Keadaannya menjadi semakin ‘panik’ tatkala laporan harian semalan, kes baharu harian hampir 8,000 (7,857 kes). Dua hari sebelumnya, 7,289 kes (25/5/2021) dan 7,478 (26/5/2021). Berlegar pula pelbagai infografik dalam media sosial, kadar jangkitan kes di Malaysia bagi setiap sejuta penduduk berjaya melepasi negara-negara yang sebelumnya  digemparkan dengan ‘krisis kesihatan’ dan kelemahan pengurusan COVID-19. Ketika itu, ramai yang bercakap, pengurusan kesihatan di Itali hampir gagal, Portugal, Brazil juga Amerika Syarikat.

Langgar PKP hanya dikenakan denda RM 1,000,  tidak cukup berkesan bagi mereka yang berduit. Disebarkan bahawa kompaun langgar KPK di lain-lain negara, termasuk Indonesia adalah lebih tinggi berbanding Malaysia. Namun, bila naikkan kompaun ada juga yang sinis bercakap, inilah nasibnya bila dipimpin oleh mereka yang tidak kompetens, dan wajar stepdown. Sesekali rasa tersintak juga, apakah yang mengesyorkan ‘stepdown’ itu cukup yakin caranya adalah terbaik? Jangan jadi seperti mentera PH, semuanya salah BN dan Najib, akhirnya, bila diberi peluang memerintah, semuanya macam ‘masuk longkang’. Terlupa, kata Azmin Ali, ada politik longkang (gutter politics), ada slogan “Nabi pun berbohong”, ada sebutan “Saya bukan bodoh”, dan banyak lagi.

Bila maksimum kompaun dinaikkan kepada RM 10,000 terhadap individu, dan RM 50,000  kepada pengendali (premis perniagaan, penganjur, peniaga dan sebagainya), sekali lagi muncul istilah ‘dua darjat’. Lontaran itu bermula bila tiga orang peniaga di Kelantan ditawarkan kompaun RM 50,000 (boleh merayu). Heboh cerita penjual colek dan sepasang suami isteri penjual burger. Kalau sebelumnya, MP yang pernah hadiahkan kereta SUV kepada isteri sempena hari jadi ditekan meletakkan jawatan kerana langgar SOP, maka kini tersebar pula visual PM tidak pakai pelitup muka sedangkan di sekelilingnya pakai.

Mula pula dilontarkan kisah-kisah lain, termasuk ada Menteri ‘kebal’ sebab tidak pakai pelitup muka, ada EXCO terima pelawat di hari raya, ada pegawai tinggi kerajaan raikan majlis Aidilfitri, dan tidak terkecuali kisah pelanggaran SOP Nor Neelofa; rentas negeri, rentas dearah, berhimpun raikan Aidilfitri, tidak scan My Sejahtera, tidak pakai pelitup muka (sekadar berniqab), dan  berkereta lebih tiga orang. Sebelumnya didenda RM 60,000 atas dua kesalahan melanggar SOP di Majlis Pernikahannya dengan PU Riz (Muhammad Haris Mohd Ismail) dan langgar SOP ketika di Langkawi. Cukup dengan berNilai setelah pasangan itu meLangkawi.

Semalam, keluar cerita Datuk Khalid dan Siti Nurhazila masing-masing didenda RM 10,000 manakala Menteri Agama, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakry, Ustaz Don Daniel, Ustaz Azhar Idrus ikut dikompaun masing-masing RM 2,000.  Mereka langgar SOP, tiada penjarakan sosial semasa majlis tahnih anak kedua pasangan tokoh perniagaan dan penyanyi nombor satu negara. Ada juga cerita EXCO didenda, wakil rakyat sedang disiasat melanggar SOP, termasuk Pengerusi Prasarana yang akhirnya dipecat selepas ‘tidak dapat menjadikan Sidang Media’ sehari sebelumnya sebagai ‘PR Exercise’ yang berkesan untuk menjelaskan isu pelanggaran dua koc LRT antara stesen Kg Baharu dan KLCC. Kejadian pada malam Isnin itu telah menyebabkan ratusan orang tercedera, dan melakar sejarah pertama kemalangan LRT sejak mula beroperasi (1998).

Bila Tajudin Abdul Rahman dipecat, tular pula video karikatur berkain pelikat dan duduk di kerusi kayu selain video ‘bird eye view’ sebuah bungalow yang belum siap.  Saya tidak pasti sama ada benar atau Tajudin sedang membina sebuah banglow besar di kawasan Damansara yang tanahnya cukup mahal.

Tetapi, saya masih ingat kisah beliau ‘mengamuk’ apabila kouta pelajar Matrikulasi dikurangkan, Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil alih seluruhnya program itu setelah siap pembinaan Kolej Matrikulasi. Kita tahu sebab apa beliau mengamuk, bila kouta dikurangkan,  ertinya pendapatan IPTS miliknya (TAJ College di Trolak) ikut terjejas. Itu berlaku pada akhir 1990-an dan awal tahun 2000-an.

