Pada suatu ketika, KPM menjelaskan opsyen bahasa Melayu sangat berlebihan. Opsyen Bahasa Inggeris sudah begitu lama dikenalpasti. Ia sesuatu perancangan yang gagal. Begitu juga dengan opsyen Sejarah, sedangkan Mahiaddin pernah mengumumkan bahasa mata pelajaran Sejarah adalah wajib lulus bagi SPM pada tahun 2010 (dilaksanakan 2013). Ertinya, sejak pengumuman tersebut (10 tahun), masih belum dapat dilaksanakan dengan berkesan, ada sesuatu yang tidak kena, sama ada oleh KPM atau IPTA sendiri dalam proses pengambilan siswa pendidikan.
Sepatutnya, ia tidak timbul sekarang, IPTA dikhususkan untuk melatih guru-guru untuk dibekalkan di sekolah menengah manakala KPM menumpukan calon guru di peringkat sekolah rendah. Ertinya, IPTA telah gagal dalam menterjemahkan orientasi dasar yang sudah diketahui sejak tahun 2010, dalam melatih guru-guru bagi mata pelajaran sejarah, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk sekolah menengah. Apakah KPM juga patut dipesalahkan dalam hal tersebut, terutama dalam perihal penempatan guru-guru akibat kekangan kewangan dan juga melayan kehendak para guru (pengagihan guru berdasarkan opsyen) atau kesilapan dasar berdasarkan opsyen?
BACA JUGA: ANTARA ‘EXIT POLICY’ YANG TERLEWAT DAN ‘JIWA RAKYAT’ YANG TERLUKA, https://omiw.com.my/Web/2021/06/23/antara-exit-policy-yang-terlewat-dan-jiwa-rakyat-yang-terluka/
Berdasarkan pengumuman Menteri Pendidikan, ada juga masalah berdasarkan opsyen guru, maka dicadangkan diwujudkan penempatan guru di luar opsyen dengan syarat mereka boleh mengajar dalam mata pelajaran yang lain. Ia sesuatu yang menarik, dan ia membuka ruang kepada graduan bukan pendidikan, misalnya mereka yang lulus dalam bidang komunikasi boleh mengajar bahasa Melayu atau bahasa Inggeris ataupun mata pelajaran sejarah sekiranya mempunyai asas yang kuat atau sebahagian daripada mata pelajaran elektif semasa di universiti.
Akibat Mahiaddin gemar membuat pengumuman secara langsung (dan kantoi dalam program wawancara yang sinomim ‘tak apalah PM bodoh, saya boleh terima’ kerana dirakam terlebih dahulu) maka itulah kejayaan terbesar beliau yang dikenali sebagai “Abah”. Naratif Mak Cik Kiah dan nama-nama tipikal dalam masyarakat Malaysia semakin tidak ada aura, tenggelam dengan jawapan-jawapan yang layu dan membosankan. Itulah sebabnya, Mahiaddin sangat didesak meletakkan jawatan, membuka secepat mungkin Sidang Dewan Rakyat dan mempercepatkan PRU ke-15.
Mengenai PRU ke-15, Mahiaddin sudah memberikan bayangan mungkin pada akhir tahun ini atau awal 2022. Ia tidak dapat meredakan ‘kecaman’ kerana politikus sangat inginkan Dewan Rakyat tidak dikembirikan oleh peraturan darurat, untuk kembali kepada asas ‘semak dan seimbang’ walaupun secara jelasnya, menjadi medan memperlekeh dan mengecam antara satu sama lain.
Selagi persoalan solidariti dalam Perikatan Nasional tidak wujud, selagi itulah Mahiaddin akan dicap gagal walaupun kabinetnya belum dikatakan dianggotai oleh ‘menteri pasola’ sebagaimana diberikan oleh Mohamad Hassan kepada kabinet Pakatan Harapan ketika ‘kera-jaan’ disinonimkan sebagai ‘pakatan hancing’ oleh ramai rakyat Malaysia.
