Sebelum ini kita berhadapan dengan kesan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China dan kali ini berjangkit pula kepada perang vaksin. Perang vaksin bukan terjadi antara pengeluar vaksin, tetapi terjadi antara kuasa yang mengawal pembelian vaksin dan negara-negara kecil oleh Kesatuan Eropah (EU).

Tiga hari lalu (21/6/2021), Khairy Jamaludin sebagai menteri penyelaras mendedahkan bahawa Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada menguasai dalam pembelian vaksin terutama yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal atau pencipta vaksin yang berada di Eropah – BioNTech, Astra Zeneca, Moderna dan Johnson & Johnson.  Sivovac dan SinoPharm dikeluarkan oleh China manakala Sputnik V dikeluarkan oleh Rusia.

Iran merupakan negara Islam tunggal berjaya mencipta vaksin, tapi masih dalam ujian klinikal. Jepun juga menjadi mangsa keputusan EU dalam pembelian vaksin. Jika berdasarkan keseluruhan penduduk dunia, sebanyak 17 bilion dos diperlukan (berdasarkan setiap orang dua dos), tetapi ada negara membeli dos melebihi jumlah penduduknya. Ini bermakna, negara-negara besar mungkin menggunakan vaksin sebagai komoditi ‘dasar luar’ atau ‘strategi diplomatik’.

Hungary yang berada dalam EU juga terkesan dengan ‘sekatan’ itu, malah dilaporkan  sudah membatalkan tempahannya kerana bosan dengan ‘kerenah birokrasi’. Biarpun beluam mendapat kelulusan The European Medicines Agency, Hungary telah menempah vaksin Sputnik 7 dari Rusia. Slovakia dan Republik Czech juga sudah membuat keputusan, kerana masalah yang sama dan beralih kepada  vaksin Sputnik V.

Namun, kelmarin (22/6/2021). Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia menolak pendedahan Khairy Jamaludin mengenai sikap ‘pembolotan negara-negara kaya’ dan menjelaskan: “Segala permintaan daripada kerajaan Malaysia berhubung agihan vaksin ke negara ini sudah pun diluluskan tanpa masalah oleh Sekretariat EU” dan EU telah mengeksport lima juta vaksin ke Malaysia.

Kata Machel Rokas lagi, sehingga pertengahan Jun 2021 (15/6), sejumlah  4.87 juta dos Pfizer-BioNTech dan 560,000 dos AstraZeneca telah dihantar ke Malaysia, menerusi skim  Akses Global Vaksin COVID-19 (Covax) dan kesemua eksport yang diminta telah diluluskan dalam tempoh dua ke tiga hari. (Malaysiakini, 23 Jun 2021).

Namun, Duta EU itu tidak menjelaskan program penghantaran tempahan selanjutnya yang menurut Khairy, ia dijangka tiba bulan Julai dan Ogos sebanyak 4 juta dos lagi. Ertinya, mana-mana negara yang membeli perlu mendapat kelulusan EU dan menunggu jadual penghantarannya.

Ini tidak bermakna selepas diluluskan, terus dihantar sebagaimana difahami oleh segelintir ahli politik di Malaysia. Sebab itulah politikus berkenaan sangat lantang mengkritik kadar pemberian vaksin sehingga ada yang menyamakan dengan siput, sangat perlahan. Itu kata Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng menyifatkan kelambatan disebabkan Khairy ‘leka’ dan ‘buat kerja sambil lewa’.

Semalam (23/6/2021) Perdana Menteri ketika berada di Johor memberi tahu bahawa suntikan vaksin disasarkan sebanyak 400,000 dos sehari apabila tempahan vaksin diterima pada bulan Julai dan Ogos ini, dan ia akan menepati sasaran  80 peratus rakyat disuntik vaksin menjelang akhir tahun.

Nampaknya politikus pembangkang tidak boleh menerima dengan baik penjelasan tersebut, kerana mereka jika boleh ia disegerakan sebagaimana tafsiran terhadap pandangan Yang di Pertuan Agong (YDPA) agar Dewan Rakyat dibuka untuk berbahas dan meluluskan apa-apa perkara ‘secepat mungkin’.

