullah s.a.w menolak permintaan Abu Zar kerana Baginda s.a.w mendapati beliau lemah dan tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab tersebut meskipun sebahagian ciri-ciri tersebut ada di dalam diri Abu Zar. Nabi saw bersabda yang bermaksud: ”Ya Abu Zar, aku lihat engkau seorang yang lemah dan aku suka engkau mendapatkan sesuatu yang aku sendiri menyukainya. Janganlah engkau memimpin dua orang dan janganlah engkau mengurus harta anak yatim”(Riwayat Muslim). Hal ini juga selaras dengan sabda Nabi yang lain: Apabila amanah dipersia- siakan, maka tunggulah masa kehancuran. Ketika ditanya “bagaimana mensia-siakannya?”, Nabi menjawab: Apabila jawatan pemimpin diserahkan kepada orang yang tidak layak”.

Hal ini perlu ditekankan kerana salah satu syarat utama sebagai seorang pemimpin adalah mesti daripada kalangan mereka yang benar-benar layak dengan memiliki kelebihan dari sudut keilmuan, fizikal, keterampilan, kewibawaan, berakhlak mulia, berkemahiran dalam berkomunikasi, bakat dan takwa kepada Allah. Ini memandangkan berat dan besarnya tangunggjawab yang akan dipikul kelak.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah telah menceritakan tentang peristiwa Nabi Ibrahim diangkat menjadi pemimpin. Allah berfirman yang bermaksud: “Aku (Allah) akan mengangkat engkau sebagai pemimpin”. Mendengar hal tersebut, Nabi Ibrahim a.s telah memohon kepada Allah agar penghormatan yang diberikan kepadanya dikurniakan juga kepada anak cucu baginda Nabi Ibrahim a.s.

Bagaimanapun, Allah s.wt telah menggariskan satu syarat iaitu, “ Perjanjian – Ku ini tidak akan dikurniakan kepada orang-orang yang berbuat aniaya.” Ini bermakna, walaupun kekuasaan itu dapat diwariskan kepada anak cucu oleh ibubapanya, ia hanya dibenarkan berdasarkan sifat-sifat terpuji, iaitu menegakkan keadilan.

Terdapat dua perkara asas yang sewajarnya patut difahami apabila membicarakan ayat di atas. Pertama, kepimpinan menurut pandangan al-Quran bukan sekadar kontrak atau perjanjian sosial antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah s.w.t. Dalam ertikata yang lain, ia merupakan satu amanah daripada Allah s.w.t yang perlu ditunaikan sebaik-baik mungkin. Dan perkara kedua yang dinyatakan di dalam ayat Al-Quran di atas, kepimpinan itu sifatnya adalah keadilan kerana ia berlawanan dengan penganiayaan sebagaimana yang disyaratkan dalam ayat tersebut.

Iman Ahmad Ibnu Hanbal ketika ditanya tentang dua orang yang dicalunkan untuk memimpin satu pasukan di mana yang pertama kuat tapi bergelimang dalam dosa, manakala yang kedua kuat agamanya tetapi lemah karektor dirinya dalam memimpin, maka beliau menjawab: ”Orang pertama, dosanya ditanggung sendiri sedangkan kekuatannya dapat menbena keutuhan negara dan kepentingan umat. Manakala orang kedua yang kuat memegang teguh ajaran agamanya hanya memberikan manafaat untuk dirinya sahaja, sedangkankan kelemahannya menjadi petaka bagi orang yang dipimpinnya.” Ini kerana kepentingan untuk orang ramai lebih diutamakan daripada kekurangan akhlaq dan moralitinya.

Jawatan merupakan sebahagian amanah yang perlu diberi kepada orang yang sesuai dan berkeupayaan menjalaninya. Pemimpin yang mementingkan diri sendiri tidak ada dalam kamus kelayakan dipilih sebagai pemimpin. Kepimpinan sebenarnya adalah amanah bukan kekuasaan, kepimpinan adalah tugas dan tanggungjawab bukan keistimewaan.