Sama ada Mahiaddin kekal sebagai perdana menteri atau berundur, beliau akan tetap dikelompokkan antara PM yang gagal. Persoalannya, siapakan calon PM yang boleh memulihkan iklim politik Malaysia yang semakin berkecamuk dan juga ekonomi Malaysia yang dilihat ‘menuju tenat’ dan kehidupan sosial yang membosankan sekarang? Rasanya, rakyat masih ingat bagaimana permainan politik “asal bukan BN” telah menghasilkan reality yang bobrok selepas BN benar-benar ‘kehilangan kuasa’. BN sekarang juga sangat bermasalah, kerana dari dalam UMNO juga sedang berhadapan dengan krisis keyakinan dan persepsi buruk dalam kalangan rakyat, termasuk golongan muda yang membentuk lebih 40 peratus pengundi.
Situasi itu bukan bersifat ‘post-truth’, ia adalah realiti politik yang cukup besar dan sangat mempengaruhi pola pengundian dalam PRU ke-15. Oleh itu, UMNO perlu kembali ke jatidirinya dan menelusuri dinamika politik semasa dengan wadah dan kepimpinan yang lebih bertenaga, dan bukannya terus menggalas ‘bagasi berat’, kalau ingin kembali berkuasa.
UMNO seharusnya belajar bagaimana Golkar, sebuah parti yang cukup besar telah hilang kekuatannya akibat dasar Suharto dan akhirnya terpaksa mengorbankan Habibie yang cukup kuat wawasan pemikiran untuk membangunkan Indonesia. UMNO juga sepatutnya sudah boleh membuat rumusan bagaimana sebuah parti yang kuat dan kemudiannya jatuh di Jepun berjaya bangkit dalam masa yang singkat.
UMNO tidak sepatutnya membingkaikan idealismenya terkongkong dengan nostalgia dan kekaguman masa lalu, walaupun ada prestasi cemerlang berdekad-dekad lamanya, kerana semuanya adalah sejarah yang perlu dijadikan panduan, ikhtibar dan landasan untuk meletakkan perjuang dalam nilai dan persekitaran dinamiki pengundi muda yang semakin besar dan sukar diramal secara tepat dengan menggunakan kerangka lama.
Jelasnya, ketika ini Mahiaddin tidak mampu dan Mahiaddin telah gagal. Exit policy yang berumur seminggu dikecam sebelum menetas kerana ia sudah terlewat. Sepatutnya Mahiaddin boleh belajar bagaimana KSN pernah gagal kerana ‘ayam belum sempat mengeram, telur membusuk’ . Sebahagian JUSA sudah membuat opsyen, akhirnya dibatalkan kerana sangat bersifat ‘selfish’. Pegawai tinggi cari ruang yang lebih baik dan selesa: gaji baharu yang lebih tinggi.
Walaupun opsyen itu sebagai kontrak, ia tidak ada masalah kerana opsyen tidak menyebabkan mereka hilang pencen. Pencen akan tetap berjalan, kerana itu adalah salah satu jaminan dan syarat yang dipersetujui. Akhirnya, JUSA terpinga-pinga, ada yang sedang diperhitungkan. Ada yang sudah dibayar dengan tangga gaji baharu, bagaimana nak memulangkannya. Sidek Hassan pun malu-malu, SBPA ditangguhkan dan kemudian, kontraknya tidak disambung lagi.
Mujurlah Najib memahami rungutan dan ketidakadilan yang berlaku (penjawat awam bukan JUSA), maka skim itu ditangguhkan dan Sidik Hassan yang ‘terkucil’ diberikan jawatan di Petronas (Julai 2012). Jika tidak, Najib juga mungkin akan ‘dipasungkan’ oleh undi penjawat awam sebagaimana BN kalah dalam PRU ke-14 kerana penjawat awam cukup terbeban dengan telatah menteri yang memberikan amaran berkali-kali bakal dipecat.
