Sejak Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin atau lebih popular dengan jolokan Abah dan sebelumnya disebut Muhyiddin Yasin mengumumkan peletakan jawatan sebagai PM ke-8 pada Isnin lalu (16 Ogos 2021) dan disusuli dengan menghadap Yang di Pertuan Agong oleh ketua-ketua parti semalam (17 Ogos 2021) timbul beberapa nama yang bakal dilantik sebagai PM ke-9.

Pelantikan itu perlu dibuat memandangkan keadaan semasa tidak sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 disebabkan pandemik COVID-19 belum menunjukkan tanda akan reda, bahkan kes jangkitan harian terus berada sekitar 20,000 kes sehari. Pandemik COVID-19 dijangka dapat menurun dengan banyaknya apabila mencapai imunisasi kelompok, yang disasarkan menjelang akhir tahun pada tahap 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia.

Jika menurut norma yang ditetapkan, PRU ke-15 secara rasminya akan berlangsung pada tahun 2023, iaitu lima tahun selepas PRU ke-14 atau penubuhan kerajaan secara rasmi. Namun, apa yang berlaku selepas PRU ke-14 tidak siapa dapat menduga, gabungan parti yang menang ‘mengaku kalah’ selepas berkuasa selama 22 bulan.

‘mengaku kalah’

Akibat ‘mengaku kalah’, situasi politik di Malaysia menjadi semakin hangat dengan lontaran kata-kata yang cukup menyakitkan, bahkan ada yang merasai budaya politik menuju kepada tahap homo himi lupus, iaitu manusia serigala. Kenapa tidaknya?

Dr Mahathir yang meletakkan jawatan, yang menyebabkan ketenaran dalam Pakatan Harapan termasuk perebutan ‘calon PM’, telah diserang dari segenap penjuru oleh pendokong-pendokongnya sendiri, termasuk dari dalam PPBM dan di luar PPBM. Dari dalam PPBM, pendokongnya hampir mutlak adalah bekas pemimpin UMNO, sama ada yang melompat (atau dipanggil katak) atau yang berdendam dengan Najib akibat dipecat, memulakan kerjasama yang lain atas kemahuan untuk menjauhkan diri daripada pengaruh DAP. Akhirnya, mereka yang masih menyokong Dr Mahathir tersingkir, disingkirkan oleh PPBM dan secara automatik tersingkir kerana bertentangan dengan perlembagaan parti.

Dari dalam PKR juga ada masalah besar, apabila terlampau kuat tekanan diberikan kepada Dr Mahathir untuk mempercepatkan proses peralihan kuasa, dari Dr Mahathir kepada Anwar. Alasan mereka ialah Dr Mahathir memang dipersetujui sebagai PM sementara, sejak PH terbentuk dan dipersetujui oleh Anwar yang ketika itu masih berada dalam Penjara Sungai Buloh.

Apabila terbentuknya kabinet Malaysia Baru, kumpulan yang mendokong Anwar terkilan dengan apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir. Mereka terkilan, walaupun awalnya menyambut gembira apabila Anwar berjaya mendapat pengampunan di raja, kerana Dr Mahathir melantika kelompok yang berseberangan menduduki barisan kabinet,  nama-nama yang tidak dicadangkan oleh PKR.

‘berjarak dan bermusuh’

Keadaan menjadi semakin berjarak dan bermusuh setelah Anwar menang jawatan Presiden PKR secara mutlak (tanpa bertanding), melepasi ujian apabila berjaya memenangi PRK Port Dickson, dibuatnya ‘grand design kepimpinan parti’, yakni menyingkirkan kelompok yang menyokong Azmin Ali, walaupun beliau berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Parti.

Azmin sebelumnya sudah ada beberapa sebab untuk tidak menyokong Anwar walhal beliau pernah bertekad untuk ‘merobohkan tembok sekiranya Anwar dipenjarakan’ setelah bermasam muka kesan daripada penolakan pencalonan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor dalam episod Pelan B -Langkah Kajang- yang dirancang oleh ‘punahsihat’ dan orang kepercayaan Anwar, Rafizi Ramli.

