Benarkah bahawa kelemahan sesetengah orang Islam ialah mereka begitu mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang dibuat atas nama Islam.

Apabila mereka sudah menyakini atau sudah percaya, mereka kerap menjadi fanatik terhadap kepercayaan ini sehingga sukar bagi kita umat Islam membawa mereka kembali ke jalan yang benar dan dituntut oleh Islam.

Lebih daripada itu mereka bersikap tertutup dalam menerima pendapat dan buah fikiran yang dilihatnya berasal dari golongan orang lain. Mereka menilai anatara benar dan salah itu berdasarkan atas perasaan persamaan suku, golongan dan aliran.

Syak wasangka, curiga mencurigai sesama muslim, kekerasan dan pengkhianatan menjadi amalan mereka. Akibatnya, mereka terasing, menjauhkan diri daripada percaturan dunia luar.

Tuduhan membawa kerajaan zalim, kafir, sekular dan membandingkan kerajaan ini sama seperti kerajaan Firaun di zaman Nabi Musa memperlihatkan betapa taksubnya golongan tersebut sehingga menafikan semua kebaikan yang telah dilakakukan kerajaan. Meskipun Rasulullah saw telah memberi garis-garis dalam membentuk pemikiran dengan anjuran “agar melihat apa yang dibicarakan dan jangan melihat siapa yang berbicara”, namun kata-kata yang berharga itu tidaklah mampan bagi mereka yang dihinggapi penyakit taksub atau fanatik melulu.

Keterbukaan yang boleh membawa manusia luas dalam mengharungi cakerawala pandangan, telah mereka singkirkan. Mereka menganalisis masalah dengan lebih mendahului “siapa” dan bukan “apa”.

“Kita seharusnya bersikap kritis dalam menghadapi kemajuan. Justeru, Rasulullah saw sendiri lebih jauh menekankan terimalah kebenaran itu dari mana pun ia datang, walaupun dari seorang fasik atau seorang kafir.”

“Inilah adalah suatu petanda bahawa bagaimana kelemahan yang ada pada diri seseorang atau golongan, dari satu segi tertentu ia juga memiliki kelebihan.”

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Buka golongan umatku orang yang mengajak kepada fanatisme, bukan termasuk umatku orang yang berperang kerana fanatisme dan bukan tergolong umatku orang yang mati disebabkan fanatisme.”

Mereka yang taksub itu walau setinggi mana pun pengetahuan mereka, sebenarnya mereka buta. Sebahagian besar mereka adalah orang-orang yang tidak suka mempergunakan akalnya dengan baik dan tidak memahami makna dan isi ajaran Islam.

Secara lahiriah mereka beragama tetapi hakikatnya adalah kaum pengikut secara taklid yang tidak mengerti hendak dibawa kemana oleh pemimpin-pemimpinnya, sekalipun kearah kesesatan pasti mereka mengikutinya. Sifat seperti ini sememangnya telah diasuh sebegitu rupa, oleh pemimpin-pemimpin mereka supaya pengikutnya berfanatik secara membabi buta.

Sepatutnya, seseorang muslim itu patut bersikap terbuka, ingin belajar dan mengubah sikap apabila mengetahui kesalahan sesuatu fahaman mereka tanpa rasa angkuh dan sombong. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang terbunuh di bawah panji-panji kesesatan, ia menyeru ‘asabiyah’ atau menolong ‘asabiyah’, maka bangkainya itu adalah bangkai jahiliah.”

Hadis di atas menjelaskan bahawa perasaan taksub dan asabiyah atau dengan kata lain fanatik adalah diharamkan dalam agama Islam.

Punca fanatisme melulu adalah disebabkan kejahilan ilmu pengetahuan. Kejahilan mempunyai implikasi buruk terhadap kehidupan. Ia boleh menyebabkan kebinasaan kepada seseorang individu, masyarakat dan Negara.

Muadz bin Jabal pernah berkata: “Pelajarilah ilmu pengetahuan, sebab mempelajarinya kerana Allah SWT adalah tanda takut kepadanya, menuntutnya adalah ibadat, menelaahnya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah, memberikannya kepada ahlinya adalah kebaktian. Dialah kawan dalam masa kesepian dan teman pada masa kesunyian. Dialah petunjuk jalan kepada agama dan pendorong kesabaran pada masa kepayahan dan kesempitan. Allah SWT mengangkat sesetengah kaum kerana ilmu pengetahuannya, maka dijadikannya pemimpin, penghulu dan petunjuk jalan kebaikan yang diikuti oleh orang ramai. Dengan ilmu pengetahuanlah manusia mentaati Allah SWT. Memperhambakan diri kepada-Nya, mengesakan-Nya dan membesarkan-Nya.”

“Islam memerangi kejahilan kerana akibat buruknya ia melahirkan manusia bersifat taksub.

Sifat taksub boleh menyebabkan sesuatu kaum tidak berlaku adil antara satu sama lain.”

Ini juga akan memecah-belahkan umat Islam dan memutuskan hubungan silaturrahim sesame sendiri. Malah kesan fanatisme (secara membabi buta) juga boleh menjejaskan keutuhan kerajaan Malaysia. Ia akan menakutkan orang-orang bukan Islam malah hak dan keupayaan kita untuk memerintah dengan adil akan terjejas dan segala usaha untuk melaksanakan pembangunan Islam juga turut membantut.

Catatan : Ibnu Majid

Translate »