PEMAHAMAN tentang prinsip-prinsip akidah adalah penting dalam pembentukan peribadi seseorang manusia. Orang yang memahami prinsip-prinsip akidah secara yang lebih baik memiliki peribadi yang lebih positif. Contohnya, salah satu aspek atau prinsip aqidah ialah tujuan manusia dicipta, dihidupkan di muka bumi ini. orang yang memahami tujuan manusia dihidupkan ke dunia ini. Orang yang memahami tujuan manusia dihidupkan ke dunia ini menikmati hidup lebih tenang, bersikap lebih menerima, lebih sabar, tidak mudah kecewa, tidak sombong, lebih bermotivsi, lebih aktif dan lebih produktif.

Dianalisis daripada ayat-ayat Quran dan hadis yang berkaitan, boleh dibuat kesimpulan bahawa tujuan manusia dicipta dan dihidupkan ke dunia ini hanyalah satu sahaja iaitu untuk diuji oleh Allah. Ini boleh dilihat di dalam ayat di bawah ini:

“Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu.” (al-An’am: 165)

“Kami turunkan kepadamu Kitab ini (al-Quran) dengan kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara dan mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dari kebenaran yang diberi kepada kamu. Bagi setiap umat yang ada di antara kamu, kami tetapkan sesuatu syariat dan cara hidup (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Sekiranya Allah mengkehendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat, tetapi Dia hendak menguji kamu dengan apa yang diberikan kepada kamu.” (al-Maidah: 48)

“Dialah yang telah menjadikan mati dan hidup untuk menguji kamu siapa di antara kamu yang paling baik amalannya.” (al-Mulk: 2)

Daripada tiga ayat di atas, boleh dibuat kesimpulan iaitu dari segi sifat dan kejadian “semula jadi” baik dari segi fizikal, fisiologi atau psikologi sifat, manusia dicipta berlainan di antara satu dengan yang lain, mereka juga diberi hak dan tugas berlainan, malahan taraf dan kedudukan mereka, sesetengahnya diberi lebih tinggi daripada yang lain.

Barangkali contoh yang paling jelas bagi menerangkan perkara ini ialah kejadian “semula jadi” kaum lelaki dan kaum wanita dan hak dan tanggungjawab atau peraturan- peraturan yang berlainan yang dikenakan ke atas mereka. Perbezaan kejadian “semula jadi” ini ada disebut di dalam surah al-Hujurat, ayat 13, yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu kenal-mengenali antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling tinggi takwanya kepada Allah.”

Dari sudut fizikal, lelaki berlainan daripada perempuan. Lelaki mempunyai bentuk badan dan organ jantina yang berlainan; biasanya lelaki mempunyai bentuk badan yang lebih besar, lebih tinggi dan lebih gagah dari wanita. Dari sudut fisiologi, wanita boleh mengandung, boleh melahirkan anak dan biasanya mengalami haid setiap bulan, sementara lelaki tidak.

Dari sudut psikologi, dibandingkan dengan lelaki, wanita lebih dipengaruhi oleh perasaan dan perasaan pemalu, dibandingkan dengan wanita, lelaki lebih kasar. Lelaki lebih berminat kepada isu politik, kepimpinan dan ekonomi sedangkan wanita lebih berminat kepada isu-isu kecil seperti pinggan mangkuk, pakaian dan sebagainya. Lelaki lebih suka kepada warna pudar sedangkan wanita lebih suka kepada warna cerah. Wanita lebih suka kepada perhiasan, manakala lelaki kurang menyukainya. Lelaki lebih berani daripada wanita. Wanita mengalami tekanan jiwa semasa mengalami haid, semasa mengidam dan selepas bersalin (post-nartal depression), sementara lelaki tidak.

Sifat-sifat ini adalah secara keseluruhan dan pada kebiasaannya. Tidak dinafikan bahawa ada di antara wanita yang dari segi fizikalnya mempunyai bentuk badan yang lebih besar dari lelaki. Dunia ini tidak sempurna. Setiap perkara ada pengecualiannya.

