IMAM AL-GHAZALI pernah mengingatkan bahawa seseorang pemimpin perlu mendahulukan rakyatnya daripada kesenangan / kepentingan peribadi atau diri sendiri. Maka kerana itulah Islam terus menegah seseorang pemimpin daripada melakukan sesuatu yang di luar batasan.

Pemimpin yang layak dijadikan teladan ialah pemimpin yang melaksanakan tanggungjawab dengan jujur; mengutamakan rakyat dan bukannya menunjuk-nunjuk di depan rakyat.

Ada satu  kisah yang sangat menarik untuk kita renungi. Pada suatu  malam, Rasulullah s.a.w mengimami solat Isyak. Setiap kali ketika baginda menggerakkan badan, terdengarlah bunyi-bunyian seolah-olah tulang-temulang bergesel. Setelah selesai solat, seorang sahabat bertanya, “Apakah Rasulullah sedang sakit?” Dengan suara perlahan, baginda pun menjawab, “Oh tidak! Saya sihat walafiat.”

Sahabat itu berasa pelik dan bertanya, lagi, “Tetapi, mengapa tulang-tulang tuan bergesel (berbunyi) setiap kali tuan bergerak sepanjang solat tadi?” Melihat para sahabat agak cemas, Rasulullah s.a.w kemudian membuka jubah. Maka nampaklah ikatan selempang kain yang dipenuhi dengan batu-batu kerikil untuk menahan lapar. Sebenarnya, kerikil-kerikil itulah yang menimbulkan bunyi ketika baginda mengimami solat Isyak bersama para sahabat.

Umar bin Khattab tiba-tiba menjerit, “Ya, Rasulullah! Alangkah rendahnya diri kami dalam pandanganmu jika kamu mengatakan lapar dan kami tidak bersedia memberikan makanan yang lazat buatmu sedangkan kami semua hidup mencukupi, ya Rasul. Apakah kamu menyangka bahawa kami termasuk orang-orang bakhil?” Nabi Muhamad s.a.w dengan terharu menjawab, “Tidak, wahai Umar! Bukan begitu maksudku. Aku percaya kamu para sahabatku yang sangat mencintai aku. Apalagi bukanlah sesuatu yang menyusahkan dengan hanya sekadar memberikan makanan untukku. Jangankan makanan, harta dan nyawa pun kalau perlu kamu sanggup serahkan.

“Tetapi di mana akan kuletakkan mukaku di hadapan Allah kalau aku sebagai pemimpin, justeru memberatkan orang-orang yang kupimpin? Biarlah aku lapar di dunia asalkan tidak membiarkan umatku dilanda kelaparan. Sebab, kemiskinan akan menyeret manusia ke lembah kekufuran.”

Cerita mengenai kesederhanaan dan kesanggupan Nabi Muhamad s.a.w menahan lapar itu sering kita dengar. Cerita keikhlasan dan kemurahan hati baginda ketika menghadapi suasana getir pun sudah kita ketahui. Namun apa yang jarang kita dengar adalah hujah di sebalik sikap baginda yang cenderung dilihat sebagai sesuatu yang boleh menjadi kontroversi.

Hujah pertama yang kita peroleh daripada kisah tersebut ialah baginda sentiasa mengambil berat mengenai kehidupan orang lain dan tidak ingin menyusahkan mereka, meskipun orang itu adalah para sahabat setianya yang sanggup menghulurkan apa sahaja bantuan apabila diperlukan.

Kedua, baginda sanggup membiarkan dirinya lapar asalkan umatnya berada dalam kesenangan. Baginda tidak sedikit pun mengambil sikap mencari kesenangan hidup di atas kesusahan orang lain. Tidak mengumpul kesenangan di atas penderitaan rakyat yang dipimpinnya.

Teladan itu amat jarang kita dengar untuk zaman yang penuh dengan kemewahan kini. Pemimpin bukan lagi berusaha untuk memakmurkan rakyat, sebaliknya membina kedudukan tertinggi untuk dirinya sendiri, walaupun rakyat kebanyakannya masih lagi dibelenggu kemiskinan.

Paling mengejutkan ada segelintir pemimpin yang dikatakan luhur dan jujur menerima sejumlah sumbangan yang boleh digunakan untuk keluarganya. Ada pihak yang sanggup menajanya, kerana yang menaja mungkin memperoleh sesuatu secara tidak langsung daripada hubungan dengan pemimpin itu.

Jauh daripada sifat kepimpinan sebenar, Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah menganggap apa yang ada pada baginda sebagai “sesuatu yang membawa berkat”, kerana yang lebih berkat bagi baginda ialah apa yang dilakukan untuk membahagiakan umat yang dipimpinnya.

Baginda sanggup berkorban demi menyebarkan syiar Islam, tetapi kini pemimpin yang banyak menyanjungi Rasullullah s.a.w banyak pula menggunakan agama bagi memperkukuhkan kedudukannya.

Siapa lagi peribadi paling agung untuk dijadikan ‘cermin’ bagi golongan pemimpin kalau bukan Junjungan Besar Rasulullah s.a.w?

Catatan : Ibnu Majid

Translate »