Rafizi pernah dilantik sebagai penasihat ekonomi, tetapi meletakkan jawatan kerana ada perselisihan dengan Azmin Ali. Sebelum PRU ke-14, Rafizi membuat dakwaan bahawa Azmin tidak menyumbangkan peruntukan untuk dana pilihan raya dan enggan menggunakan wang yang dimiliki oleh kerajaan negeri, termasuk dari anak syarikat kerajaan negeri, yang akhirnya menyebabkan hubungan semakin retak dan membengkak.

Selepas PRU ke-14, Azmin dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyebabkan Anwar semakin ‘meroyan’ kerana Azmin sepatutnya dikekalkan di Selangor, sebabnya, penyokong-penyokong Anwar sudah membayangkan akan berlaku keretakan yang lebih serius. Ia benar, seperti yang dijangka pada suatu peringkat, Azmin dilihat sebagai ‘orang kepercayaan Dr Mahathir’ dan diramalkan sebagai calon PM, kini sedang dilatih untuk menggilap dirinya dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Azmin perlu diherotpenyotkan imejnya, kerana dengan membiarkan Azmin menyusun strategi seterusnya bererti Anwar akan terus merungut panjang sebagai bakal PM menanti yang terkandas selepas bermimpi di malam yang cukup panjang, melebihi dongeng 1001 malam. Anwar sudah bermimpin sejak tahun 1997, dan jika ia gagal lagi dalam penentuan yang bakal berlaku dalam beberapa hari lagi, saya yakin selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada hari Jumaat, 20 Ogos 2021, ia mungkin diserang pening yang serius walaupun belum boleh dianggap terjatuh dari pokok kelapa seperti lagenda Mat Jenin.

‘kedudukan paling kanan’

Semasa pembentukan kabinet Perikatan Nasional, kumpulan yang bersama Azmin dipanggil ‘pengkhianat oleh Anwar’, Mahiaddin memberikan kedudukan paling kanan, bahkan terhegeh-hegeh menganggap dirinya sebagai seumpama timbalan perdana menteri, mengendeng fasiliti pejabat TPM walhal pejabatnya yang sebenar ialah di MITI, yang kekal berada di Kuala Lumpur bukan Putrajaya.

Namun, hayat Perikatan Nasional juga tidak lama, malah lebih pendek daripada PH. Kali ini, PN atau Mahiaddin diserang dari dalam dan akhirnya memaksanya meletakkan jawatan apabila Presiden UMNO membuat kenyataan bahawa  parti itu secara konsensus menarik balik sokongan, dan menyebabkan Mahiaddin dengan jelas hilang majoriti. Kalau sebelumnya, isu majoriti boleh disihir dan dibisukan sementara waktu – penarikan sokongan secara individu oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Nazri Tan Sri Aziz dan Ahmad Jazlan Yaakob- kali ini, Mahiaddin tidak boleh bertenggek lagi.

Semuanya sudah nyata dan jelas, Zahid walaupun tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada 38 wakil rakyat UMNO, sekurang-kurangnya terdapat 11 hingga 15 orang yang tidak bersimpati dengan Mahiaddin, Kedudukan ini seterusnya seperti ‘mengantuk disorongkan bantal’ buat PH untuk menekan Muhyiddin agar meletakkan jawatan.

Senario politik menjadi semakin menggelegak. Walaupun ramai yang sebak mendengar pengumuman terakhir Mahiaddin sebagai PM ke-8, tidak mampu mengalirkan air mata simpati wakil-wakil rakyat UMNO untuk kembali menyokongnya, sebagaimana strategi Dr Mahathir yang gagal untuk dicalonkan oleh PH sebagai calon PM dalam period ‘interim’ sebalum YDPA membuat keputusan berdasarkan pernyataan wakil rakyat menyebelahi Mahiaddin di akhir Februari 2020.