Dalam Al Qur’an, ada perintah menunaikan amanah kepada pemiliknya dan disusuli dengan perintah menetapkan keputusan yang adil. Kemudian dilanjutkan dengan perintah taat kepada Allah, Rasul dan pemerintah (ulil amri), yakni mereka yang memiliki autoriti mengurus segala hal ehwal rakyat (Al Nisa’: 48). Urutan huraian ayat ini menjadi petunjuk bahawa jawatan serta autoriti yang menyertainya merupakan amanah yang bersumber dari Allah, menerusi penglibatan orang ramai dan masyarakat.

Amanah adalah salah satu prinsip kepimpinan. Baginda s.a.w antara lain disebutkan memiliki empat ciri kepimpinan iaitu shiddiq- “jujur”, fathanah -“cerdas” dan berpengetahuan”, amanah -“amat dipercayai”, dan tabligh-“menyampaikan”. Malah, dalam sebuah hadith Nabi s.a.w, menyebut istilah amanah dan hubungkaitnya dengan aspek kepimpinan yang bermaksud:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan mestilah bertanggungjawab di atas kepimpinan kamu. Seorang pemimpin (ketua) yang memimpin orang ramai adalah bertanggung- jawab di atas kepimpinannya. Isteri adalah pemimpin dan bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga suaminya. Anak bertanggungjawab ke atas urusan ibu bapanya. Hamba bertanggungjawab atas harta tuannya. Ketahuilah! Sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas pemimpinn kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam satu peristiwa di Saqifah Bani Saidah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, Saidina Abu Bakar pada awalnya tidaklah begitu berminat untuk dilantik sebagai khalifah, namun ditinjau dari segi kelayakannya, maka dialah yang paling sesuai dipilih sebagai khalifah selain pertimbangan beliau rapat pula dengan Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya isyarat sudah diberikan oleh Rasulullah ketika melantik Abu Bakar menjadi imam sewaktu baginda s.a.w sakit. Betapa tidak minatnya Abu Bakar untuk dilantik sebagai pemimpin umat Islam dilihat ketika ia menyampaikan pidato pembaitannya. Abu Bakar menyatakan:

“Aku telah kamu angkat sebagai pemimpin kamu padahal sebenarnya aku membencinya. Demi Allah, sesungguhnya aku berharap agar jawatan ini dipegang oleh salah seorang antara kamu. Jika kamu membebani tugas kepadaku sebagaimana kepada rasulullah s.a.w, maka aku tidak sanggup memikulnya kerana Rasulullah s.a.w seorang hamba yang diutamakan oleh Allah dengan wahyu dan dijamin keselamatan nya. Sedangkan aku hanyalah manusia biasa yang tidak lebih baik daripada kamu. Maka biasa bantulah aku dan taatilah aku jika aku di jalan benar. Tetapi jika aku menyimpang, maka luruskanlah aku.”

Jelas bahawa nilai asas kepimpinan itu adalah amanah. Ini kerana amanah mengandungi aspek pertanggungjawaban sebagai elemen utamanya. Iktibar dari kisah Nabi Harun ketika diserah sementara memimpin Bani Israel ketika Nabi Musa a.s berkhalwat di Gunung Sinai disebut oleh al-Quran sebagai seorang khalifah. Sebagai seorang khalifah ia memegang amanah yang dasar hukumnya adalah penugasan dan pesan-pesan Nabi Musa sendiri. Ketika Nabi Musa kembali melihat sebahagian umatnya telah menyeleweng dari ajarannya dengan menyembah patung lembui emas, lantas Nabi Musa marah dan meminta pertanggungjawaban daripada Nabi Harun.

Musa berkata, “Hai Harun, apa yang mencegah kamu ketika kamu melihat mereka (umat Bani Israel) telah sesat, sehingga kamu telah (sengaja) melanggar perintahku?” Harun menjawab: “Hai putera ibuku, jangan lah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku: sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan berkata (kepadaku: kamu telah memecah Bani Israel dan kamu tidak memelihara amanatku” (Surah Taha: 92-94).

