Dalam tradisi keilmuan Islam, termasuk tradisi sufi ada beberapa cerita aneh, bukan sahaja tidak logik menurut hukum akal, ia juga mengandungi cerita yang cuba dikaitkan secara langsung dengan rentetan sejarah antara keduanya. Misalnya, dua tokoh yang hidup pada masa berlainan, tetapi dikaitkan seumpama pernah bertemu, walhal tidak hidup dalam period masa yang sama. Naratif yang digambar, dicerita dan disebarkan diterima sebagai hubungan yang ‘akrab’ asalkan cerita itu ‘mencerminkan pandangan umum generasi terkemudian’, autoriti seseorang tokoh yang dianggap guru yang cukup berilmu.

Imam al-Junaid al-Baghdadi yang (meninggal antara 296-298H (909-910) adalah contoh naratif sedemikian, iaitu hubungannya dengan Ibnu al-Kullab (Abū Muhammad ‘Abdullāh bin Sa’īd bin Muhammad bin Kullāb al-Qattān al-Basrī, meninggal 240-241H/854-855). Menurut as-Subki (Abu Al-Hasan Taqī al-Dīn Ali ibn Abd al-Kafi ibn Ali al-Khazraji al-Ansari al-Subkī, 683-756H/1284-1355), Ibnu Kullab tidak pernah bertemu dengan al-Junaid. Itulah gambaran yang terdapat dalam buku edisi terjemahan tulisan Dr Ali Hassan Abdel-Kader, Imam al-Junaid al-Baghdadi: Pemimpin Kaum Sufi, (Jogjakarta: Diva Press, 2018), yang menjadi bahan ulasan kali ini.

Jelas al-Subki: Aku melihat catatan dalam kisah az-Zahabi yang menyatakan: “Itu tidak benar, kerana ibnu Kullab hidup pada masa Ibnu Hanbali, bagaimana mungkin dia boleh bertemu dengan al-Junaid?”. Al-Kullab meninggal tahun 240 atau 241H/855, sedangkan al-Junaid tahun 910. Al-Junaid dianggarkan lahir tahun 220H, ketika berumur 20 tahun, al-Kullab sudah meninggal dunia. Al-Junaid hidup pada period awal Daulah Abasiyah, di masa pemikiran dan falsafah berkembang pesat di Irak, yang ditandai zaman keemasan pemerintahan Abasiyah.

Ibnu Hanbali atau Ahmad ibn Hanbal (Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin Abdullah bin Habban bin Abdullah bin Anas bin Auf bin Qasit bin Mazin bin Asyaiban bin Zahal bin Ta’labah bin Akasyah bin Syaab bin Ali bin Bakar bin Wa’il bin Qasyid bin Hanab bin Aqsi bin Da’mi bin Jadilah bin Asad bin Rabiah bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan, 164-241H/780-855) merupakan seorang pakar hadis dan juga teologi yang sangat zuhud serta sabar.

Ahmad telah menghafal hadis dan sanadnya sehingga satu juta. Ibnu Hanbal menghafaz al-Qur’an ketika berumur 10 tahun. Semasa berusia 15 tahun, Ahmad pergi menuntut hadis ke Baghdad, Mekah, Kufah dan Madinah. Semasa tiba di Mekah, beliau tidak sempat menemui Imam Malik (meninggal pada tahun 179H). Minat yang mendalam dalam bidang hadis membolehkannya berkelana hingga ke Yaman dan berguru dengan Imam Syafi’e dalam bidang ilmu feqah. Menurut anaknya, beliau bersolat sebanyak 300 rakaat sehari semalam dan tidak ikut berperang akibat dipenjara.

