Berkenaan salah pilih pasangan, Asma’ Khalid dan Amir Syammakh memilih kes pengakuan seorang suami bernama Dawud. Dawud mengadu, kisah rumah tangganya seumpama sebuah lakonan dalam filem, iaitu ketika watak utamanya berperanan sebagai ‘sang penyelamat’. Dawud menikahi seorang perempuan, yang kebetulan dikenalinya, iaitu adik perempuan rakan karibnya sendiri. Namun, Dawud cukup tidak sukakan keluarga tersebut, tetapi demi ‘keluhuran budi’ beliau bersedia menikahinya dengan harapan dapat menjauhkan daripada perangai buruk bapa mertuanya.
Dawud berasal dari keluarga terhormat di salah sebuah kampong dalam wilayah Tanta, Mesir. Ayahnya adalah seorang ketua kampong. Hasrat Dawud mengahwini perempuan itu menyebabkan ahli keluarganya merasa terkilan, termasuk ayahnya sendiri. Namun kerana tekadnya cukup membulat, akhirnya mereka bersetuju. Setelah berkahwin, Dawud mula kecewa kerana isterinya sangat berbeza dengan saudaranya sendiri (kawan Dawud), tidak fasih membaca dan mahir menulis walaupun lulus diploma peringkat menengah. Isterinya tidak tahu melakukan shalat, bahkan pernah bershalat ketika keadaan dirinya tidak mengizinkan (haid). Itu menjadi cabaran kepada Dawud. Dawud bertekad untuk mendidik isterinya agar menjadi seorang isteri sholehah dan dapat membahagiakan kehidupan berumah tangga.
Kesilapan Dawud terbesar ialah tidak mengetahui dengan jelas peribadi dan kebolehan isterinya. Dawud hanya beralaskan simpati terhadap isterinya kerana sentiasa dicaci maki oleh ayahnya sendiri. Isterinya telah kehilangan ibu. Akhirnya krisis mulai muncul setelah beberapa minggu mereka berkahwin. Isterinya mengeluarkan kata-kata kesat apabila Dawud mencadangkan program pendidikan agama, bagi meningkatkan kualiti ibadahnya dan tahap berfikir. Namun, Dawud tetap ingin mencubanya dan mengharapkan isterinya akan berubah serta menerimanya.
Usianya masih muda, pengalaman hidupnya juga sangatlah sedikit. Dawud perlu bersabar, tetapi terjadi juga suatu pertengkaran yang menyebabkan Dawud mula ‘putus asa’:
“Isteriku adalah sosok manusia begitu lemah lagi mudah terluka hatinya (sensitif). Seakan-akan ia adalah jin pembangkang yang keluar dari kendi yang mengongkongnya. Dia pandai sekali memainkan seni mencerca. Dia memiliki istilah-istilah pasaran dalam koleksi kamus tutur katanya. Jarang engkau dapatkan padanannya dalam diri orang lain.
“Situasi ini merupakan tamparan keras yang menerpa mukaku; hal yang membuatku melempar tuduhan betapa lugu (tidak banyak tindakan, atau mati akal) dan dungunya (bodohnya) diri ini. Aku jadi teringat nasihat ayahku sebelum aku menikah. Bagaimana boleh aku tidak mahu untuk mempertimbangkannya.
“Singkatnya, pada malam tersebut akupun meratapi lukaku ini. Aku pun tidur. Belum lagi matahari memancar, aku dikejutkan dengan kedatangan ayahnya. Ia mengedor-ngedor (mengetuk-ngetuk) pintu rumahku dengan kuat, sambil mengugut akan memancung leher orang yang yang berani memandang tajam pada anak perempuannya, tanpa mengira siapapun orangnya.
