Kehendak seks atau dipanggil syahwat kemaluan oleh al-Ghazali mempunyai dua manfaat kenikmatan bersenggama (bersetubuh) dan menjadi kekuatan yang terkuat tetapi ia turut berhadapan dengan penderitaan; dan melahirkan keturunan atau keberlanjutan garis keluarga. Manfaat tersebut jika disalahgunakan akan membawa malapetaka, iaitu membinasakan kehidupan dunia dan juga agama. Ertinya, dua manfaat tersebut perlu dilakukan pada batas dan peraturannya. Bukan dalam kondisi ‘seks bebas’ atau berbilang pasangan (bisexsual), pasangan sejenis (homoseksual), keaksekan (asexuality) dan tanpa ikatan perkahwinan (zina).
Hal ini cukup jelas, dalam Islam tidak ada istilah ‘cinta sebelum kahwin’ sebaliknya cinta selepas kahwin adalah lebih dapat dimanfaatkan dengan cukup lama dan panjang sehingga membentuk kebahagiaan keluarga. Cinta sebelum kahwin adalah pengaruh daripada peradaban luar Islam, termasuk pemahaman sekular terhadap agama dan perkembangan falsafah kebebasan, hak asasi serta budaya hedonisme.
Menurut al-Ghazali, jika tegaknya kemaluan seorang lelaki, maka hilanglah sepertiga akalnya manakala ‘kalau bukan kerana syahwat ini, kaum wanita tidak mampu menguasai lelaki.’ Ertinya, kehendak seks cukup berpengaruh dalam kehidupan dan kebahagiaan keluarga, tetapi ia bukanlah sesuatu yang boleh dilihat kehendak liar yang tidak berpedoman seumpama ‘hantu tanpa tuan’.
Tulis al-Ghazali: Inilah hakikat yang membezakan antara manusia dan haiwan, di mana ia membawa kepada ‘nafsu berahi yang berapi-rapi’ seperti sikap yang melampaui batas seperti haiwan atau bahkan lebih buruk lagi.
“Seharusnya dari bersetubuh itu seseorang akan mendapatkan kehidupan hingga ia yakin syahwat yang tidak boleh disalurkan kecuali pada suatu tempat. Sedangkan haiwan, ia menyalurkan syahwat di mana sahaja ia mahukan dan itu cukup baginya. Bagi orang seperti itu, tidak cukup dengan satu orang tertentu, hingga bertambah kehinaan di atas kehinaan pada dirinya: kesyirikan di atas kesyirikan, hingga akalnya menjadi amat bodoh kerana digunakan hanya untuk mengabdi kepada syahwatnya.
“Manusia diciptakan agar ia ditaati oleh syahwat, bukan pula untuk melakukan tipu daya hanya kerana ingin melempiaskan syahwatnya. Berahi tidak menjadi berapi-rapi, kecuali disebabkan oleh sikap melampaui batas dalam menurut syahwat. Ini merupakan penyakit hati ketika ia menjadi benar-benar kosong, tidak ada kemahuan apa pun di dalamnya, kecuali syahwat.” (al-Ghazali, 2021, hal.274-275).
Dari perspektif psikologi dan kesihatan, seks dalam perkahwinan adalah penting berdasarkan enam alasan: (1) memperkukuhkan hubungan suami isteri; (2) mengurangkan tekanan (stress) biologi dan psikik kerana seks membebaskan zat antitekanan di otak; (3) sebagai cara berkomunikasi di mana anggota badan (tubuh) dapat berkomunikasi menerusi sentuhan; (4) memperbaiki kualiti tidur; (5) nikmat seks membawa kebahagiaan, keyakinan diri dan harus dilaksanakan secara teratur, positif serta menjaga mood; dan (6) membantu menjaga keseimbangan hormon bagi mengatasi tekanan emosi, rasa cemas dan peningkatan kadar kesuburan.