Al-Junaid mempelajari tasawuf daripada bapa saudaranya, Sari as-Saqati. Saqati meninggal ketika berusia 98 tahun (253H), seorang peniaga rempah-ratus. Suatu hari, ketika diberitahu kiosk tempatnya menjual rempah-ratus terbakar, as-Saqati menjawab: Dengan ini, aku tidak perlu lagi menjaganya. Setelah ke pasar tersebut, as-Saqati mendapati kiosknya tidak terbakar sedangkan kiosk-kiosk yang lain semuanya hangus, selepas itu disedekahkan seluruh hartanya kepada orang miskin dan mula mengabdikan diri kepada tasawuf.

“Dilaporkan, disebabkan pengibadatannya yang sangat tinggi dan tekun, al-Junaid menyatakan: Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih bongkok kerana beribadat kecuali as-Saqati – pada usia sembilan puluh lapan tahun tidak satu kali pun dia mengurangi ibadatnya, kecuali pada saat dia terakhir kali sakit.” (hal.41)

Al-Junaid merupakan pemimpin sufi terkenal di Baghdad pada Abad ke-3H/ke-9 M, yang ketika itu berhadapan dengan pelbagai aspek perkembangan ilmu-ilmu hasil pengaruh pemikiran falsafah Yunani. Islam yang muncul sebagai pembina tamadun manusia telah berinteraksi dengan pelbagai peradaban seperti Byzantium, Parsi dan India sebelum aliran pemikiran rasional Yunani menjadi

dominan. Ia berlaku akibat kegiatan penterjemahan pemikiran Plato, Socrates, Aristotle ke dalam bahasa Arab yang dimulai pada awal zaman Daulah Abasiyah, terutama di Syria. Kegiatan terjemahan ilmu ke bahasa Arab berkembang dalam dua period: pada zaman awal penubuhan hingga ke zaman pemerintahan Khalifah al-Makmun 183-218H/809-833; dan semasa pemerintahan al-Muqtasim dan al-Mutawakkil, yang berpusat di Baghdad. Pada tahun 830M, al-Makmun membangunkan Bayt al-Hikmah, House of Wisdom sebagai pusat intelektual.

Di hujung pemerintahan al-Makmun, pengaruh Muktazillah membuak-buak sehingga berlaku serangan ke atas ulama-ulama yang tidak bersetuju mengenai pentafsiran al-Qur’an menurut pandangan Muktazillah. Salah seorang yang menjadi mangsa ialah Ibnu Hanbal.

Diceritakan, semasa usaha penangkapan dimulakan, Ibnu Hanbal berdoa kepada Allah SWT agar tidak bertemu dengan al-Makmun. Dengan takdir Allah SWT, al-Makmun meninggal ketika dalam perjalanan menangkap Ibnu Hanbal. Khalifah al-Muktasim juga terpengaruh dengan fahaman Muktazillah. Sebahagian besar ulama yang menentang Muktazillah telah ditangkap, kecuali Ibnu Hanbal.

Pada suatu hari, dengan melakukan penyamaran, aktivis Muktazilah memancing Ibnu Hanbal dan kemudian dibawa bertemu al-Muktasim. Dalam peristiwa itu, aktivis Muktazillah mencadangkan khalifah membunuh Ibnu Hanbal, tetapi al-Muqtasim bimbang kerana pengaruhnya adalah cukup besar di Baghdad.

Akhirnya, Ibnu Hanbal dihukum sebat sebanyak 160 kali. Ibnu Hanbal hanya pengsan semasa disebat untuk sebatan terakhir (ke-160). Bila tersedar, Ibnu Hanbal sudah berada dalam penjara. Imam Ibnu Hanbal dipenjarakan selama 28 bulan. Dengan pemenjaraan tersebut, rakyat mula membantah khalifah, yang kemudiannya menyebabkan kesihatannya terganggu,

Selepas dibebaskan pada 25 Ramadhan 221H, al-Muqtasim bertaubat. Ibnu Hanbal memaafkan kesemua mereka yang pernah mengkhianatinya. Selepas al-Mutawakkil mengambil tampok pemerintahan Abasiyah, keadaan telah banyak berubah dan Ibnu Hanbal mula dijemput ke istana untuk mengajar.

