Rakyat dapat gambarkan jika paling ‘teruk’ pun Mohamad Sabu ada pendapatan bulanan lebih RM 50,000 dan data pada 1 November 2018, Lim Guan Eng pendapatan bulanan ialah sebanyak RM 86,464. 92. Oh! Rupanya lumayan jadi wakil rakyat dan sebab itulah ramai yang sangat bercita-cita besar mahu bergelar YB. Sebab itulah bila anaknya ‘ditahan’, Lim Guan Eng menjelaskan ‘wang sebanyak dua juta’ itu simpanan sejak kecil.

Kisah itu mengingatkan saya kepada seloka berbingkai yang muncul sebelum Pilihan Raya tahun 1986 (PRU ke-7). Ada nyanyian oleh para politikus yang berebut nak jadi calon. Mereka yang belum dipilih, sangat mengharapkan penyandang (biasanya Ketua Bahagian) ‘cepat mati’ untuk membolehkan peluangnya terbuka. Penyandang pula berzikir siang dan malam agar Setiausaha Parlimen meninggal dunia. Bila ada yang meninggal, mesti ada yang mengisi kekosongan. Setiausaha Parlimen ‘mendoakan Timbalan Menteri’ meninggal; manakala Timbalan Menteri mengharapkan ada Menteri meninggal. Begitulah. Akhirnya, sewaktu pemilihan calon, ramai yang kecewa dan mula gantung ‘bush jacket’.

Selepas PRU, tidak juga dilantik sama ada sebagai Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri ataupun Menteri. Tetapi, ada sedikit kemajuan, dah bergelar Yang Berhormat atau YB. YB pun mula berubah hati, dah bercakap pasal bagaimana nak memplotkan semua kedudukan dalam bahagian, dan juga pusat kerana tahun 1987 ada pemilihan besar. Dipendekkan cerita, tahun 1987 ada kegemparan, politk UMNO jadi sedikit kacau. Ekoran sedikit kacau itu akhirnya UMNO diharamkan pada bulan Februari 1988. Perpecahan jadi makin besar, lahirlah dua parti berteraskan Melayu selepas itu, Semangat Melayu ’46 dan UMNO (Baru). Wajah dan budaya politik sudah berubah, budaya ‘bush jacket’ semakin dilupakan dan timbul pula budaya pakaian korporat.

Bagi pesakit HIV/AIDS atau Denggi yang meninggal. selepas selesai dikafan, ahli keluarga boleh membantu ‘membawa’ jenazah itu ke kubur dan menguruskan pengkebumiannya. Ini tidak berlaku kepada jenazah COVID-19. Hanya paramedik yang dibenarkan. Ia dilihat sangat tidak selesa, memakai PPE yang cukup menyeruak, apatah lagi proses pengkebumian itu berlangsung dalam keadaan terik mentari. Apakah keadaan itu belum cukup kuat untuk rakyat Malaysia berfikir, dan seterusnya mengawal diri, patuhi SOP dan amalkan tindakan “Lindungi Diri, Lindungi Keluarga”?

Bulan April lalu, kita dikejutkan dengan kes jangkitan baharu sehari di India melebihi 400,000, tetapi ramai juga mengambil sikap ‘take things for granted’ (“Aiman tak kisah!”) Fenomena itu tidak berlaku di Malaysia. Ia berlaku di India. Sebabnya sangat jelas, bila jutaan penganut Hindu menjalani ritual agama di Sungai Ganges, ia dilakukan tanpa ada penjarakan sosial dan SOP. Ramai menganggap diri mereka kebal kerana ‘Tuhan ada bersama’.

Beberapa hari selepas ritual itu berakhir, tular video keadaan cemas di beberapa buah wilayah: tidak cukup ambulan untuk membawa pesakit dan kereta mayat untuk menyempurnakan proses pembakaran mayat; para pesakit diletakkan di lobi hospital, pinggir jalan bersama tabung oksijen; kekurangan katil, ventilator; pembakaran mayat tidak dapat dilakukan sepenuhnya di crematorium; dan paling mengharukan ialah tangisan kehilangan ahli keluarga terdekat.

Namun, masih ada sebahagian kecil rakyat Malaysia tidak melihat itu sebagai satu bentuk pelajaran yang boleh menginsafkan. Seminggu sebelum menjelang Aidilfitri, ramai yang curi-curi pulang ke kampong walhal dua hari sebelumnya sudah ada larangan sekatan rentas daerah dan negeri. Pihak berkuasa terpaksa meningkatkan kawalan, adakan sekatan jalan raya di lebuh raya dan beberapa jalan tikus yang telah dikenal pasti. Dan, buat pertama kalinya kita melihat jalan alternatif, seperti jalan berdebu di kawasan pembangunan tanah ikut sesak kerana ‘mereka yang mencuri balik kampong’ rasakan jalan itu ‘selamat, tiada sekatan jalan raya.”

Kalau pun tidak mahu menerima vaksin, sebab bermimpi diri sangat kebal, pendamkan sahaja tanpa berusaha mempengaruhi orang lain dengan memetik laporan, kenyataan dan pandangan pihak yang dikategorikan sebagai ‘anti-vaksin’. Harus difahami, vaksin sudah ada, tetapi vaksin bukanlah ubat, maka adalah tidak wajar menyatakan jumlah yang sembuh lebih besar tanpa bantuan vaksin. Kita boleh lihat kesan positif, negara-negara yang sudah melakukan vaksinisasi mengalami penurunan besar dalam jangkitan baharu sehari dan ekonomi menjadi semakin berkembang. Kesibukan kembali berlaku, sebab semua premis perniagaan berjalan dan perkhidmatan semakin rancak, biarpun masih ada SOP, seperti memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.

Saya melihat vaksin itu seumpama peralatan keselamatan yang dipasang di dalam kereta kesayangan kita. Kita khuatir, ada pihak suka mencuri, maka kereta yang kita sayangi dan cantik itu bakal menjadi sasaran penjenayah. Kita pasang sistem kunci keselamatan yang tidak dipasang oleh pembuat kereta, misalnya pengunci pedal minyak atau stereng. Kita mungkin gunakan alat yang lebih canggih, walaupun belanjanya ribuan ringgit. Kenapa? Kita yakin dapat menyelamatkan kereta kesayangan kita. Ia menyulitkan pencuri untuk melarikan kereta kita. Bahkan, ada yang melengkapkannya dengan sistem pengesanan GPS (Global Positioning System).

Begitu juga dengan vaksin. Vaksin yang kita ambil untuk meningkatkan imuniti  dan apabila virus corona menyerang, virus yang ada dalam badan (sama ada truan atau dimatkan dalam vaksin) dapat dinyahkan menerusi sistem pertahanan yang dibina/diaktifkan. Ia juga seumpama memakai sistem iron drone dalam siri peperangan, sistem itu dapat mengesan dan menepis tembakan musuh. Ia dapat mengelakkan lebih banyak kematian, tetapi tidak bermakna, jika ada kematian berlaku dalam beberapa orang, sistem itu gagal sepenuhnya.

Jika betul sudah 40 petugas KKM (frontliners) meninggal selepas menerima suntikan COVID-19 sebagaimana ditular oleh “Mak Teh”, maka perlukah kita percaya tanpa ada buktinya? Walaupun Tun Dr Mahathir bukan lagi PM selepas meletakkan jawatan, nampaknya beliau sangat kecewa dengan kenyataan bohong “Mak Teh”. Tun mencabar, jika air kelapa dapat menyembuhkan mangsa COVID-19, sapulah air itu kemudian cium jenazah mereka yang meninggal akibat COVID-19. Lihat dan tunggu apa yang akan berlaku. Mereka yang mencium itu kekal sehat atau terjangkit oleh virus corona yang ada di badan si mati?

Kalau di Kelantan ada 10,000 yang menolak, Kedah ada 11,000 orang apa akan jadi? Jika angka itu dilihat sebagai purata penolakan, bererti seramai 140,000 hingga 200,000 penolakan mereka yang sudah pun berjanji dan mendaftar. Sasaran sehingga selesai vaksinisasi, 80 peratus rakyat mendapat perlindungan tidak mungkin tercapai. Kegagalan itu turut merugikan kerajaan dari perspektif perbelanjaan kerana tempahan vaksin adalah untuk 80 peratus rakyat. 

Menurut laporan, jumlah yang mendaftar untuk mendapatkan vaksinisasi sangat mengecewakan, sehingga akhir Mac 2021 ialah sekitar 7 juta orang. (https://bernama.com/bm/am/news_covid-19.php?id=1948711). Sehingga 24 Mei 2021,  sejumlah 2,605,036 telah menerima vaksin, di mana 1,667,280 adalah penerima dos pertama.  937,756 dah lengkap dua dos.

Apa yang jelas, di pusat-pusat Vaksinasi yang dibuka di beberapa buah bandar menyaksikan bahawa ‘sukarelawan’ yang berbaris panjang itu melebihi 70 peratus adalah bukan Melayu. Begitu juga dengan pusat-pusat vaksin yang ditetapkan kepada mereka yang mendaftar, jumlah kehadiran orang Melayu adalah sekitar 30 peratus di Wilayah Persekutuan. Ini membuktikan masih ramai orang Melayu tidak bersedia menerima suntikan vaksin atas sebab mereka sendiri yang tetapkan.

Akhirnya, saya menyarankan agar orang Melayu berdamalah dengan COVID-19, tidak perlu takut kerana ketakutan itulah yang boleh membunuh. Buatlah persiapan, dapatkanlah suntikan vaksin selengkapnya, tidak perlu percaya kepada ‘apa orang lain kata’, kerana COVID-19 itu REAL, benar-benar ada dalam komuniti kita. Virus itu sedang mencari ‘perumah’ dan jangan pula kita terpesona dengan iklan ‘beli rumah dapat isteri’ seperti pernah tular pada suatu ketika. Buat beristeri baharu, jika isteri itu adalah bernama “corona”

Berdamai dengan ‘musuh’ bukan bermakna mengaku kalah. Sebabnya, dengan virus corona yang kecil itu kita memangnya akan tewas. Lebih dahsyat daripada ‘pedasnya cili api’, virus corona boleh membunuh. Pedasnya cili api tidak menyebabkan manusia mati, kecuali makan selahap-lahapnya kerana masih ingat imuniti menahan pedas masih kuat dan mampu bertahan.

Kita mungkin teringat kepada ungkapan: Kalau tidak mampu mengalahkan musuh, jadikanlah ia sebagai kawan’. Nah. maksudnya kerana vaksin dicipta berdasarkan sampel virus yang sudah dimatikan, maka vaksin itu akan bertindak sebaik sahaja dapat mengesan ada virus baharu yang muncul dalam organ-organ kita. Vaksin itu akan ‘berperang’ untuk mempertahankan diri kita.

Tentunya, daripada perspektif penyelidikan perubatan, tahap keberkesanan vaksin tidak akan mencapat 100 peratus. Setakat ini dikatakan antara 60 hingga 95 peratus. Ertinya, jika corona menyerang, mereka yang sudah lengkap menerima vaksin bakal terhindar daripada gangguan sistem pernafasan antara 60 hingga 95 peratus, ada harapan besar untuk terus hidup. Jika tidak mengambil vaksin, mungkin harapan untuk terus hidup ialah antara 5 hingga 40 peratus, berdasarkan kesan positif vaksin.

Namun, hidup dan mati adalah sebenarnya urusan Allah SWT, kerana dialah yang menentukannya. Manusia hanya cuba berikhtiar, dan pengambilan vaksin adalah ikhtiar terbaik setakat ini, bukan minum air kelapa, minum  air suam dan perahan lemon, rebusan air daun mambu (neems) ataupun campuran serai.

