Al-Fudhail menurut pengkisahannnya, awalnya adalah seorang perompak (https://www.thepatriots.asia/fudhail-bin-iyadh-dari-perompak-menjadi-ulama/) kemudian berubah menjadi seorang ulama menerusi cerita pertaubatan dan sangat mahir dalam ilmu hadis, fiqh dan tasauf.
Selepas mengerjakan ibadat haji, Khalifah Harun Ar-Rasyid ingin sekali bertemu dengan al-Fudhail bin ‘Iyadh. Dengan bantuan Fadhl bin Rabi’, Khalifah Harun Ar-Rasyid pergi menemukan ulama besar itu yang sedang membaca al-Qur’an. Bila diketuk pintu rumah, Al-Fuhdail bertanya: “Siapakah itu?”.
Jawab Fadhl: “Amirul Mukminin”.
Al-Fudhail bertanya lagi: “Apa hubunganku dengan Amirul Mukminin?”.
Terang Fadhl: “Bukankah ada hadis Rasullullah SAW yang mengatakan bahawa orang yang tidak boleh menghinakan dirinya dengan ibadah kepada Tuhan?”.
Al-Fudhail menjawab: “Tetapi kepasrahan kepada kehendak Tuhan adalah kemuliaan abadi dalam pandangan kaum sufi. Engkau melihat kerendahan diriku, tetapi aku melihat kemuliaanmu.”
Setelah membuka pintu, mereka bersalaman tetapi al-Fudhail berteriak:”Aduh, tidak pernah kurasakan tangan sehalus ini! Alangkah baiknya jika tangan ini selamat dari azab Tuhan.”
Amirul Mukminin menitiskan air mata dan ketika keadaan kembali tenang, bisik Khalifah:”Wahai Fudhail, berilah aku nasihat.”
“Ya Amirul Mukminin, datukmu Abas adalah paman Nabi Muhammad SAW. Dahulu, Abas datang kepada Nabi meminta agar diberi kekuasaan atas umat manusia. Nabi menjawab: “Wahai pamanku, aku akan memberimu kekuasaan selama satu masa atas dirimu sendiri. Yaitu pada masa ketaatanmu kepada Tuhan lebih baik daripada seribu tahun ketaatan orang kepadamu. Kerana kekuasaan itu akan membawa penyesalan pada hari kiamat,” balas Al-Fuhdail.
Pinta Khalifah: Nasihat ku lagi?
Sambung Al-Fuhdail :”Ketika Umar bin Abdul Aziz diangkat menjadi khalifah, dia memanggil Salim bin Abdillah, Raka’ bin Hayadh, dan Muhammad bin Kaab al-Kurazi. Umar berkata kepada mereka: “Kekhalifahan itu satu kesulitan. Apa yang haru kulakukan dalam kesulitan ini? Salah sati di antara mereka menjawab, ‘ Jika engkau hendak diselamatkan kelak dari hukuman Tuhan, ketika engkau memegang kekuasaan, pandanglah orang Muslim yang lebih tua darimu sebagai ayahmu; pemudanya sebagai saudaramu; dan anak-anaknya sebagai anak-anakmu juga. Seluruh kawasan Islam ini jadikan sebagai rumahmu dan seluruh penduduknya sebagai keluargamu. Kunjungilah bapakmu, hormatilah saudaramu, serta sayangilah anak-anakmu.”
Sambung Al-Fuhdail: Wahai Amirul Mukminin, aku khawatir kalau wajahmu yang tampan ini akan membawamu ke dalam api neraka. Bertakwalah kepada Tuhan dan laksanakan kewajipan-kewajipanmu kepada-Nya lebih baik daripada ini.”
Khalifah bertanya kepada Al-Fudhail berkaitan dengan hutang.
Jawab Al-Fuhdail:” Iya. Hutang kepada Tuhan. Celakah aku kerana sering kali Dia memanggilku untuk mempertanggungjawabkannya.”
Balas Khalifah: “Fudhail, aku berbicara tentang hutang-hutangnya kepada manusia.”
Balas Al-Fudhail: “Segala puji bagi Allah. Kemurahan-Nya kepadaku sungguh besar dan aku tidak punya alasan untuk mengeluhkan tentang kesulitan hidupku kepada hamba-hamba-Nya”.
Khalifah kemudian menghadiahkan sekantung wang (seribu dinar) dan berkata: Gunakanlah wang ini untuk keperluanmu.”