Sebagai ganjarannya, al-Mutawwakil memberikan ganjaran kepada Salih bin Ahmad, iaitu anak Ibnu Hanbal. Ini menyebabkan Ibnu Hanbal membuat keputusan tidak akan memakan makanan yang disediakan oleh Salih. Imam Ibnu Hanbal meninggal dunia pada 13 Rabiul Awal 241H (31 Julai 855) dan pengkebumiannya diiringi oleh lebih 860,000 orang dan solat jenazah oleh lebih 1.3 juta orang.

*****

Selagi as-Saqati masih hidup, al-Junaid enggan mengajar kerana menghormati ilmu guru dan bapa saudaranya. Al-Junaid pernah memberitahu: Oh, Saqati, jika engkau mati, orang-orang tidak akan boleh lagi menemukan seseorang sepertimu”. Semasa as-Saqati tenat, pada satu malam, al-Junaid bermimpi munculnya utusan dari Alah, yang berkata: Wahai al-Junaid! Bercakaplah kepada manusia, kerana Allah telah menjadikan kata-katamu sebagai kata-kata yang berguna bagi keselamatan umat manusia.” (hal. 45).

Sebaik terjaga, al-Junaid sedar bahawa kedudukan ilmunya adalah lebih ‘hebat’ berbanding a-Saqati. Keesokannya, al-Junaid didatangi oleh seseorang yang membawa utusan daripada as-Saqati, melalui sepucuk surat yang tertulis: Kau tidak bersedia berceramah di hadapan murid-muridmu pada hal mereka sudah memintamu melakukannya. Dan kau pun menolak ajakan Syeikh Baghdad dan permohonanku. Saat ini, utusan itu telah memerintahkanmu, patuhilah perintahnya.”

Al-Junaid mengelamun: Angan-angan yang tadi memenuhi kepalaku lenyap seketika. Aku percaya kalau Sari as-Saqati mengetahui segala hal yang kufikirkan, dengan begitu kedudukannya lebih tinggi

daripada kedudukanku kerana dia mengetahui fikiran-fikiranku yang tersembunyi, sedangkan aku sendiri tidak mengetahui kedudukannya.

“Aku mendatanginya dan meminta maaf serta bertanya bagaimana dia sampai tahu kalau aku bermimpi bertemu Allah. Dia menjawab: Aku bermimpi bertemu Allah. Dia mengatakan kepadaku kalau Dia mengirim seseorang utusan untuk meminta aku mengajar.” (hal.45-46).

Menurut Dr Ali Hassan, as-Saqati boleh disamakan dengan Socrates, tidak meninggalkan apa-apa tulisan, tetapi tidak bermakna pengetahuan dan ilmunya lenyap. Al-Junaid meneruskan ajaran-ajaran as-Saqati sebagaimana Plato mengembangkan ajaran Socrates.

Al-Junaid menciptakan struktur sistematik tentang tasawuf dan kemudiannya memindahkannya ke dalam tulisan. Sementara Sari as-Saqati membahas persoalan-persoalan tasawuf dengan metod yang hampir-hampir mirip dialog Platonis. Dia sering mengadakan kajian, mengajukan pentanyaan, dan memimpin halaqahnya guna mengulas bermacam-macam persoalan yang berkaitan dengan amalan tasawuf. Tak diragukan lagi, dia adalah sufi pengamal.” (hal.46).

Sari as-Saqati adalah pengasas sufi Baghdad, yang berbeza dengan madrasah sufi lain yang ada di Syria dan Khurasan. Madrasah kendalian as-Saqati bersama al-Muhasibi (Abu Abdullah al-Haris bin al-Asad Muhasibi, meninggal 243H), sangat menekankan persoalan tauhid, manakala muird-murinya dikenali sebagai ‘Ahli Tauhid’, Arbab at-Tauhid. Menurut al-Junaid: Syria merupakan rumah bagi kesopanan, Iraq bagi kefasihan, sedangkan Khurasan bagi keikhlasan.” (hal.47).