Dari sudut peraturan yang dikenakan, dan hak dan tanggungjawab yang diberi oleh Allah kepada lelaki dan wanita juga berbeza. Lelaki diberi tugas dan hak memimpin, sementara wanita tidak diberi. Wanita diberi tugas dan hak menjaga anak (hadanah). Lelaki diberi tanggungjawab menyediakan nagkah kepada anak-anak dan saudara mara, sementara wanita tidak demikian. Sebaliknya wanita sebagai diberi tugas mentaati lelaki sebagai suami dalam sebuah rumah tangga. Lelaki diberi hak berpoligami tetapi tidak kepada isteri. Wanita diperintah menutup aurat yang lebih daripada lelaki.

Dalam sesetengah perkara, sebagaimana yang disebut dalam surah al-An’am, ayat 165. Sesetengah daripada manusia ini dikurniakan taraf dan kedudukan yang lebih tinggi dari yang lain. Misalnya, dalam aspek keibubapaan, wanita sebagai ibu diberi kedudukan tiga kali ganda lebih tinggi kedudukannya daripada sebagai seorang bapa. Dari sudut yang lain pula, lelaki juga dianugerahkan keistimewaan yang lain dan tidak dianugerahkan kepada wanita. Contohnya, kedudukan satu saksi lelaki menyamai dua saksi wannita; harta pesaka lelaki diberi dua kali ganda harta pesaka wanita; lelaki diberi hak mengahwinkan dirinya sendiri tanpa kuasa perwalian daripada orang lain sementara wanita memerlukan wali dan lelaki sebagai seorang suami diberi hak menceraikan isteri dengan sendiri sementara isteri hendaklah melalui kuasa hakim.

Ini perbezaan dari aspek kejadian “semula jadi” dan peraturan yang dikenakan kepada lelaki dan wanita. Sebagai individu lain juga manusia dijadikan berbeza dari segi kejadian “semula jadi”, dan hak dan tugas. Sebagaimana yang disebut dalam surah al-Hujurat ayat 13 tersebut, bukan saja individu manusia itu berbeza dari aspek jantinanya, tetapi juga berbeza dari segi warna kulit, kaum dan sebagainya. Ada yang dilahirkan Muslim dan ada yang dilahirkan bukan Muslim. Ada yang dijadikan berkulit putih dan ada yang dijadikan berkulit hitam. Ada yang dilahirkan sebagai orang Melayu dan ada yang dilahirkan sebagai orang Cina, India, Arab, dan sebagainya. Ada pula yang dilahirkan kaya dan ada yang dilahirkan miskin. Dari segi peraturan yang dikenakan dan hak dan tanggungjawab yang diberi pula, ada juga yang berlainan antara satu sama lain. Kerana ada yang dilahir bukan Muslim, maka Allah memberi tanggungjawab kepada orang Islam untuk menyampaikan Islam kepada orang bukan Islam. Dalam sebuah negara Islam, orang Quraisyh diberi keutamaan dalam kepimpinan negara; sebagai seorang rakyat, seorang Muslim dikenakan membayar zakat, orang bukan Islam pula dikenakan membayar jizyah; orang Islam diwajibkan ke medan jihad, sementara orang bukan Islam tidak diwajibkan. Orang yang kaya atau orang yang mempunyai keupayaan metarial diwajibkan membayar zakat, menunaikan ibadah haji dan membantu orang-orang yang memerlukan, sementara kewajipan ini tidak dikenakan kepada orang miskin.

