Diera “kerajaan perpaduan” ini selepas slogan “keluarga Malaysia” muncul pula slogan baru “Malaysia Madani”. Penulis masih ingat dahulu sebelum dipecat dari parti dan Kabinet, Anwar Ibrahim (sekarang Perdana Menteri) menulis sebuah buku yang bersifat retorik menjelaskan: ”Masyarakat madani yang kita bayangkan diasaskan di atas prinsip akhlak dan pemerintahan berasaskan hukum, bukan oleh nafsu manusia yang tidak menentu. Kita perlu mengembalikan nilai-nilai kemanusiaan dan menyegarkan sikap berlapang dada.” (Buku Anwar Ibrahim, Gelombang Kebangkitan Asia, K.Lumpur: DBP, 1997, ms. 49).

Adalah menjadi kewajipan umat Islam negara ini untuk ikut serta memainkan peranan dalam usaha mewujudkan masyarakat peradaban, masyarakat madani di Malaysia. Kerana terbentuknya masyarakat madani adalah sebahagian cita-cita kenegaraan, iaitu mewujudkan keadilan sosial bagi seluruh rakyat.

Kewujudan kota Madinah oleh Nabi s.a.w (setelah hijrah dari kota Mekah), dengan sendiri memberi teladan kepada umat manusia ke arah pembentukan masyarakat madani.

Masyarakat madani adalah masyarakat yang beradab (memiliki jiwa dan sikap sopan-santun). Dengan demikian, tanda-tandanya dapat dibaca atau dilihat dalam kehidupan sehari-hari yang serba sopan-santun. Ada pun tanda-tanda masyarakat madani itu adalah cerminan daripada perilaku masyarakat yang sopan-santun dalam berbagai liku kehidupan mereka.

Tandanya pun dapat dilihat dalam perilaku dalam hidup mereka terhadap hal-hal seperti berkaitan dengan agama, ekonomi, politik, sosial, budaya dan keluarga.

Membangun masyarakat peradaban itulah yang dilakukan oleh Nabi selama sepuluh tahun di Madinah. Beliau membangun masyarakat yang adil, terbuka dan demokratik, dengan landasan takwa kepada Allah dan taat kepada ajaran-Nya. Takwa kepada Allah dalam erti semangat ketuhanan Yang Maha Esa, yang dalam peristilahan Kitab Suci disebut semangat Rabbaniyah (ali-Imran: 79) atau Ribbiyah (ali-Imran: 146).

Inilah Hablun mim Allah, tali hubungan dengan Allah, dimensi vertikal hidup manusia, salah satu jaminan untuk manusia agar tidak jatuh hina dan nista.

Masyarakat berbudi luhur atau berakhlak mulia itu ialah masyarakat peradaban, masyarakat madani. Masyarakat madani yang dibangunkan Nabi itu, menurut Robert N. Belleh, seorang sosiologi agama adalah sebagai masyarakat yang zaman dan tempatnya sangat moden. Asia Barat dan umat manusia zaman itu belum bersedia dengan prasarana sosial yang diperlukan untuk menampung cabaran sosial yang moden seperti yang dirintis oleh Nabi.

Bahkan, ketika Madinah muncul sebagai pusat pemerintah Islam yang kuat dan berpengaruh, kedudukan moral dan adab menjadi simen yang menyatukan semua kaum walaupun segelintir berbeza agama.

Setiap manusia yang hidup di dalamnya sentiasa mengingatkan diri masing-masing untuk saling memaafkan dan berlaku adil kepada semua orang termasuk musuh-musuhnya.

Dalam situasi itulah Madinah muncul sebagai model masyarakat madani yang paling unggul dalam sejarah peradaban manusia. Akhlak setiap orang begitu tinggi bahkan sentiasa menolak tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan dan menukarkannya dengan nilai-nilai kebaikan (al-Quran surah Al-A’raf ayat 199).

Maksudnya, hanya manusia yang bertindak berasaskan emosi dan nafsu sahaja yang suka mencetuskan konflik, pergaduhan dan melanggar peraturan moral.

Dalam konteks negara ini, tekad kerajaan untuk menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kepimpinan politik merupakan sebahagian daripada ciri-ciri ke arah mewujudkan masyarakat madani. Masyarakat madani dalam bidang politik sangat dituntut untuk memainkan peranan politiknya dalam membangun bangsa pada masa hadapan yang lebih baik.

Membicarakan soal politik bererti berbicara mengenai urusan merebut kerusi kekuasaan, maka masyarakat madani harus lebih sopan, arif dan lebih waspada dengan kekuasaan tersebut. Di sini, masyarakat madani diminta meraih kerusi kekuasaan dengan cara benar-benar sopan.

Setelah memperolehnya, kekuasaan tersebut disedari sebagai amanat rakyat untuk memperjuangkan nasib rakyat. Masyarakat madani tidak pernah mahu menyalahgunakan kekuasaan untuk kepentingan peribadi, keluarga dan kelompoknya, apa lagi hingga mengorbankan orang lain.

Dalam proses demokrasi, masyarakat madani seharusnya menjauhkan diri daripada kaedah-kaedah politik kotor, seperti mengamalkan politik wang yang tidak bermoral, menggunakan bahasa kesat untuk menjatuhkan lawan dan memperalatkan agama untuk kepentingan politiknya. Itu semuanya adalah kaedah-kaedah politik orang Yahudi untuk melumpuhkan kebenaran dan menyuburkan kezaliman.

Perilaku politik yang paling buruk harus dihindari oleh masyarakat madani ialah permainan politik dengan menggadaikan komitmen keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat – dengan menghalalkan segala cara untuk mencapai tujuan.

Dalam kepimpinan politik, Nabi s.a.w tidak pernah membezakan antara `orang atas, orang bawah’ ataupun keluarga sendiri.

Baginda pernah menegaskan bahawa hancurnya bangsa-bangsa pada masa lalu adalah kerana `orang atas’ melakukan kejahatan dibiarkan, tetapi jika `orang bawah’ melakukannya pasti dihukum.

Justeru Nabi s.a.w menegaskan seandainya Fatimah, puteri kesayangannya melakukan kejahatan maka Baginda akan menghukumnya sesuai ketentuan yang berlaku.

Oleh : Mohd Shauki Abd Majid

Translate »