Salah sebuah kisah hidup (cerita benar) yang dikumpulkan oleh Dr Anwar Wardah, seorang cendekiawan Islam mengungkapkan: Ayahku, almarhum Syeikh Abdul Ghani Wardah berada si sebuah majlis keramaian mendengar seseorang berkata: Wanita itu seperti sepatu (kasut). Seorang lelaki akan melepaskannya dan menggantinya dengan yang menurutnya bagus [tentunya yang lebih baharu walaupun cukup mahal].
Ramai orang yang mendengar, menganggap keji pada perkataan tersebut, lalu meminta pendapat ayahku. Ayahku berkata: Apa yang diucapkan orang itu adalah benar. Orang yang melihat dirinya seperti kaki, ia akan melihat wanita seperti alas kaki. Orang yang melihat dirinya ibarat kepala, ia akan melihat wanita umpama mahkota.” (Anwar Wardah, Aku Ingat Dirimu Saat Aku Lupa Tuhanku: Rampai Cerita Unik dan Menggelitik, edisi terjemahan, Jakarta: Penerbit Zaman, 2013, hal.353, cerita ke-206).
Cerita kecil itu memberikan kita hal yang cukup menarik mengenai persepsi. Persepsi pertama ialah ‘perempuan dilihat seperti benda’ boleh ditukargantikan jika ianya tidak sesuai. Persepsi kedua, bagaimana terbentuknya stereotaip dalam kehidupan. Ia berkait rapat dengan bagaimana sesuatu objek atau perkara itu dilihat (sudut pandang). Persepsi ketiga ialah bagaimana untuk mencari satu solusi terbaik bagi mengharmonikan kesemua tanggapan-tanggapan (persepsi) tersebut agar ia benar-benar menepati apa yang disarankan oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dari (diri)-nya; dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak.” (an-Nisa ayat 1).
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21).
Ertinya, perkahwinan (lelaki dan perempuan) adalah menstabilkan emosi (rohani), yakni mendapat sebuah kehidupan yang tenteram dan jiwa yang tenang. Kenapa hasil daripada pekahwinan akan membawa kepada ketenangan dan kestabilan emosi? Ini suatu persoalan yang cukup asas dan penting pada pemahaman kita mengenai psikologi.
Secara fitrahnya, manusia diciptakan berlainan gender. Kelainan gender membawa kekuatan dan keperluan yang berbeza, jika saling melengkapi. Seorang lelaki diidentikkan dengan kekuatan fizikal manakala seorang wanita dihubungkan dengan sikap dan perilaku lemah-lembut. Ini bermakna kekuatan fizikal tidak akan dapat dibezakan sekiranya sifat dan perilaku lemah-lembut tidak ada. Dari dua perbezaan itu timbullah apa yang dinamakan simpati dan empati.
Simpati (sympathy) diertikan sebagai “perasaan belas kasihan, timbang rasa, dan sebagainya terhadap seseorang atau sesuatu, terutamanya apabila ditimpa kesusahan; dan, perasaan bersetuju dengan menyokong sesuatu idea, pendapat dan sebagainya bagi tujuan tertentu” manakala empati (empathy) bermaksud: “daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain.” (Kamus Dewan, edisi keempat, 2007, hal.1496 dan 390). Dua istilah itu sangat penting dalam kehidupan seseorang walaupun ia mempunyai penekanan dan maksud yang berbeza.
Simpati membawa maksud sikap keikutsertaan (afektif) dalam merasai sesuatu perasaan orang lain terutama yang membabitkan situasi sedih, kecewa dan putus asa. Ada juga mentakrifkan simpati sebagai ‘suatu proses seseorang merasa tertarik dengan orang lain, dan proses ini memerlukan persefahaman antara dua pihak. Empati merupakan keadaan mental (kognitif) yang menyebabkan seseorang merasa atau mengaitkan dirinya dalam keadaan perasaan atau fikiran yang sama.
Namun kedua-duanya mempunyai perbezaan iaitu pada tahap perasaan dan kesinambungannya. Tahap simpati biasanya tidak lama, kerana ia merupakan respons kepada dokongan sedangkan empati, lebih lama bertahan kerana muncul dalam situasi keputusan fikiran setelah memahami keadaan seseorang. Simpati lebih berpusatkan kepada perasaan (emosi) manakala empati lebih kepada sikap mental.
Kebiasaannya, perasaan seringkali berubah dan cepat berubah. Perubaan itu cepat berlaku apabila naratif kesedihan atau kekecewaan itu berubah. Berbeza dengan empati, sikap dan pendirian lebih lama kekal kerana ia diasaskan pada penalaran fikiran, jarang melibatkan emosi.
Simpati biasanya mendapat perhatian daripada orang yang pernah ditimpa masalah yang sama atau dalam bahasa mudahnya dikenali sebagai ‘senasib’ sedangkan empati muncul dalam keadaan yang berbeza. Mereka yang berempati asalnya tidak pernah mengalami penderitaan yang sama atau hampir sama, tetapi mereka berusaha menjadikan ianya sebagai satu pengajaran, ikhtibar dan ingin dielakkan atau terbabit sama.
