Pada 29 Oktober 2000, seorang wartawan  foto Associated Press (AP) yang sedang bertugas merakam gerakan intifada rakyat Palestin di Karni, Genting Gaza, melihat seorang remaja berlari ke hadapan sebarisan kereta kebal rejim Zionis Israel. Di tangan remaja itu tergenggam seketul batu yang sedia untuk direjamnya ke arah kereta kebal tersebut.

Keberanian remaja tersebut yang menghadapi keganasan tentera Zionis itu secara bersendirian pantas menarik minat wartawan foto berkenaan. Tanpa berlengah, dia memetik butang kameranya.

Sebenarnya, memang setiap hari remaja itu akan tampil menghadapi kereta kebal tentera Israel dengan batu, bersama rakan-rakannya yang lain – tanpa takut dan bimbang – termasuklah pada hari tersebut apabila gambarnya dirakam.

Dia terus mendepani tentera Israel hinggalah pada tarikh bersejarah, 9 November 2000. Pada hari tersebut, iaitu sepuluh hari selepas gambar tadi dirakam, remaja berkenaan sekali lagi meluru. Tetapi sedang dia membaling dan melastik, tanpa disedari seorang tentera Israel menghalakan senjata ke arahnya, dan…! DAMMM!

Sebutir peluru dilepaskan dan mengenai tepat ke lehernya. Remaja itu tumbang ke tanah dengan darah berlumuran, dan dunia pun menjadi gelap. Dia terbaring di tanah tidak bergerak lagi, pergi bersama kalimah Allah yang memang tidak pernah putus dari hatinya.

Tarikh 9 November 2000, remaja bernama Faris Odeh itu syahid dan bermula hari tersebut, gambarnya yang dirakam oleh wartawan foto AP telah menjadi ikon kepada gerakan Intifada rakyat Palestin. Pada hari itu juga, Faris Odeh dijulang sebagai contoh pejuang untuk anak-anak muda Palestin yang lain.

Siapa sebenarnya Faris Odeh, hingga disayangi oleh setiap warga Palestin? Odeh yang lahir di sebuah kuarters di Zeitoun, Gaza, mempunyai lapan beradik. Apabila tercetus saja Intifada pada September 2000, Odeh yang ketika itu berusia 14 tahun tidak mahu ketinggalan menyertai perjuangan tersebut.

Dia mahu bersama-sama anak-anak muda Palestin yang lain menghalang keganasan rejim Zionis dengan segala daya yang ada, walaupun hanya dengan membaling batu. Odeh mula ponteng sekolah dan setiap hari pergi ke Karni atau petempatan haram Yahudi di Netzarim, untuk membaling batu ke arah tentera Israel.

Oleh kerana terlalu kerap ponteng, guru besar sekolah memaklumkannya kepada ibu bapa Odeh, Fayek dan Anam. Tetapi guru besar tersebut terkejut apabila diberitahu oleh Fayek dan Anam bahawa mereka sendiri gagal untuk mengawal Odeh. Mereka telah mencuba sedaya upaya menghalang Odeh daripada pergi ke kawasan pertempuran, namun segala usaha yang dilakukan itu sia-sia belaka. Keazaman Odeh tidak dapat dipadamkan.

Odeh malah sanggup membahayakan dirinya dengan terjun dari rumahnya di tingkat dua kuarters berkenaan, kemudian menyertai kawan-kawannya ke Karni dan Netzarim.

Fayek memberitahu guru besar tersebut, dia pernah memukul Odeh sampai lebam-lebam tubuhnya, tetapi remaja itu tetap juga pergi ke medan keganasan Israel. Bukan itu saja, Odeh pernah dikurung dalam bilik, tetapi berjaya melarikan diri dari tingkap.

Fayek menderitakan, suatu hari selepas mereka menikmati makan malam, dia telah menangkap Odeh dan kemudian mengikat kedua-dua belah kaki serta tangan anaknya itu, kemudian meninggalkannya di atas bumbung. Fayek sebenarnya terpaksa berbuat demikian kerana sayangkan Odeh. Dia bimbang akan kehilangan Odeh seperti mana ramai anak-anak muda Palestin yang lain, yang ditembak tanpa belas kasihan oleh rejim Zionis.

Bagaimanapun, lewat malam itu Anam secara sembunyi-sembunyi memanjat ke bumbung dan melepaskan ikatan di tangan dan kaki anaknya itu. Anam berbuat demikian kerana kasihankan Odeh. Dia bimbang Odeh ditimpa sakit akibat kesejukan.

