Jika kita diberi pilihan untuk memilih antara pemimpin yang warak dan bijak dalam hal pentadbiran dengan yang warak tetapi jahil tentang pentadbiran sudah tentu yang warak dan bijak diberi pilihan utama. Masyarakat tidaklah sebodoh itu untuk menilai siapa di antara yang paling wajar untuk dipilih.

Apatah lagi al-Quran sendiri memberi petunjuk secara tersurat atau tersirat dalam pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk dalam menjawab “siapakah yang layak kita pilih?”

Tidak mudah terhimpun dalam diri seseorang kedua-dua sifat tersebut secara sempurna, tetapi kalaupun harus memilih, maka pilihlah yang paling sedikit kekurangannya dan lakukan pilihan setelah bersungguh-sungguh untuk mendapatkan yang terbaik.

Ketika Imam Ahmad Ibnu Hanbal ditanya tentang dua orang yang dicalonkan untuk memimpin satu pasukan – yang pertama kuat tetapi bergelumang dalam dosa dan yang kedua baik keberagamaannya namun lemah – beliau menjawab: “Orang pertama, dosanya dipikulnya sendiri sedangkan kekuatannya mendukung kepentingan umat; dan orang kedua keberagamaannya untuk dirinya sedangkan kelemahannya menjadi petaka bagi yang dipimpin.” Inilah pertimbangan dalam menetapkan pilihan.

Anda boleh menetapkan pertimbangan anda, tapi ingatlah selalu sabda Rasul: Siapa yang mengangkat seseorang untuk satu jabatan yang berkaitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui ada yang lebih tepat, maka sesungguhnya ia telah mengkianati Allah, Rasul dan kaum Muslim.

Menjadi pemimpin tidak hanya dituntut tanggungjawab oleh rakyat, tetapi yang lebih tinggi lagi tanggungjawab disisi Allah s.w.t.

Pemimpin yang baik ialah yang berupaya iaitu yang mempunyai ilmu dan kemampuan. Setiap orang berhak menjadi pemimpin, tetapi tidak semua orang dapat mengembangkan tugas-tugas kepimpinan kecuali orang yang menpunyai kemampuan tinggi serta didukung ilmu pengetahuan yang luas, cerdik dan menpunyai wawasan.

Islam mewajibkan umatnya untuk memperdalami ilmu pengetahuan agama mahupun pengetahuan umum. Dengan pengetahuan umum, seseorang itu mampu memimpin sesuai dengan bidangnya dan dengan pengetahuan agama seseorang itu tidak akan melakukan pengkhianatan kepada Allah mahupun kepada masyarakat.

Kenapa Allah tidak memilih malaikat untuk menjadi khalifah? Rasul sendiri pun menolak permintaan Abu Zar Alghifari untuk menyandang sebarang jawatan. Sedangkan kita tahu malaikat dan Abu Zar adalah mereka yang terkenal warak, zahid, dan bertakwa. Tetapi jawatan itu tidak diserahkan kepada mereka yang tidak ada nafsu seperti malaikat atau orang yang masyhur waraknya seperti Abu Zar.

Pemimpin banyak memerlukan kemampuan dan pengurusan bukan soal warak atau lebih tegas juga soal baik buruk seseorang itu. Sebab itu Allah menyatakan Aku tahu apa yang kamu tidak tahu. Namun Allah buktikan segala cakap-cakap-Nya dengan memanggil Adam dan malaikat untuk menghadapi ujian. Setelah ujian itu dilaksanakan oleh Allah, ternyata Adam berjaya sedangkan Malaikat gagal dalam ujian berkenaan.

Adam telah dilantik sebagai khalifah di muka bumi ini. Antara pengajaran yang boleh dipetik, tidak salah kita memilih orang yang kurang baik pada pandangan kita untuk menjadi pemimpin sekiranya dia lebih mampu dan bijak mengendalikan pengurusan negara.

Soal warak, zuhud dan sebagainya adalah soal peribadi sedangkan soal kemampuan dalam pengurusan adalah soal kebajikan umum. Jadi kalau seseorang itu lebih mampu mengurus kepimpinan, maka dia yang lebih layak dilantik sebagai pemerintah sekalipun kurang warak dan ada juga yang melakukan kesalahan.

Tidak salah kita memilih dan mengekalkan pemerintahan yang ada hari ini kerana ia bertepatan dengan kaedah siasah syariah iaitu apa yang tidak dapat semua, janganlah dibuang semua sekali. Kaedah ini diamalkan sehingga ke hari ini. Penerimaan kaedah ini telah dapat mengekalkan keamanan sehingga kumpulan yang menentang kerajaan juga merasai nikmat tanpa kekecualian.

Bermakna janganlah kita jatuhkan pemerintahan hari ini jika sekiranya terdapat beberapa kelemahan sedangkan kelemahan itu boleh diperbaiki dan diperkuatkan dengan sokongan yang diberikan. Bak kata pepatah Melayu, “janganlah kerana marahkan seekor nyamuk, habis kelambu dibakar”.

Janganlah kerana kesilapan seseorang itu, kita membuang semua yang ada hari ini dengan cuba menjatuhkan pemerintahan yang ada dan telah terbukti kewibawaannya. Lebih jelas lagi janganlah kita sekadar tertarik dengan kewarakan Abu Zar atau kesucian malaikat sedangkan ia tidak boleh membantu dari segi pengurusan manusia.

Hari ini kebanyakan orang ramai mungkin terkeliru apabila keadaan sebaliknya berlaku. Sejarah Adam pernah melalui beberapa kesilapan sebagai manusia sedangkan malaikat bersih dan tidak pernah melakukan kesilapan. Sudah pastilah pemikiran kita tertumpu kepada malaikat tetapi apabila persoalan ini dikemukakan kepada Allah, Allah dengan tegas memilih manusia, yang banyak mengerjakan dosa daripada malaikat yang banyak bertasbih.

Justeru Allah mengatakan Aku lebih tahu apa yang kamu tidak tahu. Sebab itulah muka bumi ini selamat sehingga hari kiamat. Oleh itu janganlah mudah terkeliru dengan cakap-cakap sesetengah golongan yang kononnya undi parti mereka akan masuk syurga dan sebagainya.

Kita kena tanya mereka adakah Nabi s.a.w. tidak masuk syurga kerana tidak melantik Abu Zar yang masyhur bertakwa atau tidak memilih mereka yang warak dan zuhud. Tidak ada orang yang warak dan zuhud seperti Abu Zar hari ini. Kenapa kita harus bagi jawatan kepada mereka sedangkan Nabi sendiri telah memilih untuk tidak menyerahkan sebarang jawatan kepadanya. Malah sabda Nabi kepada Abu Zar, jawatan itu suatu penyesalan di akhirat nanti.

Nabi s.a.w. pernah menegur sahabatnya Abdul Rahman bin Samurah jangan meminta jawatan dalam sabdanya yang bermaksud:

Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah kamu meminta kedudukan dalam pemerintahan. Sungguh, jika kau diserahi satu jawatan tanpa meminta, maka kamu akan ditolong oleh Allah. Tetapi jika kau diserahi jawatan itu kerana permintaanmu, maka (semua risiko) akan dipikul oleh kamu sendiri. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh : Zakaria Ashari

 

Translate »