Islam adalah satu-satunya agama yang sesuai dengan kemanusiaan pada setiap masa dan tempat. Ajaran Islam dapat mengangkat darjat dan martabat manusia yang merupakan satu-satu kejadian makhluk yang paling indah, mulia dan sempurna. Ia menganjurkan keadilan, kesaksamaan dan kesederhanaan. Ajaran yang penuh perseimbangan antara dunia dan akhirat, akal dan nafsu, rohani dan jasmani. Ia merupakan garis lurus dalam kehidupan manusia menuju kejayaan di dunia dan akhirat.

Hakikat ini jelas dan digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadis dan ajaran-ajaran hikmatnya kepada para sahabatnya. Antaranya ialah hadis baginda yang bermaksud:

Sekiranya kiamat akan berlaku sedangkan di tangan kamu ada benih tamar maka tanamlah benih tersebut. Sekiranya dia dapat melakukannya sebelum berlaku kiamat kerana dia akan mendapat pahala dan ganjarannya. (Riwayat Anas)

Usaha kehidupan untuk kebaikan masyarakat adalah dikira sebagai ibadah yang perlu diteruskan sehingga ke saat-saat akhir kehidupan seseorang Islam. Ia sama sahaja dengan jihad di medan peperangan, malah usaha bakti untuk kebaikan umum adalah lebih diutamakan dan lebih besar ganjarannya daripada kerja peribadi atau ibadah-ibadah khusus.

Kefahaman sempit dan negatif yang beranggapan bahawa urusan ibadah khususiah itulah sahaja urusan agama manakala urusan fardu kifayah dipandang remeh dan terpisah daripada agama, amat bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Malahan itulah sebenarnya ajaran sekular yang terdapat dalam ajaran Kristian yang menyisihkan urusan keduniaan daripada akhirat. Sebab itu pengertian ibadat selalu disalahertikan sehingga membantut dan menghalang kemajuan umat Islam itu sendiri.

Di sana sini terdapat suara yang mengatakan `bila sudah tua perlu dibersarakan’ dan `bila sudah tua atau pencen barulah hendak ke masjid’. Demikian juga bila hendak bertaubat atau ke tanah suci Mekah tunggu sampai uzur dan tua. Sedangkan ibadat haji memerlukan tenaga dan kekuatan fizikal seperti tawaf, sai dan lain-lain.

Islam tidak pernah memisahkan kerja-kerja umum fardu kifayah daripada ajaran agama. Fahaman seperti itu amatlah bertentangan dengan ajaran agama yang maha suci. Malahan itulah fahaman sekular yang sengaja diserapkan ke dalam pemikiran masyarakat umat Islam oleh pihak penjajah melalui apa yang dikenali sebagai penjajahan pemikiran.

Hadis ini juga menegaskan bahawa kerja-kerja umum di dunia ini juga merupakan ibadat untuk persediaan bekalan ke akhirat. Seseorang itu tidak perlu risau untuk meneruskan usaha-usaha tersebut dalam apa keadaan dan di mana sekalipun sama ada di dalam atau di luar masjid. Kerja tersebut juga dikira sama dan dianggap sebagai ibadah.

Setiap orang Muslim sepatutnya tidak akan ragu-ragu dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab malah hendaklah bersedia melaksanakan kerjanya dengan bersungguh-sungguh sebagaimana yang dianjurkan oleh agama sekalipun diancam bahaya.

Setiap orang perlu berada di tempat masing-masing tanpa berganjak walaupun setapak bila berhadapan dengan ancaman musuh atau bala bencana dan sebagainya. Apa yang penting ialah dia dapat melaksanakan tugas dan kerjanya dengan sebaik mungkin dan penuh ikhlas. Dia tidak perlu menggelabah dalam melaksanakan satu-satu tugas walau bagaimana besar rintangan dan ancaman sekalipun.

Di sana mungkin timbul persoalan, apakah maksud hadis itu betul dan logik kerana bila sudah berlaku kiamat apa perlu seseorang itu meneruskan kerjanya seperti menanam pokok dan lain-lain? Soalan seperti ini timbul berpunca daripada kefahaman yang cetek dalam agama dan sikap seseorang yang negatif. Ia amatlah tidak sesuai dengan tugas seorang pekerja yang benar-benar bertanggungjawab sebagai pekerja kerana soalan seperti itu adalah melibatkan soal-soal dasar dan polisi yang tidak perlu dipersoalkan oleh mereka sebagai pekerja bawahan yang diberi tugas untuk melaksanakan sesuatu. Justeru akan terhalanglah segala matlamat yang dirancangkan. Malahan apabila dia diperintah melakukan sesuatu maka tugasnya ialah melaksanakan tugas itu dengan sedaya upaya.

Hari ini cabaran besar sedang mengancam umat Islam. Bila-bila saja mereka akan diserang atau diratah oleh musuh-musuh mereka sebagaimana orang yang lahap meratah hidangan makanan daripada selayaknya. Oleh sebab itu umat Islam tidak perlu panik dan cemas malah harus teruskan usaha kebaikan yang sedang dilaksanakan selama ini dengan penuh yakin dan cekal hati. Dengan menaruh harapan yang tinggi kepada Allah untuk menjayakan usaha tersebut sehingga ke akhir hayat.

Yakinlah bahawa selagi umat Islam masih bertanggungjawab dan dapat menjalankan tugasnya dengan baik lagi sempurna sudah pasti kiamat atau kehancuran tidak akan berlaku. Inilah rahsia sebenar yang kita dapat daripada pengajaran yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. Mungkin rahsia ini susah untuk diterima dan difahami oleh akal fikiran manusia. Tetapi itulah kenyataan yang dapat diselami dan dirasai daripada intisari hadis dan pengajaran manusia yang paling agung di dunia ini.

Bila keadaan cemas seperti hari ini, ramai yang mengambil sikap yang bertentangan dengan pengajaran agama yang dianjurkan oleh hadis ini. Sebab itu kita lihat ramai di kalangan masyarakat yang mula mengambil langkah ke belakang seperti suasana dalam penjajahan dahulu yang mana pada masa itu tidak ada sekolah-sekolah yang didirikan untuk masyarakat menimba pelajaran agama selain daripada sekolah-sekolah pondok.

Sedangkan kemudahan pendidikan dan pembelajaran untuk anak-anak hari ini amat luas dan mereka berpeluang untuk meningkatkan ilmu di mana-mana sahaja di pusat-pusat pengajian yang didirikan oleh kerajaan yang mana di pusat-pusat tersebut terdapat pelbagai bidang ilmu yang disediakan sama ada di bidang ilmu khususi (fardu ain) juga umum fardu kifayah.

Catatan : Ibnu Samad

Translate »