Walau bagaimanapun, di sisi Allah, semua manusia tidak kira bagaimana kejadian “semula jadi” dan jenis hak dan tanggungjawab yang diberi kepada mereka, mereka adalah sama. Dalam satu hadith, Rasulullah bersabda, maksudnya:

“Manusia adalah sama seperti gigi sikat, orang Arab tidaklah lebih kedudukan mereka daripada orang bukan Arab. Orang berkulit putih tidaklah lebih kedudukan mereka daripada orang berkulit hitam. Semua kamu adalah daripada Adam dan Adam daripada tanah.” (Riwayat Muslim)

Dalam surah al-Hujurat ayat 13, sebagaimana yang disebut di atas, Allah menyatakan bahawa walaupun manusia dijadikan berlainan dari segi kejadian “semula jadi”nya, tetapi semua sifat-sifat kejadian itu adalah sama di sisi Allah. Yang membezakan seseorang daripada yang lain ialah takwa mereka, bukan jantina, rupa paras, warna, kaum atau keistimewaan atau kelebihan yang diberi baik dari segi kejadian “semula jadi” atau hak atau tanggungjawab yang dikurniakan.

Oleh itu, orang yang dilahirkan dengan kekurangan dari segi kejadian “semula jadi” atau dari segi hak dan tugas tidak perlu merasa dihina atau didiskriminasikan. Orang yang dilahirkan dengan kelebihan-kelebihan dari segi kejadian “semula jadi”, hak dan tanggungjawab hendaklah jangan merasa sombong dan angkuh kerana kelebihan-kelebihan itu tiada nilainya di sisi Allah sekiranya orang yang memiliki kelebihan-kelebihan itu tidak menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah. Tujuan Allah menjadikan seseorang itu dengan kekurangan dan juga kelebihan adalah untuk diuji. Orang kaya diuji dengan kekayaan meeka; bagaimana mereka menggunakan kekayaan yang diberi oleh Allah; misalnya adakah mereka bersabar menghadapi hidup mereka dengan kemiskinan atau mereka menjadikan kemiskinan itu alasan untuk menceburkan diri ke dalam pelacuran.

Dari sudut yang lain pula, setiap manusia dicipta oleh Allah bersama nafsu syahwat dan kemahuan yang tidak terhad. Bersama-sama nafsu syahwat dan keinginan ini Allah berikan peraturan-peraturan: pengharaman zina, peraturan-peraturan nikah-kahwin, pengharaman mencuri, riba, peraturan-peraturan mengenai jual-beli dan sebagainya. Semua ini tujuannya ialah untuk menguji manusia sejauhmana manusia mentaati perintah-perintah- Nya.

Mengenai ujian menunaikan perintah-Nya ini, Allah berfirman yangbermaksud:

“Aku jadikan jin dan manusia hanyalah untuk menyembah-Ku.” (az-Zaariyat: 56)

Harus difahami bahawa maksud “menyembah” yang dikehendaki dalam ayat ini bukanlah hanyalah terhad kepada ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan haji sahaja, tetapi juga meliputi semua gerak laku manusia dalam semua bidang termasuk politik seperti memerintah negara, ekonomi seperti berjual-beli, sosial seperti hidup berkeluarga, makan minum, berpakaian dan sebagainya. Barangkali tidak salah kalau dikatakan, tanggungjawab manusia yang paling besar ialah tanggungjawab politik sebagaimana yang terdapat dalam surah al-An’am, ayat 165.

Dalam menempuh ujian Allah dengan memenuhi segala perintah-Nya ini, perkara yang dinilai oleh Allah ialah kualiti amal seseorang sebagaimana yang disebut dalam surah al-Mulk, ayat 1. Sebab itu, dikatakan bahawa orang yang memahami tujuan manusia dihidupkan di dunia ini lebih aktif, bermotivasi dan produktif dalam hidup mereka. Di sini perlu juga diingatkanbahawa perkataan “amal” yang disebut di dalam surah itu bukanlah terhad kepada amal ibadat khusus sahaja, tetapi ia merangkumi semua gerak kerja yang dilakukan oleh seseorang manusia.

Oleh kerana tujuan manusia dicipta ke dunia ini untuk diuji, maka orang yang berjaya di sisi Allah ialah orang yang mematuhi segala perintah Allah dengan sebaik-baiknya. Allah berfirman yang bermaksudya:

“Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, sesungguhnya dia telah mencapai kejayaan yang besar.”   (al-Ahzab: 71)

Oleh : Dr ZAID MOHAMAD

Translate »