ALKURTUBI AL-ISYBILI

Nama lengkapnya Ibnu Thufayl atau Ibnu Tofail adalah Abu Bakar Muhammad bin Abdul Malik bin Muhammad bin Muhammad bin Ibnu Thulayl al-Qaysi.

Beliau merupakan keturunan suku Arab Kays, yang terkemuka. Beliau sering juga disebut dan dipanggil sebagai al-Andalusi atau al-Kurtubi al-Isybili, tetapi kaum Skolastik Kristian menyebutnya sebagai Abubacer.

Ibnu Thulfayl lahir pada dekad pertama abad ke-6 H / ke-12 M di Wadi-Ash, Guadix, sebelah timur laut Granada, Sepanyol. Tidak banyak yang dapat dijejaki atau dikesan mengenai keluarga dan pendidikannya.

Beliau menjadi doktor buat pertama kalinya di Granada, kemudian menjadi setiausaha kepada gabenor Ceuta dan Tangier, Putera Abdul Mu’min, dinasti Almohad (Al-Muhwahhidun) dan akhirnya menjadi doktor Almuwahhidun, Sultan Abu Ya’kub Yusuf pada 558-580 H / 1163-1184M)

Al-Bitruji, salah seorang muridnya menyebut Ibnu Thufayl sebagai kadi, dan dalam banyak perkara, Ibnu Thufayl mempunyai pengaruh yang besar terhadap muridnya ini, serta banyak merekrut sarjana-sarjana ke istana. Ibnu Thufayl juga memperkenalkan Ibnu Rusyd kepada Sultan.

Ahli sejarah Abdul Wahid al-Mazzakusyi memberi sebuah deskripsi mengenai pertemuan ini yang diketahui daripada laporan-laporan Ibnu Rusyd sendiri. Pada kesempatan-kesempatan seperti ini, Sultan mula menunjukkan luas pengetahuannya tentang masalah-masalah kefalsafahan.

Di atas saranan dan dorongan Sultan serta nasihat dan semangat telah membuatkan Ibnu Rusyd untuk menulis komentar-komentarnya mengenai karya-karya Aristotle.

Banyak karya Ibnu Thufayl yang masih tidak diketahui jumlahnya, namun karangannya Hayy bin Yaqzan, sebuah novel falsafah yang terkenal merupakan salah satu di antara buku-buku yang paling cemerlang pada abad-abad pertengahan.

Dalam buku tersebut, Ibnu Thufayl berusaha membuktikan kebenaran tesis kesatuan kebijaksanaan rasional dan mistik melalui kisah fiksyen. Melalui kisah tersebut, Ibnu Thufayl ingin memberikan solusi terhadap permasalahan yang ditimbulkan oleh “pertentangan” antara falsafah dan agama, akal dan iman, seperti halnya Hayy, yang digambarkan dalan novel falsafah tersebut, iaitu dalaman dan luaran.

Selain itu, beliau juga menulis dua buah naskhah buku mengenai ilmu kedoktoran, yang banyak hubungannya dengan karya perubatan Ibnu Rusyd, iaitu Al-Kulliyat.

Menurut ahli astronomi al-Bitruji serta Ibnu Rusyd terhadap komentar Ibnu Thufayl dalam karya Aristotle, Metaphysics, juga mempunyai banyak gagasan dan ternyata banyak memberi pengaruh kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh al-Bitruji untuk menyanggah dan sekali gus membuktikan kekeliruan teori Ptolemaios mengenai “lingkaran-lingkaran epicycles dan excentris”.

Pada tahun 578 H / 1182 M, memandangkan usia Ibnu Thufayl yang telah lanjut, beliau telah digantikan kedudukannya oleh Ibnu Rusyd sebagai doktor peribadi khalifah. Ibnu Thufayl meninggal dunia pada tahun 581 H / 1185-1186 di Maghribi.

Catatan : Ibnu Fayyad

Translate »