DALAM bulan Ramadan,  ada satu malam yang kedatangannya sangat dinantikan oleh umat Islam. Malam itu disebut dengan lailatulqadar, suatu malam yang dinilai oleh al-Qur’an sebagai malam yang penuh barakah dan malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Kita semua tahu bahawa perburuan lailatul qadar bermula pada malam ganjil di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Akan tetapi Allah SWT sendiri tidak memberi gambaran secara tepat dengan cara apa dan bagaimana kita dapat menggapai malam kemuliaan itu. Begitu juga dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang ‘hanya’ menyiratkan waktu-waktu tertentu untuk kita mencari malam yang penuh hikmah itu. Lailatul qadar adalah sesuatu yang abstrak. Sesuatu yang tidak dapat dirasakan secara fizikal dan dihidu secara inderawi.

Ada kalanya, kita terjebak dengan segala kuantiti ibadah  sebagai kayu pengukur bagi melayakkan diri kita mendapatkan lailatul qadar. Kita merasa sebagai orang yang paling layak mendapatkan lailatul qadar kerana semata-mata  tidak pernah terlepas salat teraweh, sentiasa berqiyamullail dan tak henti-hentinya memberikan sedekah kepada golongan fakir miskin atau yatim piatu.

Akan tetapi pada masa yang sama, secara hakiki kita melakukan pelanggaran atau pengabaian terhadap nilai-nilai asas dan pegangan Islam itu sendiri. Meskipun secara zahir  berpuasa, akan tetapi secara batin  ‘tidak berpuasa’ dengan membiarkan bibir  mengata orang, menghambur fitnah, menyakiti perasaan hati jiran, panas baran dan membiarkan emosi diri menguasai diri.

Begitu juga di peringkat kepimpinan baik sebagai pemimpin  keluarga, komuniti, organisasi mahupun di peringkat pemimpin negara. Sebagai seorang pemimpin, adakalanya terbawa-bawa oleh sikap merasa besar, merasa dialah yang paling warak dan yang paling benar sehingga terperangkap dengan idiom ‘pemimpin tidak pernah salah’. Oleh kerana merasa menjadi pemimpin yang besar, berwibawa dan disegani, segala tindakannya seolah-olah mendapat restu Tuhan berasaskan pemimpin adalah khalifah di muka bumi.

Lantaran itu, ramai pemimpin yang terjebak dengan sikap ‘maksum’ dan melanggar prinsip-prinsip Islam dengan melakukan tindakan-tindakan yang autoritarian, tidak ‘berhati perut’ terhadap bawahan atau rakyat secara keseluruhan. Meskipun pemimpin sebegini dipersepsikan taat agama, warak dan alim, ia sama sekali tidak layak mendapatkan keberkatan dan kemuliaan lailatul qadar kerana ia secara hakikinya menyelewengkan nilai-nilai Islam yang menyanjung prinsip keadilan, menghormati sesama manusia dan memegang teguh amanah.

Dari Ibnu Abas dia berkata; Pada malam lailatulqadar, Allah melihat orang-orang yang beriman dari umat Rasulullah kemudian mengampuni mereka dan mengasihaninya kecuali empat golongan iaitu; orang yang sering meminum arak, yang sering membangkang dan berselisih faham serta memutuskan hubungan silaturahim.

Majoriti ulama  berpegang pada teks ayat al-Quran serta sekian banyak teks hadis yang menunjukkan bahawa lailatulqadar terjadi pada setiap bulan Ramadan. Bahkan Rasulullah SAW menganjurkan umatnya untuk mempersiapkan jiwa menyambut malam mulia itu, secara khusus pada malam-malam ganjil, setelah berlalunya dua puluh Ramadan.

Dalam Musnad dan kitab an-Nasai, Abu Dzar berkata, aku bertanya kepada Rasulullah SAW  tentang lailatulqadar. Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepadaku tentang lailatulqadar apakah dalam bulan Ramadan atau dalam selain Ramadan? Rasulullah SAW menjawab, “Pada bulan Ramadan.”

Aku bertanya, lailatulqadar ada bersama Nabi, jika Nabi sudah wafat, apakah lailatulqadar juga ikut diangkat atau adakah tetap ada sehingga hari kiamat. Rasulullah SAW menjawab, “Lailatulqadar ada sampai hari kiamat.” Aku bertanya, pada bahagian Ramadan yang manakah? Nabi bersabda; “Carilah pada sepuluh yang pertama dan sepuluh yang terakhir.”

Aku bertanya, dalam sepuluh yang manakah? Nabi menjawab, “Pada sepuluh yang terakhir. Jangan lagi kau bertanya kepadaku tentang sesuatu setelah ini.

Kemudian Rasulullah SAW  berbicara. Setelah itu aku memperdaya dengan pertanyaan berharap beliau lupa. Wahai Rasulullah, aku bersumpah dengan hakku tentang apa yang kau khabarkan, dalam sepuluh yang manakah lailatulqadar?