Kita kembali kepada contoh Amber Herd dan Johnny Depp. Mereka berkahwin pada 2015 di Bahamas, tanpa kehadiran anak-anak Depp daripada perkahwinannya terdahulu. Mereka mula jatuh cinta ketika terbabit dalam penggambaran filem The Rum Diary di mana Johny Depp memegang watak Paul Kemp, seorang wartawan di New York manakala Amber Herd memegang watak Chennaut (2012). Pada 2016, Amber Herd mengemukakan fail penceraian dan tahun 2017 mereka bercerai.
Tahun 2018, Amber Herd mendakwa punca penceraian mereka ialah disebabkan oleh perilaku Johnny Depp sehingga melibatkan jenayah keganasan rumah tangga. Akibat dakwaan tersebut, Depp kehilangan peluang berlakon sebagai Jack Sparrow dalam siri Pirates of the Carribean. Depp tidak merasa bersalah dengan dakwaan itu, dan bagi membersihkan dirinya, ia mengemukakan saman malu sebesar USD $50 juta (2020). Herd kemudiannya memfailkan saman balas menuntut ganti rugi sekali ganda (USD$100 juta). Selepas pandemik COVID-19 reda, pada 11 April 2022, kes saman fitnah itu dimulakan di Mahkamah Fairfax, Virginia.
Pada 1 Jun 2022, tujuh orang juri akhirnya membuat keputusan bahawa Herd perlu membayar ganti rugi sebanyak USD$15 juta, yang kemudiannya dikurangkan kepada USD$10.35 juta (USD$10 juga ganti rugi fitnah dan USD$350,000 ganti rugi am) manakala Depp diperintahkan membayar USD$ 2 juta atas kes yang serupa.
Ketika bercerai (2017), Depp diperintahkan membayar USD$7 juta, yang didakwa Herd akan disalurkan kepada pertubuhan kebajikan. Mungkin ada kesannya terhadap keputusan tersebut akibat kegagalan Herd menunaikan janji untuk menyalurkan bayaran penceraianny kepada badan amal mempengaruhi keputusan juri kerana Herd dianggap berbohong.
Berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Herd dan saksi, Depp dilihat sebagai seorang yang ganas kerana sanggup menampar, mencederakan dan memasukkan botol wain ke kemaluan isterinya. Pendedahan itu kemudiannya menerima reaksi balas yang cukup keras, dan ia menarik kepada kesimpulan bahawa keruntuhan rumah tangga adalah disebabkan oleh sikap Herd yang cukup narsistik, akibat toxic relationship. Herd bukan sahaja merupakan seorang isteri yang suka mengawal bahkan amat merasakan dirinya sahaja yang betul. Ini bermakna, hubungan dalam rumah tangga mereka berdua sudah mula menunjukkan tiada elemen empati dan simpati, kerana Herd sentiasa berusaha mengongkong.
Apa yang Herd lakukan mahu dilihatnya betul, termasuklah hubungan sulitnya dengan beberapa orang termasuk pemilik kereta elektrik TESLA, Ellon Musk. Depp yang merupakan sahabat baik Angelina Jolie. Angelina pernah memberikan amaran bahawa Herd adalah seorang perempuan yang buruk perilakunya dan boleh mendatangkan kesan negatif kepada anak-anak Depp. Namun, amaran itu tidak diendahkan oleh Depp, itulah sebabnya semasa mereka berkahwin, anak-anak Depp tidak hadir sama.
Apakah dalam masyarakat Islam tidak ada penceraian disebabkan sikap isteri yang suka mengawal dan merasakan dirinya sahaja yang betul? Sama ada pada usia perkahwinan di peringkat ‘bulan madu’, penceraian juga berlaku kerana ada suami melihat kecenderungan isteri semakin mendekati narsistik. Isteri mula ‘mempamerkan belang’, perlakuan yang cukup berbeza ketika sebelum berkahwin. Jika ia berlaku di awal perkahwinan, ia tidak meninggalkan kesan yang mendalam berbanding ketika bercerai di usia emas atau ketika sudah mempunyai zuriat.
Ini bukan bermakna penceraian berlaku disebabkan kesalahan di pihak isteri semata-mata. Tetapi, ada petua daripada orang tua bahawa seorang isteri walaupun sesibuk mana sekali pun perlu mentaati suaminya meskipun dari perspektif pekerjaan si suami lebih rendah pangkat, bergaji kecil dan daripada latar belakang keluarga miskin atau sederhana selagi si suami tidak mengarahkan kepada aktiviti maksiat dan perkara-perkara yang dilarang oleh agama.
Benar dalam Islam tidak disebut peranan seorang isteri dalam pengurusan rumah tangga seperti memasak, mengemas dan menjaga kebersihan rumah, membasuh pakaian dan sebagainya. Tetapi, kerana adat dan budaya, isteri tetap dilihat sebagai orang yang cukup berperanan besar dalam pengurusan rumah tangga manakala suami adalah orang yang mencari rezeki dan menyediakan kemudahan tempat tinggal, membelanjakan wang untuk membeli makanan dan sebagainya. Selama adat dan budaya itu dipertahankan, selama itulah isteri sangat identik dengan tanggungjawab memasak, mengemas dan mengasuh anak-anak semasa ketiadaan suami (keluar bekerja). Ertinya, seorang isteri wajib mempelajari dan menekuni kemahiran-kemahiran tersebut.
