“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadah kepada Tuhan-Nya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliannya; di antaranya ialah) makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. (Surah Al-Imran ayat 96-97)
Dari sekalian banyak ibadah, haji adalah puncak ibadah ritual yang sangat dicita-citakan oleh setiap umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah sebagai saat pertemuan sejati kaum Muslimin untuk memenuhi panggilan Allah s.w.t dan merupakan kebahagiaan yang tidak terkira nilainya. Justeru pahalanya yang sangat besar, orang-orang yang mengerjakan (haji) akan dianggap oleh Allah sebagaitetamu-Nya.
“Orang yang beribadah haji dan umrah adalah tetamu Allah. Dan adalah hak Allah untuk memuliakan para tamu-Nya serta mengurniakan mereka keampunan.” (maksud hadis).
Kebahagiaan itu akan lahir ketika mereka menginjakkan kaki ke tanah suci dari memasuki Kaabah di Masjidilharam sambil mengucapkan, “Labbaik Allahumma Labbaik.” (Ya Allah aku datang memenuhi panggilan-Mu). Sungguh indah pernyataan fitrah hamba kepada pencipta-Nya.
“Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” (maksud surah Al-Hajj ayat 32).
Kaabah yang dikunjungi mengandung pelajaran yang amat berharga dari segi kemanusiaan. Di sana misalnya ada Hijr Ismail yang erti harfiahnya “pangkuan Ismail”. Di sanalah Ismail, putra Ibrahim, pembangun Kaabah ini, pernah berada dalam pangkuan ibunya yang bernama Hajar, seorang wanita yang miskin yang konon kuburannya pun berada di tempat itu. Namun demikian, wanita ini ditempatkan Tuhan di sana (atau panggilannya diabadikan Tuhan) untuk menjadi pelajaran bahawa Allah memberi kedudukan untuk seseorang bukan kerana keturunan atau status sosialnya, tetapi kerana hubungannya yang sangat dekat kepada Allah dan usahanya untuk hajar (berhijrah) dari kejahatan menuju kebaikan.
Ibadah haji adalah merupakan sumbangan Islam yang paling positif untuk melahirkan manusia-manusia yang ideal, bersatu hati dan bersatu amal, yang sering dicita-citakan oleh para ahli falsafah sejak dari zaman Plato, Al-Farabi, sampai ke zaman kita ini.
Kaum Muslimin yang bermacam-macam potongan dan kulitnya (putih, hitam, merah, kuning), bahasanya yang berlainan, lagak lakunya yang berbeda-beda, sekarang berkumpul di tanah suci yang satu. Hilang segala perbedaan dan hapuslah segala keasingan, dan semuanya berkenalan dan bersaudara, bagaikan mereka dari keluarga yang satu, bahkan lebih dari itu, bagaikan tubuh yang satu, yang sama merasakan sakit dan senang, susah dan gembira. Keyakinan tentang kemanusiaan yang bersifat universal, tiada perbezaan dalam kemanusiaan seseorang dengan yang lain, betapa pun terdapat perbedaan antara mereka dalam hal-hal lain.
Tidak pula kurang pentingnya, ibadah haji mengembalikan kenangan kepada masa hampir 50 abad (5,000 tahun) yang lampau, iaitu Nabi Ibrahim, bapa segala nabi. Bukankah dia yang telah menghabiskan segenap umurnya untuk mengabdi kepada Tuhan, berpindah-pindah mengembara dari Mesopotamia, sampai Palestin terus ke Mesir, dan dengan berpusat di tanah suci Mekah, dia meninggalkan bekas- bekas yang tetap bersejarah sampai sekarang.
Tiada yang diinginkan oleh mereka yang mengerjakan haji di Mekah melainkan keinginan yang amat tinggi untuk memperoleh haji yang mabrur. Dari segi bahasa, mabrur mempunyai dua makna. Pertama, bererti baik, suci dan bersih. Kedua, bererti diterima dan mendapat keredaan Allah.
Dengan demikian, haji mabrur adalah haji yang baik dan membawa kebaikan kepada orang yang melakukannya. Menurut pendapat ulama, haji mabrur yang tidak bercampur dengan perbuatan dosa- dosa kecil, mahupun dosa besar. Orang yang menperoleh haji mabrur akan semakin kuat imannya serta semakin meningkat amal ibadatnya.
Daripada Abu Huirairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa antara keduanya. Dan haji mabrur ada balasannya iaitu syurga. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Keunikan ibadah haji kerana ia mencakupi seluruh dimensi ibadah itu yang memerlukan pengorbanan yang tinggi dari segi fizikal, harta dan jiwa. Justeru tidak mudah untuk mendapatkan haji mabrur, sebagaimana yang dikatakan oleh Umar bin al-Khattab sekitar 1,400 tahun yang lampau iaitu pelancongan yang banyak sedangkan yang melakukan haji hanya sedikit.
Maknanya secara kuantiti, banyak orang yang mengerjakan haji tetapi secara kualiti sedikit saja yang benar-benar melakukan manasik (ibadat) haji dan memahami setiap amal ibadah haji sehingga memperoleh haji mabrur.
Dalam konteks haji, dikatakan ibadat haji yang lengkap memerlukan mujahadah iaitu satu usaha yang sungguh-sungguh untuk mencapai musyahadah kesedaran barulah dapat disebut haji mabrur.
Kesedaran ini akan melahirkan al-mahadah cinta satu persiapan untuk berkorban apa sahaja kerana Allah.
Ringkasnya ibadah yang telah sampai pada peringkat musyahadah adalah ibadah yang telah melahirkan kesedaran mengubah dan membentuk perilakunya kepada sikap yang sesuai dan nilai moral dan spirituail daripada ibadah itu.
Dalam ibadah haji, yang menjadi ukuran mabrur atau tidak baik haji kita itu adalah seberapa banyak amal ibadat haji yang telah dilakukan itu melahirkan kesedaran moral dan spirituail yang boleh melahirkan semangat untuk melaksanakan kebaikan dan kebajikan.
Dengan kata lain, seberapa jauh ibadah haji mendorong terjadinya perubahan pada diri kita, sehinggalah dapat mengubah daripada sikap negatif kepada sikap positif dan dari sikap tertutup kepada sikap keterbukaan.
Haji mabrur ditandai dengan bekasnya iaitu makna simbol-simbol amalan yang dilaksanakan di tanah suci, sehingga makna-makna tersebut wujud dalam bentuk sikap dan tingkah laku setiap hari.
Pakaian biasa ditanggalkan dan pakaian ihram dikenakan. Pakaian dapat melahirkan perbedaan, menggambarkan status sosial, di samping juga dapat menimbulkan pengaruh psikologi.
Menanggalkan pakaian biasa bererti menanggalkan segala macam perbedaan dan menghapuskan keangkuhan yang ditimbulkan oleh status sosial itu. Mengenakan pakaian ihram melambangkan persamaan darjat kemanusiaan serta menimbulkan pengaruh psikologi bahawa yang dalam keadaan demikianlah seseorang akan menghadap Tuhan pada saat kematiannya. Bukankah ibadah haji adalah kehadiran memenuhi panggilan Tuhan?
Apakah sekembalinya dari tanah suci, masih ada keangkuhan di dalam jiwa? Masih terasa adanya perbedaan darjat kemanusiaan? Masih ingin hipokrit menindas orang lain? Masih mahu berpura-pura alim tetapi hakikatnya jahil. Kalau masih ada maka kita masih mengenakan pakaian biasa dan belum menanggalkannya.
Seseorang yang pulang dari menunaikan haji, bukan sahaja merasakan dirinya kembali ke fitrah kesucian tetapi juga tumbuh dalam dirinya perasaan menjadi sebahagian daripada satu masyarakat dunia bernama bangsa Muslim. Suatu bangsa yang merapatkan barisan atas landasan tauhid yang menyatukan raja dan rakyat jelata, ulama dan kaum dhuafa, jeneral dengan rakyat jajahan.
Landasan tauhid juga menjadikan mereka bersaudara di antara orang Arab dan orang Melayu, perantau Cina dan mualaf Eropah, hamba Afrika dan pedagang India. Muncul di dada setiap haji bahawa dirinya sebahagian daripada satu kekuatan yang besar. Sesungguhnya haji yang telah menjadikan globalisasi antara Mekah, Mina, Arafah serta Madinah.
Oleh : Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments