Sudah lebih setahun virus corona mengamuk. Sudah lebih 3.5 juta nyawa terkorban manakala lebih 169 juta orang dijangkiti (setakat 26 Mei 2021). Jumlah yang sudah dianggap sembuh (didiscaj), biarpun lebih besar, yakni 150.7 juta, mereka yang sedang dirawat (sama ada dalam keadaan stabil atau kritikal) juga masih besar (169 -150.7 = 18.3 juta orang). Ia masih menunjukkan virus corona adalah masalah kesihatan yang sangat serius dan memerlukan tindakan drastik serta bersungguh-sungguh untuk melawannya.

Ada negara mengambil langkah mengisytiharkan perintah berkurung (lockdown) pada waktu-waktu tertentu jika tidak sepenuhnya sepanjang beberapa tempoh yang ditetapkan. Lazimnya, dalam tempoh dua minggu kerana seseorang yang dijangkiti oleh virus corona dapat diketahui dalam waktu tersebut. Itulah juga menjadi pedoman untuk ‘memaksa’ seseorang melakukan kawalan kendiri, seperti ‘kuarantin’ di rumah dan diwajibkan memakai gelang ‘merah jambu’ jika ada kaitan dengan mereka yang positif. Ada juga yang degil, dengan gelang merah merayau-rayau ke kedai mamak, restoran dan masuk pasar raya (juga pekerja asing). (Utusan Malaysia, 7 Mei 2021;  Kosmo 24 Mei 2021; Sinar Harian, 6 Oktober 2021; Malaysiapost 9 November 2020; dan Astro Awani, 21 Julai 2020)

Tiga hari lalu (25/5/2021), kes baharu melonjak buat pertama kali kepada 7,289. Sehari selepas itu (26/5), naik kepada 7,478 dan semalam (27.5.2021) hampir ke lapan ribu kes (tepatnya 7,857). Angka lapan ribu sudahpun muncul hari ini (28/5//2021). Ini bermakna kemungkinan untuk mencecah ke lima digit memang ada, yang disifatkan sebagai tsunami COVID-19 oleh Tan Sri Dr Nor Hisham? (Malay Mail, 8 Mei 2021, Astro Awani, 13 Mei 2021 dan Sinar Harian, 15 Mei 2021)).

Hari ini (28 Mei 2021), kes baharu sudah meningkat kepada 8,290, di mana Selangor masih mengatasi dengan 2,052 kes; Kelantan (851); Kuala Lumpur (830); Johor (762); Sarawak (698); Kedah (544); Negeri Sembilan (520); Pulau Pinang (421); Perak (405); Melaka (380); Sabah (308); Pahang (254); Terengganu (207): Putrajaya (44); Perlis (8); dan Labuan (6). Keseluruhannya, kumulatif positif ialah 549,514 kes; iaitu Selangor (179,502); Sabah (61,582); Johor (56,993); Kuala Lumpur (56,862); Sarawak (45,436); Pulau Pinang (27,705); Kelantan (25,574); Negeri Sembilan (24,686); Perak (19,895); Kedah (17,555); Melaka (11,192); Pahang (8,903); Terengganu (8,164); Labuan (3,170); Putrajaya (1,822); dan Perlis (473).

Kes baharu telah mencanak?  Belum cukupkah dengan mitos bahawa COVID-19 adalah rekaan, atau tidak REAL?. COVID-19 sangat REAL. Kalau bukan REAL, buat apa kerajaan terpaksa menumpukan seluruh usaha  untuk mengekang dan memutuskan rantaian jangkitan virus corona? Kes mula melompat kepada 7,289 (25.5.2021) dan sebelum itu (19 Mei) pertama kali melepasi enam ribu kes, dan berlangsung selama enam hari. Keseluruhannya, sudah 549,514 orang dijangkiti dan 2,552 kematian berlaku, yakni tambahan 61 kes setakat jam 12 tengahari 28 Mei 2021.

Akhirnya, Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan ‘total lockdown’ akan dilaksanakan dalam tiga fasa: Fasa pertama selama dua minggu bermula 1 Jun, diikuti fasa kedua sekiranya situasi jangkitan COVID-19 berkurangan untuk dikuatkuasakan PKP selama empat minggu sebelum dipertimbangkan ke fasa ketiga, dengan pembukaan sektor ekonomi dan perkhidmatan. Dalam fasa pertama, beberapa sektor ekonomi dan perkhidmatan yang perlu sedang dipertimbangkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

PM dah beritahu, kalau nak kata ‘saya bodoh, tak apa. Saya terima.” Tetapi, yang sedihnya, kenapa rakyat ‘tidak mahu dengar cakap’, masih melanggar PKP. Sejak dua minggu terakhir, purata kes baharu setiap hari ialah 5,778 kes (Malaysiakini, 27 Mei 2021). Dah mengatasi India dari perspektif kadar jangkitan perkapita (setiap sejuta penduduk), yakni 185.3 (23 Mei 2021). India 184.99 dan Amerika Syarikat 76.31 (Free Malaysia Today, 24 Mei 2021).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, telah memberikan amaran, Malaysia akan berhadapan dengan “keadaan paling buruk” kerana sejak 1 April lalu, “ia boleh mencetuskan lonjakan menegak”,  dan merayu “tolong bantu kami dengan duduk di rumah.” Bahkan, dalam beberapa laporan sudah dinyatakan ada situasi hospital tidak cukup dengan katil, peti penyimpanan mayat, manakala para petugas mengalami “tekanan yang berpanjangan”.

Buat apa kerajaan (biarpun dianggap kerajaan pintu belakang oleh PH atau kerajaan sangat lemah dan perlu stepdown oleh sebahagian oportunis), kita sebagai rakyat perlu melihat kesungguhan itu. Ia dilakukan berdasarkan nasihat, panduan dan pandangan mereka yang mempunyai pengetahuan (maknanya ada kepakaran), bukan berasaskan ‘hear say’ atau “pendapat saya seorang”, walaupun ada ungkapan ‘netizen lebih pandai dari doktor’, hanya kerana mendengar ‘bisikan’ secara halimunan atau seseorang.

Perdana Menteri dalam wawancara beberapa hari lalu menegaskan, apa yang diputuskan bukan keputusannya seorang, kerana “saya bukan pakar.” Ini bermakna, PM mengambil semua pandangan para pakar sebelum tindakan atau keputusan dibuat termasuk menetapkan tidak ada lockdown atau tidak kembali ke PKP 1.0 walaupun situasinya membimbangkan, sokongan peralatan semakin tidak cukup, jumlah katil dan hospital medan dibuka manakala pemberian suntikan vaksin dipertingkatkan.

Jelas PM, kita sebenarnya tidak mempunyai rujukan yang ‘sangat tepat’ bagaimana untuk mengurangkan kes jangkitan. Kesemuanya dibuat berdasarkan pertimbangan semasa. Setelah ia didapati ada kelemahan, maka diubahsuaikan SOP itu. Ini bermakna, SOP dibuat atau diputuskan dari perspektif keperluan semasa, maka tidak wajar ia diaggap ‘satu uji kaji’ yang bersifat ‘trial and error’. Kebiasaannya, ‘trial and error’ berlaku tanpa merujuk kepada sumber dan pengetahuan secara komprehensif, dilakukan berdasarkan pengetahuan yang tidak komprehensif dan gerak hati sendiri.

Kerajaan membuat keputusan setelah mendapat pandangan ‘semua pihak yang terbabit’ dalam siri perbincangan di peringkat tertinggi, yang berlangsung tiga kali seminggu. Ini bukan bermakna, kerajaan sengaja melengah-lengahkan sesuatu tindakan. Bila keadaan diperlukan, mesyuarat boleh diadakan setiap hari. Bahkan, dalam memperincikan sesuatu tindakan, menilai kesan dan trend kes seharian, Majlis Keselamatan Negara bekerja ‘around the clock’.

Nampaknya ramai yang tidak faham, apabila negara diletakkan dalam situasi darurat atau berhadapan dengan bencana, peranan MKN adalah begitu krusial dan sangat sibuk. Bukan sekadar membuat pemantauan di Bilik Gerakan, bahkan turut melihat pelbagai kemungkinan dan keperluan. Dalam situasi itu, banyak perkara dan tindakan yang terpaksa dibuat dengan melenturkan peraturan. Contohnya, mendirikan hospital medan, melengkapkan katil pesakit. Ia memerlukan keputusan segera.

