Setiap 17 Ramadan kita sentiasa memperingati peristiwa Nuzulul Quran atau turunnya al-Quran. Al-Quran merupakan mukjizat paling agung Nabi Muhammad SAW. Proses turunnya al-Quran yang mengambil masa 22 tahun 2 bulan dan 22 hari memberi pengajaran penting kepada kita bahawa Allah tidak serta-merta menerapkan syariah kepada umat Islam.

Turunnya Al Quran secara berperingkat ini menyiratkan dua makna watak Al Quran. Pertama, bermakna naqliah (transedental). Ia bermakna, turunnya Al Quran merupakan manifestasi kepada kuasa nilai-nilai ilahiah yang tak terjangkau oleh akal manusia. Ini bermakna, Al Quran sama ada dalam bentuk, isi dan segala keistimewannya tidak akan pernah tertandingi oleh kemampuan akal dan pemikiran manusia.

Kadangkala, manusia cuba berfikir ‘nakal’ dengan mengatakan betul ke, Al Quran diturunkan daripada alam lauh mahfuz ke bumi secara tiba-tiba dengan segulung lembaran-lembaran sahifah dan Nabi tinggal membacanya? Betul ke ayat-ayat Al Quran diturunkan oleh suara-suara asing yang kemudian Nabi cuba mendengarnya secara inderawi sahaja bagaikan kapal terbang yang hendak mendarat di lapangan terbang?

Tentu sahaja pemikiran ini lebih kepada pemikiran secara simbolik dan materialistik. Ia mengabaikan dimensi rububiyah (ketuhanan) dan nubuwwah (kenabian) yang menjadi ciri utama proses turunnya Al Quran. Oleh itu, Allah mengisyaratkan:

Dan tidak layak Allah berbicara dengan seorang manusia pun kecuali dengan perantaraan wahyu, di belakang tabir, atau dengan mengutus seorang utusan (malaikat) lalu utusan itu mewahyukan kepadanya dengan seizin-Nya apa yang Dia kehendaki” (Surah Asy-Syura: 51).

Ia membawa makna bahawa meskipun Al Quran diturunkan sebagai jawapan kepada keadaan-keadaan yang khusus, akan tetapi prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya merentasi keadaan ruang dan waktu. Lantaran itu, Al Quran sentiasa menjadi acuan dan pegangan utama umat manusia di mana sahaja dan sampai bila-bila.

Oleh itu, penting kiranya bagi umat Islam untuk tidak hanya membaca Al Quran sebagai sebuah kebiasaan, melainkan menjadikan al Quran untuk dihayati, difahami dan diamalkan segala perintah dan larangan yang terkandung di dalamnya.

Dalam hal ini, bagi mengamalkan al Quran secara praktikal dalam dunia nyata, salah seorang pujangga Islam terkemuka Sir Muhammad Iqbal pernah memberi tips mudah kepada umat Islam dengan mengatakan “Bacalah Al Qur’an seolah-olah ia diturunkan kepadamu”. Dengan demikian, jika saranan ini dihayati dan diamalkan oleh setiap orang Islam, niscaya Al Quran akan menjadi petunjuk yang sesungguhnya dalam kehidupan ini.

Agama Islam menjadi agama yang menekankan pentingnya penghayatan dan kesedaran umatnya berbanding memaksa menjalankan ritual-ritual keagamaan tanpa disertai dengan pemahaman yang secukupnya terhadap pesanan kandungan al-Quran dan sunnah Nabi.

Kita jangan terperangkap dengan retorik dan slogan indah tapi pada masa sama kita mengalami kekosongan nilai-nilai kandungan al-Quran dan Sunnah itu sendiri. Adakalanya kita sibuk dengan ritual-ritual keagamaan seperti tidak pernah terlepas sembahyang lima waktu, rajin puasa Isnin-Khamis, menyokong kehidupan Islamik, akan tetapi pada masa sama melanggar dan menyeleweng prinsip dan kandungan al-Quran seperti taksub kepada parti politik dan pemimpin, suka mengkafir dan menyesatkan orang Islam lain, tidak menghargai perbezaan pendapat, bertindak zalim, memfitnah, kuku besi, pecah amanah, rasuah dan sikap negatif yang lain.

Islam jangan dijadikan sebagai topeng untuk menyesatkan dan menghakimi golongan Islam lain yang mempunyai pendirian yang cenderung menongkah arus perdana.

Slogan kembali ke al-Quran dan sunnah sepatutnya dijadikan sebagai hujah untuk mengukuhkan perpaduan seluruh umat Islam tanpa mengira pegangan mazhab, aliran keagamaan dan corak ibadah. Bukan menjadi ejen kepada perpecahan umat Islam. Sesungguhnya al-Quran menyediakan wahana dan tafsiran yang begitu luas yang memungkinkan berlakunya khilafiah dan beragamnya ekspresi keagamaan umat Islam.

Selain sebagai memberi iktibar daripada peristiwa-peristiwa dan kisah Nabi sebelumnya, proses turunnya al-Quran merupakan respons dan jawapan kepada persoalan dan isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat. Ayat-ayat al-Quran diturunkan oleh Allah SWT dimaksudkan untuk memberi hidayah kepada umat manusia agar mahu mengambil hikmah dari semua kejadian. Ini terutama ayat al-Quran yang menceritakan tentang azab, musibah dan bencana dari Allah kepada manusia kerana perbuatan dosa yang telah mereka lakukan.

Kita mengingati hari turunnya al-Quran (Nuzulul Quran) sebagai asas kita membina landasan yang benar, betul dan jelas. Turunnya al-Quran turut membawa pandangan-pandangan baharu manusia terhadap alam semesta, darjat dan martabat manusia, proses kemanusiaan dan keinsanan, tatacara hidup dan berbudaya, jalinan kemasyarakatan dan pemenuhan peranan sebagai seorang individu, keluarga, masyarakat dan bernegara. Menerusi al-Quran kita diberikan pedoman, dan selagi kita memahami, mengamalkan apa yang disarankan kita akan terus tabah menghadapi ujian.

Menerusi kandungan al-Quran, kita membina keyakinan hidup dengan beriktikad bahawa Allah SWT adalah kekasih yang abadi” dan kebesaran-Nya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa yang lahir dan dilahirkan oleh makhluk. Menerusi al-Quran juga kita mengenali jagat raya dengan lebih baik, dan semakin kita memahaminya, maka kita semakin yakin kekuasaan Allah SWT adalah amat besar, tidak terbatas bahkan Dialah menjadi tempat kita bermohon dan mencari keredaan sejati.

Sebagai hamba Allah SWT, setiap kali kita bernafas, dengusnya adalah keberkatan-Nya yang diberikan tanpa pernah meminta untuk dibalas. Sebagai manusia yang beradab dan beradat, tentunya setiap pemberian walaupun kecil perlu disusuli dengan ucapan terima kasih. Demikian juga dalam Surah Ad-Dukhan ayat 3 Allah berfirman yang bermaksud; (Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).

Oleh sebab itulah, sebagai orang yang beriman, mereka sanggup berjaga sepanjang malam bagi mendapatkan malam Lailatulqadar. Meskipun sering gagal dalam percubaannya, umat Islam tidak pernah rasa kecewa. Mereka akan terus mencuba, kerana yakin malam itu akan datang juga dalam kehidupannya.

Oleh: Mohd. Shauki Abd. Majid

Translate »