Terjadi perselisihan pendapat tentang sejauh mana wanita dapat menggunakan hak- hak politik dalam pandangan Islam. Ada yang berpendapat bahawa wanita tidak mempunyai hak untuk menggunakan hak-hak politik. Manakala pendapat lain menyetujui peranan wanita berhubung kait dalam hak-hak politik. Malah ada yang berpendapat bahawa hak-hak politik wanita bukan persoalan agama atau fikih, melainkan masalah sosial politik. Mengenai persoalan kepimpinan wanita sebagai pemimpin dalam sesebuah negara, Fatima Mernisi, seorang penulis wanita dari Maghribi berpendapat, menjadi satu penerimaan umum di kalangan masyarakat Islam, isu wanita menjadi pemimpin adalah sesuatu yang dianggap janggal dan bertentangan dengan Islam.

Pada hakikatnya, syari`at yang dibawa oleh Rasulullah SAW juga telah meletakkan wanita di satu kedudukan yang sebenar. Islam telah menetapkan hak-hak wanita dengan sempurna, tanpa dikurangi sedikitpun hak-hak tersebut. Islam memuliakan wanita dan meletakkannya ke darjat yang tinggi. Al-Qur’an telah menjelaskan bahawa wanita adalah satu unsur yang turut bergiat dalam membangunkan masyarakat serta menjaga keutuhan dan kesejahteraan ummah. Menurut Prinsip Asasi dalam Islam, kaum wanita dilihat sebagai makhluk manusia yang mempunyai roh kemanusiaan yang sama dengan kaum lelaki, firman Allah;

Maksudnya;

“ Wahai sekelian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah mnciptakan kamu daripada satu jiwa (Adam) dan darinya Allah menciptakan isterinya (Hawwa) dan dari kedua-duanya, Allah membiakkan kaum lelaki dan kaum wanita yang ramai.”

(An-Nisa’ : ayat 1)

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah membuktikan bahawa lelaki dan wanita berasal dari satu kejadian yang sama asal keturunannya dan sama juga matlamatnya dan persamaan itu melahirkan pula persamaan di sudut hak-hak, seperti persamaan hak di sudut nyawa (untuk terus hidup), hak-hak kehormatan dan hak-hak harta benda. Kaum wanita dalam Islam diberikan kehormatan yang sewajarnya. Kehormatan mereka tidak boleh digugat dan tidak boleh dinafikan. Pendek kata, Islam memberikan hak yang sama sama ada lelaki mahupun wanita, tanpa sebarang perbedaan. Seluruh larangan dan suruhan Allah adalah meliputi seluruh lelaki dan wanita.

Muhammad Qutb, dalam kitabnya: Salah Faham Terhadap Islam, terjemahan Yusoff Zaki Yaakob menjelaskan bahawa Kaum lelaki dan wanita diberi hak-hak yang sama untuk merealisasikan keperluan-keperluan kebendaan mereka dan kebebasan menguruskannya seperti hak memilih dan hak mengurus harta milik mereka dengan bebas. Mereka sama-sama bebas menggadai, memberi sewa, mewakaf, menjual, membeli dan mendapatkan faedah daripada harta benda mereka, mendapat pesaka dan lain-lainnya. Firman Allah yang bermaksud;

“ Bagi orang lelaki ada bahagian dari hasil usaha mereka dan bagi perempuan juga ada hak bahagian dari hasil usaha mereka.”

(An-Nisa’ : ayat 32)

Ijtihad ulama seperti Dr. Yusuf al-Qardhawi adalah antara ulama yang menyutujui akan hak-hak wanita terutamanya dalam bidang politik. Beliau berusaha mengangkat martabat wanita di tengah arus budaya permisivisme barat yang secara hebat menyerang sendi-sendi kehidupan agama dan masyarakat Islam. Qardhawi mengajak semua pihak memberi perhatian terhadap persoalan wanita dan secara adil Islam menempatkan wanita pada kedudukan yang mulia sesuai dengan peranan dan tugasnya dalam keluarga dan masyarakat tanpa mengabaikan tuntutan syariah. Menurutnya tanggungjawab wanita tidak hanya terbatas pada wilayah domestik, tetapi lebih penting kepada masalah sosial hinggalah kepada urusan politik.

Fatwa Markas Ikhwan Al-Muslimin yang diasaskan oleh Al-Ustaz Imam as-Syahid Hasan Al-Banna juga bersependapat dengan beliau. Menurutnya; secara umumnya, wanita bukanlah makhluk yang lebih rendah kedudukannya daripada lelaki. Kami telah menyampaikann dalil mengenai pemilihan pendapat ahli feqah kami bahawa sesungguhnya wanita-wanita sebagaimana kaum lelaki mempunyai hak untuk terlibat dalam pemilihan umum dan hak untuk dipilih sebagai anggota dewan, samada di pusat mahupun di daerah atau negeri. Mereka juga mempunyai hak untuk memegang jawatan sebagai ahli dalam majlis tersebut. Mereka juga berhak untuk memegang tampuk kepimpinan selain imamah kubra (khalifah) dan derivatnya. Manakala yang berhubung dengan jabatan kehakiman, persoalan ini masih terbuka pintu untuk kita melakukan ijtihad mengenainya.

