Syeikh Nawawi al-Bantani pernah disamakan kebesarannya dengan tokoh ulama klasik mazhab Syafiie, Imam Nawawi (m. 676 H/l277 M). Setelah banyak dan lama mensyarah kitab-kitab bahasa Arab dalam pelbagai disiplin ilmu yang sangat banyak pula, maka beliau digelar Imam Nawawi ats-Tsani, ertinya Imam Nawawi Yang Kedua.
Orang pertama memberi gelaran demikian ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Gelaran yang diungkapkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam seuntai gubahan syairnya itu akhirnya diikuti oleh semua orang yang menulis riwayat ulama yang berasal dari Banten itu. Sedemikian banyak ulama dunia Islam sejak sesudah Imam Nawawi sampai sekarang ini belum ada orang lain yang mendapat gelaran Imam Nawawi ats-Tsani, kecuali Syeikh Nawawi (Syeikh al-Bantani), ulama kelahiran Banten ini.
Melalui karya-karyanya yang tersebar di pesantren-pesantren (pondok-pondok) tradisional yang sehingga sekarang masih banyak dikaji, nama Syeikh al-Bantani ini seolah-olahmasih hidup dan terus menyertai umat memberi dan menyebarkan ajaran Islam yang maha suci ini. Padasetiap majlis ta’lim, karyanya selalu dijadikan rujukan utama dalam pelbagai sumber ilmu; daripada ilmu tauhid, fiqh, tasawwuf sehinggalah tafsir. Karya-karyanya sangat berjasa dalam mengarahkan arus perdana keilmuan yang dikembangkan di lembaga-Iembaga pesantren yang berada di bawah naungan NU (Nahdlatul Ulama).
Di kalangan komuniti pesantren, Syeikh Nawawi tidak hanya dikenal sebagai penulis kitab, bahkan beliau juga dianggap sebagai pembimbing sejati (the great scholar). Syeikh Nawawi telah banyak berjasa meletakkan landasan teologis dan batasan-batasan etis tradisi keilmuan di lembaga pendidikan pesantren. Beliau turut membentuk keintelektualan tokoh-tokoh para pendiri pesantren yang sekali gus juga banyak menjadi tokoh pendiri organisasi Nahdlatul Ulama (NU). Jika Syeikh Hasyim Asyari sering disebut sebagai tokoh yang tidak boleh dikesampingkan dari sejarah berdirinya NU, maka Syekh Nawawi adalah guru utamanya. Di celah-celah pengajian kitab-kitab karya gurunya ini, seringkali Syeikh Hasyim Asyari bernostalgia bercerita tentang kehidupan Syekh Nawawi, kadangkala dalam mengenang allahyarham gurunya itu sehingga menitiskan air mata kerana besarnya kecintaan beliau terhadap Syekh Nawawi.
Sungguhpun Syeikh Nawawi al-Bantani diakui alim dan arif dalam semua bidang ilmu keislaman, namun dalam dunia at-thariqah ash-shufiyah, gurunya Syeikh Ahmad Khathib Sambas tidak melantik beliau sebagai seorang mursyid Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, tetapi yang dilantik ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, iaitu ayah saudara kepada Syeikh Nawawi al-Bantani, yang sama-sama menerima tarekat itu daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Apakah sebabnya terjadi demikian, hanya diketahui oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Nawawi al-Bantani mematuhi peraturan yang diberikan itu, sehingga beliau tidak pernah mentawajuh/membai’ah seseorang muridnya walaupun memang ramai murid beliau yang menjadi ulama besar yang berminat dalam bidang kesufian.
Syekh Nawawi al Bantani memiliki nama lengkap Abu Abd al-Mu’ti Muhammad Nawawi ibn Umar al-Tanara al-Jawi al-Bantani. Beliau adalah anak sulung seorang ulama Banten, Jawa Barat. Daripada silsilahnya, Syeikh Nawawi merupakan keturunan kesultanan yang ke-12 daripada Maulana Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati, Cirebon), iaitu keturunan daripada putera Maulana Hasanuddin (Sultan Banten I) yang bemama Sunyararas (Tajul ‘Arsy). Nasabnya dikatakan bersambung dengan Nabi Muhammad s.a.w melalui Imam Jaafar as-Siddiq, Imam Muhammad al-Baqir, Imam Ali Zainal Abidin, Saidina Hussein, Fatimah al-Zahra.