Di dalam kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal jilid 3 halaman 154 ada sebuah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidak ada iman (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak ada kepercayaan ( beramanah ) baginya. Dan tidak ada agama ( yang sempurna ) bagi orang yang sama sekali tidak menepati janji baginya.” Ahmad dan Baihaqi.

Namun demikian, hari ini banyak di kalangan mereka yang memegang kendali kekuasaan masih diselubungi dengan amalan rasuah dan nepotisme. Walaupun undang-undang sudah ditegakkan dan ada yang sudah dijatuhkan hukuman namun ia tidak sekali-kali menakutkan mereka. Mereka tidak mahu mempedulikan amanah itu, dan sudah tidak lagi mahu menegakkan kebenaran.

Jika keadaan sudah seperti ini, maka di manakah yang namanya `takut’ kepada Allah? Di manakah letaknya mewaspadai diri terhadap Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata? Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 42 – 43 bermaksud:

Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang- orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak. Mereka datang bergegas-gegas memenuhi panggilan dengan mengangkat kepalanya sedang mata tidak berkedip-kedip dan hati mereka kosong”.

Janganlah kita termasuk golongan orang-orang yang disifatkan oleh Allah dengan firman-Nya dalam surah al-Hijr ayat 3 yang bermaksud: “Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang- senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka)”.

Bagi mereka yang teringin sangat untuk mendapatkan jawatan itu mereka perlu diingati dengan beberapa hadith Rasulullah saw yang bermaksud “ tidak ada seorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam sekiranya dia mati sedangkan dia ada mengkhianati mereka melainkan Allah swt. haramkan keatasnya syurga (Riwayat Syaikhan). Dan lagi sabdanya yang bermaksud “siapa yang ditugaskan dengan sebarang kerja yang dibayar gajinya tetapi masih mendapatkan punca lain maka itulah gulul (perbuatan penipuan dan samun atau risywah) namanya”. Dalam sebuah hadith yang lain sabdanya lagi yang bermaksud “…..kita tidak akan melantik untuk memegang jawatan itu , mereka yang meminta (ingin) jawatan tersebut (apa lagi berebut- rebut) untuk mendapatkannya (HR Syaikhan).

Dalam negara kita, untuk menjana keutuhan Islam dan kekuatan umat, adalah menjadi tanggungjawab orang yang memegang amanah kuasa dan pangkat. Jika kalangan umat Islam yang diberi kuasa dan pangkat terbukti kotor dengan rasuah, maka umat lain di negara ini akan melihat dan menilai betapa kepimpinan negara itu tidak memiliki kredibiliti untuk dipertanggungjawab sebagai pemegang amanah bangsa.

Hal demikian, dengan sendirinya mencemar Islam. Mereka bukan sahaja pengkhianat kepada rakyat secara umumnya, malah dengan kelakuan jahat seperti rasuah, suka mengampu, mereka telah mengakibatkan agama Islam juga tercela. Umat Islam harus menyokong pemimpin yang tegas bertekad untuk membasmi pengamal rasuah tanpa mengira siapa pun mereka itu.

Sikap suka mengampu dan melakukan rasuah sering dilihat muncul daripada kalangan ahli politik dan kehakiman disebabkan keserakahan mereka terhadap kuasa sebagai alat kepentingan diri. Mereka melihat kerusi jawatan politik atau jawatan yang berkaitan dengan bidang kehakiman itu sebagai ‘kerusi emas’ yang menjelmakan keseronokan kuasa, kekayaan dan memiliki kekebalan untuk ‘berkhianat’.

Umat Islam juga harus berani menegur dan membongkar segala penyelewengan yang berunsur rasuah. Ini adalah jihad sosial yang sangat utama demi keadilan yang dituntut oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w memberi amaran keras dalam sabdanya yang bermaksud :

“Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah danmerekayangmenjadiorang tengah(perantaraan)keduanya.”(Riwayat Ahmad)

Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka

Bagi manusia beriman, hadis di atas cukup menakutkan. Bagaimanapun, bagi mereka yang imannya sudah diselaputi oleh keserakahan dunia, sabda Rasulullah s.a.w itu tidak akan menjentik ke hati nurani mereka.