Kini IPTS itu dikenali TAJ International College, dan kampus utamanya di Ipoh telah dibuka pada tahun 2009 di mana anaknya, Tina Tajudin adalah Ketua Pegawai Eksekutif. Itu kejayaan Tajudin dan tidak ada siapa marah dengannya bila berjaya melakarkan kejayaan membangunkan sebuah institusi pendidikan, bahkan sebagai bumiputera saya berbangga usaha dan wawasannya.

Saya tidak berminat untuk mengulangi kembali kisah dan kontroversi Tajudin  walaupun pernah ‘dekat’ dan ‘bersama’ sekitar tahun 1986/1987 secara kebetulan. Apa yang ingin dkisahkan ialah bagaimana masyarakat Malaysia melihat kepada situasi dan perkembangan COVID-19, apabila ada amaran “bersedialah hadapi keadaan lebih buruk”. Tajudin sudah pun menerima kesannya, apabila pengendalian sidang media ‘tersangat buruk’ dan ‘tidak profesional’ (https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2021/05/26/pm-digesa-pecat-tajuddin-gara-gara-sidang-media-memalukan)

Berdasarkan beberapa petunjuk, kes jangkitan harian di Malaysia akan meningkat kepada lima angka dalam beberapa hari lagi apabila Kluster Ziarah Aidilfitri ‘mengganas’. Kluster ini sudah dikesan berlaku di Melaka, Kelanta, Selangor dan beberapa buah negeri lainnya, setelah ada aktiviti ‘curi-curi’ balik kampong sejak har Jumaat terakhir bulan Ramadhan. Jalan ke Pantai Timur digambarkan berlaku kesesakan, manakala lebih seribu kenderaan diarahkan berpatah balik kerana rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran.

Kebenaran hanya diberikan kepada kes-kes kecemasan, termasuklah pasangan jarak jauh. Dua minggu sebelum Aidilfitri, segelintir rakyat Malaysia mula ke pusat beli-belah, walaupun sedar bahawa sambutan kali kedua ini juga dalam mood gear PKP: tiada ziarah menziarahi, perhimpunan keluarga (kecuali tinggal sebumbung atau dalam taman perumahan yang sama), tiada kenduri atau jamuan hari raya, dan sebagainya.

Ada juga yang enggan mematuhi SOP, bertamu di rumah kawan-kawan atau kenalan (juga ahli keluarga). Beberapa hari lalu diberitahu, ada di antara mereka sudah disahkan positif COVID-19. Ada kesan pemindahan virus dan penularan dalam kalangan ‘orang yang dikenali’ biarpun awalnya tidak bergejala dan rasa ‘sangat kebal.’ Sudah muncul Kluster Ziarah Aidilfitri. Sebab, rasa macam ‘dua darjat’ bila pada perayaan Tahun Baru Cina dibenarkan ‘makan besar’.

Selepas menerima perkhabaran buruk kes meningkat, khabar buruk yang lainnya juga sangat mengejutkan: 10,000 temu janji di Kelantan, 11,000 di Kedah, 6,000 di Melaka tertangguh kerana enggan disuntik vaksin. Seribu satu alasan diberikan, tetapi bila dikatakan ada sedikit masalah kekurangan bekalan vaksin, ramai ahli politik melalak, mahukan kerajaan menjelaskan apa yang telah berlaku kerana wang sudah begitu banyak dibelanjakan.? Ada yang cadangan agar suntikan vaksin kedua ditangguhkan, dan dipindahkan kepada suntikan untuk pertama, bagi membanyakkan mereka yang disuntik.

Khairy memberikan penjelasan, vaksin tambahan Pfizer sebanyak 2 juta dos seminggu  akan diterima mulai Jun ini, dan  lonjakan suntikan akan ditingkatkan kepada 150,000 dos sehari. Apakah perancangan itu tidak menyakinkan Anwar Ibrahim (PM masih belum jadi) dan Mat Sabu (hilang petua grooming dan facial)?. Memang berlaku sedikit ‘kekurangan’ stok vaksin Astra-Zeneca, tetapi itu bukanlah bermakna pusat vaksinisasi COVID-19 boleh dianggap gagal dan wajar dipolitikkan.

Tindakan sudah dibuat dan masalah sedang diatasi. Macam pernah ahli politik berkata, ‘tidak ada ‘lampu Aladin, ia akan dilakukan berperingkat-peringkat’, tidaklah ‘sampai mabuk ketum’ macam Khalid Samad ‘tutup kilang arak’ tapi benarkan Oktoberfest di MidValley bila berjawatan Menteri. Bekalan vaksin juga ada masalah kerana permintaannya tinggi sedangkan keupayaan pengeluaran terbatas.  Berlaku beberapa penundaan di beberapa negara kerana kekurangan bekalan disebabkan kapasiti pengeluarannya.