Beliau lebih dikenali dengan panggilan Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani. Dilahirkan di Kampung Tanara, Serang, Banten pada tahun 1815 M/1230 H. Pada 25 Syawal 1314 H/1897 M. Syeikh Nawawi menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 84 tahun. Jenazahnya dimakamkan di Ma’la, berhampiran makam Siti Khadijah, Ummul Mukminin, isteri Baginda Rasulullah s.a.w. Sebagai tokoh kebanggaan umat Islam di Jawa, khususnya di Banten, umat Islam di kampung Tanara, Tirtayasa, Banten, pada setiap tahun (hari Jumaat terakhir bulan Syawal) selalu diadakan acara houl untuk memperingati jejak peninggalan Syekh Nawawi al-Bantani.
Ketika kecil, beliau sempat belajar daripada ayahnya sendiri, dan di Mekah belajar dengan beberapa ulama terkenal pada zaman itu, di antara mereka yang dapat dicatat adalah sebagai berikut: Syeikh Ahmad an-Nahrawi, Syeikh Ahmad ad-Dumyati, Syeikh Muhammad Khathib Duma al-Hanbali, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Maliki, Syeikh Zainuddin Aceh, Syeikh Ahmad Khathib Sambas, Syeikh Syihabuddin, Syeikh Abdul Ghani Bima, Syeikh Abdul Hamid Daghastani, Syeikh Yusuf Sunbulawani, Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Yusuf bin Arsyad al-Banjari, Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani, Syeikh Mahmud Kinan al-Falimbani, Syeikh Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani.
Dipercayai beliau pergi ke Mekah dalam usia 15 tahun dan seterusnya setelah menerima pelbagai ilmu di tanah suci, beliau meneruskan pelajarannya ke Syria dan Mesir. Setelah keluar dari Mekah kerana menuntut ilmu yang tidak diketahui berapa lamanya, lalu beliau kembali lagi ke Mekah. Keseluruhan masa beliau tinggal di Mekah dari mulai belajar, mengajar dan mengarang hingga sampai kemuncak kemasyhurannya lebih daripada setengah abad lamanya. Diriwayatkan bahawa setiap kali beliau mengajar di Masjidil Haram, sentiasa dikelilingi oleh pelajar yang tidak kurang daripada 200 orang. Kerana sangat terkenalnya beliau pernah diundang ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk memberi ceramah atau fatwa-fatwa dalam beberapa perkara tertentu.
Belum jelas tahun berapa beliau diundang oleh ahli akademik di Universiti al-Azhar itu, namun difahamkan bahawa beliau sempat bertemu dengan seorang ulama terkenal di al-Azhar (ketika itu sebagai Syeikhul Azhar), iaitu Syeikh Ibrahim al-Baijuri (meninggal 1860 Masihi) yang sangat tua dan lumpuh. Dipercayai juga bahawa Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikhul Azhar yang terkenal itu termasuk salah seorang di antara guru kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.
Setiap karyanya yang sering ditulis dapat dilihat bahawa atas desakan dan permohonan para sahabatnya. Kitab-kitab yang ditulis pula sebahagian besar adalah kitab-kitab komentar (syarah) daripada karya-karya ulama sebelumnya yang mahsyur dan dianggap sukar untuk difahami. Alasan menulis syarah selain kerana permintaan orang lain, Syeikh Nawawi juga berkeinginan untuk mengabadikankan karya ulama terdahulu yang sering mengalami perubahan (ta’rif) dan pengurangan.