Sudah lama kita mendengar petua tersebut, jumlah jangkitan tidak juga surut, tetapi air kelapa muda laku keras sehingga dalam tempoh PKP pun ada yang menjualnya di pinggir jalan, di bawah jejambat selain gerai-gerai yang lazim kita lihat semasa melintas atau melalui sesebuah taman perumahan dan deretan kedai runcit. Memang air kelapa ada khasiatnya, tetapi belum terbukti dapat mencegah serangan virus corona atau menjadikan kita kebal daripada dijangkiti COVID-19. Itu menjadi suatu ‘kepercayaan’ yang akhirnya, harga sebiji kelapa muda begitu mahal. Sebiji dijual RM 5.00 dan ada kecenderungan berlakunya pencurian buah kelapa di kampong-kampung akibat permintaan yang meningkat itu.

Kita sedang diberitahu, ada seseorang wanita alim dari Turki yang bermimpi bahawa Nabi Muhammad SAW (dua kali): mimpi pertama, memberikan penawar COVID-19 dengan mengamalkan ‘sumac’, iaitu sejenis herba seiras za’faran (berwarna merah). Sumac dibancuh dengan air dan dikacau sebelum diminum; mimpi kedua, terdapat sekendi air bancuhan sumac dan dua orang pesakit, Rasullullah SAW memberikan setiap seorang secawan, setelah meminumnya, keduanya sembuh serta merta.

Saya tidak pasti sejauhmanakah kebenaran sebaran tersebut, mohon para ulama yang dianugerahkan ‘karomah’ dan ‘barokah’ dengan ikhlasnya memberikan penjelasan, semoga kita tidak dilanda pelbagai kebimbangan dan ketakutan, termasuk agenda melariskan jualan produk herba sedemikian, seumpama penemuan saintis MARDI terhadap khasiat kunyit hitam, maka ramailah mendakwa dalam memulihkan pelbagai masalah kesihatan, dari membantu aliran darah, menurunkan paras gula, menurunkan tekanan darah, menghilangkan rasa lesu, turut dieksploitasikan dengan membantu mengatasi masalah tenaga batin.

Begitulah juga dengan cerita akibat menerima suntikan vaksin COVID-19, menjadikan stamina mereka lebih kuat, sekaligus meningkatkan nafsu seks (Bogor, Indonesia) (Utusan Malaysia, 27 Mei 2021). Cerita itu sebenarnya telah disiarkan oleh fajar.co.id pada 13 Mac 2021 dengan tajuk “Penerima Vaksin Covid-19 Mengaku Stamina Kuat dan Tahan Lama di Ranjang”(https://fajar.co.id/2021/03/16/penerima-vaksin-covid-19-mengaku-stamina-kuat-dan-tahan-lama-di-ranjang/.

Hingga kini belum ada ulasan dan komen daripada para pakar, termasuk pakar sakit tuan, seksologi mahupun bomoh-bomoh yang handal dengan petua meningkatkan hubungan kelamin. Jika begitu, peluang untuk penjual produk kuat herba tradisional yang membanjiri facebook dengan pelbagai gimmick, kata-kata peransang dan menggiurkan akan kecewa, produk mereka memang sudah kehilangan sambutan.

Iklan itu tidak jujur, misleading dan paling mengecewakan, tidak sedia meletakkan tanda harga, kecuali setelah berkomunikasi menerusi chatbot (chatting robot) atau WhatsApp, Mesengger atau short massenging (sms) mahupun Telegram. Jangan terkejut, harga sebiji kapsul lebih mahal dari Viagra ataupun Calais, yang sudah dibuktikan secara saintifik mampu memberikan harapan kepada mereka yang bermasalah. Hati-hati, kesan sampingan tetap ada, termasuk kemungkinan diserang pelbagai masalah berkaitan jantung dan stroke.

MONOSIN SOBRI

Translate »