Mahiaddin yang masih diberikan peranan sebagai PM ‘caretaker’ secara tidak rasminya tidak lagi dapat dipertimbangkan untuk kekal. Persaingan yang muncul ketika ini adalah antara dua calon yang diramalkan menduduki senarai teratas, yang bakal dibuktikan menerusi surat sokongan kepada YDPA sehingga jam 4 petang ini. Semalam, UMNO sebulat suara bersetuju mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon tunggal, dan pada ramalannya sudah ada majoriti yang cukup berbanding Anwar.

‘putus asa’

Warisan, yang pernah memberikan kerjasama kepada PH semasa era Dr Mahathir enggan memberikan sokongan kepada Anwar dan hanya akan melakukannya sekiranya terbukti PM menunggu itu memperoleh majoriti. Semalam, Anwar dengan bangganya berkata, YDPA mengharapkan semua parti menghentikan ‘politik lama’, tetapi apa yang berlaku, realiti politik tidak seperti yang diinginkan oleh Anwar. Anwar mungkin terpaksa menyembunyikan ‘putus asa’ selepas mengecam Zahid kerana enggan berbincang buat kali terakhir, sebaliknya, Zahid yang dianggap sebagai ‘anak murid’ memahami hasrat dan keinginan UMNO.

Jika Zahid terus mengekalkan sokongan kepada Anwar, bererti peluang UMNO untuk membentuk kerajaan mungkin akan berakhir. Sebagaimana rakyat Malaysia faham, Anwar juga seorang politikus yang cukup licik dan penuh dengan prasangka, boleh melakukan perubahan demi mengukuhkan kedudukannya. Ramai yang faham, Anwar yang diterima oleh Dr Mahathir menyertai UMNO tahun 1981, cukup banyak menerima imbuhan akhirnya, kerana tidak sabar berusaha melompat ke depan dengan cara yang cukup cekap.

Sebaik sahaja memperoleh kepercayaan Dr Mahathir setelah gandingan 2M terburai dan penguasaan kembali Tun Ghafar Baba dilumpuhkan, Anwar mula merancang ‘agenda lebih besar’ bahkan berusaha untuk mencengkam pengaruhnya hampir di semua kementerian dan agensi kerajaan. Bahkan, pada suatu ketika, sebahagian besar Setiausaha Politik –Menteri dan Menteri Besar- adalah daripada ‘orang-orang Anwar’. Begitu juga peningkatan mendadak mereka yang ada kaitan dengan ABIM dalam perjawatan kanan di kementerian-kementerian.

Dalam penguasaan ekuiti dan saham, Anwar dikenali sebagai ‘cukup banyak bersedekah pink form’ turut dikaitkan dengan beberapa institusi kewangan baharu, sama ada sebagai institusi kewangan atau pun pemberi modal teroka (venture capital) – misalnya Abrar Corporation –  menjadikan dirinya cukup gah selepas menduduki jawatan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri. Ketika itu, Anwar cukup sinonim dengan jenama mewah pakaian dari Itali, Zegna, yang diasaskan pada tahun 1910 oleh Ermenegildo Zegna (1892-1996).

‘meredakan suhu politik’

Sebelumnya, nama Tengku Razaleigh Hamzah diberikan fokus oleh beberapa orang yang melihat bagi meredakan suhu politik, dan jika benar ada konsep PM interim, ia perlu dilantik daripada wakil rakyat yang berkecuali. Tengku Razaleigh yang merupakan wakil rakyat pertama yang tidak mengiktiraf kerajaan Perikatan Nasional atas alasan bukan pilihan rakyat dan mahukan dibuat undi percaya di Dewan Rakyat, dengan tegasnya menghantar surat kepada YDP Dewan Rakyat agar kedudukan kerusinya dipisahkan daripada blok kerajaan.

Ketika majlis menghadap YDPA dalam beberapa bulan lalu, Tengku Razaleigh turut disebut-sebut oleh orang ramai kemungkinan dilantik sebagai PM interim, manakala Anwar gagal membuktikan ‘cukup nombor’ secara terperinci dan Dr Mahathir dengan cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara seumpama MAGERAN. Bagaimanapun, Tengku Razaleigh dalam penjelasannya, pertemuannya dengan YDPA hanya sekadar sembang-sembang berdasarkan kedudukannya sebagai wakil rakyat yang paling lama dan politikus veteran. Isu itu kembali tenggelam sehinggalah muncul desakan kuat beberapa hari lalu Mahiaddin bakal meletakkan jawatan.

