Syariat Islam merupakan syariat terakhir yang membawa petunjuk Ilahi bagi seluruh umat manusia. Di antara keistimewaanya, ia bersifat umum, abadi dan meliputi segala lapangan kehidupan. Di dalamnya, di samping telah diletakkan dasar-dasar dan hukum-hukum yang mampu memenuhi keperluan umat manusia di sepanjang zaman, juga telah diberikan pula beberapa faktor kelapangan dan keluasan serta hak untuk berijtihad, terutama bagi para ulamanya, dalam masalah-masalah yang tidak ditetapkan oleh dalil qath’i (pasti).

Sejarah mencatat ijtihad muncul dalam Islam kerana ada persentuhan antara ajaran Islam dan tuntutan realiti kehidupan manusia. Melalui ijtihad, masalah baru yang ketetapannya tidak ada dalam Al-Quran dan hadis dapat dipecahkan dengan menggunakan fikiran. Melalui ijtihad, ajaran Islam berkembang pesat. Sebaliknya, kaum muslim mengalami kemunduran ketika ijtihad sirna dari kehidupan mereka. Akhir-akhir ini, muncul kesedaran di kalangan muslim untuk menghidupkan kembali ijtihad dalam rangka menjawab cabaran zaman yang berubah cepat.

Sesungguhnya ijtihad memiliki fungsi yang amat besar dan penting. Kerana tanpa ijtihad, bukan mustahil manusia akan terpeleset pada jalan yang sesat dan masa depan umat menjadi terancam. Justeru sejalan dengan perkembangan zaman, banyak masalah yang memang menuntut kehadiran ijtihad khusus dalam mencari pemecahan hukum yang sesuai dan sejalan dengan nilai-nilai ajaran Islam. Hal ini perlu dilakukan demi memelihara kehidupan manusia.

Dan ijtihad yang dilakukan merupakan ijtihad yang benar, memenuhi syarat dan dilakukan oleh para ahlinya serta pada tempatnya. Ini semua demi kemaslahatan dan masa depan umat. Ijtihad memang perlu dilakukan sekalipun persyaratan dan tentangan yang berkembang semakin berat dan kompleks.

Prinsip ijtihad, selama tetap dipraktikkan akan merupakan elemen yang dinamis dalam hukum Islam. Sejarah telah mencatat ketika Muaz bin Jabal seorang sahabat Nabi mengatakan, ia akan berijtihad jika tidak menemukan penyelesaian dalam al-Quran dan sunnah bagi permasalahan yang dihadapinya. Nabi membenarkannya. Demikian juga Khalifah Umar al-Khattab berijtihad ketika harus memecahkan beberapa masalah.

Ijtihad memang suatu amalan yang perlu dilakukan, kerana ia merupakan suatu keperluan umat Islam untuk berlindung di bawah naungannya sesuai dengan Islam sebagai cara hidup yang meliputi pelbagai aspek kemanusiaan. Kegagalan melakukan ijtihad pada hakikatnya kegagalan menyumbang usaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa Islam adalah agama yang syumul dan abadi syariatnya.

Keberadaan ijtihad membuat dunia Islam penuh dengan khazanah fiqh dan memunculkan beberapa mazhab fiqh seperti mazhab Hanafi, Maliki, Shafie dan Hambali.

Islam bukan saja bertoleransi perbezaan hasil ijtihad, sebagaimana telah diungkapkan di atas berdasarkan hadis Nabi riwayat Bukhari dan Muslim, tetapi juga menegaskan bahawa perbezaan hasil ijtihad justeru akan membawa kelapangan atau rahmat bagi umat, sebagaimana sabda Rasul s.a.w.: Perbezaan pendapat di kalangan ulama akan membawa rahmat (kelapangan).

Prinsip perbezaan ini dipegang teguh oleh para imam mujtahid terdahulu: mereka saling toleran (tasamuh), menghormati dan menghargai pendapat yang lain. Atas dasar ini, muncullah ucapan popular mereka: Bila pendapat kami benar, kemungkinan mengandung kesalahan, dan bila pendapat selain kami salah, kemungkinan mengandung kebenaran.

Mereka menyedari bahawa betapapun kuatnya hasil ijtihad mereka, tetap tidak akan dapat menggugurkan hasil ijtihad yang lain, betapapun lemah hasil ijtihad yang lain itu. Hal ini sejalan dengan kaedah: Ijtihad tidak dapat digugat (digugurkan) oleh ijtihad yang lain, Dari kaedah ini dapat difahami bahawa satu ijtihad tidak dapat membatalkan ijtihad yang lain.

Meletakkan ijtihad pada pinggiran, seolah-olah memaksa seorang muslim yang iltizam dengan agama dan tauhidnya berhadapan dengan salah satu antara dua keadaan yang serba salah, iaitu sama ada:

  1. a) Terus menerus dibelenggu jumud dan kaku, tidak mengambil peduli dengan perkembangan di persekitaran hidup, kerana gagal mendapatkan pandangan Islam terhadap perubahan yang berlaku.
  2. b) Membebas diri dari ikatan syariat dan hukum-hukum Islam, serta hanyut dalam arus pemodenan yang berasaskan prinsip-prinsip bukan Islam, bahkan dalam masa yang sama pula terpaksa menerima secara total apa jua pembaharuan yang dikemukakan.

Kedua-dua keadaan ini boleh membawa pukulan maut kepada umat Islam dan bertentangan dengan kepentingan hidup insan yang menjadikan Islam sebagai cara hidup untuk dunia dan akhiratnya.

Selain itu, tindakan menutup pintu ijtihad secara mutlak dan berterusan ini, membawa banyak kelemahan dan kejumudan dalam perundangan Islam yang sepatutnya bersifat dinamis dan mampu menghadapai segala cabaran.

Pembentukan panel yang terdiri dari ulama yang tugasnya menyampaikan pandangan ijtihad mereka secara jamai (kumpulan) sangatlah diperlukan, sama ada dengan mengguna nama jamaah mujtahid atau lain-lain. Jemaah ini juga haruslah bebas dari sebarang tekanan dan pengaruh mana-mana pihak yang boleh menggugatkan keutuhan ijtihad mereka.

Di samping itu ijtihad secara perseorangan juga harus dibuka dengan bebas, kerana ia boleh membantu ijtihad secara kumpulan dengan lebih berkesan.

Sebenarnya tidak ada sandaran daripada Al-Quran mahupun as-Sunnah yang menyatakan pintu ijtihad telah tertutup, malahan banyak ayat Al-Quran dan as-Sunnah yang menggalakkan umat Islam menggunakan akal fikiran. Adalah tidak logik kalau pintu ijtihad itu sudah ditutup sedangkan manusia yang mempunyai keistimewaannya ialah kerana akal fikirannya lagipun bagaimana umat Islam boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi dari semasa ke semasa kalau hanya merujuk kepada pendapat-pendapat ulama yang terdahulu sedangkan masalah-masalah yang baru timbul sangat berlainan dengan masalah-masalah yang silam.

Oleh: Datuk Dr. Aziz Jamaludin bin Mhd Tahir

Yang Dipertua OMIW

 

Translate »