Sepatutnya, sebagai seorang wakil rakyat dan calon yang sudah lama menunggu peluang untuk naik takhta sebagai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim boleh memainkan peranan,  khabarnya cukup mengenai pemimpin-pemimpin Eropah dan disanjungi di Amerika Syarikat dan Kanada. Beliau boleh menggunakan hubungan baik itu untuk membantu negara cepat mendapat bekalan. Sebabnya, menurut Perdana Menteri semua bayaran telah dibuat, tetapi tidak semua tempahan telah diterima.

Itulah sikap dan pendirian politikus di Malaysia. Susah untuk bekerjasama dalam membantu menurunkan kes jangkitan COVID-19 tetapi lebih gemar membuat dakwaan yang bersifat politik, seperti berlaku ketika kerajaan belum mempertimbangkan permohonan Pulau Pinang mendapatkan sejumlah dua juta vaksin SinoVac daripada seorang penderma. Isunya bukan kelulusan, tetapi bukti tempahan dan bayaran yang sudah dibuat oleh penderma tersebut dan siapakah pembekalnya.

Akhirnya, Lim Guan Eng mengeluarkan kata-kata kesat kepada Khairy Jamaludin ‘kepala otak dia’ sedangkan Ketua Menteri beberapa hari kemudian memohon maaf serta menolak derma tersebut di atas kegagalan penderma melengkapkan bukti telah membayarnya. Kali ini, Lim Guan Eng mengistilahkan suntikan vaksin yang ‘perlahan’ dan juga ‘lambat mendapat bekalan’ sebagai ‘leka’ dan ‘sambil lewa’.

Jika KJ ‘leka’, Lim Guan Eng sebenarnya lagi ‘nganga’ (istilah dari utara). Selama setahun beliau (‘langut’) gagal memuktamadkan rundingan ambil alih empat buah lebuh raya di Lembah Kelang daripada Gamuda. Ke’ngangaan’ itu mendorong kepada salah satu sebab Dr Mahathir (kesipuan) meletakkan jawatan walaupun kebanyakannya memberikan fokus kepada pembelotan sejak Langkah Sheraton.

Sepatutnya diteliti kenapa berlaku pembelotan dan kenapa kelekaan (sepatutnya 1 Januari 2020) dah tidak ada lagi tol dikenakan. Hangat sekali ‘rundingan’ Lim Guan Eng sehingga terkeluar pula istilah “caj kesesakan” yang kadarnya adalah sama dengan bayaran tol. Malam-malam berebut-rebutlah ‘babi, ungka, gajah, musang, serigala dan burung hantu’ melintas lebuh raya kerana tiada tol (11 malam hingga 5 pagi). Selepas waktu puncak diberikan diskaun bayaran tol.

Ia lagi ‘haru’ daripada ‘sambil lewa KJ’ untuk mendapatkan bekalan vaksin. Sebabnya, berkenaan tol dua kali Lim Guan Eng gagal. Kali pertama ialah hapuskan tol di salah sebuah lebuh raya di negeri itu yang banyak digunakan oleh pengundi Cina, tidak juga dihapuskan walaupun dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal (2008 dan 2013).

Sepuluh tahun tidak selesai, kutipan tol di Plaza Tol Sungai Nyior masih kena bayar. Kempen PRU ke-14, janji lagi nak hapuskan semua tol, termasuk tol Jambatan Pulau Pinang. Dah menang, buat alasan ‘kerajaan tidak ada duit’, macam kisah High Chaparal (Kg Buah Pala, Bukit Gelugor). Al-kisah, bukan setakat RM 30 pemberian e-wallet, ia lebih daripada nilai RM 30. Tersongeh Mak Dara hingga terjatuh tembakau songeng ke lantai.

Nasib baik penduduk Sg Nyior tidak baling ‘kelotong nyior’ seperti penduduk Kg Buah Pala r ‘hadiahkan kek tahi lembu’ kepada Lim Guan Eng ke pejabatnya. Hakikatnya, Lim Guan Eng banyak kali gagal, selain tol di Sungai Nyior, empat lebuh raya di Lembah Klang, juga gagal memahami perkiraan sebenar hutang negara. Juga ‘silap titik’ dan ‘silap baca laporan’. Sebabnya ‘tidak tidur malam’.  Entah apa yang dibuatnya sehingga terlentuk dalam Sidang Dewan Rakyat waktu siang.

Cara mengiranya  sangat kreatif, dari RM 686 bilion ditinggalkan oleh BN meningkat hampir RM 900 bilion sehingga akhir Februari 2020, saat PH tergolek seumpama Sisyphus dilenyek batu yang digoleknya sendiri ‘menuju ke puncak’ (bukan lagu tema Akademi Fantasia). Apa Lim Guan Eng cakap ketika di paras RM 686 ialah RM 1.12 trilion. Terkejut beruk semua rakyat Malaysia. Siapa tipu siapa?. Siapa Bohong? Kong Kolikong, Sami Mawong!!!!!!

Rakyat Malaysia dah tahu cara Lim Guan Eng ‘spin’. Semasa di Pulau Pinang di spinnya kisah cepat selesai hutang kepada kerajaan persekutuan. Apa yang berlaku ialah kerajaan persekutuan masih membenarkan PBA (Pihak Bekuasa Air) menguruskan bekalan air mentah walaupun semua hutang berkaitan dengannya dipindahkan ke kerajaan persekutuan menerusi satu perjanjian pemindahan aset dan perstrukturan semula aset tersebut.

Beliau terkenal dengan “Menteri Kewayangan” turut spin kos pembinaan ECRL, MRT fasa 3 yang cukup menjimatkan. Ia bukan penjimatan, ia adalah pengurangan kos akibat pengecilan spesifikasi, pengurangan jumlah gerabak dan koc, perubahan finishing stesen dan juga penjajaran semula dengan mengurangkan jumlah ‘te-lo-wong’.

ECRL tidak akan melalui Gombak – tiada te-lo-wong — kerana takut bukit batu kapur warisan dunia terjejas, lalu dilencongkan ke Jelebu (dari Mentakab), tidak lagi melalui Kuala Lumpur sebelum berakhir di Putrajaya. Maka. Pembinaan yang sudah dimulakan di Bentong jadi ‘projek terbeng-kulai’. Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) juga kesal kerana tak melintasi Seremban dan Port Dickson.

Ertinya, penduduk Kuala Lumpur tidak ada peluang menaiki ECRL ke Pantai Timur, kecuali bergegas ke Putrajaya, ‘suatu kijo-an kera-jaan pakatan hancing’, bukan menyenangkan tetapi menyusahkan orang awam. Untuk apa ke Putrajaya, terpaksa membayar tambang ERL dari KL Sentral ke Putrajaya (RM 35 sehala) dan ini menguntungkan pengendalinya iaitu anak syarikat Kumpulan YTL (Express Rail Link Sdn Bhd).

Nampak sangat ada kepentingan kroni dan perihal nepotisme. Macam juga menjadi salah satu sebab Mazlee dinasihatkan ‘pulangkan jawatan Menteri Pendidikan’ oleh Mahathir, ada kaitan dengan salah sebuah anak syarikah Kumpulan YTL (YTL Communications), perihal BestariNet.

Sebabnya, fasa 1 dah berlaku macam-macam hal sehingga beberapa kali diberikan pelanjutan, dan juga kelajuan internet di sekolah lebih teruk daripada ‘snails’. Sebelum itu macam-macam kisah timbul termasuk juga bantahan politikus kerana projek tersebut diberikan kepada ‘kroni’. Ada juga dakwaan bayaran pakej yang sangat mahal. Ada juga aduan kisah ‘sewaan tapak’ dan tanggungan KPM ‘penggunaan elektrik’ bagi ‘telecommunication tower’.

Sebelum ini masyarakat awam juga marah dengan ERL yang menyekat laluan untuk check-inn di kaunter syarikat penerbangan di KL Sentral, pasti kena beli tiket ERL terlebih dahulu. Ertinya, sesiapa yang berhasrat membuat check-inn di KL Sentral terpaksa membayar tiket ERL. ERL pun kalau tidak dibail-out oleh Mahathir, dah lama lingkup. Lagi lingkup kalau ‘monopoli’ tersebut tidak dibuat dan diluluskan.

Seperti kita ketahui, vaksin BioNTech diedarkan oleh syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer yang mengeluarkan Viagra, sudah tentu mengutamakan penjualan kepada negaranya yang terkenal dengan teriakan White Supremacy, dan sikap monopoli Donald Trump untuk “Make American Great Agains”.

Dasar Joe Biden tidak lari jauh daripada apa yang dicetuskan oleh Donald Trump. Walaupun tidak mempunyai slogan, Joe Biden meneruskan apa yang dilakukan oleh Trump bila menambahkan senarai produk dari China yang bakal dikenakan tariff tinggi kalaupun tidak berupaya menyekat kebanjiran produk daripada negara Tembok Besar itu.

Amerika Syarikat tidak boleh menerima sekatan yang sudah lama dilakukan oleh China terhadap kuasa medianya, walaupun Rupert Murdock berkahwin dengan keturunan China dan Mark Zukerberg memilih Priscila Chin, keturunan China-Amerika. Agensi penyiaran Murdock tidak berjaya menembusi penonton di China manakala facebook disekat penggunaannya. China membangunkan perisian sendiri bagi menggantikan Google (Baidu), WhatsApp (We Chat), Facebook dan sebagainya.

Bahkan dalam persaingan perkakasan, produk telekomunikasi China lebih canggih dan berteknologi tinggi. Cara yang digunakan oleh Donald Trump ialah mendakwa Huawei ikut terbabit dalam pengintipan untuk kerajaan China kerana memasang embedded software di dalam gajet jenama Huawei dan menangkap anak pengasasnya.

Tidak cukup dengan itu, China juga dihalang dalam persaingan perdagangan dengan mendakwa negara itu sangat rakus dan menyebarkan berita bagaimana negara-negara yang menerima pelaburan daripada China bakal berhadapan dengan ‘debt-trap diplomacy’. China akan memberikan pinjaman kepada negara-negara tertentu dan kemudian akan membina infrastruktur yang cukup mewah dan besar, juga mahal.

Setelah itu, negara-negara berkenaan perlu membayar hutang dengan kadar faedah tinggi. Bila tidak mampu bayar, China akan memiliki infrastruktur tersebut. Akhirnya, China bukan sahaja memperoleh untung yang besar hasil operasi kemudahan tersebut, juga boleh ‘menjajah ekonomi’ negara berkenaan, yang akhirnya boleh nampak seperti ‘tergadai’. Antara negara yang gagal dan dimasukkan dalam ‘debt-trap diplomacy’ ialah Sri Lanka.

Lain-lain negara yang sudah berhutang dengan China ialah Monteinegro ($4.7 bilion), Djibouti ($ 6 bilion), Kyrgzystan ($6.5 bilion), Samoa ($983 juta), Pakistan ($223 bilion), Maldives ($5.4 bilion), Laos ($4.5 bilion) dan Fiji ($2.7 bilion). Malaysia juga dikatakan masuk dalam perangkap tersebut kerana dua buah agensi pelaburan dan pembinaan kerajaan China dibenarkan membangun Forest City (Johor Bahru), Melaka Gateway (Melaka), ECRL (RM 55 bilion), HSR (dibatalkan) dan sebagainya.

Sehingga akhir tahun 2018, China melabur di 422 projek di Malaysia membabitkan sektor perkilangan. Menurut Prof Zainur Rasid Zainudin, lebih 70 projek mega yang melibatkan lebih RM 700 bilion sedang berjalan pesat di seluruh negara di bawah syarikat-syarikat besar China. Oleh kerana itu, pentadbir Malaysia perlu berhati-hati ‘supaya tidak dijarah sehingga hilang kedaulatan kepada besar China.’ (https://ismaweb.net/, 18 September 2020).

Kini, China dikatakan turut menjual vaksin kepada negara-negara tertentu secara berhutang. Ini kerana salah satu pengeluar vaksin SinoVac adalah milik kerajaan, yang boleh digunakan untuk melaksanakan ‘debt-trap diplomacy’ sebagaimana China Communication Construction Company (CCCC) yang membuat projek-projek mega di seluruh dunia. (BERSAMBUNG)

Kamarun KH

 

Translate »