Daripada perspektif strategi, pengangkatan wakil rakyat berkecuali hanya sekadar menurunkan suhu politik, tetapi tidak bermakna Tengku Razaleigh bakal meraih sokongan daripada majoriti wakil rakyat. Ini disebabkan kedudukannya yang dilihat sudah suam-suam kuku dalam politik, bahkan percubaan terakhirnya menandingi jawatan Presiden UMNO tidak mendapat sokongan yang besar.

Beliau tewas kepada Zahid Hamidi. Bahkan  undi yang diperolehinya (23 undi) adalah lebih rendah daripada undi yang diraih oleh Khairy Jamaludin (51 undi) manakala dua orang calon yang lain (Mohamad Iqbal Marican, Bandar Tun Razak, WP Kuala Lumpur dan Mohamad Yusof Musa @ Jamaludin, Iskandar Puteri, Johor) gagal memperoleh sebarang undi. Jika itu diambil sebagai asas, UMNO secara umumnya telah menolak Tengku Razaleigh  kerana parti itu memerlukan ‘pelapis baharu’ yang lebih dinamik dan muda.

Semalam muncul gurauan dalam media sosial. menyenaraikan beberapa nama berasaskan umur, yang berada di kedudukan pertama ialah Dr Mahathir (96), Tengku Razaleigh (84), Anwar Ibrahim (74), Muhyiddin (74), Hadi Awang (73), Najib (68) dan Syed Saddiq (28). Dr Mahathir ‘leading dari segi umur’ bukannya sokongan daripada wakil rakyat, menariknya, nama Ismail Sabri (61) tidak termasuk dalam senarai.

Namun, malam tadi muncul bahawa Ismail Sabri sudah mendapat sokongan daripada 115 atau 117 wakil rakyat. Jika ia benar-benar menjadi kenyataan, maka Anwar tersingkir lagi. Baki 103 wakil, bukan bermakna semuanya menyebelahi Anwar atau blok PH. Anwar sudah akui, kesukaran yang sedang dihadapinya ialah untuk mendapat sokongan blok UMNO, sebabnya blok UMNO (yang bercantum kembali) dan PAS tertap berkeras ‘No Anwar No DAP’. PAS bukan ‘tidak mahu Anwar’, tetapi PAS menolak untuk mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP. Ini bermakna, sokongan PAS kepada UMNO menghidupkan kembali gagasan Muafakat Nasional yang sebelumnya hampir nazak.

Seperti dikatakan oleh Sabri Yunus, jika ditakdirkan PH memerintah Malaysia, gabungan itu mesti belajar daripada kesilapan lalu dan menjadi perikatan politik dengan wajah baru. PH dulu, melakukan begitu banyak kesilapan dan kegagalan, paling parah gagal menguruskan isu hubungan antara kaum dan ia kemudian melarat kepada kemelut lain termasuk membabitkan aspek keagamaan.

‘hancing dikencing’

Itu pandangan Sabri Yunus, pandangan yang secara berlapik untuk menyatakan tidak begitu bersetuju PH kembali berkuasa, kerana rakyat sebenarnya cukup meluat dan masih terasa hancing ‘dikencing’ oleh PH selama 22 bulan. Tidak ada yang boleh dibanggakan, kecuali Tabung Harapan Malaysia dan terlepasnya beberapa orang pemimpin DAP dan PKR daripada dakwaan mahkamah atas isu LTTE, salah guna kuasa, komunikasi jelek dan hasutan (kerjasama UMNO-PAS umpama Taliban, jika PAS dan UMNO berkuasa hari-hari ada rusuhan, Muafakat Nasional umpama permulaan gendang perang, tentera ‘makan tidur’ tidak berperang lagi, dan sebagainya).

