Melucutkan nyawa seseorang secara tidak berhemah merupakan satu perbuatan yang amat dilarang oleh mana-mana agama dan peradaban. Dalam perjalanan sejarah peradaban manusia, perbuatan ganas melucutkan nyawa seseorang atas apa alasan sekalipun tetap dianggap sebagai satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan. Ia turut disamakan dengan sebuah peradaban kanibal, menyamai perbuatan binatang yang sanggup memakan daging kerabatnya sendiri.
Setiap nyawa merupakan anugerah kehidupan yang tidak ternilai harganya. Oleh itu, hak untuk hidup seseorang itu terus terpelihara melalui peraturan dan norma sosial masyarakat yang menyanjung tinggi peradaban. Kita mungkin memahami bahawa dalam sejarah manusia, pembunuhan demi mencapai sesuatu tujuan telah lama berlaku. Kita mungkin tidak boleh melupakan bagaimana seseorang yang ingin berkuasa dan mempertahankan kuasanya sanggup melakukan pembunuhan demi kelangsungan cita-citanya. Tetapi, akhirnya rakyat bangun memberontak di atas kekejaman tersebut dan seterusnya menghukum pelakunya.
Sedikit waktu lalu kita dikhabarkan dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas seorang algojo Pol Pot yang telah membunuh ribuan kanak-kanak dan wanita. Sebelum dibunuh mereka disiksa di sebuah sel yang dikenali sebagai S21 (Penjara Toul Seng) manakala wanita dan kanak-kanak dibawa ke kawasan sawah padi untuk dibunuh. Kawasan pembunuhan itu hingga kini menjadi medan sejarah yang agaknya tidak lengkap jika seseorang yang melancong ke Kemboja tidak mengunjunginya. Killing Fields adalah sebuah nama yang amat menakutkan kerana di situlah wanita, kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdaya disiksa dan dibunuh.
Islam sebagai agama yang mementingkan kesejahteraan dan kehidupan bermasyarakat secara harmoni, amat menitikberatkan persoalan nyawa seseorang. Islam mengharamkan pembunuhan hatta jika seseorang itu telah melakukan satu kesalahan. Kesalahan seseorang perlu diadili sebaik mungkin, kerana Islam tetap memberikan peluang kedua dengan membuka pintu taubat, agar mereka yang bersalah itu kembali ke pangkal jalan. Banyak peristiwa yang berlaku pada zaman Rasullullah s.a.w. berhubung dengan kes pembunuhan, walaupun secara tradisinya “hukum darah dibayar dengan darah”, tetapi dalam masa-masa yang tertentu baginda pernah tidak melaksanakannya. Baginda memberikan ruang kepada pesalah yang telah menyesali kesilapannya untuk memulakan hidup baru dengan penuh etika dan susila.
Namun, dalam peraturan moden yang berdasarkan hak setiap orang, mereka yang didapati melakukan kesalahan membunuh, akan tetap berakhir dengan kematiannya sendiri. Ini merupakan perspektif keadilan sosial, kerana tanpa mempertimbangkan unsur-unsur kemanusiaan, hakikat sebuah nyawa mereka yang melakukannya sanggup merentap nyawa orang lain secara terpaksa dan tersiksa. Atas pertimbangan itulah maka undang-undang memberikan lowongan yang sama, apabila terbukti seseorang itu melakukan pembunuhan (melucutkan nyawa seseorang), hukuman yang sama harus dikenakan ke atasnya.
Apa yang menjadi persoalan ialah dengan melucutkan nyawa seseorang yang bersalah, ia akan menjadi pengajaran kepada masyarakat kebanyakan bahawa nyawa itu adalah sesuatu yang amat berharga. Seseorang tidak boleh melakukan pelanggaran hak dan membunuh sewenang-wenangnya walaupun dalam sesetengah keadaan, ia telah bermula dengan sebuah pertengkaran yang boleh menyumbang kepada kepekatan emosi geram dan marah. Dalam suasana marah yang mendalam, emosi telah menguasai pemikiran maka disitulah keputusan drastik berlaku dengan mangambil jalan pintas.
Orang juga sanggup membunuh demi atas alasan agama. Kita mungkin dapat mempelajari bagaimana dalam sejarah manusia, ada pihak yang sanggup menggunakan agama bagi menghalalkan sesuatu bentuk pembunuhan.
Betapa kerdilnya jiwa manusia, sebuah nyawa yang amat bermakna menjadi taruhan yang begitu murah harganya. Atas alasan yang remeh, manusia sanggup membunuh. Atas alasan yang hanya perasaan tertekan manusia sanggup membunuh. Atas alasan kerana dibelenggu oleh hutang dan terdesak untuk melunaskan hutang, seorang jiran sanggup membunuh isteri dan anak jirannya sendiri. Atas alasan memungut kembali hutang, ada manusia sanggup menyiksa dan membunuh. Inilah sebuah lambang kemanusiaan yang semakin pudar dan amat terpengaruh dengan faham kebendaan yang melampau.
