Negara dibelenggu permasalahan pornografi yang mengancam moral masyarakat dan ummah hari ini. Berikutan itu, arahan drastik kerajaan membanteras lambakan bahan-bahan lucah di internet dan alat telekomunikasi mudah alih dengan menyekat akses ke laman web tersebut sudah pasti disambut dengan hati terbuka oleh kebanyakan ibu bapa di seluruh negara.

Dilihat daripada perspektif Islam, jelas sekali pornografi merupakan satu perbuatan yang bersalahan dengan hukum syariat kerana ia mendorong seseorang lelaki dan perempuan kepada perbuatan yang tidak bermoral. Titik tolak untuk memahami pornografi dalam Islam ialah melalui firman Allah yang bermaksud:-

“ Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah pula kepada perumpuan yang beriman, hendaklah  mereka menahan  pandangannya dan menjaga kemaluannya. Dan janganlah mereka menampakan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak padanya…”. (Al-Nur : 30-31)

Ayat di atas berbicara dalam konteks pedoman pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram iaitu mereka yang dibolehkan berkahwin. Menarik dikaji bahawa dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan, Tuhan menekankan pada dua perkara pokok iaitu menahan pandangan dan menjaga organ seksual. Dalam kaitan dengan pornografi,  terlihat bahawa aktiviti pornografi sangat berkait erat dengan soal menjaga mata dan memelihara organ seksual.

Melalui firman Allah di atas jelas bahawa perintah untuk menjaga pandangan dan organ seksual hanya ditujukan kepada kelompok tertentu iaitu orang-orang yang beriman, tanpa membezakan lelaki dan perempuan, bukan kepada semua manusia , bahkan juga bukan kepada semua yang mengaku Muslim. Mengapa perintah Tuhan itu hanya  ditujukan pada orang beriman? Sebab, hanya orang beriman yang mematuhi dan melaksanakan perintah Tuhan. Perintah itu tidak ditujukan kepada mereka yang tidak beriman kerana ia adalah sia-sia sahaja. Mereka pasti tidak akan mematuhinya. Kepatuhan seseorang kepada Tuhan adalah kerana dia beriman kepada-Nya, demikian sebaliknya kerana itu perintah dan larangan Tuhan hanya ditujukan kepada hambanya yang beriman, bukan kepada selainnya. Dalam konteks ini, kita perlu melakukan introspeksi diri  apakah kita masih tergolong orang beriman atau bukan. Sebab yang tahu hanya diri kita sendiri dan Tuhan sahaja.

Usaha untuk mencegah merebaknya pengaruh pornografi dari perspektif agama haruslah bermula dari keluarga. Bukan hal yang kebetulan jika dalam Al-Quran ditemukan sekitar 70 ayat yang berbicara mengenai pentingnya institusi keluarga. Keluarga harus menjadi tonggak awal dalam membangun masyarakat dan selanjutnya bangsa yang bermoral.

Nilai-nilai moral yang sangat ditekankan dalam setiap agama harus dimulai pelaksanaannya dalam kehidupan berkeluarga. Keluarga adalah unit terkecil dalam masyarakat yang memiliki banyak fungsi, dan di antara fungsinya yang sangat strategik adalah fungsi pendidikan dan agama. Pendidikan agama harus dimulai dari keluarga. Pendidikan agama di luar keluarga  hanya bersifat pelengkap kepada nilai- nilai yang sudah ditanamkan di dalam sesebuah keluarga.

Perlu ditegaskan di sini  bahawa pendidikan agama yang hendak ditanamkan kepada anak-anak sejak awal adalah pendidikan agama yang mengajarkan nilai-nilai  kemanusiaan sehingga mereka terdorong menjadi manusia yang bertanggungjawab dan berguna. Bukankah ada hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “ sebaik-baik manusia adalah yang paling berguna bagi sesamanya”? Dari hadis tersebut difahami bahawa sejahat-jahat manusia adalah yang mengeksploitasi sesamanya. Oleh yang demikian, apa yang dituntut bukanlah pendidikan agama yang hanya menekankan pada hal-hal yang bersifat peraturan formal semata-mata sebaliknya pendidikan agama yang menekankan tiga aspek penting dalam diri manusia iaitu aspek pemikiran, jiwa dan minda sehingga dapat membangun moral yang kukuh dalam diri seseorang.

Tujuan akhir dari semua ajaran Islam sesungguhnya adalah menjadikan manusia itu berakhlak karimah atau berbudi luhur sebagaimana dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Aku diutus semata-mata untuk menyempurnakan akhlak mulia.” Impak kepada kehiudupan beragama seseorang itu adalah menjadi manusia yang berakhlak mulia. Salah satu penunjuk utama dari akhlak mulia adalah menajuhi perbuatan, perkataan dan perilaku yang keji serta kotor termasuklah bahan-bahan pornografi. Bahkan, salah satu ciri-ciri orang yang beriman adalah mampu mengawal syahwat seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Mukmin ayat 5. Justeru, pengurusan syahwat atau nafsu itu penting bahkan mungkin juga lebih penting daripada pengurusan hati.

Dalam rangka melaksanakan tugas sebagai khalifah itu, manusia harus menjaga kesucian diri dan keturunan termasuk memelihara diri dari daripada mendekati bahaya zina seperti pornografi sendiri. Zina adalah perbuatan paling keji dan jalan yang sesat (Al-Isra’ ayat 32). Zina memberikan kesan yang sangat buruk bukan hanya kepada si pelaku itu sendiri juga kepada anak-anak yang lahir akibat perbuatan zina itu. Dalam konteks zina, ajaran Islam menekankan unsur-unsur pencegahan.

Firman Allah: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (Surah Al-Isra’ : 32)

Sebahagian ulama menjelaskan yang dimaksudkan dengan mendekati zina salah satunya adalah dengan melihat bahan-bahan pornografi (mempertontonkan gambar-gambar bahagian tubuh yang membangkitkan nafsu berahi) baik secara langsung ataupun tidak. Ini bermakna, semua perbuatan keji yang boleh membawa kepada zina adalah haram sebagaimana haramnya zina itu sendiri.

Catatan : Ibnu Majid

Translate »