Realiti hari ini, ramai di kalangan pelahap kuasa dan pangkat menonjol diri untuk merebut kuasa dan pangkat. Di dalam masyarakat yang mana amalan rasuah dan ampu-mengampu tumbuh subur dan membiak, bukan tanggungjawab melalui kuasa dan pangkat yang diperhitungkan tetapi keuntungan yang diberi oleh kuasa dan pangkat.

Hal ini dapat dikaitkan dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa sahaja yang telah kami lantik untuk memegang sesuatu jawatan atau kerja dan kami telah tetapkan pendapatannya atau gaji maka apabila ia mengambil lebih dari apa yang ditetapkan itu dikira sebagai satu penipuan dan korupsi.”

Dalam satu kisah pernah diceritakan kepada Ibnu Umar bahawa sekumpulan manusia apabila berdepan dengan pembesar-pembesar mereka melahirkan kata pujian atau sanjungan dan bila mereka berpaling (keluar) mereka bercakap lain. Kata Ibnu Umar, “kami kira sikap tersebut adalah bermuka-muka (nifaq)”. Dalam satu hadisnya yang lain Nabi SAW memberi arahan supaya mencurahkan tanah ke atas muka mereka yang suka mengampu (Maksud Hadis Riwayat Muslim).

Pengamalan rasuah atau ampu-mengampu menandakan seseorang itu kurang iman dan ketaqwaannya terhadap Allh SWT. Walaupun diketahuinya rasuah itu salah atau tabiat suka mengampu itu bersalahan dengan syariat tetapi ia tetap dilakukan dengan memberikan alasan-alasan tersendiri. Selain daripada itu, faktor-faktor seperti suka menjalani hidup melebihi pendapatan, suka hidup mewah, suka berjudi dan berhutang menyebabkan seseorang itu terjerumus ke lembah perbuatan yang amat hina dan jijik itu.

Jelas sebab atau faktor utama berlakunya perlakuan yang sedemikian ialah sikap mengagong dan mementingkan kekayaan, kedudukan dan kuasa daripada ketinggian moral, akhlak dan keilmuan. Ini menyebabkab timbulnya sifat-sifat hanya mementingkan diri, tamakkan kebendaan dan berlumba-lumba untuk mencari pangkat, keistimewaan serta kemewahan hidup.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang memberi syafaat (menolong) saudaranya dengan sesuatu syafaat (pertolongan), dan saudaranya itu memberikan kepadanya ganjaran atau hadiah dan ia menerimanya, maka ia telah membuka satu pintu daripada pintu-pintu riba” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Dalam hadis di atas, Nabi s.a.w menumpukan kepada perbuatan memberi syafaat atau pertolongan, namun ia dibalas dengan pemberian hadiah di atas pertolongan tersebut serta diterimanya, maka Nabi s.a.w membuat perbandingan seolah-olah apa yang diterimanya itu seperti membuka ruang yang luas daripada bentuk- bentuk riba, iaitu untuk menggambarkan perbuatan keji yang besar dan haram di sisi agama sebagaimana amalan riba juga di haramkan dan keji sifatnya. Namun begitu, hakikat dosa dan azab sebenar Allah sahaja yang lebih mengetahuinya.

Dalam konteks yang lebih khusus dapat ditumpukan kepada seseorang yang mempunyi pengaruh atau jawatan yang tinggi atau yang mempunyai kuasa atau mana-mana pegawai yang berurusan dengan sesiapa sahaja serta ia didatangi oleh orang lain atau masyarakat untuk meminta pertolongan daripadanya sedangkan pertolongan tersebut merupakan tugas atau tanggungjawab yang sememangnya ia mesti ditunaikan.

Oleh : Mohd Shauki Abd Majid

Translate »