Dalam menyusun karyanya, Syeikh Nawawi sering berdiskusi dan meminta pandangan ulama-ulama besar lainnya, sebelum mencetak naskhahnya, terlebih dahulu dibaca oleh mereka. Dilihat dari pelbagai tempat kota penerbitan dan seringnya mengalami cetak ulang, maka dapat dianggap bahawa karyanya cepat tersiar ke pelbagai penjuru dunia hingga ke Mesir dan Syria. Oleh sebab karyanya yang tersebar luas dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami dan padat isinya ini, nama Syeikh Nawawi termasuk dalam kategori salah seorangulama besar abad ke-14 H/19 M. Kerana kemasyhurannya, beliau mendapat gekaran A ‘yan ‘Ulama’ al-Qarn aI-Ra M’ ‘Asyar Li al-Hijrah, Al-Imam al-Mul1aqqiq wa al-Fahhamah al-Mudaqqiq, dan Sayyid ‘Ulama al-Hijaz.
Kesibukannya dalam menulis membuatkan Syeikh Nawawi berdepan dengan kesulitan mengatur waktu sehingga amat jarang untuk mengajar murid-murid baharu, malah beliau sering menugaskan murid-murid senior untuk membantunya. Cara ini kemudian ditiru sebagai kaedah pembelajaran di beberapa pesantren di pulau Jawa. Di sana, para murid baharu dianjurkan agar menguasai beberapa ilmu dasar terlebih dahulu sebelum belajar langsung daripada Syeikh agar proses pembelajaran dengan Syeikh tidak akan mengalami kesukaran.
Diriwayatkan bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani mengajar di Masjidil Haram menggunakan bahasa Jawa dan Sunda ketika memberi keterangan terjemahan kitab-kitab bahasa Arab. Dipercayai juga ulama Banten yang terkenal itu kurang menguasai bahasa Melayu yang lebih umum dan luas digunakan pada zaman itu. Oleh sebab kurang menguasai bahasa Melayu, maka tidak ramai muridnya yang berasal dari luar pulau Jawa (seperti Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu dan Patani). Bagaimanapun, Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa beliau menerima satu amalan wirid daripada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani, dan Syeikh Abdul Qadir itu menerimanya daripada Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II) sebenarnya bukan peringkat murid kepada Syeikh Nawawi al-Bantani tetapi adalah peringkat sahabatnya. Syeikh Nawawi al-Bantani (1230 Hijrah/1814 Masihi) lebih tua sekitar empat tahun saja daripada Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II, 1234 Hijrah/1817 Masihi). Murid Syeikh Nawawi al-Bantani di pulau Jawa yang menjadi ulama terkenal agak ramai, di antara mereka ialah Kiyai Haji Hasyim Asy’ari, Pengasas Pondok Pesantren Tebuireng, Jawa Timur, bahkan beliau ini dianggap sebagai bapa ulama Jawa dan termasuk pengasas Nahdhatul Ulama. Murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang lain, juga terkenal, termasuklah Kiyai Haji Raden Asnawi di Kudus, Jawa Tengah; Kiyai Haji Tubagus Muhammad Asnawi di Caringin, Purwokerto, Jawa Barat; Syeikh Muhammad Zainuddin bin Badawi as-Sumbawi, Syeikh Abdus Satar bin Abdul Wahhab as-Shidqi al-Makki, Sayid Ali bin Ali al-Habsyi al-Madani dan ramai lagi.
Salah seorang cucunya yang juga mendapat pendidikan sepenuhnya daripada beliau ialah Syeikh Abdul Haq bin Abdul Hannan al-Jawi al-Bantani. Pada halaman pertama Al-Aqwalul Mulhaqat, Syeikh Abdul Haq al-Bantani menyebut bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani adalah orang tuanya (Syeikhnya), orang yang memberi petunjuk dan pembimbingnya. Pada bahagian kulit kitab pula beliau menulis bahawa beliau adalah `sibthun’ (cucu) an-Nawawi Tsani. Selain para tokoh yang dinyatakan di atas, begitu ramai murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang memimpin secara langsung barisan jihad di Celegon melawan penjajahan Belanda pada tahun 1888 Masihi. Di antara mereka yang dianggap sebagai pemimpin pejuang Celegon ialah Haji Wasit, Haji Abdur Rahman, Haji Haris, Haji Arsyad Thawil, Haji Arsyad Qasir, Haji Aqib dan Tubagus Haji Ismail. Semua mereka adalah murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang lama menunut ilmu di Mekah.