Terdapat banyak contoh keterlibatan wanita dalam politik di zaman Rasulullah SAW dan Para Sahabat R.A.. Salah satu daripadanya adalah ketika mana orang-orang Islam sebelum berangkat menuju medan perang, Rasulullah SAW akan mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat dan bertukar-tukar pendapat. Isteri-isteri para sahabat pun menghadiri pertemuan-pertemuan seperti ini dan ikut sama memberikan pendapat mereka.

Khalifah Umar al-Khattab juga telah melantik seorang perempuan yang bernama As-Syifa’ binti Abdullah untuk menjawat jawatan sebagai Pengawas Kewangan di zaman pemerintahannya. Pengawas Kewangan sepertimana yang kita ketahui termasuk dalam kekuasaan umum dan tugas keagamaan yang meliputi Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar. Jabatan ini berkait rapat jabatan kehakiman, kerana pengawas kewangan mesti memberikan perincian dalam perdebatan yang tidak memerlukan dalil, sebagaimana di sisi lain, ia memberikan pengajaran terhadap orang yang melakukan maksiat atau memberikan pendidikan kepada masyarakat umum. Oleh yang demikian, tugas ini termasuk dalam tugas-tugas penting dalam masyarakat Islam. Jika Amirul Mukminin mengangkat seorang perempuan untuk menduduki jabatan ini, maka ini menunjukkan kemampuan, penggunaan hak-hak-hak dan persamaan wanita dengan lelaki.

Umar sendiri sering bermesyuarat dengan kaum wanita dan menerima serta melaksanakan pandangan mereka dalam berbagai masalah. Sebagai contoh pernah satu ketika, Umar melihat kaum wanita menetapkan mahar yang cukup tinggi untuk satu pernikahan di saat kedudukan ekonomi mereka berada di tahap yang sangat baik. Saidina Umar RA khuatir gejala yang sejak beberapa lama dikhuatirkan oleh kebanyakan orang berkenaan dengan penetapan mahar yang tinggi akan berterusan dan menjadi adat di kalangan umat. Oleh itu beliau cuba menetapkan agar kaum wanita tidak menentukan mahar melebihi empat ratus dirham. Pandangan beliau tersebut telah ditentang oleh seorang wanita Quraisy yang mengatakan dengan penuh keberanian dan ketegasan; “ Tidakkah tuan pernah mendengar bahawa Allah SWT telah berfirman; ..Dan kamu sekelian telah memberikan kepada salah seorang di antara wanita-wanita itu harta yang banyak, maka janganlah sekali-kali kamu sekelian mengambilnya kembali walaupun sedikit?.” Sebaik sahaja Saidina Umar mendengar kata-kata wanita tersebut, beliau berkata;“ Semoga Allah memberikan keampunannya, semua orang ternyata lebih bijak dari Umar.” Dalam satu riwayat yang lain dinyatakan Umar berkata kepada perempuan tersebut;“ Ibu ini yang benar dan Umar yang salah.” Umar bersyukur kepada Allah, kerana masih ada di kalangan rakyatnya yang berani memperbetulkannya dan berterima kasih di atas teguran itu dan menerima teguran wanita tersebut dengan hati yang terbuka.Kemudian Umar naik ke atas mimbar dan memberikan ucapannya.

Dr. Mustafa as-Siba’ei ketika mengulas sejauh mana Islam menetapkan atau membenarkan hak wanita dalam pilihanraya dan hak mereka dicalonkan sebagai wakil rakyat di parlimen. Beliau menyatakan;

“Setelah berdiskusi dan bertukar pendapat, kami membuat kesimpulan bahawa Islam tidak melarang wanita untuk menggunakan haknya dalam pilihanraya. Pilihanraya adalah pemilihan rakyat terhadap wakil-wakil yang menggantikan mereka dalam menggubal undang-undang dan mengawasi tindak tanduk pihak pemerintah. Proses pilihanraya adalah proses yang berlaku ketika seseorang itu menuju ke pos pemilihan. Di sana mereka akan memberikan suaranya untuk calon yang dipilihnya yang akan bertindak sebagai wakilnya di dalam parlimen atau di dewan rakyat. Wakil-wakil ini akan mengemukakan pandangan serta saranan mereka di dalam parlimen atau dewan tersebut atas namanya dan dalam masa yang sama bertindak sebagai pembela yang memperjauangkan hak dan kepentingannya. Di dalam Islam, wanita tidak dilarang untuk memilih seseorang yang akan mewakilinya dalam memperjuangkan hak dan menyalurkan aspirasinya sebagai salah seorang ahli atau warga masyarakat.”

Catatan : Ibnu Majid

Translate »