Namun, cerita vaksin turut menjadi isu politik. Lim Guan Eng dengan bahasa kesatnya mengecam keputusan kerajaan tidak menjawab permohonan Pulau Pinang untuk mendapatkan derma dua juta dos vaksin Sinovac. Sebenarnya, bukan sesuatu yang menghalang, apa yang berlaku ialah kesahihan derma dan ketulenan vaksin itu yang dipersoalkan. Diperlukan bukti sudah dibuat tempahan oleh penderma (resit bayaran misalnya), yang kemudiannya Ketua Menteri Pulau Pinang memohon maaf berkenaan kontroversi tersebut. Lim Guan Eng masih kekal dengan “kepala otak”. Siapa dia yang sepatutnya ber‘kepala otak’? Pasti kata-kata kesat itu telah pulang ke ‘kepala otak’ Lim Guan Eng.Sudahkkah Lim Guan Eng  ber’kepala otak?”

Lim Guan Eng sebenarnya dapat semula ‘nafas lega’ bila  menang saman fitnah Raja Petra Kamarudin. Raja Petra diarahkan membayar RM 600,000 dan RM 10,000 kepada Lim Guan Eng, fitnah ‘telowong’. Bagaimanapun, kes rasuah Lim Guan Eng dan salah lakunya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang lain belum diputuskan biarpun dua tahun lalu (2 September 2018) mendapat sedikit Panadol bila kes tersebut digugurkan oleh Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas.

Kes itu dibicarakan semula selepas PH hilang kuasa. Mahkamah menetapkan ia akan dibicarakan Jun ini (selama 31 hari) setelah pada tahun lepas, Lim Guan Eng menyifatkan ia sebagai kejam kerana ingin menghancurkan kebahagiaan mereka. Bila isterinya ditahan reman, Lim Guan Eng memberikan komen , “ jadilah anak jantan, nak serang saya, suka hati anda, tapi jangan jadi pengecut dan ganggu keluarga saya.” (Free Malaysia Today, 9 Ogos 2020). Ia dilihat sebagai ‘tindakan politik’ dan komen itu ditujukan kepada seteru politiknya. Apakah ia benar-benar merupakan konspirasi politik?

Hal itu turut mengingatkan kita kepada perihal COVID-19 yang turut dikatakan sebagai bentuk konspirasi: ada kata konspirasi Yahudi kerana ingin mencari keuntungan besar menerusi perniagaan vaksin; COVID-19 adalah proses pendigitalan manusia yang dilakukan menerusi suntikan vaksin (seperti mind machine control); tindakan untuk mengurangkan jumlah penduduk dunia (kedengarannya ialah kerajaan China); satu kaedah untuk mengurangkan jumlah penganut Islam kerana pertambahannya lebih cepat dan bakal menyaingi jumlah penduduk Kristian dalam tempoh kurang tiga puluh tahun akan datang; perancangan Yahudi menyekat umat Islam mengerjakan Haji dan Ibadat dengan ‘menyebarkan virus’ (menjauhkan umat Islam dengan ajaran Islam); bukan virus semulajadi, ia adalah virus ciptaan manusia; virus itu dicuri oleh saintis China daripada sebuah makmal di Amerika Syarikat; dan sebagainya.

Biarpun pelbagai terori konspirasi dikemukakan, setakat ini belum ada kesahihan buktinya, termasuklah berkenaan aktiviti kapitalis Yahudi. Kalau benar kapitalis Yahudi melakukannya, mereka tidak mungkin melakukannya ke atas penduduk haram Yahudi di Israel. Israel pernah mencecah 9,754 kes baharu sehari pada 14 Januari 2021. Sehingga semalam (27 Mei 2021), kumulatif kes di Israel lebih 839 ribu kes dengan kematian 6.406 orang. Bagaimanapun, keadaan tersebut sudah terkawal dengan baik setelah rakyatnya diberikan suntikan vaksin.

Di seluruh dunia COVID-19 telah menjangkiti hampir 170 juta orang, dan lebih 3.5 juta meninggal dunia. Tarikh 29 April 2021 menjadi tarikh yang amat menakutkan apabila lebih 903 ribu kes berlaku di seluruh dunia dengan India adalah penyumbang terbesar, iaitu hampir 380 ribu kes. Ketika ini ramai memperkatakan tentang kelonggaran atau pelanggaran SOP dengan membenarkan sambutan acara keagamaan oleh ribuan penganut Hindu pada awal April 2021 di Sungai Gangga dan pilihan raya di Bengal. Bagaimana pun kes baharu semakin menurun mulai 10 Mei 2021, dan data terakhir menunjukkan kes baharu (sehari) ialah sekitar 179,770 kes (27/5/2021).