Ingatkah amaran sebahagian guru kepada Mahadzir Khalid sebelum PRU ke-14, apa akan berlaku jika menteri juga terpaksa menganggur bila rakyat tidak memilih BN. Kini, ramai juga yang sedang memperkatakan perkara yang sama, bukan ”kami bencikan BN, tetapi kami marahkan siapa yang mengepalai BN, ikan busuk bermula dari kepala”. Mahiaddin adalah “kepala Perikatan Nasional dan Bersatu”, maka ‘exit policy’ yang masih kabur dan belum jelas, ini juga boleh menyebabkan PN kalah, kerana ‘kepalanya tersumbat’.
Begitu juga beberapa ‘kepala’ dalam beberapa buah parti politik yang sedang melalui ‘jalan terjal politik semasa’. Sebab ‘kepala’nya sudah membusuk, dalam UMNO, PAS, Warisan dan juga PKR. Atau mungkin keputusan PRU ke-15 nanti akan mewujudkan fenomena baharu yang cukup besar, iaitu kemenangan calon bebas? Jika ini berlaku, bermakna wakil rakyat bebas akan menjadi ‘king maker’ bukan lagi PAS atau UMNO.
UMNO dan PAS mungkin sekadar digelar ‘king baker’ dan bakal dikenangkan sebagai dua parti Melayu-Islam yang pernah kuat, gagah dan besar keahlian (umpama dinosaur), tetapi semakin sehari semakin mengecil peranannya. Sebabnya mudah, tidak melakukan apa yang diyakini dan disuruh oleh agama. Bersatulah, kerana lidi seberkas lebih kuat dan berguna daripada lidi-lidi yang bertaburan. Kerjasama antara PAS dan UMNO sentiasa bermasalah kerana lupa di mana dan ke mana akhirnya sebuah kehidupan, masing-masing mahu buktikan siapa lebih kuat walaupun masih dalam situasi lemah dan kekejangan saraf.
Keserasian hanya ketika ‘sedang sakit’ tetapi selepas sedikit ‘pulih’ mula hilang tujuan dan tumpuan. Sudah dua kali membentuk kerjasama, kerjasama pertama terbelah selepas tiga tahun (1974-1977). Kerjasama kedua (Muafakat Nasional) sudah ada bayang juga akan hancur, kerana ada keindahan bila mendekati ‘orang ketiga’. Apakah kali ini, PAS akan menjadi penyebab lagi: (dipecat daripada BN pada tahun 1977), peleburan Angkatan Perpaduan Ummah (1995) dan terburainya Muafakat Nasional (dipersetujui pada 14 September 2019)?
PAS makin galak untuk membentuk Perikatan NAsional sebagai gabungan yang absah bersama Bersatu dan dalam masa yang sama cuba ‘mengucilkan Muafakat Nasional’. Muafakat Nasional adalah kerjasama yang sangat longgar, begitu juga Perikatan Nasional, tetapi kerana selesa berada dalam kabinet, pemimpin-pemimpin mula berfatwa seolah-olah sedang kembali ke zaman awal pembentukan BN (kurangkan politiking dan mengurangkan perpecahan politik Melayu-Islam) bila ada ‘pencerahan fatwa’ daripada presiden PAS. Atau kerana itulah juga menyebabkan fatwa kontroversi (1981) Haji Hadi telah dibuang daripada laman web JAKIM? Siapa arah siapa?
JAKIM akan siasat, tetapi tidaklah sesulit mengesan dan menangkap John Lo. Boleh dikesan dengan cepat, siapa yang menyahkan fatwa itu? Ada petunjuk digital dalam rekod pentadbir sistem. Carilah puncanya, dan tanyakan siapa yang memberikan arahan untuk menurunkannya?