Disebabkan persaingan, Madrasah Sufi Baghdad dicemburui oleh pengamal-pengamal sufi bukan Ahli Tauhid, mencabar pengetahuan tauhid sebagai terminologi esoterik (yang hanya dapat dicapai oleh segolongan kecil, orang yang menerima ‘makrifat’, atau orang yang menerima pendidikan khusus) yang khas (isyarat). Isyarat-isyarat itu tidak difahami oleh orang kebanyakan.

Inilah yang terjadi pada Musa al-Hallaj, salah seorang murid al-Junaid. Ia merupakan puncak kepada tekanan terhadap Madrasah Sufi Baghdad, yang sebelumnya turut dikaitkan dengan penyebaran doktrin athies, murtad dan reinkarnasi. Bahkan al-Junaid pernah dituduh sebagai pengamal bida’ah. (hal.96).

Al-Junaid pernah terselamat daripada dakwaan sebagai penentang kaum sufi pada zaman sebelum pemerintahan Khalifah al-Muwaffaq, hanya kerana mengakui dirinya sebagai ahli feqah. Ini kerana ahli sufi mengajarkan ‘Cinta Allah’, di mana menurut Ghulam al-Khalil: ‘tidak mungkin ada cinta antara Allah dan manusia, cinta hanyalah sifat makhluk dan bukan sifat Sang Pencipta sehingga tidak ada seorang pun yang boleh mengatakan: Aku mencinta Allah dan Allah mencintaiku.” (hal.97)

Ghulam al-Khalil merupakan seorang yang sangat bencikan ahli sufi. Dalam Madrasah Sufi Baghdad terdapat pelajar perempuan. Salah seorang ialah pelajar wanita yang sangat ghairah untuk berkahwin dengan Summun, kawan baik al-Junaid yang mendapat julukan ‘Sang Pencinta’. Setelah mengetahui perempuan tersebut sangat ghairah, Summun mengeluarkannya daripada halaqahnya. Perempuan itu menemui al-Junaid, tetapi al-Junaid mengetahui apa yang dimaksudkan itu tidak memberikan aap-apa jawapan. Ini menyebabkan perempuan itu kecewa, dan pergi menemui Ghulam al-Khalil, yakni musuh Summun.

Dibohonginya Ghulam, dengan menyebut beberapa nama lelaki yang melakukan perkara tidak senonoh terhadap dirinya. Setelah mengumpul ‘bukti’, Ghulam mengadu kepada Khalifah. Namun, khalifah tidak meneruskan dakwaan, tetapi menyebabkan keahlian Madrasah Sufi Baghdad semakin kehilangan imej baik. Peristiwa itu turut menjejaskan jiwa al-Junaid.

Dalam versi yang lain (Siti Nur Aidah dan Team Penyelidik KBM Indonesia, 25 Kisah Pilihan Sufi Dunia, 2020, hal. 121-122) seorang wanita kaya menyerah diri kepada Summun dan berkata: Lamarlah aku”. Summun menolak pelawaan tersebut. Setelah ditolak, diadukan kepada Junaid, agar

dapat memujuk Summun. Junaid marah dan menghalau perempuan kaya itu. Wanita itu pergi menemui Ghulam dan diejek-ejeknya Summun. Ghulam menerima dakwaan tersebut dengan senang hati, kerana ia boleh digunakan untuk mengkhianati Madrasah Sufi Baghdad. Khalifah akhirnya memberi arahan, Summun dihukum pancung.

Semasa algojo (tukang pancung) sampai, tatkala berusaha menyampai perintah tersebut, lidah Khalifah menjadi kelu, pertuturannya tersekat. Arahan itu tidak dapat dilaksanakan pada hari tersebut. Pada malamnya, Khalifah bermimpi dan mendapat bisikan: Kerajaanmu tergantung kepada hidup Summun. Keesokannya, Summun dibebaskan, namun Ghulam tidak berpuas hati. Pelbagai dakwaan buruk kepada Summun disebarkan, akhirnya Ghulam hidup menderita akibat penyakit kusta.

Summun yang mengetahui kesihatan Ghulam akhirnya menyampaikan kata-kata: Rupa-rupanya ada beberapa orang sufi yang belum sempurna telah berniat buruk dan melakukan perbuatan yang tidak baik terhadap dirinya. Memang Ghulam Khalil adalah penentang tokoh-tokoh sufi dan berkali-kali menyusahkan mereka dengan perbuatannya. Semoga Allah menyembuhkan Ghulam Khalil.”

Ghulam akhirnya bertaubat dan memanjatkan doa terhadap Allah agar diampunkan dosa-dosanya. Ghulam menyerahkan semua harta yang dimilikinya kepada para sufi, namun pemberian itu ditolak.

Selepas itu, al-Junaid menjadi seorang yang pendiam dan mempengaruhinya untuk menarik diri. Al-Junaid semakin menumpukan perhatian untuk mencari dasar ajaran dalam al-Qur’an, hadis dan sunnah. Tulis Dr Ali Hassan: Barangkali dia merasa, demi kebaikan masyarakat, akan lebih bijaksana jika dia mengendalikan letupan-letupan individual seorang pemikir sufi. Dia menggiring ‘gejolak gelombang liar’ ghairah keagamaan itu ke dalam sebuah aliran sungai yang tenang yang, oleh tradisi Islam, diperuntukkan bagi kebaikan, kebijaksanaan, dan kesederhanaan sehingga gelombang liar tersebut tidak merosak tatanan.” (hal. 101).

*****

Al-Junaid mempunyai beberapa orang murid. Salah seorang ialah Musa al-Hallaj (Abu al-Mughits al-Husin bin Manshur al-Hallaj). Setelah memutuskan tidak akan berguru lagi dengan Amr al-Makki (Abu Abdullah Amr bin Utsman al-Makki, meninggal 297H), al-Hallaj berkelana ke Baghdad untuk berguru dengan al-Junaid.

Apabila al-Junaid bertanya apa tujuan mendatanginya, al-Hallaj menjawab: Untuk berguru kepadamu, wahai Syeikh.”

Balas al-Junaid: Aku tidak berhubungan dengan orang gila. Sebuah hubungan yang memerlukan kesihatan jiwa; seandainya tanpa itu, maka hasilnya akan seperti hubunganmu dengan Sahal bin Abdullah at-Tustari dan Amr.

Al-Hallaj menjawab: Wahai Syeikh, kebijaksanaan dan kegilaan adalah dua sisi manusia, dan manusia akan tetap tersembunyi dari Tuhannya sampai seluruh sifatnya dihilangkan.”

Dengarlah kau, anak Manshur!” kata al-Junaid, “Kau salah memahami kearifan dan kegilaan. Yang pertama menunjukkan spiritualiti seseorang dalam berhubungan dengan Allah, sementara yang kedua menandakan kerinduan dan hasrat yang mendalam akan cinta; kedua-duanya tidak dapat diraih dengan usaha manusia. Dengarlah wahai anak Manshur! Dalam kata-katamu aku melihat adanya ketololan dan omong kosong. (hal.114).

Al-Hallaj meninggalkan al-Makki kerana tersinggung apabila ditegur ketika mengatakan “Aku juga boleh mengeluarkan kata-kata seperti itu’. Kata-kata itu keluar ketika al-Makki sedang membaca al-Qur’an dan menyebabkan gurunya berhasrat untuk membunuhnya ‘dengan kedua belah tanganku.” Ini kerana al-Hallaj seolah-olah berpendapat, dia mampu menulis ayat-ayat al-Qur’an.