Berdasarkan perkembangan dunia sejagat, kebanyakan negara sedang mengalami masalah ‘resesi seks’ terutama di Jepun, China dan negara-negara maju akibat tuntutan kerjaya dan persekitaran. Resesi seks menyebabkan turunnya kadar kelahiran semula jadi sehingga menjadikan sesebuah negara lebih cepat memasuki era ‘negara tua’ di mana proses penggantian generasi menjadi lebih lambat.
Menurut laporan Reuters pada 3 Jun 2022, terdapat 811,604 kelahiran pada tahun lalu di Jepun dan ianya merupakan rekod terendah sejak tahun 1899. Rekod kematian pula naik kepada 1,439,809 sehingga menjadikan jumlah penurunan penduduk Jepun kepada 628,205 orang. Fenomena negara tua dalam istilah Jepun dikenali sebagai koureika syakai
Jepun turut mengalami kemerosotan tahap kesuburan dalam tempoh enam tahun berturut-turut, yakni 1.3 bagi setiap wanita. Singapura juga turut mengalami situasi yang sama, di mana pada tahun 2021, tahap kelahiran hanya pada 1.12 bagi setiap wanita. Ia merupakan tahap yang rendah daripada daripada kadar kesuburan global, iaitu 2.3.
Menurut CNBC Indonesia, Singapura mengalami ‘resesi seks’ diakibatkan oleh rendahnya pasangan yang berkahwin sehingga kerajaan terpaksa mengubah beberapa dasar yang sebelum ini cukup tegas mengenai jumlah anak bagi setiap pasangan. Kini, Singapura menawarkan insentif tunai ‘bonus bayi’ bagi memotivasikan rakyatnya berkahwin dan mempunyai anak. Singapura turut bercadang untuk membekukan sel telur wanita yang belum berkahwin dan ini membuka peluang wanita hamil ketika fizikalnya tidak lagi mampu menghasilkan sel telur.
Perkembangan kemajuan teknologi perubatan telah meningkatkan orang hidup secara bersendirian (bukan sebagai pasangan berkeluarga) mengubah perspektif psikologi dan interaksi. Bagi mengatasi ‘kesunyian’ mereka lebih cenderung bertemankan ‘binatang peliharaan’ atau dikenali sebagai ‘pet animals culture’. Ini sedikit sebanyak telah merombak penemuan Abraham Maslow mengenai hierarki keperluan manusia mengenai ‘keperluan kasih sayang dan disayangi’ yang cukup berpengaruh sebelumnya.
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, jumlah haiwan peliharaan telah meningkat sebanyak 114 peratus di China, 12 peratus di Singapura dan 23 peratus di Thailand. Kesan peningkatan teknologi komunikasi, penggunaan chatbot yang digerakkan oleh kecerdasan buatan semakin meningkat sehingga ada kecenderungan menjadikan robot sebagai teman dan pelayan di rumah, selepas binatang peliharaan.
Robot yang dipanggil LOVOT yang dihasilkan di Jepun turut meningkat permintaannya sehingga 15 kali ganda semasa pandemik COVID-19 akibat kesan ‘lonely economy’. LOVOT merupakan robot yang dapat menjaga dan mengawal suhu badan seperti manusia, boleh dipeluk dan memeluk. Iam boleh melayani kehendak pemiliknya bagi memenuhi keperluan deria sentuhan.
Menurut Zihad Fang dalam satu tulisan yang disiarkan oleh akhbar The Southern China Morning Post pada 2 September 2021 dan kemudian dikutip oleh Sabah Daily, pada masa sekarang 93 peratus manusia tinggal di negara-negara yang diistilahkan sebagai ‘negara tua’ berbanding 50 tahun lalu. Ia berpunca daripada turunnya kadar kelahiran semula jadi, merosotnya kadar kesuburan dan peningkatan jangka hayat penduduk. Ia merupakan kesan daripada peningkatan pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan peningkatan teknologi.
