Pada asasnya, konsep masyarakat madani merujuk kepada amalan agama yang menekankan soal ketamadunan, pembangunan dan kemajuan yang bersifat komprehensif dan seimbang. Ini merujuk kepada keperluan untuk menggabungkan kecemerlangan aspek fizikal dan spiritual, duniawi dan ukhrawi. Kemampuan menguasai ilmu pengetahuan secara bersepadu boleh menjadikan umat Islam memiliki kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan bersifat semasa agar kecemerlangan intelektual mampu dikembangkan.
Proses ini perlu bagi mengembangkan potensi melahirkan insan seimbang dan harmonis seperti yang tercatat pada matlamat Falsafah Pendidikan Negara. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:
“… Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberikan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan Ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”
Konsep iqra dalam surah al-Alaq menekankan kepentingan dan ketinggian kedudukan ilmu pengetahuan di sisi Allah s.w.t. Iqra (Bacalah) merupakan akar umbi bagi kemampuan seseorang untuk melengkapkan diri dengan segala ilmu pengetahuan dan seterusnya memudahkan pembinaan masyarakat madani itu sendiri.
Al-Quran memerintahkan manusia supaya terus meningkatkan kemampuan ilmiahnya. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa membaca menjadi syarat utama untuk membangunkan peradaban. Semakin luas pembacaan semakin tinggilah peradaban.
Dari sini sangatlah wajar jika buku merupakan hadiah yang terbaik buat umat manusia. Lebih-lebih lagi kalau kitab atau buku itu bersumber daripada Allah s.w.t. Al-Quran yang merupakan kitab suci digambarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w yang menerimanya sebagai telah ku tinggalkan buat kamu kitab Allah. Kitab yang tidak lekang oleh panas, tidak lapuk oleh hujan. Di sana ada berita berkaitan masa lalu, dan masa akan datang. Dia adalah tali Tuhan yang telah terhulur dari langit ke bumi. (riwayat Tarmizi).
Menurut bekas syeikhul Azhar, Syeikh Abdul Halim Mahmood, membaca adalah lambang dari segala apa yang dilakukan oleh manusia, baik yang sifatnya aktif mahupun pasif. Kalimat tersebut dalam pengertian dan jiwanya ingin menyatakan “bacalah demi Tuhanmu, bergeraklah demi Tuhanmu, bekerjalah demi Tuhanmu.”
Demikian pula apabila anda berhenti bergerak atau berhenti melakukan sesuatu aktiviti maka hendaklah hal tersebut didasarkan juga pada Bismirabbika (Demi kerana Tuhan (Allah) iaitu: `jangan lakukan itu’ demi kerana Tuhanmu! Berhentilah melakukan keburukan demi kerana Tuhanmu, dan seterusnya jadikanlah seluruh kehidupanmu, wujudmu, cara dan tujuannya – kesemuanya demi kerana Allah.
Islam mendorong umatnya mencari bukan sekadar ilmu, melainkan ilmu yang bermanfaat, kerana pencarian intelektual tidak dapat dipisahkan daripada etika dan ia harus ditempatkan dalam arus kehidupan spiritual.
Beberapa ilmu tidaklah secara langsung berkaitan dengan ilmu agama sahaja. Bahkan ilmu-ilmu keduniaan yang masih belum diterokai atau dikaji juga memerlukan jawapan kepada permasalahan yang timbul.
Banyak masalah baru timbul yang belum diputuskan seperti pemindahan organ badan dari orang yang mati kepada yang masih hidup, pemindahan tabung air mani dari orang lain (bukan suami) dalam rahim perempuan. Realiti ini memerlukan satu ijtihad yang mampu memecahkan persoalan-persoalan baru itu. Dalam hal ini Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
Kamu lebih mengetahui urusan-urusan dunia daripada aku. (Riwayat Muslim)
Kemajuan dalam ilmu pengetahuan dan mewujudkan budaya menyelidik, merupakan asas kepada kejayaan masyarakat madani. Fokus kepada kedua-dua bidang ini menjadi aset terpenting dalam mencorak masa depan negara, bangsa dan ummah yang cemerlang dan gemilang.
Kita perlu menyediakan asas yang tegap bagi memastikan bahawa peradaban yang kita bina ini akan terus kukuh. Sejarah membuktikan bahawa cendekiawan Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Ibn Khaldun dan ramai lagi bukan sekadar memberi sumbangan kepada masyarakat kontemporari mereka sahaja, malahan mereka telah mewariskan khazanah serta gedung ilmu yang masih digunakan hari ini.
Sayugia disebutkan bahawa mereka bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam satu bidang tetapi memiliki kepakaran pelbagai dimensi. Budaya mencari ilmu menerusi pendidikan berterusan perlu disebar luas dan dipraktikkan oleh semua golongan termasuklah pemerintah, para ulama, pelajar dan intelektual-intelektual Muslim.
Tamadun Baghdad dan Andalusia menjadi contoh nyata bagaimana ilmu yang bersepadu mampu menyumbang ke arah pembangunan tamadun Barat dan Timur. Peradaban Islam pada masa-masa kejayaan dan keemasannya telah memenuhi dunia Islam dengan cahaya ilmu yang menghiasi rumah-rumah, masjid-masjid, sekolah-sekolah, forum-forum.
Maka benarlah apa yang dikatakan oleh Gustav Lebon: “Kecintaan bangsa Arab terhadap ilmu-ilmu amat tinggi sekali. Mereka telah mencapai kemuncak kejayaan yang sangat tinggi setelah berjaya melakukan penaklukan-penaklukan dalam waktu yang sangat singkat. Oleh kerana itulah mereka mampu membangun sebuah peradaban yang meletakkan ilmu-ilmu pengetahuan, sastera dan seni menjadi matang dan akhirnya mencapai puncaknya.”
Malaysia disifatkan sebagai sebuah negara yang secara sedar atau tidak, dibina di atas konsep masyarakat madani iaitu tamadun Islam. Lantaran itu, setelah 48 tahun merdeka dan setelah 600 tahun menerima Islam, maka sebagai agama rasmi dan sebuah tamadun serta peradaban, Islam dapat ditegakkan dengan jayanya di Malaysia.
Institusi pendidikan Islam berkembang dengan pesatnya. Sekolah menengah kebangsaan agama, kolej-kolej Islam, kolej universiti Islam dan seterusnya universiti Islam telah dibina. Falsafah penubuhannya bertujuan untuk melahirkan generasi Muslim masa hadapan yang tinggi ilmu serta luhur budinya.
Penubuhan institusi-institusi pendidikan Islam ini juga merupakan bukti yang jelas bahawa pendekatan kerajaan adalah amat dinamik. Lebih penting lagi dengan mengambil inspirasi kesungguhan Ibnu Sina dan al-Khawarizmi mendalami ilmu perubatan dan kejuruteraan, sistem pendidikan tinggi Islam juga menawarkan kursus-kursus ijazah perubatan dan kejuruteraan yang berasaskan teknologi memberi gambaran betapa penting untuk menyedari sains dan teknologi adalah sesuatu yang tidak asing daripada Islam.
Catatan : Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments