ABBAS MAHMUD AQQAD (28 Jun 1889 – 12 Mac 1964) merupakan seorang pengarang yang cukup dihormati di Mesir walaupun hanya sempat belajar secara formal di peringkat asas. Selepas tamat sekolah rendah, Abbas tidak dapat meneruskan pendidikan lanjutan disebabkan tiada kemudahan yang tersedia di bandar kecil Aswan, hanya boleh diperoleh di Kaherah. Keadaan ekonomi keluarga ketika itu cukup terbatas, Abbas hanya mampu meneruskan minatnya dengan membaca dan belajar secara tidak formal.

Kegemaran membaca telah tumbuh dalam dirinya sejak remaja, bahkan Abbas lebih bersedia membelanjakan wang diberikan oleh ayahnya secara mingguan membeli buku berbanding menghabiskan wang untuk hal-hal yang lain seperti membeli barang permainan dan makanan ringan. Abbas dikategorikan sebagai ulat buku, sehingga dianggarkan terdapat lebih 30,000 tajuk buku berjaya dikumpulkan sehingga akhir hayat yang tersimpan di perpustakaan peribadinya. Abbas membaca pelbagai bidang, dari geografi, sastera, teologi, Islam, falsafah, biografi hingga kritikan sastera.

Abbas berjaya menguasai bahasa Inggeris dan Perancis dengan baik, juga bahasa Jerman. Beliau menguasai bahasa Inggeris hasil pergaulannya dengan pelancong Eropah yang berkunjung ke Aswan manakala bahasa Perancis dan Jerman adalah menerusi pembacaannya. Beliau juga sangat menguasai bahasa dan sastera Arab. Semasa berada di Kairo, Abbas menceburi bidang kewartawanan yang membuka minat untuk menguasai Sastera Arab. Orang yang banyak membimbingnya ialah seorang penyair terkenal Mesir, Muhammad Hussein Muhammad. Dengan bantuan Ibrahim Abdul Qadir al-Mazini dan Abdurahman Syukri, beliau mengasaskan sebuah sekolah sastera yang dinamakan Madrasah al-Diwan.

Disebabkan minat untuk mengubah atau melakukan pembaharuan sastera, Abbas mendapat reaksi balas yang cukup kuat daripada penulis-penulis Mesir terkemuka ketika itu. Antaranya, Taha Hussein, Dr Zaki Mubarak, Musthafa Jawwad dan Aisyah Abdurrahman (Bintu Syanti). Asas pembaharuan yang cuba dikembangkan telah mempengaruhi pemikiran Naquib Mahfouz (1911-2006) pemenang Hadiah Nobel 1988 dalam bidang kesusteraan; Syed Qutb (1906-1966), pemimpin Ikhwanul Muslimin yang dihukum bunuh oleh pemerintah Mesir pada 29 Ogos 1966; dan Anis Mansur (1924-2011), penulis, penterjemah dan wartawan yang berjaya menghasilkan lebih 170 buah buku dalam pelbagai bidang, di mana sebahagiannya diterjemahkan ke bahasa Perancis, Belanda dan Rusia. Abbas sendiri sangat dipengaruhi oleh pemikiran Muhammad Abduh (1849-1905), Saad Zaghlul (1859-1927) dan Thomas Carlyle (1795-1881), seorang pengkritik budaya dan ahli falsafah keturunan Scotland, United Kingdom.

Abbas pernah menolak penghargaan yang diberikan oleh Univesiti Cairo (honoris causa) dan beberapa penghargaan lain oleh kerajaan Mesir dalam bidang sastera bagi melembutkan kritikan tajamnya terhadap orientasi politik kerajaan. Abbas pernah dipenjarakan selama sembilan bulan (antara tahun 1930-1931) dan pada tahun 1942, menyuarakan bantahannya terhadap pengembangan ideologi fasisme oleh Adolf Hitler ke Mesir. Selain mengkritik Nazi di akhbar, Abbas turut menulis sebuah buku mengkritik Hitler dengan judul Hitler fi al- Mizan.

Abbas menghasilkan lebih 100 judul buku dan ribuan artikel di mana tulisan-tulisan turut diterjemahkan menjadi dokumentari televisyen yang cukup mendapat perhatian masyarakat Mesir terutama mengenai tujuh sahabat Rasulullah SAW, termasuk Abu Bakar dan Ali bin Abi Talib. Novel Abbas yang terkenal ialah Sarah, yang mengisahkan tentang seorang wanita yang sangat dicintainya, dan kumpulan puisi cintanya bersama Yusri, A’asiru Maghrib.

Salah sebuah magnum opusnya ialah Ibrahim Abul Anbiya. Ianya telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia dengan judul Sejarah Nabi Ibrahim: Tinjauan Agama Samawi Hingga Jejak Arkeologi, oleh Khairul Iman dan diterbitkan oleh PT Rene Turos (Jun 2021). Buku ini dianggap sebagai rujukan yang cukup meluas dan lengkap mengenai susur galur sejarah Nabi Ibrahim AS, yang dirujuk sebagai pemula kepada tiga agama Samawi (berdasarkan wahyu), iaitu Judaisme (Yahudi), Kristian dan Islam. Tiga agama yang turun dari langit (wahyu) itu mempunyai sejarah yang bersambungan dengan Nabi Ibrahim AS dan dikenali sebagai Ibrahimic Faith. Tiga agama tersebut diturunkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul, dengan mempunyai kitab sucinya masing-masing sebagai ajaran-ajaran yang diturunkan ‘dari langit’.

Nabi Ibrahim AS, menurut Kitab Kejadian dilahirkan di Ur, Chaldea dan nasabnya bersambung dengan Sam bin Nuh, iaitu Ibrahin bin Tarah bin Nahur bin Saruj bin Ra’u bin Falij bin ‘Abir bin Syalih bin Arfakshadz bin Sam bin (Nabi) Nuh. (hal. 16). Dalam karya ini, Abbas berusaha untuk menelusuri kisah Nabi Ibrahim As dalam rentang waktu yang cukup lama (sekitar 4,000 tahun) dan cuba menjawab keraguan ke atas beberapa fakta yang didakwa oleh sebahagian orang sebagai ‘fiktif’, atau dongeng.

(Haji Abu Yahya) Dr Jerald F Dirk, penulis buku Ibrahim: Sang Sahabat Tuhan (edisi terjemahan terbitan PT Serambi 2004, hal. 24-25) menjelaskan: Ibrahim dilahirkan sekitar tahun 2166 SM dengan nama Abram, yang secara etimologi berasal dari Abi’ram. Abi’ram bermaksud “terpujilah bapa saya”. Abram tidak diberikan nama Ibrahim sehinggalah lahirnya putera pertama, Ismail dan kerana itu “namamu bukan lagi Abram, melainkan Abraham kerana engkau telah Kutetapkan menjadi bapa kepada sejumlah besar bangsa.”

Menurut versi al-Qur’an, petik Jerald F Dirk, Ibrahim adalah putra Aazar. Dalam versi Taurat, mencantumkan salsilah hingga ke Adam AS, putera Terah, putera Nahor I, putera Serug, putera Rehu, putera Peleg, putera Eber, putera Selah, putera Arpakhsad, putera Sem, putra Nuh AS, putera Lamekh, putera Metusalah, putera Henokh, putera Yared, putera Mahalaleel, puteran Kenan, putera Enos, putera Set, putera Adam. Kitab Kejadian mencantumkan dua saudara laki-laki Ibrahim, iaitu Nahor II dan Haran II, serta satu keponakan (anak saudara) lelakinya, iaitu Luth AS, putera Haran II.

Abbas berpendirian bahawa sejarah adalah sebuah petunjuk sebuah kehidupan yang pernah ada dan berlaku pada sesuatu masa, maka ia sangat memerlukan proses serta pembuktian. Hal inilah telah membuka penerokaan Abbas yang cukup mendalam dan ilmiah, bukan sahaja digali daripada ungkapan-ungkapan yang terdapat di dalam al-Qur’an bahkan merujuk ke pelbagai sumber (manuskrip) agama-agama samawi, jejak-jejak arkeologi hinggalah kepada kutipan pertuturan dan cerita-cerita rakyat yang hidup dalam pengetahuan penganut tiga agama samawi itu (Israiliyyat).

Penggalian bukti sejarah itu penting kerana manusia tidak memiliki sifatnya yang kekal (abadi) atau baqa(baqa), manusia bukan sahaja beradaptasi atau berubah sesuai dengan zamannya. Bagi Abbas, jika sesuatu makhluk itu tidak dapat beradaptasi dengan zamannya, makhluk tersebut akan dianggap ketinggalan dan diancam kepupusan. Hal ini menjadikan setiap orang ada masanya, dan setiap masa ada orangnya, maka percubaan yang dilakukan oleh Abbas adalah sebagai suatu ikhtiar untuk mendedahkan perihal zaman dan kehidupan Nabi Ibrahim AS, menerusi penggalian sumber yang cukup panjang dan kemudiannya dibincangkan sebagai sebuah catatan sejarah. Inilah yang menjadikan karya ini cukup penting dan paling hebat penerimaannya dalam kalangan masyarakat Islam hingga kini.

Dalam Kitab Kejadian (kitab pertama dari Al-Kitab dan kitab Taurat Musa atau Tanakh, yang disebut sebagai beresyit dalam bahasa Ibrani yang bermaksud ‘pada mulanya’) bahawa ayah Nabi Ibrahim AS iaitu Tarah bin Nahur mempunyai tiga orang anak: Ibram (Nabi Ibrahim AS), Nahur dan Haran. Salah seorang anak Haran bernama Luth (Nabi Luth AS). Isteri Ibram bernama Sarai (Sarah) manakala isteri Nahur ialah Malikha binti Haran. Sarai ialah puteri Haran dengan isterinya yang lain, bukan ibu kepada Ibram. Dalam Fasa ke-20, Ibrahim AS mengakui bahawa “ Sebenarnya (Sarai) ia memang saudaraku. Ia anak ayahku, hanya saja bukan anak ibuku, lalu ia pun menjadi isteriku.”

Tarah membawa keluar anak-anaknya (Ibram dan Luth) bersama menantunya (Sarai) dari Ur (Kaldan) ke Tanah Kana’an. Ketika sampai di Haran (terletak antara Sungai Khabur dan Sungai Eufrat, di bahagian utara Irak) mereka menetap di situ dan Tarah meninggal dunia ketika berusia 205 tahun.

Dalam Fasa ke-12, Tuhan memberitahu Ibram : Pergilah dari negerimu, dari keluargamu, dari rumah ayahmu ke negeri yang akan Kutunjukkan padamu. Aku akan menjadikanmu bangsa yang besar, dan Aku akan memberkatimu, menjadikan namamu besar. Engkau akan mendapat berkah. Aku akan memberkati orang-orang yang memohon berkah bagimu, dan Aku akan mengutuk orang-orang yang mengutukmu, Melalui dirimu, semua suku bangsa di bumi akan memperoleh keberkatan.” Dari situ, Ibram dan Luth meneruskan perjalanan menuju ke Tanah Kan’an.

Ketika Allah SWT menampakkan diri kepada Ibram dan berfirman, “Kepada keturunanmu, Aku akan mengaruniakan negeri ini. Maka, Ibram pun membangun sebuah tempat pengorbanan untuk Allah yang telah menampakkan diri kepada-Nya. Kemudian ia menuju ke gunung dan mendirikan sebuah tenda di sebelah timur Beit-El dari arah barat dan Lumay dari arah timur. Setelah itu, Ibram melanjutkan perjalanannya dan berangkat menuju ke Tanah Negev.

Ketika itu, umur Ibram ialah sekitar 75 tahun. Ibram ditemani oleh Dzakha’ir dan Masyiyah. Mereka kemudiannya tiba di sebuah tempat bernama Sikhem (sekarang dikenali dengan nama Nablus atau Neapolis), atau lebih tepatnya Ballahut Mamre (Elonei Mamre atau Haram Rahmat al-Khalil, sekitar empat kilometer daria Hebron. Menurut Injil, ia adalah tempat tinggal Nabi Ibrahim AS selepas berpisah dengan Luth dan di situ dibangunkan sebuah tempat ibadat. Lokasi ini sekarang terletak di kota kuno al-Rama Street). Selepas itu, Ibram kembali menyambung perjalanannya ke Negev (kawasan padang pasir tandus seluas 13,000 kilometer persegi), di mana di bahagian selatannya adalah Teluk Aqaba dan bandar Eilat. Di bahagian utara ialah  bandar Bersheba.

Semasa berlakunya bencana kebuluran (kemarau panjang), Ibram pergi ke Mesir. Ketika hampir mendekati Mesir, Ibram memberitahu Sarai: Sungguh, aku tahu bahawa engkau adalah seorang wanita yang mempunyai paras yang cantik, sehingga orang-orang Mesir melihatmu dan menyangka dirimu adalah isteriku. Lalu mereka akan membunuhku dan membiarkanmu hidup. Sebab itu, katakanlah bahawa engkau saudariku supaya aku diperlakukan dengan baik keranamu dan nyawaku selamat di atas kemuliaanmu.”

Semasa memasuki Mesir, seperti yang diduga ramai yang terpesona dengan kecantikan Sarai termasuk para pembesar Fir’aun. Berita kecantikan Sarai sampai ke pengetahuan Fir’aun, di mana akhirnya Sarai dijemput ke istana. Fir’aun yang ikut terpesona melayan Ibram dengan baik yang kemudiannya dihadiahkan seekor biri-biri, lembu, sepasang keldai, unta serta hamba lelaki dan perempuan yang gagah dan rupawan.

Namun, dalam masa yang sama, Allah SWT turut mengazabkan Fir’aun. Semasa berhadapan dengan azab tersebut, Fir’aun memanggil Ibram dan berkata: “Apa yang kau lakukan padaku? Mengapa tidak kau beritahukan bahawa ia (Sarai) itu adalah isterimu? Mengapa engkau mengatakan, ‘ia saudariku,’ sehingga aku hendak mengambilnya untuk kujadikan isteriku? Atas sebab itu, ambillah dan pergilah!”.

Kemudian Firaun memerintahkan pendekarnya untuk menghantar mereka ke luar daripada istana.

Ibram kemudian kembali ke Beit-El, iaitu tempat di mana didirikan khemah sebelum berhijrah ke Mesir. Mereka berhijrah ke Mesir kerana Beit-El dikatakan tidak cukup untuk menampung petempatan Ibram dan pengikut-pengikutnya dan untuk menternak haiwan. Selang beberapa lama kemudian, tempat itu menerima perubahan yang cukup menarik, semakin maju dan membangun. Di antara mereka adalah kaum Kan’an dan Farizi.

Perkembangan tersebut membuatkan timbul rasa curiga dalam diri Ibram. Pada suatu hari, Ibram memberitahu anak saudaranya, iaitu Nabi Luth AS: “Aku mohon, janganlah terjadi perselisihan antara aku dan engkau, juga antara pengikutku dan pengikutmu karena kita ini bersaudara. Bukankah seluruh negeri ini ada di hadapanmu? Pergilah ke mana kau suka. Jika engkau ke kiri, maka aku pergi ke kanan.”

Luth, cukup memahami persoalan itu. Maka Luth berusaha untuk mencari suatu tempat yang subur dan akhirnya mendapati Mesir sangat sesuai. Awalnya, Luth memilih sebuah daerah bernama Jordan, namun tidak lama di situ. Luth kemudiannya berpindah ke Sodom, yang sangat identik dengan budaya hidup masyarakat yang cukup buruk dan menjengkelkan. DI situlah Luth terpaksa berhadapan dengan tentangan dan rintangan untuk memperbaiki kehidupan masyarakat, yang akhirnya kisah pengamal sodomi merupakan kisah perjuangan yang cukup bersejarah dan dijadikan bukti kehancuran. Allah SWT melaknat pengamal- pengamal homoseksual yang kini kembali diperkatakan sebagai tema terbesar dalam perjuangan hak asasi manusia di mana tidak sepatutnya dihalang untuk melegalisasikan perbuatan tersebut, termasuk perkahwinan sejenis dan kegiatan homoseksual.

Ibram terus kekal di Kan’an. Ibram kemudiannya diperintahkan oleh Allah SWT agar: , “Layangkanlah pandanganmu dari tempatmu berdiri. Tengoklah ke utara, selatan, timur, dan barat. Kerana di seluruh negeri yang kau lihat itu akan Ku anugerahkan kepadamu dan keturunanmu selama-lamanya. Aku akan menjadikan keturunanmu layaknya debu yang tak terhitung, kecuali ada orang yang dapat menghitungnya. Mereka akan tinggal di sepanjang dan seluas mana pun wilayah yang kau mahu.”

Ibram pula bermastautin di Balluthat Mamre ( wilayah Jebron atau Hebron, yang terletak dalam wilayah Israel sekarang)   dan dia membina sebuah mazbah atau tempat pengabdian diri kepada Allah. Setelah didirikan mazbah, tidak lama kemudian berlakulah peperangan antara puak Badia (Badui) dengan kaum Hadhar di Beka. Masyarakat Badui ialah masyarakat desa manakala kaum Hadhar yang masyarakat yang tinggal di kawasan bandar. Dalam pertempuran tersebut: “ keluarlah Raja Sodom, Raja Gomora, Raja Adma, Raja Zeboim, dan Raja Bela, yang tak lain adalah Zoar. Mereka mengatur siasat perangnya di Lembah Sidim, melawan Kedorlaomer, Raja Elam, Tideal, Raja Goyim, Amrafel, Raja Sinear, Raja Ariokh, dan Raja Elasar. Empat raja melawan lima raja.

Lembah Sidim adalah satu tempat yang dipenuhi dengan konflik berdarah. Salah satu konflik berdarah telah menyebabkan raja Sodom dan Gomora melarikan diri manakala sebahagian daripada pengikut mati tertimbus. Ada di antara mereka lari mendari perlindungan di kawasan pergunungan manakala para musuh mengambil kesempatan untuk merampas segala harta benda milik Sodom dan Gomora. Nabi Luth AS turut ditawan. Salah seorang kaum Ibrani yang berjaya melarikan diri mengadu kepada Ibram. Ketika itu Ibram hidup bersama kaum Amori atau Amurah di Balluthat Mamre.

Sebaik sahaja mendengar anak saudarnya telah ditawan, Ibram segera mengumpulkan orang- orangnya yang sudah dilatih untuk mengejar hingga ke kawasan Dan. Ibram bersama 318 orang pengikutnya berusaha untuk menyerang musuh ketika malam. Ia berjaya dilakukan dan musuh-musuh tersebut dikejar hingga ke Hoba (utara Damaskus). Luth dan orang-orang yang ditawan itu dibebaskan bersama-sama harta mereka.

Sekembalinya Ibram daripada misi pembebasan tersebut, Raja Sodom menyambut kepulangan itu bersama-sama Raja Salem, Melkisedek. Mereka menunggu dengan membawa roti dan anggur. Mereka kemudiannya memohon kepada Ibram dan Ibram berkata: “Ibram telah diberkahi oleh Allah Yang Mahatinggi, Pemilik langit dan bumi. Segala puji bagi Allah Yang Mahatinggi, yang telah menyerahkan musuh-musuhmu ke tanganmu.” Ibram kemudian menyisihkan satu persepuluh harta rampasan kepada Raja Sodom dan Raja Salem.

Raja Sodom kemudian berkata: “Berikanlah kepadaku orang-orang itu, dan ambillah semua harta rampasan itu.”

Ibram membalas: “Aku telah bersumpah kepada Allah Yang Mahatinggi, Pemilik langit dan bumi, bahawa aku tidak akan mengambil selembar benang atau sandal sisian (berbeda antara kanan dan kiri) pun dari semua yang ada padamu. Sehingga engkau tak akan pernah mengatakan, ‘Aku telah membuat Ibram kaya.”

Selanjutnya Ibram menambah: “Aku tak akan mengambil apa pun, kecuali apa yang telah dimakan atau dipakai oleh para pemuda yang pergi bersamaku, yaitu Aner, Eskol, dan Mamre. Biarlah mereka mengambil bahagian mereka masing-masing.”

Selepas itu, Ibram mendapat perintah dari Allah dalam satu mimpi: “Jangan takut, Ibram, Akulah perisaimu, dan pahalamu sangat besar.” Ibram menjawab, “Ya Allah, Ya Rabbi, apakah yang hendak Engkau karuniakan padaku? Sampai saat ini aku masih belum mempunyai anak (mandul), sedangkan yang akan mewarisi rumahku adalah Eliezer (al Ya’zar),” orang Damaskus itu.”