Menurut Dr Ali Hassan, ‘ajaran-ajaran al-Hallaj sangat mirip dengan ajaran-ajaran al-Junaid dan para pemuka Madrasah Sufi Baghdad. Dia mengajarkan doktrin unifikasi (penyatuan), tauhid, milik al-Junaid. Hanya saja dia mengajarkannya dengan cara yang ekstrem sehingga mengejutkan kaum muslim kebanyakan. Doktrin yang ditulisnya dalam Kitab al-Tausin, diringkaskan menjadi sepotong kalimat ‘Anna al-Haq(Akulah Allah), sehingga tidak mengejutkan jika pada saat al-Hallaj ditangkap dan dihukum kerana dianggap sebagai pengamal bida’ah, banyak syeikh yang mengingkarinya. (hal.115).

Sebenarnya, apa yang dimaksudkan “Anna al-Haq’ bukanlah sebagaimana ditafsirkan secara literal Akulah Allah. Maksud al-Hallaj ialah “Akulah Yang benar” , bukan merujuk dirinya sebagai “Tuhan”. Menurut Imam al-Ghazali, ia sama sekali tidak menyebut dirinya adalah Tuhan kecuali menyatakan Kebenaran atau Haq dari Dzat Yang Maha Agung. Oleh itu, ia bukanlah pengakuan al-Hallaj sendiri, ia langsung daripada Kalam Dzat Yang Maha Ada setelah tersingkap habis semua tabir diri dan kefanaan telah lebur dalam keagungan Dzat Maha Mutlak. Al-Ghazali menamakannya sebagai ‘tauhid puncak’, al-fana’ fi al-tawhid, iaitu di mana seseorang itu tidak lagi melihat dirinya, kerana yang terlihat ialah hanya Allah. (Dr Hasyimsyah Nasution, Filsafat Islam, Jakarta: Gaya Media Pratama, 2015, hal. 77-78). Ia selari dengan maksud ayat al-Qur’an: Apabila telah tersingpa Kebenaran (Haq) maka lenyaplah semua yang bathil.” (al-Isra’: 81).

Bahkan, al-Hallaj pernah berkata: Aku tidak memaklumatkan keilahiahanku, namun inilah yang kami, kaum mistik sebut sebagai penyatuan dengan Wujud Ilahiah (‘ayn al-Jam). Allahlah yang menuliskannya, sedangkan aku cuma sebagai alat.” (hal.115)

Kerana “Anna al-Haq’ al-Hallaj terpaksa menerima akibatnya. dijatuhi hukuman mati pada tahun 309H/922M. Menurut anaknya, Hamid bin al-Hallaj : Abad kelahiran Hallaj (858M) adalah abad gejolak intelektual dan eksperimen ilmiah yang hebat di dunia Islam. Ilmu-ilmu Yunani dan filsafat baru saja menjadi bahagian dari kesedaran umat Muslim. Metod analisis baru menyebabkan kemajuan teknologi serta sampai sekarang dalam kepercayaan, ambisi peribadi dan keserakahan dari para Khalifah, wazir, hakim, ahli hukum, ahli teologi, sekte ekstremis adalah antara penyebabnya,

“Kaum intelektual, termasuk penyair, sarjana, dan sasterawan, takut pada wewenang sehingga Baghdad bengkak dengan orang yang lebih atau kurang canggih berebut posisi dan dompet yang ditawarkan oleh pelindung yang bosan melayani diri sendiri. Sederhananya, saat itu adalah zaman inflasi, baik dalam hidup dan dalam retorika: kekerasan instan [segera] dan konstan [berterusan] bersaing demi kekuasaan di berbagai tingkat otoriti kelembagaan”. (Hamid bin al-Hallaj, Kematian al-Hallaj: Sebuah Kisah Dramatis, edisi terjemahan, Jogjakarta: Titah Surga, cetakan kedua 2020, hal. iv-v).