Fatwa itu akan tetap menjadi dokumen sejarah PAS yang buruk; dan akan terus hidup dalam sejarah masyarakat Malaysia sebagai punca terbesar perpecahan politik dan sosial masyarakat Melayu terutama di Kelantan dan Terengganu, dan juga beberapa buah negeri yang ada pengaruh PAS. Ia akan didokumenkan bersama sejarah pembai’ahan politikus PAS; gugur talak terhadap isteri bila tinggalkan PAS, biarpun ia sekadar retorik politik (Khalid Samad). Mohamad Sabu juga terperangkap dengan kenyataan “jangan ikut dan percayakan saya jika saya tinggalkan PAS” melengkapkan senarai politikus sebagai kumpulan yang sangat tidak boleh dipercayai. Sama ada sekelas ‘haiwan politik yang makan daun atau makan daging’ itu dapat ditentukan oleh tindakan selanjutnya. Sekarang pun sudah dapat dibayangkan cenderung ke mana.
Jadi, sesiapapun yang berusaha terjun ke ‘kolam atau lembah politik’ bersedialah untuk dikeronyok oleh pengundi, kerana ‘lupa janji’ dan ‘tidak berprestasi’. Sekarang tidak ada lagi ‘hakikat balas budi’ kerana setiap kebaikan yang dilakukan dilihat tidak ikhlas jika meminta balasan, sedangkan Allah SWT melarang orang yang beriman, bersedekah dan menaburkan kebaikannya melakukannya hanya kerana mahukan publisiti.
Allah SWT sangat menyayangi mereka yang melakukan kebaikan yang tidak cenderung mencari publisiti, sebalik melakukan secara ikhlas, jujur dan bukan untuk mendapat ruang promosi diri. Segala kebaikan dan kedermawan akan dirasai oleh rakyat, bukan kerana publisiti, rasa sayang itulah akan dikenang sampai mati dan dipertahankan sampai bila-bila bukan ‘hanya soal budi’ dan dalam masa yang sama ‘tidak mahu jiwa terluka’ atau ‘badan tergadai’ dan ditipu ‘menang sorak’.
“Tika dan saat ini” begitu ramai rakyat jiwanya terluka. Ramai juga pengundi yang kesal dan kecewa dengan tingkah ahli politik dan bakal membuat keputusan secara adil, kerana mereka sudah membuat penilaian ‘tingkah politikus’, dan ‘tidak ingin menangis lagi’. Kesemuanya, tidak mahu terperangkap dengan ‘janji manis’ dan ‘angan-angan yang tak sudah’, parut keperitan mendepani pandemik cukup mengingatkan ‘burung terbang dan rusa di hutan’ bukanlah cerita yang menarik untuk ‘dibeli’, rakyat lebih gemar kembali mengunjungi premis untuk melihat sendiri kecantikan dan jenis barangan yang hendak dijual. Mahiaddin yang ‘sedang membeli –buy in’ juga akan beralih kepada ‘buy out’ oleh pengundi walaupun di Pagoh beliau boleh menang. Ia belum cukup untuk mengangkatnya kembali sebagai Perdana Menteri.
Biarpun pembelian dalam talian semakin mendapat tempat, masih ada terselit ‘indah khabar dari rupa’, kecewa menggusur pemikiran dan jiwa, yang diharapkan tidak ke mana, yang dibayangkan tersangat kabur dan hanyalah imajinasi, bukan realiti. Itulah politik masa sekarang, dan setiap politikus serta parti politik tidak wajar menipu pengundi sebagaimana PH lakukan semasa PRU ke-14 dan PN sedang menari-nari dalam joget politik ‘saling menikam’ daripada pelbagai penjuru.
Mahiaddin sudah terperangkap, Bersatu semakin terjerat oleh tingkah politiknya sendiri. PAS juga terperangkap seumpama sedang ‘meminum racun yang dibancuhnya’. UMNO tidak pula bersedia melepaskan kongkongan warlord atau ‘mafia politik’. PKR sedang berkecamuk rasa, akibat taksub dan sangat terikat dengan hanya seorang pemimpin walaupun Anwar mengatakan ‘pemimpin boleh silih berganti’, retorik yang cukup membosankan.