Namun PH meninggalkan ‘legenda-mitos’ yang cukup besar – toll dimansuhkan (kami bayar balik dan boleh ada tunai yang lebih),  e-wallet RM 30 yang cukup besar, rakyat kena ikat perut, tiada tol tapi ada caj kesesakan, subsidi bersasar (petrol) kepada subsidi sasau, harga barangan naik kerana peniaga sabotaj, harga ikan kembong mahal tapi stok dalam laut masih berbilion-bilion, i-CERD dan Statut Rom, keadilan untuk Adib, Menteri bukan bodoh, Ada ijazah tapi otak kerdil, tidak boleh tidur malam buat banyak kerja, Hapus GST harga barang turun, kasut dan stoking hitam, silap laporan-silap baca-silap titik-eh- silap bilik hotel (?), warganegara sepenuhnya kepada Orang Asli, belacan lebih mahal daripada kelapa sawit, pembangunan semula Kg Baru, Lynas bahaya tapi lesen Lynas disambung sebab berhutang daripada Jepun, Samurai Bon, nelayan tanam nenas-durian belakang rumah, rakyat jangan harapkan bantuan kerajaan, dan banyak lagi.

Ia cukup berbeza dengan Perikatan Nasional walaupun dicemoh kerana kerajaan ‘pintu belakang’. Sepanjang Mahiaddin mentadbir, belum ada perkataan yang dikeluarkan untuk menghina orang Melayu dan Islam, seperti yang Dr Mahathir selalu meratib Melayu Malas, Melayu Tidak Cukup Kuat Bekerja, manifesto bukan kitab suci, malaikat pun buat silap dan kemudian disambung oleh Khalid Samad “Nabi pun berbohong”, sebaliknya beliau menerima cabaran untuk memutuskan penularan COVID-19. Cuma, yang banyak dipersoalkan ialah ‘buka pintu belakang’, menteri peraduan tik-tok, menteri mengajar tiru suara Nobita, remaja perlu tidur 18 jam sehari, kluster kayangan dan peraturan dua darjat (SOP).

Biarpun kes-kes bunuh diri dan cubaan bunuh diri meningkat, ia bukan bermakna kerajaan tidak berusaha menanganinya. Kecenderungan bunuh diri, walaupun ada kaitan dengan gangguan mental akibat hilang pekerjaan (sumber pendapatan) akibat PKP yang panjang, ia turut dikaitkan dengan personaliti mangsa. Sebagaimana yang kita percaya, bila seseorang itu mempunyai kepercayaan kepada agama cukup baik dan mendalam,  mereka tidak akan melakukan perbuatan tersebut walaupun kadangkala buntu mencari penyelesaian. Ertinya, kecenderungan tersebut ada kaitannya dengan persekitaran, stigma  masyarakat dan pengisian rohani seseorang. Bahkan, orang gila pun tidak sanggup melakukan perkara tersebut. Ada sesuatu sebab yang lebih besar perlu diteliti, dikaji dan dicarikan puncanya, kerana bunuh diri bukanlah trend masyarakat Malaysia, tidak seperti Jepun dan Korea Selatan.

Ertinya, peranan agama perlu diperkuatkan dalam kehidupan masyarakat Malaysia terutama dalam kalangan orang-orang Islam. Di sinilah sepatutnya badan-badan dakwah boleh bersatu hati untuk menggerakan pengisian rohani masyarakat dengan membudayakan makna syukur, sabar, istiqomah dan penyucian jiwa. Badan-badan dakwah tidak sepatutnya memperbesar-besarkan perbezaan pandangan ke atas hal-hal yang bersifat furu’ (ranting), dan lebih banyak menghukum (mengkafirkan seseorang), sepatutnya mengambil pendekatan komunikatif secara berterusan, bukan berdasarkan pendekatan kuantitatif (berapa jumlah ceramah, program bersifat serimonial, large volume error (berapa ramai khalayak yang hadir) tetapi bersifat kualitatif (kesan, dampak dan kesungguhan seseorang melakukan perubahan).