Tindakan keras ibu bapanya itu langsung tidak menggugat keazaman Odeh untuk menentang rejim Zionis yang sedang menjajah tanahairnya. Esoknya  Odeh ponteng sekolah lagi dan pergi ke Karni. Akibatnya, Anam sering berkejar ke tampat-tempat pertempuran itu untuk membawa Odeh pulang. Di sana, Anam berasa ngeri apabila melihat anaknya itu berada di barisan paling hadapan dan begitu hampir dengan tentera Israel.

Pernah dalam sehari tiga kali Anam terpaksa mencari anaknya itu di kawasan pertempuran. Pernah juga sewaktu dia sedang mahu menikmati makan tengah hari, beberapa orang remaja dan kanak-kanak tergesa-gesa datang ke rumahnya dan memberitahu Odeh telah pergi ke Karni. Dengan segera Anam tinggalkan meja makan dan berlari ke Karni, tanpa sempat menjamah hidangan tengah hari itu.

Adakah Odeh ke Karni dan Netzarim kerana seronok melihat peluru dilepaskan, atau gembira imej dirinya dirakam oleh kamera serta video? Tidak. Malah Odeh akan melarikan diri jika melihat ada sesiapa hendak merakam gambar dirinya.

Selepas terlalu letih kerana terpaksa setiap hari ke kawasan pertempuran, Anam mengalah. Dia memberitahu Odeh, kalau anaknya itu benar-benar mahu membaling dan melastik batu ke arah tentera Israel, dia izinkan. Tetapi, jagalah keselamatan dirinya. Jangan bahayakan nyawanya. Berlindunglah di belakang sesuatu bagi mengelakkan dirinya ditembak, atau dirakam oleh kamera.

Kemudian Anam bertanya kepada anaknya itu, “Kenapa kamu terlalu berani, hingga jauh ke depan berbanding kawan-kawan yang lain?”

Jawab Odeh, “Saya tak takut, mak. Saya lakukan ini untuk Islam, Palestin dan Al-Aqsa.”

Semangat Odeh untuk berjihad semakin membara selepas sepupunya,  Shadi yang juga seorang anggota polis, terbunuh ditembak tentera Israel. Odeh berjanji akan membalas dendam. Sewaktu menghadiri majlis pengebumian Shadi, Odeh telah meletakkan gambarnya pada jambangan bunga di pusara sepupunya itu. Kata Odeh, jambangan bunga itu adalah untuk dirinya, bahawa dia bersedia untuk syahid demi Palestin.

Keazaman itu Odeh buktikan pada setiap hari, hinggalah dia ditembak mati pada 9 November 2000. Remaja-remaja lain yang menyaksikan kejadian itu terpaksa menunggu lebih sejam bagi memastikan keadaan benar-benar selamat, barulah mereka berani mengangkat mayatnya.

Berpuluh-puluh ribu warga Palestin menghadiri majlis pengebumian Odeh. Bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein sendiri mengirimkan cek bernilai AS$10,000 untuk kedua ibu bapa Odeh, sebagai tanda hormat dan kagumnya dengan keberanian remaja itu.

Apabila ditanya oleh wartawan tentang kematian Odeh, Fayek memberitahu mereka, “Dia seorang syahid, kerana memang itulah yang dimahukannya selama ini, syahid demi membebaskan Al-Aqsa.”

Selepas kematiannya, nama Faris Odeh dan imejnya yang bersedia untuk membaling batu ke arah kereta kebal tentera Israel, menjadi simbol perjuangan Intifada. Mereka mengiktiraf Odeh sebagai wira, melakar gambar dan namanya pada grafiti, kalendar, poster, kad dan sebagainya.

Pada 2001, lastik yang digunakan oleh Odeh untuk memerangi tentera Israel telah dipertontonkan dalam pameran `100 Syahid – 100 Nyawa’ di Pusat Budaya Khalil Sakakini.

Pemimpin Palestin, Yasser Arafat juga mengagumi keberanian Odeh.

Semasa berucap di hadapan para pelajar yang mengunjungi kediamannya di Ramallah yang telah dikepung tentera Yahudi, Yasser Arafat menyeru nak-anak muda tersebut supaya mencontohi semangat perjuangan Odeh. Yasser mahu para pelajar itu menandingi keberanian Odeh supaya kepungan tentera Israel di bandar-bandar Palestin dapat ditamatkan.