Adab dan budaya sedemikian semakin berubah. Ia berubah selari dengan perubahan nilai dalam masyarakat termasuk pembabitan wanita dalam pekerjaan atau berkerjaya. Tetapi, harus diingat bahawa seorang wanita yang sudah berkahwin perlu mendapat persetujuan suami untuk meneruskan kerjaya atau keluar bekerja. Ini kerana peraturan Islam cukup jelas, seorang isteri tidak dibolehkan keluar rumah tanpa persetujuan si suami. Ini bermakna, jika si suami bersetuju atau mengizinkan isteri bekerja, ia harus memahami bahawa keizinan itu ada syaratnya, yakni tidak membebankan emosi si suami.
Benar, wanita berpendidikan semakin ramai dan wanita bekerjaya semakin memenuhi ruang pekerjaan sehingga muncul situasi, pekerja wanita lebih ramai daripada lelaki. Misalnya dalam sektor pendidikan.
Dari satu aspek, ia menunjukkan kejayaan dan kehebatan wanita, tetapi daripada perspektif yang lain, kerana wanita ramai bekerja budaya konsumerisme semakin membesar. Pasaran produk wanita semakin banyak manakala dunia fesyen semakin mendapat sambutan disebabkan konsumerisme telah berjaya meningkatkan ego wanita. Bahkan, ada yang meramalkan trend perbelanjaan paling besar dikuasai oleh budaya pengguna yang dipelopori wanita berbanding lelaki, yang dikenali sebagai She Power. (Yuwa Hedrick-wong, Holding Up Half of the Sky: The New Women Consumers of Asia, 2006; dan Theresa Howley Howard, She Power: Be Your Own Heroine, 2018)
Sebab itulah dunia fesyen dan kosmetik cukup cepat berkembang sehingga memunculkan sebagai salah satu lubuk kekayaan baharu. Ini kerana sebelum budaya konsumer berkembang, pola perbelanjaan lebih tertumpu kepada keperluan rumah tangga seperti menyediakan makanan, keperluan rumah tangga dan sebagainya. Ianya menyebabkan ada kata-kata sinis kedengaran apabila seorang isteri tidak pandai atau malas memasak, tidak mengemaskan rumah tangga sehingga menyebabkan suasana dalam rumah seperti ‘tongkang pecah’, keadaan pakaian yang tidak tersusun, bersepah dan sebagainya.
Suasana tersebut tidak disalahkan kepada suami, walaupun pada hakikatnya para suami sepatutnya membantu. Kerjasama atau pertolongan suami jika berlaku ia dilihat sebagai satu bentuk simpati. Simpati kerana tidak mahu dituduh isteri ‘pemalas’. Namun simpati tersebut dilihat tidak akan kekal lama kerana tugas dan peranan tersebut secara tradisinya diletakkan di bahu seorang isteri.
Saya pernah mendengar dakwaan seorang mak mertua bahawa menantunya tidak berusaha melengkapkan peranannya sebagai suri rumah apabila setiap kali berkunjung, mereka sentiasa menjadikan ‘makan di restoran’ sebagai acara tetap. Seorang menantu atau isterinya sepatutnya lebih merasakan bahagia apabila kedatangan sanak saudara dijadikan suatu kegembiraan apabila bersedia memasak dan makan beramai-ramai di rumah. Mak mertua akan merasakan ‘kurang senang’ apabila sentiasa diajak ‘keluar makan di restoran atau makan nasi bungkus atau menempahnya secara online. Ada nasihat yang perlu diberikan perhatian oleh seorang isteri, untuk meraih kebahagiaan dalam rumah tangga, seorang isteri perlu betah menjaga ‘mulut dan perut’ agar suami merasa senang berada di rumah.
Pesan itu cukup bersahaja tetapi penuh makna. Barangkali itulah resepi kebahagiaan rumah tangga ‘orang lama’ walaupun mereka hidup sederhana, keperluan ‘mulut dan perut’ suami wajib dijaga walaupun dalam keadaan yang dilihat sukar dan meletihkan. Bahkan, cukup berpedoman.
Setiap kali menyediakan hidangan untuk keluarga, ia perlu dilakukan dengan ikhlas dan ketika sedang memasak, ia wajar diiringi dengan doa semoga makanan yang disediakan itu membawa percikan cahaya senang dan tenteram. Apabila memakannya meskipun juadahnya cukup mudah, ia cukup mengenyangkan dan berselera. Kata orang, masakan yang dibalut dengan kasih sayang akan membuahkan rumah tangga yang berkekalan dan penuh kebahagiaan. Itulah hebatnya ‘air tangan isteri’.
(Bersambung “IX –RESEPI BAHAGIA”) .
Kamarun KH
Recent Comments