‘bukan Mahiaddin saja yang gagal’

Beliau telah lakukan apa yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara dan nasihat para pakar, biarpun tidak berjaya sepenuhnya. Kalau itu dijadikan ukuran, bererti bukan Mahiaddin sahaja yang gagal, bahkan seluruh dunia juga gagal. Paling dekat ialah meneliti dengan tekun apa yang terjadi di Thailand dan Indonesia, pemimpinnya juga diminta berundur kerana kes jangkitan COVID-19 meningkat sejak adanya virus varian dari India, Delta. Kalau menggunakan lojik sebagaimana difikir dan didakwa oleh ‘pakar daripada PH’, bermakna Selangor tidak sepatutnya menduduki carta teratas untuk tempoh yang begitu lama kerana kadar kebolehjangkitannya rendah (berdasarkan jumlah kes dan jumlah penduduk), tetapi setiap hari kesnya cukup membimbangkan. Selangor ada taskforcenya, tetapi peranannya menyerang apa yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat bukan membentuk kerjasama yang lebih erat untuk menurunkan kes jangkitan harian.

Siapapun yang bakal dilantik, calon tersebut perlu memahami kuasa itu disusuli dengan amanah dan tanggungjawab yang cukup berat. Tugas pertama yang perlu dilakukan ialah mempercepatkan vaksinisasi agar imuniti kelompok tidak tersasar daripada sasaran, penurunan kes jangkitan harian, dan mencergaskan semula ekonomi negara. Barisan kabinet janganlag terlalu besar sebagaimana berlaku dalam Perikatan Nasional kerana sebahagian besarnya seumpama ‘rumah kebajikan’, lebih ramai menteri yang tidak berprestasi, bahkan tidak kedengaran apa yang mereka lakukan sepanjang 17 bulan berkuasa.

PM ke-9 perlu belajar bagaimana pembaca Malaysiakini menilai prestasi menteri, yang menampakkan menteri daripada DAP mencanak prestasinya, menteri-menteri daripada PKR adalah lebih baik daripada menteri-menteri daripada Bersatu, hatta PM dan TPM sendiri. Ada menteri daripada PPBM hanya memperoleh skor kurang 20 peratus, walaupun sebelumnya ada pembingkaian secara purata PH mencapai skor 55 peratus. Belajar juga daripada kesilapan barisan kabinet PN, jumlah menteri yang lebih ramai dilihat lebih banyak bersifat ‘penumpang’ hanya yang nampak terserlah ialah daripada UMNO.

‘menteri kanan paling kiri’

Kenapa Mahiaddin lebih percayakan Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Penyelaras COVID-19 dan Khairy Jamaludin sebagai Menteri Penyelaran Vaksinisasi? Kenapa Mahiadaan tidak melantik menteri-menteri daripada Bersatu? Ertinya, Mahiaddin sebenarnya lebih mempercayai menteri-menteri daripada UMNO biarpun Azmin Ali, Dr Jidin adalah menteri paling kanan, tetapi menteri kanan paling kiri diberikan amanah yang cukup besar. Kenapa Azmin sedikit kecewa bila Ismail Sabri dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri yang pada awalnya Mahiaddin tidak melihatnya sebagai keperluan?

Jika Ismail Sabri dilantik sebagai PM ke-9, kerajaan yang dibentuknya juga merupakan kerajaan gabungan. Beliau perlu belajar dengan cepat untuk tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang berlaku ketika PH dan PN memerintah. Beliau perlu lakukan ialah mengurangkan politicking dalam kerajaan, dan setiap menteri perlu belajar dengan cepat bagaimana menguruskan krisis serta bertindak mengawal ‘kerosakan’ daripada terus berkembang melangkaui makna pandemik.

Setakat ini, istilah pandemik adalah menggambarkan kejangkitan yang meluas, melangkaui wilayah dan negara. Mungkinkah kerana varian delta dan lambda yang disebut-sebut sudah muncul (belum ada kes di Malaysia) akan menjadikan situasi lebih dahsyat lagi? Mudah-mudahan ia tidak akan berlaku, tetapi setiap daripada rakyat bukan hanya sekadar berharap, perlu mendisiplinkan diri lebih serius kerana varian itu cukup cepat merebak dan tidak bergejala, boleh menyebabkan gangguan pernafasan lebih serius dalam jangka masa yang singkat.

 

Mahanor Saleha

 

Translate »