Bukan itu saja, malah sebuah anugerah keberanian atas nama Faris Odeh turut diwujudkan, dan diberikan setiap tahun oleh Al Awda, iaitu Gabungan Hak Palestin Untuk Kembali (PRCC). Penerima pertama anugerah itu ialah Dr. Salman Abu Sitta (2003).

Sebenarnya selain azam untuk syahid demi Islam, Al-Aqsa dan Palestin, semangat Odeh untuk berhadapan dengan tentera rejim Israel turut dibakar oleh peristiwa pembunuhan kejam seorang kanak-kanak bernama Muhammad Al-Durrah. Kanak-kanak berusia 12 tahun itu telah ditembak mati oleh rejim Zionis dalam satu demonstrasi di Netzarim pada 30 September 2000.

Peristiwa itu berlaku di hadapan mata bapanya, Muhammad Jamal, yang cuba melindungi kanak-kanak tersebut dengan berlindung di belakang sebuah tong bulat berwarna putih. Tetapi tentera Israel tidak pernah ada rasa belas kasihan. Muhammad al-Durrah mati dengan abdomen serta dadanya ditembusi peluru.

Insiden menyedihkan itu sempat dirakam oleh Talal Abu Rahma, jurukamera sambilan France 2, sebuah stesen televisyen Perancis, lalu ditayangkan ke seluruh dunia.

Selain Muhammad al-Durrah, pada hari yang sama juga sekurang-kurangnya dua orang lagi kanak-kanak Palestin mati di tangan tentera Israel. Mereka ialah Nizar Mahmoud Hasan Aida, 16, dari kem pelarian Deir Ammar, dalam demonstarasi di Ayosh. Kedua, Khaled Adli Bassem al-Bazyan, 1, terbunuh di Nablus.

Selepas Muhammad al-Durrah dan dua kanak-kanak tadi, pada 1 Oktober pula Mohammad Nabil Daoud Hamad al-Abasi, 16, Sara Abdul Azim Abdul Haq Hasan, 18 bulan, Samer Samir Sudki Tabanja, 12, Sami Fathi Muhammad al-Taramsi, 17, Hussam Naim Hasan Bakhit, 17, dan Iyad Ahmad al-Khashishi, 16, maut ditembak di dada dan kepala oleh tentera Israel. Senarai ini terus panjang hari demi hari, sampailah sekarang.

Apakah makna ini semua?

Faris Odeh adalah pejuang kebebasan kemanusiaan sejagat yang dilupakan. Begitu jugalah dengan Muhmaad al-Durrah dan ramai lagi remaja serta kanak-kanak Palestin yang berjuang untuk membebaskan negara mereka dari penjajahan rejim Zionis Israel.

Mereka sebenarnya mahu mengalahkan sebuah negara angkuh dan kejam yang disokong oleh sebuah kuasa besar yang sombong dan hipokrit, iaitu Amerika Syarikat. Faris Odeh, Muhammad al-Durrah dan remaja serta kanak-kanak Palestin itu mahu seluruh dunia yang mahukan keamanan supaya berdiri di belakang mereka.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Hanya segelitir sahaja daripada kita yang mengingati tarikh kematian Faris Odeh dan Muhammad al-Durrah. Tarikh kematian kanak-kanak dan remaja lain, langsung tidak diingati.

Mengapa ini berlaku? Ini kerana seluruh mesin propaganda adalah di tangan Amerika, negara-negara Eropah dan Yahudi. Mereka sengaja menggelapkan kekejaman Yahudi dan Barat, melupakan peristiwa-peristiwa kejam yang dilakukan ke atas rakyat Palestin dan sengaja tidak mahu mengingatkan warga dunia ini kepada tarikh-tarikh penting itu.

Barat dan Yahudi sebaliknya membesar-besarkan peristiwa serta tarikh-tarikh penting kononnya mereka dizalimi seperti 9/11, peristiwa Holocaust dan 7 Disember 1941 (Pearl Harbour diserang tentera Jepun). Tarikh-tarikh dan peristiwa itu terus diuar-uarkan dalam segala sudut dengan seluruh mesin propaganda yang ada, sampailah sekarang.

Kesannya, perlahan-lahan kita terlupa pada wira-wira Islam tadi dan menganggap bahawa ‘Benarlah, Amerika, Eropah dan Yahudi telah dizalimi.’ Dan akhirnya, nama Faris Odeh serta Muhammad al-Durrah, yang telah mengorbankan nyawa mereka untuk Islam, Palestin, Al-Aqsa dan keamanan sejagat, hilang terus daripada ingatan kita.

Oleh : ZULKARNAIN ZAKARIA

Translate »