“Ketika aku berupaya untuk menerangkan dan memberikan penjelasan apa sebenarnya berlaku, suaranya semakin meninggi. Dia menjerit-jerit seperti orang gila – aku sendiri tidak tahu apa sebabnya- sampai keluargaku datang menyerbu mendadak rumahku dan menyerang orang-orang itu. Tidak ada jalan lain kecuali mengikatnya dengan tali untuk mententeramkan keadaan yakni tidak menyerangku dan saudara-saudaraku.
“Kemudian, aku dikejutkan lagi apabila isteriku yang ‘tersayang’. Orang-orang datang membawanya dari luar rumah. Dia membawa emas dan sejumlah wang di mana dia sedang berusaha untuk melakukan perjalanan pulang ke kampungnya.
“Aku segera meminta seseorang untuk mencari pak penghulu. Dan, aku menjatuhkan thalaq-ku pada isteriku. Lalu, aku segera melepaskan tali yang mengikat mertuaku. Semua orang pergi, keluar dari rumahku. Mereka meninggalkanku sendirian. Akupun bergumam mengulang-ngulang zikir, hasbiyallahu wa ni’mal wakil… (hal. 36-38).
Sebuah kisah akibat penghinaan –dicerca oleh isteri – menyebabkan si suami mengambil keputusan tragik, membunuh isterinya sendiri dengan menggunakan senapang angina cukup memberikan kita pengajaran. Peristiwa itu berlaku di Gayungan, Surabaya sekitar akhir Februari 2021. Pada malam tersebut telah berlaku satu pertengkaran sehingga menyebabkan Putri Ima yang hamil lima bulan terbunuh.
Joni Pranoto berusaha menghapuskan mayat isterinya dengan memasukkannya ke dalam sebuah bilik selama dua hari. Namun mayat itu kemudiannya mengeluarkan bau yang busuk, menyebabkan si suami akhirnya tidak dapat merahsiakan apa-apa lagi. Ironinya, sehari selepas isterinya terbunuh, anak dalam kandungan itu keluar daripada perut ibunya.
Menurut KQSAT Reskrim Polrestabes Surabaya, Oki Ahadian, selesai membunuh, Joni Pranoto tidak membuang jasad tersebut. Dia membiarkan mayat Puteri Ima membusuk selama dua hari dengan menyembunyikannya di dalam sebuah bilik. Pembunuhan itu terjadi kerana Joni cukup terhina, sentiasa disakiti atau didera mentalnya oleh si isteri. Rasa kecewa itu menjadi dendam apabila dia membuat keputusan membunuhnya. (https://www.merdeka.com/peristiwa/mayat-ibu-hamil-disimpan-2-hari-di-kamar-usai-dibunuh-janin-5-bulan-ke-luar-sendiri.html)
Itu bermakna salah pilih pasangan boleh menyebabkan kesan yang cukup negatif, kecualilah pasangan itu berusaha untuk mengubah sikap dan tingkah lakunya. Namun, jika salah seorang berasal daripada sebuah kehidupan yang rosak, lama kelamaan ‘cerita lama’ tersebut akan menjadi ‘beban’ yang cukup menyiksa.
Mungkin ada di antara kita pernah menyaksikan kisah sinetron (drama bersiri yang cukup panjang sehingga 671 episod) dan cukup popular dari Indonesia – Samudra Cinta. Ceritanya sarat dengan kisah ‘kesilapan masa lalu’ misalnya, kelahiran Cinta akibat hubungan sulit antara Rusdi (Anwar Fuady) dengan Lila (Meriam Belina). Begitu juga mengenai kelahiran Rey (Rionaldo Stockhorst) akibat perkosaan Ferry (Adam Jordan) ke atas ibunya pada suatu malam ketika Ferry pulang dalam keadaan mabuk.
Persoalan anak luar nikah turut menghantui sinetron itu apabila Cinta seringkali disebut dan Rusdi didera oleh isterinya, Novi (Debby Cynthoa Dewi). Begitu juga ketika Rey berusaha untuk membawa Ferry menemui ibunya yang sedang tenat dan mengalami gangguan mental akibat tindakan-tindakan tersebut. Ferry tidak mengakui kesilapannya dan ia cukup berbeza dengan Rusdi.