Walaupun ‘berbuih’ diberitahu, darurat bukan untuk ‘mejamin kedudukan selamat dari segi politik’ masih ramai menuduh, ia dilaksanakan sebagai tindakan ‘memperpanjang hayat’. Darurat dilaksanakan untuk membolehkan kerajaan menggerakkan semua aset pelbagai agensi, dan lebih menyasarkan kepada tanggungjawab sosial hospital-hospital swasta untuk membantu.

Hospital-hospital swasta diikat dengan peraturan, tidak boleh mengenakan caj membumbung tinggi. Saya pernah ada pengalaman, sekotak tisu kurang 200 keping (2 lapis) dikenakan bayaran RM 12, walhal di kedai 7E pun tidak lebih daripada RM 5. Semuanya dikira, termasuk berapa kali paramedik dipanggil atau datang menjengok.

Konsultasi dengan doktor pun kadangkala mencecah RM 200 dan bila dicampurkan dengan beberapa jenis ubat (demam biasa), bayaran mencecah RM 500. Apatah lagi bila pesakit COVID-19 dirawat, berapakah bayaran yang akan dikenakan untuk tempoh seminggu? Lebih mahal lagi jika memerlukan bantuan alat pernafasan dan berada dalam ICU.

Meskipun ada ketakutan, masih ada segelintir (rakyat Malaysia) yang sangat berani “bercakap”, was-was di mana COVID-19 bukanlah sesuatu yang menggerunkan. Bukan sahaja ‘sakit hati’, bahkan amat ngilu, terutama bila didengar oleh ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat pandemik.

Ia menjadi semakin ‘pilu’ apabila tersebarnya video, anak-anak dan isteri tidak berada di sisi orang tersayang ketika di penghujung nafas. Juga, kisah sedih menimpa satu keluarga, kedua orang tua, anak, menantu dan cucu telah pergi satu persatu. Dalam tempoh kurang seminggu, cukup besar kehilangan, dan masih ada lagi ahli keluarga yang dirawat dalam ICU.

Sebelumnya kita cukup sedih, tiada siapa dibenarkan menziarahi kematian. Semua urusan pengkebumian diuruskan oleh pihak hospital, bahkan si mati juga tidak akan singgah di rumahnya untuk kali terakhir, atau disembahyangkan di masjid yang almarhum adalah ahli khariah. Setelah selesai urusan kafan, sembahyang, jenazah terus dibawa oleh para petugas hospital untuk dikebumikan. Jika ada ahli keluarga terdekat, mereka hanya dapat saksikan dari jauh. Tidak dibenarkan ‘turun ke liang lahat’ untuk mengurus dan menyempurnakan persemadian  jenazah.

Mereka hanya dibolehkan selepas semua urusan selesai, manakala laluan atau persekitaran selesai di sanitize. Bayangkan, anda hanya ‘mampu lihat’ tanah kubur, tanpa dibenarkan ikut menyempurnakan jenazah. Dan, mungkin ada yang terngiang-ngiang, cita-cita si mati seperti memberikan ‘amanah agar empat anak lelaki mengusung keranda’ dan ikut berada di dalam liang lahat semasa jenazah dikebumikan. Apa perasaan anda jika peristiwa itu berlaku pada orang tua anda. Jadi, kalau anda tidak percayakan COVID-19 itu REAL, kata seorang wanita dalam video yang tular, ‘simpanlah sikit bodoh itu’.

Kenapa tidak dibenarkan? Ia adalah untuk mengelakkan lebih ramai dijangkiti COVID-19. Saya teringat, walaupun ada ‘restriction’ untuk menguruskan jenazah pengidap HIV/AIDS, ia tidak setegas menguruskan jenazah mangsa virus corona. Jenazah pesakit HIV/AIDS masih boleh dibantu diuruskan oleh ahli keluarga, setelah para medik menyembur cecair tertentu. Begitu juga yang mati kerana Denggi. Oh! Di mana perucap yang berkata: Denggi lebih bahaya dari COVID-19? Masih ‘hidup’kah lagi orang itu? Apakah anda telah lakukan di Selangor sehingga kekal penyumbang nombor satu sejak beberapa bulan terakhir?