Rayu Ibram : “Sesungguhnya Engkau belum menguruniakan keturunan kepadaku, sehingga budak yang lahir di rumah akulah yang akan menjadi pewarisku.”

Allah SWT seterunya menyatakan: “Bukan. Bukanlah orang itu yang akan menjadi pewarismu, melainkan anak kandung engakaulah yang akan menjadi pewarismu.” Lantas, Allah SWT menarik Ibram keluar dan berfirman: “Dongaklah ke langit, dan hitungkanlah bintang-bintang jika engkau sanggup melakukannya. Seperti itulah banyaknya keturunanmu kelak.”

Ibram menjadi bertambah yakin dan cukup berharap akan dilimpahi kebaikan. Allah SWT seterusnya berfirman: “Akulah Allah, yang telah membawamu keluar dari Ur, Kaldan untuk diberikan negeri ini kepadamu sebagai peninggalan.” Celah Ibram: “Ya Allah, Ya Rabbi, bagaimana, aku tahu bahawa aku akan memilikinya (zuriat)?

Pinta Allah SWT dalam firman-Nya: “Ambillah bagi-Ku seekor lembu betina, seekor kambing betina, dan seekor biri-biri jantan, masing-masing berumur tiga tahun, juga seekor burung terkukur dan seekor anak burung merpati.”

Mendengarkan perintah itu, Ibram segera memenuhinya. Kesemuanya itu kemudian dibelah dua, kecuali burung-burung: satu belahan diletakkan berhadapan dengan yang lain. segera mengambil semua itu untuk-Nya, lalu membelahnya menjadi dua. Meletakkan belahan yang satu berhadapan dengan yang lain. Burung-burung itu kemudian hinggap di atas daging sembelihan tersebut, lalu dihalau oleh Ibram. Akibat keletihan menghalau burung-burung tersebut, Ibram tertidur menjelang senja. Tiba-tiba Ibram merasakan suasana sekeliling begitu gelap dan sangat menakutkan.

Ketika itu, Allah SWT berfirman: “Ketahuilah, dan kenalilah bahawa keturunanmu akan menjadi pendatang di negeri yang bukan negeri mereka. Mereka akan diperhamba dan ditindas selama empat ratus tahun. Namun, bangsa yang memperhamba mereka akan Aku hukum, dan setelah itu mereka akan keluar dengan membawa harta benda yang banyak. Sementara engkau akan pergi menuju kepada nenek moyangmu dengan sejahtera. Engkau akan dimakamkan pada usia yang sangat tua. Lalu, keturunanmu dari generasi keempat akan kembali ke sini, karana kejahatan orang-orang Amori belum selesai.”

Ketika hari makin gelap, matahari sudah terbenam muncullah sekelumit cahaya dari celah- selah potongan daging bersama asap. Selepas itu, Ibram mendengar suara yang disertai dengan suatu ikatan perjanjian (gath’ ar-rabb) dengan Allah: “Kuberikan negeri ini kepada keturunanmu, mulai dari sungai Mesir (Nil) sampai ke sungai besar, iaitu Sungai Eufrat. Mereka adalah bangsa Kenyan (Kenite), Qanizi (Kenizzite), Kadmon, Het (Hittites), Faris (Persia), Amori (Amurah), Rephaim,* Kan’an, Jerjasyi, Yebus.

Cukup panjang sejarah yang ditelusuri oleh Abbas Mahmud al-Aqqad dalam mencari bukti bahawa Nabi Ibrahim AS adalah Abu al-Anbiya (bapa para nabi) dan pembawa risalah tauhid yang menjadi sumber ajaran agama-agama samawi – Yahudi, Kristian dan Islam. Sebahagian besar para nabi dan rasul adalah bernasabkan Ibrahim, dari Nabi Ismail, Ishak hinggalah kepada nabi terakhir, Muhammad SAW. Wallahuaklam.

Tajuk Buku                 : Sejarah Nabi Ibrahim: Tinjauan Agama Samawi Hingga Jejak Arkeolgi

Nama Penulis`             : Abbas Mahmud al-Aqqad (1889-1964)

Nama Penterjemah      : Khoirul Imam

Nama Penerbit            : Rene Turos, 2021

Jumlah Halaman         : 349+ xiv halaman.

Nama Pengulas          : KAMARUN KH

Translate »