Agama dikesampingkan. Nilai moral bukan lagi menjadi perimbangan. Soal hati menjadi taruhan yang wajar, tetapi tidak pula memikirkan soal hati dan perasaan orang lain. Yang penting ialah soal hati sendiri menjadi puas. Meskipun kepuasan itu hanyalah sementara, iaitu pada manusia riwayat musuh itu ditamatkan, hati sebenarnya semakin resah untuk menghadapi kenyataan. Hati sentiasa dirundung kebimbangan, mula mensyaki mungkinkah ada saksi yang melihat atau ada bekas bukti yang tertinggal atau ada petunjuk yang boleh membocorkan rahsia tersebut.
Dalam hal ini ternyata, kerana setiap pembunuhan berlaku, kebimbangan dan kegusaran tetap bersarang dalam diri pelakunya. Apatah lagi jika pembunuhan itu dilakukan secara berkumpulan, ia mungkin akan menyebabkan rahsia terbongkar.Masyarakat akan terus membuat penilaian bahawa, manusia sanggup melakukan apa sahaja jika pertimbangan kemanusiaan dalam dirinya sudah hilang, hatta membunuh sekali pun.
Kejahatan atau pembunuhan atas apa alasan sekalipun merupakan suatu bentuk kezaliman. Ia merupakan sebuah petanda manusia sudah hilang hemah diri dan susila bermasyarakat. Ia adalah sebuah petanda manusia walaupun mempunyai sifat berani, jiwanya adalah jiwa pengecut. Jiwa yang tidak berani menghadapi cabaran dan mengharungi sebuah kehidupan yang sentiasa menuntut kita berlapang dada dan berfikiran terbuka. Kita yang bertanggungjawab untuk memberikan nilai terbaik dalam kehidupan dan kesejahteraan sejagat nampaknya semakin gagal memainkan peranan asasi itu. Manusia menjadi semakin resah dan gelisah, sehingga menganggap kehidupan ini sudah tidak aman dan dibelenggu ketakutan.
Kita bergelut dengan sebuah kehidupan yang tidak lagi boleh ditentukan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat. Kita sentiasa menjadi resah, tatkala ingin keluar rumah mencari rezeki, akan ada pihak yang mengekorinya kerana ingin sesuatu walaupun sekadar merampas apa yang ada dalam beg tangan atau beg sandang. Tatkala itulah kita mula merasakan dirinya setiap masa berada dalam suasana yang terancam, walaupun sebenarnya kita bukanlah seseorang yang bergelar jutawan dan mempunyai banyak wang.
Membunuh dalam apa jua keadaannya,merupakan suatu kejahatan. Ia merupakan suatu bentuk perbuatan yang amat keji, terkutuk dan sukar diampuni Allah s.w.t. Jika seseorang itu membunuh, sebenarnya dia telah mengengkari ciptaan Allah s.w.t. Seseorang yang membunuh juga bererti dia telah menghancurkan ciptaan Allah s.w.t, iaitu telah memutuskan rahmat-Nya, sekali gus memutuskan silaturahim, dan memutuskan rantaian kehidupan alam ciptaan-Nya. Sebaliknya, sesiapa yang memelihara dan menyayangi kehidupan seseorang manusia, sikapnya itu disamakan dengan memelihara dan menyayangi kehidupan manusia seluruhnya.
Dalam hal ini, Rasulullah mengingatkan menerusi sabda baginda yang bermaksud: “Perkara pertama yang akan diadili di hadapan Allah di hari kiamat adalah masalah darah (pembunuhan).” (Riwayat Bukhari, Muslim, an-Nasa’i Ibnu Majah, dan Tirmidzi)
Itulah ketetapan daripada Allah s.w.t, Pencipta dan Penguasa alam semesta. Betapa indah dan adilnya Allah s.w.t dalam menetapkan aturan bagi makhluk ciptaan-Nya, iaitu suatu ketetapan yang mengandungi nilai-nilai kemanusiaan yang teramat tinggi.
Islam mengajarkan kepada umatnya untuk bersama-sama menjaga ketenangan, kedamaian, dan kebahagiaan hidup bermasyarakat. Hal ini berlaku kerana dalam suasana hidup yang penuh ketenangan dan kedamaian, manusia akan lebih mudah melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya. Oleh sebab itulah Allah s.w.t melarang hamba-Nya menumpahkan darah atau membunuh atas apa alasan sekalipun, kecualilah dalam keadaan terpaksa setelah menerima ancaman dan mempertahankan diri.
Allah s.w.t. menegaskannya menerusi firman-Nya yang bermaksud: “… dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah s.w.t (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahami.” (al-An’aam: 151)
Catatan : Ibnu Majid
Recent Comments