Selangor dua kali (awal 2021, selepas Sabah dan mulai 5 April 2021 sampai sekarang). Selepas berjaya kali kedua, hampir setiap hari Selangor kekal di tangga teratas. Belum ada lagi negeri yang boleh mencabar, tetapi pengerusi jawatankuasa bertindak (task-force) Selangor masih mahu mencari helah, tidak adil menyifatkan negeri itu mempunyai kadar kebolehjangkitan tertinggi, sebab penduduk Selangor adalah lebih ramai daripada negeri-negeri lain. Nah, data terbaharu Selangor menjadikan Selangor yang terbanyak, iaitu lebih 32 peratus daripada keseluruhan kes positif COVID-19.

Wilayah Persekutuan lebih tinggi daripada Selangor, kata Dr Zulkifly Ahmad. Selangor berdasarkan ukuran kadar kebolehjangkitan (R-t), iaitu 1.14 berbanding Pahang 1.26, Kedah 1.24, Terengganu 1.20 dan Negeri Sembilan 1.16. Masyarakat keseluruhannya tidak melihat kadar tersebut, yang dilhat ialah besar atau kecilnya jangkitan baharu. Misalnya, 1 Mei 2021 (734 kes), 5 Mei 2021 (1,555 kes), 10 Mei 2021 (1,604 kes), 15 Mei 2021 (1,627), 20 Mei 2021 (1,665), 24 Mei 2021 (2,049), 25 Mei (2,642), 26 Mei 2021 (2,455) dan 27 Mei 2021 (2,675). Jumlah itulah yang menakutkan, bukan kadar kebolehjangkitan yang lebih bersifat akademik.

Sama juga dengan kadar jangkitan berdasarkan purata persejuta penduduk yang dibuat oleh Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat. Itu adalah salah satu keadah analisis. Secara mudahnya, dengan analisis tersebut semata-mata,  akhirnya kita percaya apa yang berlaku di Amerika Syarikat tidaklah seburuk negara yang mempunyai kadar jangkitan purata perkapita kerana kadarnya adalah rendah, bukan melihat kepada beramai ramaikah yang dijangkiti.

Kita tahu, di Amerika Syarikat pernah berlaku krisis pengurusan kesihatan, bahkan kegagalan terbesar yang menyebabkan kekalahan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden yang diadakan pada bulan November 2020.  Ada peralihan yang besar sebaik sahaja Joe Biden meneraujui Rumah Putih, walhal jangkitan pada 27 Mei 2021 ialah 27,620. Itulah agaknya apa yang dinamakan pelaporan kreatif, ‘melindungi angka jangkitan sebenar’. Teringat kepada sebuah buku klasik, W J Reichman, Use and Abuses of Statistics, 1961.

Bagaimana statistik berguna dan boleh disalahgunakan untuk sesuatu tujuan, seperti juga komen Menteri Kewangan mengenai hutang negara (zaman PN) menggunakan peratus manakala bekas Perdana Menteri, Najib menyatakan sudah bertambah RM 115.53 bilion (antara Januari hingga Mei 2021). Bagi saya, jumlah sebenar itulah yang menjadi ukuran, kerana peratusan tidak menggambarkan secara jelas angkanya, ia memerlukan perkiraan berdasarkan saiz hutang keseluruhan atau apa sahaja asas yang dijadikan sandaran.( https://mykmu.net/2021/05/26/najib-razak-jawab-tengku-zafrul-isu-hutang-negara/). Menteri Kewangan berkata, hutang yang dibuat ialah RM 99.3 bilion. Persoal Najib, kenapa tidak bantu rakyat yang sedang mengalami kesukaran akibat pandemik COVID-19? Teringat kisah ‘ding dong’ pengeluaran simpanan KWSP yang kemudiannya diluluskan sebagai i-Sinar.

Misalnya, bila ada yang bertanya berapakah pendapatan bulanan seorang wakil rakyat? Ramai yang tidak faham dan dapat gambarkan jika diberitahu 0.00000001 peratus daripada KDNK, atau setengah peratus daripada hasil penjualan sehari di pasar raya besar TESCO (sekarang Lotus) semasa berlakunya ‘pembelian panik’. Orang awam faham jika diberitahu sekitar RM 40,000 sebulan termasuk elaun-elaunnya dan pelbagai kemudahan. (Bersambung)

MONOSIN SOBRI

Translate »