Namun, kisah anak luar nikah itu cukup membebankan walaupun secara sahnya Samudera dan Cinta berkahwin. Anak luar nikah itu seringkali dijadikan liabiliti dalam keluarga, sedangkan mereka tidak salah, yang salahnya adalah orang tuanya, sehingga menimbulkan krisis psikologi dan penghinaan. Ini menunjukkan latar belakang adalah sangat penting dalam pembentukan rumah tangga yang bahagia, sehingga menjadikan isu salah pilih pasangan sebagai sesuatu yang buruk. Hal ini tidak bagi Samudera, kerana cinta antara mereka – Samudera dan Cinta cukup kuat. Namun, sedikit sebanyak ada kesannya walaupun cinta dan kasih sayang antara mereka ‘seteguh karang’.
Ia membuktikan walaupun berlaku salah pilih pasangan pada peringkat awal, ia masih boleh diperbaiki sekiranya antara pasangan itu sendiri mempunyai keinginan untuk berubah dan hidup bahagia. Jika ada kekurangan dan kelemahan, mereka perlu berusaha belajar untuk memperbetulkan dengan syarat, tidak ada campur tangan pihak keluarga. Biarkan pasangan itu menguruskan perubahan dan menanganinya secara rasional, bukan dibingkaikan oleh emosional sebagaimana berlaku ke atas Dawud bilamana isterinya tidak sanggup berubah dan mengatasi kebodohannya.
Dalam mencari solusi kepada sebuah perkahwinan yang bahagia, Islam menyarankan agar mencari pasangan dalam kalangan keluarga yang baik-baik, yakni seorang lelaki dan perempuan yang baik pegangan agamanya. Ini penting kerana kehidupan berumah tangga yang dijalinkan berdasarkan nilai agama akan kekal berbanding atas asas pertimbangan material dan kecantikan semata-mata. Ia juga penting apabila dua pihak mempunyai kesetaraan agama, tidak akan berlaku penghinaan, cemuh mencemuh dan sebagainya.
Menurut Asma’ Khalid dan Amir Syammakh lagi: Syariat memerintahkan orang yang hendak melangkah untuk menikah agar meneliti detail dalam memilih pasangan. Kerana masalahnya tidak hanya terkait dengan diri mereka sahaja. Namun, juga lebih daripada itu, mencakupi anak-anak mereka; iaitu dengan mempertimbangkan bahawa tepat dan baik dalam memilih ibu adalah hak dari si anak, meskipun ayah atau ibu terlebih dahulu dibandingkan dengan kedatangan anak.
Rasulullah SAW bersabda: Pilihlah (isteri dengan tepat) untuk menempatkan benih sperma kalian. Kerana sifat pembawaan itu merasuk dengan lembut (titisan).: (hal. 39)
Bagi mengelakkan ‘tersalah pilih pasangan’. Asma’ Khalid dan Amir Syammakh menyarankan: (1) tidak perlu tergesa-gesa berkahwin kerana perlu mengetahui secara jelas latar belakang pasangan masing-masing atau dalam istilah ‘kenal hati budi’; (2) membuat pilihan berdasarkan keserasian jiwa; (3) tidak wajar menyalahkan waktu sekiranya tidak berlaku perubahan dan melaksanakan ‘buku baru’; dan, (4) perlu berunding dan mendapat persetujuan keluarga kerana perkahwinan itu adalah tujuannya cukup jelas, selain membina kehidupan berumah tangga, ia juga bertujuan menjalinkan perhubungan antara dua keluarga yang tidak pernah saling mengenali sebelumnya.
Kebahagiaan berumah tangga tidak datang bergolek. Ia hasil usaha pasangan itu sendiri untuk mencorak dan mengemudi rumah tangga yang mereka bina selepas akad nikah. Kebahagiaan sesebuah rumah tangga sangat berpaksikan kepada imam dan taqwa, kerana dua nilai itulah yang akan memandu perjalanan rumah tangga hingga ke akhir hayat.
Biarpun pasangan suami isteri tidak sama padan seumpama ‘pinang dibelah dua’, tidak hebat dari segi rupa paras, tidak berharta, mereka masih boleh meniti kebahagiaan berumah tangga apabila saling percaya, hormat dan menyayangi antara satu sama lain. Rasa puas akan muncul dengan sendiri apabila setiap perlakuan, tutur kata disulami dengan nilai akhlak, mentaati suami sebagai ketua keluarga, dan menjadikan Allah SWT tempat memohon pertolongan, kehidupan akan menjadi lebih selamat dan bermakna.
Rasulullah SAW bersabda: Sungguh-sungguh mohon ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya, iaitu burung-burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit selama dia sentiasa dalam kerelaan suaminya.”
Dalam perkembangan terbaharu, seperti dibenarkan oleh kata-kata ‘cinta itu buta’, ada orang mendapat jodoh atau pasangan menerusi laman sosial. Laman sosial semakin menjadi pertaruhan dan juga berpotensi untuk ‘mendapatkan jodoh’ dalam situasi lelaki dan perempuan tidak mempunyai banyak masa (kenal mengenali) secara fizikal kesan daripada perubahan gaya hidup (kerjaya dan tuntutan yang lain), sehingga laman-laman ‘mencari jodoh’ cukup subur berkembang.
Apa pun, persoalan mengenal ‘hati budi’ calon pasangan masih penting, kerana kehidupan berumah tangga bukan suatu perjalanan dalam tempoh beberapa jam, ia suatu tempoh perjalanan yang panjang, penuh berliku dan perlukan pelbagai kemahiran penyesuaian diri (adaptasi), toleransi, sikap memberi dan menerima, saling bekerjasama dan faham memahami. Kehidupan berumah tangga bukanlah seperti budaya ‘touch n go’ atau seperti yang kita alami semasa menyertai rombongan pelancongan.
Jangan mudah tertipu, kerana mencari pasangan atau jodoh menerusi internet banyak juga risikonya, seperti yang kita ketahui mengenai ‘love scam’ mahupun penipuan terancang yang cukup licik. Bukan sedikit akibatnya, bahkan ada yang menderita hingga akhir hayat dan tidak kurang juga yang sanggup ‘membunuh diri’ kerana trauma dan menanggung malu.
Misalnya, kisah yang menimpa Grace Millane yang dicekik mati oleh kekasihnya (apartment City Life) ketika melakukan ‘hubungan intim’ selepas bercumbu dan minum-minum di sebuah bar di Tender, New Zealand pada tahun 2018. Mereka berkenalan menerusi aplikasi tinder, yang disimpulkan oleh Grace cukup ‘serasi’.
Grace adalah seorang pelajar Universiti Lincoln, dan tiba di New Zealand pada bulan November 2018, manakala kekasihnya yang dikenali menerusi aplikasi tersebut, berusia 27 tahun. Mayat Grace dimasukkan ke dalam sebuah beg besar, setelah mati dicekik. (https://www.mstar.com.my/global/dunia/2019/11/07/dicekik-kenalan-tinder).
Dan, jika anda berminat untuk memahami dan mengelakkan diri daripada ditipu dalam platform media, termasuk ‘ayat-ayat cinta’, boleh membaca buku Selim Fateh, Big Love Scam: Big Love Scam Real Correspondence, 2020; W Lawrence Lipton, I Love YOU, Send Money: Internet Romance Scam, 2013; Connie Billington dan Carole Elliott , Art of the Steal: How The Internet Love Scam Business Will …, 2017; dan, Anonymus, Love Always, Roy: An Unauthorized True Story of the Evolution of a Romance Scam, 2018).
(Bersambung: XIV: TIDAK ROMANTIK)
Kamarun KH
Recent Comments