Gejala fitnah memfitnah di kalangan umat Islam begitu meluas berlaku sehingga membawa kepada perpecahan yang tidak pernah menampakkan tanda-tanda bahawa ia akan berakhir. Perkara ini sudah diketahui umum.

Perkataan `fitnah’ berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Atau dalam pengertian sehari-hari, kata fitnah ini sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.

Banyak hadis Nabi yang membicarakan tentang fitnah dan menganjurkan agar umat Islam menjauhinya kerana ia boleh menimbulkan kekacauan dan kesengsaraan, malah tidak sedikit yang berakhir dengan pertumpahan darah.

Rasulullah s.a.w. selalu mengingatkan kaum muslim agar menghindarkan diri daripada pembicaraan yang salah kerana keterlanjuran lisan boleh diibaratkan seperti terhunusnya pedang. Justeru Rasulullah s.a.w. ketika hendak memulai sesuatu pembicaraan, baginda selalu memohon perlindungan kepada Allah s.w.t. daripada akibat buruknya fitnah.

Dalam al-Quran, perkataan `fitnah’ disebut sebanyak 34 kali dengan erti yang berbeza-beza. Fitnah dalam maksud ujian atau cubaan terdapat dalam firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 28. Manakala fitnah dalam erti seksaan terdapat dalam firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anfal ayat 25 yang bermaksud: “Dan peliharalah daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu…” Lebih daripada itu al-Quran juga menyebut bahawa fitnah itu lebih kejam dan berbahaya daripada pembunuhan.

“Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan”. (Surah al-Baqarah ayat 191).

Sikap manusia yang suka melakukan fitnah menggambarkan kelemahan dan kemiskinan dirinya sendiri. Seandainya dia kuat dalam penghujahannya sudah tentu dia tidak akan mengada-adakan cerita yang tidak benar atau menjadikan keburukan orang lain sebagai bahan pembicaraannya. Bukankah masih banyak bahan pembicaraan yang lain? Juga orang yang suka memfitnah orang lain bukan seorang ahli agama yang baik kerana ahli agama yang baik akan melihat dengan positif sesuatu yang negatif dan berusaha mencari kebaikan dalam sesuatu perkara yang dilihat terdapat keburukan. Al-Quran dalam surah al-Hujuraat ayat 12 dengan jelas menghuraikan persoalan fitnah.

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani”.

Istilah fitnah juga mempunyai persamaan dengan ghibah (mengumpat). Bezanya ghibah membicarakan keburukan orang lain yang berdasarkan kenyataan sedangkan fitnah berunsur pembohongan. Namun, kedua-duanya diucapkan untuk maksud yang tidak baik.

Dalam menjelaskan erti ghibah, Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada sahabat-sahabat baginda, “Tahukah kamu apakah ghibah itu? Mereka menjawab, “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui,” Nabi lalu menjelaskan, “ghibah adalah membicarakan apa yang tidak disenangi orang lain di belakangnya”.

“Seandainya yang dibicarakan itu benar, apakah itu juga dinamakan ghibah?” tanya sahabat. Nabi s.a.w menjawab, “itulah ghibah, sedangkan bila yang engkau bicarakan perkara yang tidak benar, maka itulah buhtan (pembohongan yang besar). (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi).

Ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) amat buruk, apalagi buhtan (memfitnah dan mengada-adakan keburukan seseorang). Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah, kerana dia masuk dalam ghibah itu sendiri. Kecuali dia mengingkarinya dengan lidah, atau menerima dengan hatinya. Bila ada kesempatan maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan lain yang lebih bermanfaat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengetahui ada orang mukmin dihina di depannya, ia harus membelanya, mempertahankan nama baik si mukmin itu. Apabila ia tidak mahu melakukan pembelaan itu, maka Allah s.w.t. akan menghinanya di depan orang ramai”. (Hadis riwayat Ahmad dan Tharani).

Marilah kita hidupkan tradisi saling memberi peringatan dengan cara yang bijaksana iaitu memberikan yang bermanfaat buat orang lain. Bukan mengheret mereka ke gerbang perpecahan yang tidak ada kesudahannya.

Translate »