Semakin maju sesebuah negara, semakin berada dalam kemelut demografi, terutama proses penggantian penduduk dan peningkatan jumlah warga tua. Di Jepun telah muncul fenomena ‘tinggal bersendirian’ (parasite single) dan ‘mati keseorangan’ (kodukishi) akibat meningkatnya penceraian di usia tua (fenomema Jukunen Rikon) dan runtuhnya institusi kekeluargaan (hikikomori). Fenomena yang sama sedang meningkat di Korea Selatan. (Baca: Rohayati Paidi, “Fenomena Parasite Singles: Implikasi Terhadap Sosio-Budaya Dan Ekonomi Jepun”, dalam Asmadi Hassan, Md Nasrudin Md Akhir, Dinamisme Politik dan Sosiobudaya Jepun, Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Asia Timur, 2007).
Pada tahun 2020, kadar warga emas telah meningkat kepada 17 bagi setiap 100 orang manakala pada tahun 2060, menurut jangkaan Pertubuhan Bangsa-Banga Bersatu (PBB), ia akan meningkat kepada 53 dan bakal stabil pada tahap 50 dan 60. Di United Kingdom keadaan yang bakal dihadapi akan berlaku dalam masa 140 tahun, manakala di Perancis 120 tahun dan di Jerman mengambil masa selama 90 tahun. Di Amerika Syarikat, peningkatan wargatua kepada 53 dijangka berlaku sebelum dunia memasuki Abad ke-22. China dan Jepun hanya mengambil masa selama 40 tahun untuk berada pada tahap 53 peratus penduduk tua.
Di Malaysia, berdasarkan Banci Penduduk 2020, jumlah warga tua berada pada tahap 6.8 peratus atau 2.2 juta orang berbanding hanya 3.9 peratus pada tahun 2000. Menurut takrif PBB, sesebuah negara dikatakan ‘negara tua’ apabila jumlah penduduk warga emas (65 tahun ke atas) antara tujuh hingga 14 peratus daripada keseluruhan populasi. Oleh itu, menurut kesimpulan Banci Penduduk 2020, Malaysia hampir tergolong sebagai sebuah masyarakat yang menua (aging society).;
Bagaimanapun, dalam sebuah tinjauan yang dilakukan sepanjang pandemik, Malaysia menduduki tangga teratas di Asia dari segi penontonan video lucah (phorno hub). Sepanjang pandemik, trend peningkatan trafik web lucah telah meningkat kepada 11.6 peratus di seluruh dunia berbanding hanya 6.5 peratus dua hari sebelum PKP dilaksanakan (16 dan 17 Mac 2020).
Berdasarkan kata kunci (keywords) yang dicari dalam enjin carian internet, Malaysia dilaporkan berada di tangga ke-4 di seluruh dunia dengan populariti carian pada tahap 84 peratus. Slovakia menduduki tangga pertama dengan 119 peratus ‘pencarian’, kedua Bulgaria dengan 88 peratus dan ketiga Ireland pada tahap yang sama dengan Bulgaria. Ini memberikan tamparan sinis kepada seruan kerajaan agar rakyat Malaysia ‘stay at home’ kerana sebahagiannya cuba mengatasi ‘emosi terkepong’ dengan melayari pornohub.
Namun, jangkaan awal bahawa sepanjang pandemik akan meningkatkan kadar kelahiran tidak berlaku di Malaysia. Mungkin aktiviti seks dalam keluarga kurang berlaku disebabkan beban kerja rumah kerana sentiasa sibuk di dapur memenuhi tuntutan keluarga. Juga disebabkan sepanjang pandemik, tidak berlaku peningkatan pasangan yang berkahwin, bahkan ia cukup berkurangan disebabkan sekatan pergerakan, penjarakan sosial dan proses kebenaran berkahwin yang terhad atau terpaksa ditangguhkan atas kebimbangan sosial dan kesihatan.
(Bersambung “V- PERKAHWINAN DAN PENCERAIAN”)
Kamarun KH
Recent Comments