PERISTIWA hijrah oleh junjungan besar, Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat – dari Mekah ke Madinah – merupakan detik kemenangan umat Islam.

Ia berlaku di bawah “payung persaudaraan” yang sewajarnya menjadi ikutan kepada kita dalam menempuh hidup yang kini semakin didorong arah persengketaan dan pertikaian tidak berpenghujung.

Sesungguhnya hijrah menjadi catatan besar dalam sejarah Islam. Ia mencatatkan pengorbanan luar biasa kaum Muhajirin dan Ansar. Di atas nama Islam, kedua-dua golongan ini membangunkan persaudaraan sejati dan suci dengan membelakangkan kepentingan diri.

Dan di dalam konteks negara kita Malaysia, masih adakah konsep persaudaraan itu? Sempena sambutan Maal Hijrah 1444 ini, apakah kita semua sanggup mengenepikan perbezaan pendapat ataupun aliran politik demi mengukuhkan ukhuwah Islamiah?

Telah terlalu banyak untaian ayat suci dan hadis tentang persaudaraan dilontarkan tetapi ia bagaikan angin lalu. Ramai yang lebih pentingkan diri sendiri dan membanggakan puak masing-masing.

Lantas bahasa apakah yang paling memukau dan dapat menggerakkan jiwa untuk memahami dan bertindak sedangkan hakikatnya banyak lagi persoalan belum selesai?

Prinsip jemaah yang berdiri di atas tiang tafaahum (saling memahami), takaful (saling bertanggungjawab), ta’awun (saling tolong menolong) dan tawa’azum (timbang rasa), kini hanya tinggal kenangan.

Jiwa kita kini dinista oleh gaya berfikir yang jauh daripada prinsip Islam.

Kalau merenung secara mendalam dengan hati seorang mukhlis (ikhlas), apalah erti kehadiran parti-parti Islam dan organisasi Islam kalau bukan untuk membangun persaudaraan Islam?

Sepatutnya kelahiran semua itu untuk membina akhlak persaudaraan. Kita sebenarnya memerlukan banyak negarawan yang berpihak kepada umat secara keseluruhan.

Kiasan sinis Rasulullah SAW bahawa umat Islam yang ramai tetapi bagaikan buih, sebenarnya tidak lagi meresap ke dalam jiwa kita. Kebanggaan puak dan kelompok sendiri serta sikap ananiyah (egois) telah membuat kita terus berpecah.

Rasulullah SAW bersabda: “Aku wasiatkan kepada kamu (agar mengikuti) para sahabatku kemudian generasi berikutnya. Kamu harus berjemaah. Waspadalah terhadap perpecahan, kerana sesungguhnya syaitan bersama orang yang sendirian dan akan lebih jauh dari dua orang. Barang siapa menginginkan bau syurga, maka hendaklah ia berpegang teguh dengan jemaah.” (Riwayat At-Tarmizi)

Bagaimanapun wasiat Rasulullah SAW itu telah diabaikan akibat ketaksuban serta rasa bangga dan fanatik sesetengah daripada kita.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman: “… janganlah kamu termasuk mereka yang mempersekutukan Allah, iaitu mereka yang memecahbelahkan agama dan menjadi beberapa golongan. Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (Ar-Ruum ayat 31-32)

Bukankah Saidina Umar Al-Khattab menyatakan, prasyarat tegaknya Islam ialah melalui kepimpinan, perpaduan ummah, kepatuhan dan ikatan setia?

Maknanya, setiap gerakan kehidupan tidak dapat terlepas dari sistem jemaah. Tanpa jemaah, nescaya kita terus hidup cara yang individualistik dan mengulangi pahitnya sejarah kekalahan Islam di Andalusia.

Perjuangan Islam hanya dapat dicapai melalui pergerakan jemaah yang kuat. Lantas, iman yang seperti mana lagi yang akan menolak seruan Allah yang telah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan teratur, mereka seakan-akan suatu bangunan tersusun kukuh.” (as-Shaff ayat 4)

Demikianlah Rasulullah SAW menjelang kewafatan Baginda menyebut: “Umatku, umatku, umatku…”

Bukankah Baginda berasa risau melihat umat Baginda kelak akan berpecah belah? Bukankah Baginda berwasiat kepada kita semua agar mewujudkan cita-cita yang satu untuk menjadi umat yang ampuh dalam satu jemaah?

Jika kita tidak mempedulikan harapan Baginda, apakah masih layak untuk kita mengakui bahawa kita adalah pengikutnya?

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa memisahkan diri dari jemaah walau sejengkal, kemudian dia mati, maka matinya adalah mati jahiliah.” (Muttafaq Alaih)

Jika kedatangan tahun baru Islam pun kita tidak memanfaatkannya sebagai saat untuk “memanggil kembali” semangat keagungan ukhuwah Islam daripada keeratan persaudaraan Muhajirin dan Ansar, maka siapakah kita ini sebenarnya?

Oleh : Mohd Shauki Abd Majid

Translate »