Sebelum khalifah membuat keputusan menghukum al-Hallaj, al-Junaid telah menerima beberapa pucuk surat untuk menyatakan pendiriannya terhadap muridnya itu. Dinyatakan, Khalifah Muqtadir-Billah menghantar tujuh surat dan hanya surat terakhir (ketujuh) dijawab setelah selesai merenung, bertahajud dan memohon menunjukkan kebenaran dari Allah SWT. Dalam balasan itu, al-Junaid menulis: Menurut hukum syariat, Al-Hallaj dapat dijatuhi hukuman mati; tetapi menurut ajaran-ajaran rahsia kebenaran, Tuhan adalah Maha Tahu!”.

Jawapan itu mengingatkan kepada cerita sebelumnya. Al-Junaid pernah berkata: Hai, Mansur, tidak lama lagi, suatu titik dari sebilah papan akan diwarnai oleh darahmu!

Benar”, kata Al-Hallaj, “Tetapi dalam hal yang demikian, engkau juga akan melemparkan pakaian Kesufianmu dan mengenakan pakaian Maulwi – Ana Al-Haq”.

Sebelum tiba harinya al-Hallaj bersolat dan berdoa sambil berkata: Mereka adalah hamba yang berhimpun, sangat dahaga untuk membunuhku kerana agama Kau, dan untuk mendapatkan keredaan

Kau, maka ampunkan mereka wahai Tuhanku, dan memberi rahmat kepada mereka, kerana jika Kau membuka kepada mereka seperti Kau membuka kepadaku, mereka tidak akan melakukan seperti yang mereka sedang lakukan sekarang, dan jika Kau tutup padaku seperti Kau tutup pada mereka, aku tidak akan menghadapi malapetaka ini, baiklah apa yang Kau lakukan dan baiklah apa yang Kau mahukan.”

Kisah al-Hallaj menjadi teladan dalam kehidupan manusia. Ia adalah simbol kekuatan kuasa tirani, ketidakadilan dan kejahilan. Sebahagian penguasa, merasakan kehadiran ulama sebagai ancaman, kerana ulama menegur kebobrokan, dan ketidakadilan maka itulah ramai ulamak dituduh murtad apabila tidak sehaluan dengan pemerintah dan ulama yang dikawal oleh pemerintah!

*****

Menurut Dr Ali Hassan, al-Junaid tidak mengajarkan tasawuf secara terbuka disebabkan oleh (1) ajaran al-Junaid dianggap menyimpang (bida’ah); (2) ajaran tasawuf tidak mendapat respons secara meluas; dan (3) ungkapan-ungkapan yang dilontarkannya sukar difahami oleh orang kebanyakan, bahkan Ibnu Arabi pun sukar memahaminya.

Al-Junaid memberikan makna tasawuf sebagai: (1) bersama Allah tanpa menghiraukan hal lain; dan (2) ikhtiar yang di dalamnya seseorang tinggal (berada). Apabila ditanya, sama ada ia adalah sifat Allah atau manusia, al-Junaid menjawab: Secara hakikat ini merupakan sifat Allah, namun secara imajinasi, ini adalah sifat manusia.” (hal.155-156).

Terdapat empat tahap tauhid menurut al-Junaid: pertama, Tauhid orang awam; dua, Tauhid orang-orang yang menguasai pengetahuan agama; dan, ketiga dan keempat ialah Tauhid yang dialami oleh orang-orang terpilih yang memiliki pengetahuan esotoris (makrifat). (hal,168).

Terdapat dua teori Tauhid, iaitu Teori Perjanjian (Mitsaq) dan Teori Pelupaan (Fana). Teori Mitsaq ialah ‘seorang hamba akan kembali kepada keadaan asalnya, dia sejatinya adalah sebelum dia muncul.’ Teori Fana pula membawa maksud sebagai cara, kaedah dan pelatihan untuk mencapai tahap ‘menghilangkan wujud kemanusiaannya terlebih dahulu (wujud sekunder) sehingga boleh merasakan kewujudan Illahiyah dalam Penyatuan dengan Tuhan (wujud primier). Namun kedua-dua teori ini saling melengkapi.