Nabi SAW marah kepadaku dengan kemarahan yang tidak pernah muncul sejak aku menjadi sahabatnya dan bersabda, ``Carilah pada tujuh yang terakhir.” Jangan lagi kau bertanya kepadaku tentang sesuatu setelahnya.

Nabi menggalakkan kita dan ahli keluarga menghidupkan malam itu dengan amal ibadat. Rasulullah sendiri sering meningkatkan peribadatannya khususnya pada 10 hari terakhir dari bulan tersebut. Bahkan keluarganya dibangunkan, diajak memperbanyakkan amal dengan solat di tengah malam.

Diriwayatkan bahawa Nabi membangunkan Fathimah dan Ali kemudian berkata kepada kedua-duanya, Bangunlah, kemudian solatlah.”Beliau membangunkan Aisyah pada waktu malam apabila hendak menunaikan tahajudnya serta witir.Aisyah dan Anas meriwayatkan bahawasanya nabi bersabda yang bermaksud; Apabila masuk hari terakhir 10 Ramadan baginda menguatkan ikatan pinggang, menjauhi isterinya, dan mandi di antara dua azan, dan mendirikan isyaknya di waktu sahur.

Diriwayatkan bahawa Nabi berjaga pada malam 23, 25 dan 27, dan disebutkan bahawa ia mendoakan keluarga dan isterinya terutama pada malam ke-27. Hal ini menunjukkan bahawa beliau menganjurkan mereka tentang bilangan hari yang ganjil yang diharapkan di dalamnya ada lailatulqadar.  Imam ath-Thabrani meriwayatkan dari Ali bahawa Nabi membangunkan seluruh anggota keluarganya, sama ada yang kecil mahupun besar untuk solat pada 10 malam terakhir.

Sufyan ats-Tsauri berkata, Aku lebih suka bila masuk sepuluh yang akhir untuk bertahhajud di malam hari dan bersungguh- sungguh di dalamnya, membangunkan keluarga dan anak untuk solat bila mereka kuat melakukannya.

Disebutkan dalam Al-Muwaththa bahawa Umar ibn al-Khaththab, solat malam sesuai kehendak hatinya dan jika datang pertengahan malam ia membangunkan keluarganya untuk solat. Ia berkata kepada mereka, solat, solat”dan membaca sepotong ayat yang maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu untuk solat dan bersabarlah atasnya. ( surah Thaha: 132).

Salah satu doa yang sering dibaca dan dihayati oleh nabi pada malam-malam itu adalah; Rabbanaa aatinaa fid dun-yaa hasanataw wafil akhirati hasanataw waqinaa `adzaaban naar. Doa ini bermaksud, Ya Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah (hindarkanlah) kami dari azab neraka.

Baginda biarpun maksum atau terpelihara daripada melakukan perbuatan dosa malah telah dijamin syurga oleh Allah, namun masih lagi berusaha melipatgandakan ibadah khususnya di hari-hari terakhir Ramadan. Apatah lagi kita yang sering bergelumang dengan dosa-dosa tidak sanggup untuk menggandakan ibadah yang telah dijanjikan pahala yang begitu besar.

Aisyah pernah berkata kepada Rasulullah, “Bila aku mendapati Lailatulqadar, apa yang semestinya aku katakan?’‘ Baginda berkata, katakan; Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, menyukai pengampunan, maka ampunilah aku.

Dia akan menghapuskan kesalahan hamba-hamba-Nya. Dia menyukai keampunan dan suka untuk mengampuni hamba-hamba-Nya, dan Dia suka jika hamba-hamba-Nya saling mengampuni antara mereka. Apabila sebahagian daripada mereka mengampuni sebahagian yang lain bermakna mereka telah berinteraksi dengan keampunan-Nya. Keampunan-Nya lebih disukai daripada seksaan-Nya.

Orang-orang yang menjalani malam itu dengan ikhlas akan berkesan terhadap jiwanya, sehingga pada akhirnya dia mendapat kedamaian dan ketenangan serta keinsafan dan kesedaran sehingga mengubah cara hidupnya secara total. Kesedaran seperti itu, apabila dirasakan oleh seseorang, maka itu adalah bukti bahawa dia telah mendapatkan Lailatulqadar.

Pada malam itu seolah-olah dia telah meletakkan batu permata bagi kebajikan sepanjang hayatnya sekali gus merupakan malam penetapan bagi langkah-langkah hidupnya di dunia dan di akhirat kelak. Orang yang mendapatkan Lailatulqadar akan semakin kuat dorongan dalam jiwanya untuk melakukan amal kebajikan pada sisa hidupnya sehingga dia merasakan kedamaian abadi.

Ibnu Qayyim telah menggambarkan tanda-tanda jiwa yang telah mencapai kedamaian iaitu, ``Hati yang mencapai kedamaian dan ketenteraman membawa pemiliknya daripada ragu kepada yakin, daripada kebodohan kepada ilmu, daripada lalai kepada ingat, khianat kepada amanah, riak kepada ikhlas, lemah kepada teguh dan sombong kepada mengenal diri.

MOHD SHAUKI ABDUL MAJID

 

Translate »