Anwar sudah dua kali tidak membenarkan Azmin bertanding merebut jawatan Presiden PKR, akhirnya, PKR hanyalah untuk Anwar dan ahli keluarganya. Azmin dan penyokongnya berkecil hati, dan ia dizahirkan dengan Langkah Sheraton, bukan sahaja Dr Mahathir terlucut kuasa, Anwar juga ‘terlepas peluang’. Ertinya kededuanya sudah ditunjuk jalan keluar daripada lingkaran kuasa, Anwar bagaikan terhempap batu besar kali ketiga, umpama karma ‘orang tamak selalu rugi’ dan terlampau ‘mengejar bayang-bayang’. DAP masih belum terlucut dengan dominasi keluarga Lim Kit Siang dan suku sakatnya, biarpun Lim Guan Eng sebenarnya sudah ‘expired’ untuk dipilih sebagai Setiausaha Agung, dan bapanya, terlalu lama sehingga terlupa banyak perkara dan mengecewakan ramai ahlinya.
Rakyat sudah bosan dengan kecelaruan politik yang dicetuskan oleh perebutan dan percaturan yang tidak pernah terhenti sejak tersebarnya berita, Anwar tidak sabar menggantikan Dr Mahathir dan merancang suatu ‘grand design’ pada tahun 1997. Ke mana ‘tumpahnya kuah kalau tidak ke pinggan nasi’ tetapi gerakan itu akhirnya terbuang ke longkang walaupun Anwar cuba belajar bagaimana Dr Mahathir menyerang Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969 selepas kalah di Kota Setar.
Dalam situasi sekarang, Mahiaddin tidak melakukan ‘serangan terbuka’ walaupun kedudukannya terancam, awalnya memberikan gambaran bahawa dirinya lebih menumpukan masa untuk bekerja dan bekerja. Tetapi, selepas diisytiharkan sebagai Bapa Pengumuman, disusuli tindakan hulubalangnya yang ‘keras, kasar dan ingin ‘membunuh’ UMNO’, Mahiaddin terseret dengan imej ‘sedang menggali terowong untuk selamatkan diri’ maka, kali ini beliau benar-benar ‘sesak nafas’ dan perlu ditunjukkan ‘jalan keluar’.
Dalam keadaan itulah dibentangkan ‘exit policy’ bagi membuka semula peluangnya dan meraih sedikit kepercayan rakyat. Sayang, semuanya sudah terlewat, rakyat sudah lebih setahun ‘jiwa terluka’, tidak sanggup lagi hidup dalam keperitan. Rakyat sangat merindukan satu penyelesaian yang tuntas dan mampu keluar daripada ‘kemelut politik, kesihatan, ekonomi dan sosial’.
Apakah Mahiaddin sedang memelas mindanya untuk merancang satu lagi ‘exit policy’ sebelum beliau ditarik keluar oleh rakyat? Persoalan yang begitu besar sedang bermain dalam pemikiran, bukan sahaja musuh politiknya (memang politikus oportunis) dan rakyat yang semakin terkilan dengan ‘total lockdown’, yang kemudian berstatus dua atau sepuluh darjat?.
Cantik dan tepat Hashimuddin Rais apabila beliau menulis: Hanya Anwar Ibrahim dari PKR yang masih lagi menggesel syahwat keberahiannya untuk memancutkan Muhyidin dari kerusi PM….Gempak ini juga untuk mengikat Mat Sabu dan Lim Guan Eng. Mana tahu entah-entah ada nasib sekali lagi nak jadi menteri…Gempak – Umno keluar dari kerajaan – ini lagu hiburan untuk menyedapkan hati Kluster Mahkamah.
“Bunyinya bila sahaja gerombolan Ketuanan Melayu keluar dari kerajaan maka parti ini akan pecah…Jangan lupa Audi dan Mercedes ada menunggu. Ada kereta baru boleh dapat bini baru. Justeru bola di kaki Muhyidin. Kalau bola di kaki Muhyidin ke mana bola ini wajib ditendang?. (Hishamuddin Rais, Bola di kaki Muhyiddin, Malaysiakini, 22 Jun 2021).
MONOSIN SOBRI.
Recent Comments