Seiring dengan prinsip pola pemikiran yang dibangunkan oleh beliau, dalam bidang teologi Syeikh Nawawi mengikuti aliran teologi Imam Abu Hasan al-Asyari dan Imam Abu Manshur al-Maturidi. Sebagai pengikut Asyariyah, Syekh Nawawi banyak memperkenalkan konsep sifat-sifat Allah. Menurut beliau, seorang Muslim harus mempercayai bahawa Allah memiliki sifat yang dapat diketahui daripada perbuatan-Nya, kerana sifat Allah adalah perbuatan-Nya. Kemudian mengenai dalil naqli dan ‘aqli, menurutnya harus digunakan bersama-sama, tetapi kadangkala apabila terjadi pertentangan di antara kedua-duanya, maka naql harus didahulukan. Kewajipan seseorang untuk meyakini segala hal yang berkaitan dengan keimanan terhadap keberadaan / kewujudan Allah s.w.t hanya dapat diketahui oleh naql, bukan daripada aql.
Manakala dalam bidang fiqh, tidak berlebihan jika Syeikh Nawawi dikatakan sebagai “obor” mazhab Imam Syafie. Syekh Nawawi berhasil memperkenalkan mazhab Syafie secara sempurna.
Dalam bidang tasawwuf, Syeikh Nawawi dengan kegiatan intelektualnya mencerminkan bahawa beliau bersemangat menghidupkan disiplin ilmu-ilmu agama. Dalam bidang ini beliau memiliki konsep yang identik dengan tasawwuf. Daripada karyanya saja, Syeikh Nawawi terpamer sebagai seorang sufi pintar / bijak, beliau banyak menghasilkan tulisan di bidang tasawwuf yang dapat dijadikan sebagai rujukan bagi seseorang sufi. Brockleman, seorang penulis / sarjana Belanda mencatat bahawa terdapat ada 3 karya Syeikh Nawawi yang dapat mewakili pandangan tasawwufnya, iaitu Misbah al-Zulam, Qami’ al-Thugyan dan Salalim al-Fudala. Dalam menghasilkan kitab-kitab tersebut, Syeikh Nawawi banyak merujuk kitab Ihya ‘Ulumuddin al-Ghazali. Bahkan kitab ini merupakan rujukan penting bagi setiap tarekat.
Ketasaufan beliau dapat dilihat dari pandangannya terhadap hubungan antara amalan tarekat, syariat dan hakikat sangat erat. Untuk memahami lebih mudah daripada keterkaitan ini, Syeikh Nawawi mengibaratkan syariat dengan sebuah kapal, tarekat dengan lautnya, dan hakikat merupakan intan dalam lautan yang dapat diperolehi dengan kapal belayar di laut. Dalam proses pengamalannya, syariat (hukum) dan tarekat merupakan awal daripada perjalanan (ibtida’i) seorang sufi, sementara hakikat adalah hasil dari pada syariat dan tarekat.
Pandangan ini menjelaskan bahawa Syekh Nawawi tidak menolak amalan-amalan tarekat selagi tarekat tersebut tidak mengajarkan hal-hal yang bertentangan dengan ajaran Islam. Paparan konsep tasawwufnya ini jelas keteguhannya dengan berpijak / berasaskan terhadap pengalaman kerohanian ulama salaf. Tema-tema yang digunakan tidak jauh daripada rumusan ulama tasawwuf klasik. Model paparan tasawwuf inilah yang membuat Syeikh Nawawi harus dibezakan dengan tokoh sufi Indonesia lainnya. Beliau dapat dibezakan dari ciri-ciri tipologi tasawwuf Indonesia seperti Hamzah al Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdur Rauf Singkel dan sebagainya.