Sejak COVID-19 melanda India, kumulatif kes ialah 25.21 juta dengan kematian hampir 319 ribu orang. Suasana cemas itu turut memperlihatkan banyak perkara yang perlu kita pelajari, tetapi sayangnya, rakyat Malaysia sangat tidak peduli. Apa yang berlaku di India, adalah kerana jauh daripada kedudukan Malaysia, tetapi tanpa kita sedar, perhimpunan ramai dan melanggar SOP adalah punca yang mempercepatkan jangkitan. Itulah yang menyebabkan ada yang ‘curi-curi balik kampung’, berjemaah dengan memadam lampu bagi mengelakkan dikesan melanggar SOP, dan agak menarik ialah apabila ada yang mengepos surat saman dari pihak berkuasa, yang dilihat tidak sepatutnya dilakukan kerana menunaikan kewajipan beribadah. Ia seolah-olah ada hubung kait dengan tindakan ala Yahudi, untuk menjauhkan umat Islam daripada berjemaah.

Menariknya, ramai yang cenderung menyebarkan fitnah, ada penerbangan membawa masuk orang daripada India oleh MAS dan Air Asia. Sedangkan sebenarnya ialah penerbangan pesawat penumpang yang ditukarkan kepada perkhidmatan kargo. Teringat cerita, kemasukan warga Bangladesh untuk memenangkan BN dalam PRU ke-13. Cukup mudah melakukan pembohongan dalam era digital ini. Sejak COVID-19 muncul, macam-macam ada, hingga sebahagian daripada kita terlupa, fitnah itu adalah perancangan kotor dan sangat besar dosanya. Allah SWT melaknat penyebar fitnah, juga bersubahat memfitnah.

Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya, dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” [Surah al-Nur : 11-12].

Ia adalah sesuatu yang agak keterlaluan. Seperti dijelaskan, apa tindakan seseorang bila berada dalam ‘rumah yang sedang terbakar’? Apakah dengan memasuki ke rumah yang sedang terbakar itu suatu tindakan yang mulia? Apakah mereka yang berada dalam rumah itu membiarkan ‘diri hangus terbakar’ suatu tindakan tepat? Apakah persiapan atau langkah keselamatan yang diambil sebelum meredah masuk ke rumah terbakar yang apinya sedang marak? Inilah analogi perlu diberikan perhatian dan dijadikan panduan sebelum mendakwa COVID-19 itu bukan REAL, dan sebelum menolak pengambilan vaksin.

Sejarah sudah banyak kita dengar. Kemunculan semula penyakit yang hampir pupus berlaku kerana ada penduduk di Malaysia tidak ada sejarah vaksin, mereka adalah sebahagian besarnya pendatang yang dibawa masuk sebagai buruh ladang kelapa sawit, binaan dan juga pekerja-pekerja kilang, pembantu restoran dan sebagainya. Bahkan, banyak jua cerita penipuan perakuan kesihatan telah berlaku semasa memohon permit kerja dan sebagainya.

Banyak juga cerita kematian kanak-kanak akibat cacar. Kes itu tidak menjadi masalah besar di Malaysia, tetapi ia cukup menggemparkan Filipina sebelum COVID-19 dikenal pasti sebaai epidemik da seterusnya diisytiharkan pandemik. Kita juga, beberapa tahun sebelumnya digemparkan dengan penularan semula penyakit batuk kering (tuberculosis), polio dan kusta, kerana setiap kanak-kanak yang dilahirkan sepatutnya menerima suntikan vaksin. Ada sebilangan kecil enggan melakukan, atas alasan, vaksin bukan jaminan seseorang itu tidak dijangkiti penyakit. Pengambilan vaksin ialah untuk meminimumkan potensi dijangkiti, kerana ialah bersifat membantu meningkatkan kawalan dalam diri sendiri seseorang.

Itulah yang sepatutnya diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia kalau mahu meminimumkan jangkitan COVID-19 dari terus menjadi sesuatu yang lebih buruk. Ini pula bukan bermakna, melanggar semua SOP setelah diberikan dua dos. Virus corona masih mengganas dalam komuniti. Jadi, untuk tempoh sekarang, patuhilah SOP, duduklah di rumah (meskipun rasa bosan, boleh penuhi aktiviti membaca, mentelaah dan menghafal al-Qur’an), berkebun walaupun sekadar menanam daun kesum dalam pasu, membantu anak-anak menghadapi situasi belajar secara online, dan kalau rajin, berkemas-kemaslah apa yang patut bagi menghidupkan suasana Rumahku Syurgaku.

MONOSIN SOBRI

 

 

 

 

 

 

 

Translate »