Dengan membaca buku ini, kita memperoleh gambaran pemikiran tasawuf al-Junaid, hasil-hasil tulisannya dalam bentuk risalah, kitab dan kumpulan surat menyurat, yang kadangkala memaksa kita memikir ulang kenapa ungkapan-ungkapan itu sukar difahami, didakwa bida’ah dan ada ketikanya seumpama ektase (ectasy). Kita sedar, al-Junaid tidak menulis berdasarkan pengetahuan dalam bentuk teori, apa yang ditulisnya ialah apa yang ditemuinya dalam perjalanan sufi.

Atas sebab itulah al-Ghazali cukup menyanjungi al-Junaid (pendirian tasawuf), dan pernah berkata: Ilmu ini mudah dipelajari tetapi sukar diamalkan. Aku mula mempelajarinya dengan membaca kitab-kitab mereka, seperti Qut al-Qulub karya Abu Talib al-Makki, karya-karya al-Hartih al-Muhasibi dan pelbagai anekdot tentang al-Junayd, asy-Syibli dan Abu Yazid al-Bistami…Aku berjaya memahami ilmu tasawuf melalui jalan mereka, sama ada berguru atau mendengar daripada pengikutnya…tasawuf ialah sesuatu yang tidak dapat dicapai menerusi pembelajaran, sebaliknya dapat dikecapi menerusi zauq (“rasa”), menerusi hal (keadaan khusus dialami para wali, yang kadangkala disebut oleh orang awam sebagai keadaan “lupa”. (Al-Ghazali, Penyelamat Daripada Kesesatan, terjemahan al-Munqidz min al-Dhalal, 2017, hal,76-77).

Pemimpin Kaum Sufi, Imam al-Junaid al-Baghdadi meninggal pada 28 Rejab 297H/ 12 April 910 di Baghdad. Beliau sentiasa diingati kerana menjadi guru kepada ramai pelajar, termasuk seorang sufi yang dianggap syahid iaitu Musa al-Hallaj dan ungkapan yang menarik mengenai tauhid sebagaimana dikutip oleh Taftazani dari riwayat al-Qusyairi:

Peribadi-peribadi yang bersatu merealisasikan kebersatuan-Nya dengan kesempurnaan kebersendirian-Nya, berkeyakinan bahawa Allah adalah Yang Maha Esa, Dia tidak beranak dan diperanakkan, dan Dia negatifkan segala yang berbilang banyak… Dia tanpa padanan, dan Dia adalah yang Maha Mendengar dan Melihat”. (Abu al-Wafa’ al-Ghanimi al-Taftazani, Sufi Dari Zaman ke Zaman, edisi terjemahan, Bandung: Penerbit Pustaka, 1997, hal. 110).

Seperti juga al-Ghazali, al-Junaid walaupun merupakan seorang yang cukup memahami ilmu feqah, dirinya tidak banyak bergelut dengan pertikaian terhadapnya, kerana kecenderungan untuk mempertahankan pandangan dan pendirian. Kededuanya, lebih banyak menghabiskan perjalanan intelektualnya (penghayatan, pemekaran dan pembinaan) di jalan tasawuf. Kededuanya lebih dikenali dalam bidang tersebut walaupun asalnya adalah seorang yang sangat memahami feqah.

Nama Buku : Imam al-Junaid al-Baghdadi: Pemimpin Kaum Sufi

Nama Penulis : Dr Ali Hassan Abdel-Kader

Nama Penterjemah :Irfan Zaki Ibrahim

Nama Penerbit : Diva Press, Jogjakarta, 2018

Jumlah Halaman : 392 (termasuk bibliografi dan indek)

Nama Pengulas : KAMARUN KH

Translate »