Berapa banyak karya Syeikh Nawawi al-Bantani yang sebenarnya belum diketahui dengan pasti. Setakat ini diketahui 44 judul karya Syeikh Nawawi al-Bantani ditulis dalam bahasa Arab. Belum ditemui karyanya dalam bahasa Melayu. Sebahagiannya adalah seperti yang berikut:
1. Targhibul Musytaqin, selesai Jumaat, 13 Jamadilakhir 1284 Hijrah/1867 Masehi. Cetakan awal Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah.
2. Fat-hus Shamadil `Alim, selesai awal Jamadilawal 1286 Hijrah/1869 Masehi. Dicetak oleh Mathba’ah Daril Kutubil Arabiyah al-Kubra, Mesir 1328 Hijrah.
3. Syarah Miraqil `Ubudiyah, selesai 13 Zulkaedah 1289 Hijrah/1872 Masehi. Cetakan pertama Mathba’ah al-Azhariyah al-Mashriyah, Mesir 1308 Hijrah.
4. Madarijus Su’ud ila Iktisa’il Burud, mulai menulis 18 Rabiulawal 1293 Hijrah/1876 Masihi. Dicetak oleh Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, akhir Zulkaedah 1327 Hijrah.
5. Hidayatul Azkiya’ ila Thariqil Auliya’, mulai menulis 22 Rabiulakhir 1293 Hijrah/1876 Masihi, selesai 13 Jamadilakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi. Diterbitkan oleh Mathba’ah Ahmad bin Sa’ad bin Nabhan, Surabaya, tanpa menyebut tahun penerbitan.
6. Fat-hul Majid fi Syarhi Durril Farid, selesai 7 Ramadan 1294 Hijrah/1877 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1304 Hijrah.
7. Bughyatul `Awam fi Syarhi Maulidi Saiyidil Anam, selesai 17 Safar 1294 Hijrah/1877 Masehi. Dicetak oleh Mathba’ah al-Jadidah al-’Amirah, Mesir, 1297 Hijrah.
8. Syarah Tijanud Darari, selesai 7 Rabiulawal 1297 Hijrah/1879 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba’ah `Abdul Hamid Ahmad Hanafi, Mesir, 1369 Masihi.
9. Syarah Mishbahu Zhulmi `alan Nahjil Atammi, selesai Jamadilawal 1305 Hijrah/1887 Masihi. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1314 Hijrah atas biaya saudara kandung pengarang, iaitu Syeikh Abdullah al-Bantani.
10. Nasha-ihul `Ibad, selesai 21 Safar 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan kedua oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
11. Al-Futuhatul Madaniyah fisy Syu’bil Imaniyah, tanpa tarikh. Dicetak di bahagian tepi kitab nombor 10, oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
12. Hilyatus Shibyan Syarhu Fat-hir Rahman fi Tajwidil Quran, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah, 1332 Hijrah.
13. Qatrul Ghaits fi Syarhi Masaili Abil Laits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.
14. Mirqatu Su’udi Tashdiq Syarhu Sulamit Taufiq, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah 1304 Hijrah.
15. Ats-Tsimarul Yani’ah fir Riyadhil Badi’ah, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Bahiyah, Mesir, Syaaban 1299 Hijrah. Dicetak juga oleh Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1342 Hijrah.
16. Tanqihul Qaulil Hatsits fi Syarhi Lubabil Hadits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah Dar Ihya’ al-Kutub al-’Arabiyah, Mesir, tanpa tarikh.
17. Bahjatul Wasail bi Syarhi Masail, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah al-Haramain, Singapura-Jeddah, tanpa tarikh.
18. Fat-hul Mujib Syarhu Manasik al-’Allamah al-Khatib, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1328 Hijrah.
19. Nihayatuz Zain Irsyadil Mubtadi-in, tanpa tarikh. Diterbitkan oleh Syarikat al-Ma’arif, Bandung, Indonesia, tanpa tarikh.
20. Al-Fushushul Yaqutiyah `alar Raudhatil Bahiyah fi Abwabit Tashrifiyah, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah al-Bahiyah, Mesir, awal Syaaban 1299 Hijrah.
Catatan : Ibnu Hayyan
Recent Comments