Al-Fudhail menjawab: “Ya Amirul Mukminin, nasihatku ternyata tidak memberikan kebaikan kepadamu. Di sini engkau bertindak salah dan tidak adil.”
“Mengapa demikian?”, tanya Khalifah.
“Aku inginkan engkau selamat. Namun kau campakkan aku ke dalam siksa neraka, ” balas Al-Fudhail, “bukankah ini tidak adil?”.
Dalam perjalanan pulang, Khalifah memberitahu Fadhl: Wahai Fadhl, Fudhail adalah seorang raja yang sejati.”
Menurut Jalaludin Rakhmat: Kisah ini mengajari kita bagaimana seorang sufi memberikan nasihat kepada para penguasa sekaligus menghapuskan gambaran bahawa seorang sufi adalah seseorang yang meninggalkan segala kegiatan dan menyembunyikan dirinya di sudut masjid atau gua di tengah hutan. Seorang sufi adalah seorang yang terus menerus berjuang menegakkan keadilan, amar makruf nahi mungkar.
Bagi Kang Jalal: Yang membedakan seseorang seorang sufi dari seorang moralis yang lain adalah: dia menyampaikan seluruh nasihat kepada penguasa dengan ketulusan hatinya; dengan keinginan untuk menyelamatkan sang penguasa itu dari bencana baik di dunia maupn di akhirat. (Road to Allah, 2007:332-335).
Dengan menggunakan pendekatan sufi, banyak idea Jalaludin Rakhmat dapar difahami dengan mudah sebagaimana dialog antara Al-Fudhail dan Khalifah Harun Ar-Rasyid yang membincangkan persoalan kuasa, tanggungjawab dan keikhlasan menegakkan amar makruf.
Jalaludin Rakhmat bukan sahaja percaya, bahkan turut mempraktikkan unjuran penyatuan dalam Islam, kerana berpegang teguh kepada kehendak Islam itu sendiri, setiap umat Islam adalah bersaudara. Tetapi, secara praktisnya, tidak ada langkah bertindak untuk menyatukan seluruh umat Islam dalam satu gerakan yang menyeluruh, bahkan semakin sehari semakin berpecah umat Islam.
Umat Islam berpecah kerana aliran pemikiran dan kepercayaan, termasuklah persoalan yang sangat ‘mematikan’ antara Sunni dan Syi’ah. Biarpun Jalaludin Rakhmat dianggap Syi’ah kerana menerajui IJABI, beliau tetap mahu menjadikan dua kumpulan yang berseberangan itu boleh duduk dan berbicara dalam bahasa yang sama, iaitu bahasa dan kehendak Islam.
Kelompok Syi’ah, yang dianggap sebagai kelompok minoriti dalam Islam di Indonesia, bukan sahaja sentiasa ditekan dan diperlekehkan, bagi Kang Jalal, ia perlu berjuang untuk meletakkan kedudukan yang sama dalam masyarakat, boleh beriringan dengan kelompok Sunni kerana kiblat dan kitab yang sama. Perbezaan-perbezaan perlu kepada rekonsilasi dan mempraktikkan strategi win-win situation. Itulah percubaan Jalaludin Rakhmat yang telah diusahakan, dan seharunys ada penyambungnya setelah Almarhum meninggalkan legasinya, dua minggu lalu.
Dari Nahdatul Ulama. Muhamadiyah Kang Jalal menabur bukti pula dalam ICMI (Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia) dan terakhir berusaha melakukan rekonsilasasi Syi’ah-Sunni. Juga dari bilik kuliah, Kang Jalal meneruskan inti dan makna pendidikan menerusi SMU dan SMP, latihan perkhemahan dan seterusnya aktif berforum dan berdiskusi.
Kang Jalal turut mencipta pendekatan menyemai Islam secara deduktif (pendidikan) dengan merapatkan jurang kehidupan (kelompok minoriti tanpa berbeza dengan kelas menengah) dan seterusnya, mencari sebanyak mungkin titik-temu antara Syi’ah dan Sunni, walaupun langkahnya kadangkala dibadai ombak dan kecaman. Daya juangnya tetap kental kerana “Ada cara daripada banyak kewarnaan kepada ketidakwarnaan: warna adalah seperti awan-awan dan ketidakwarnaan seperti bulan.” (Jalaludin Rumi, 2011, Masnawi Jilid 1: verse 3474: 414
Senarai bukunya cukup banyak, tidak kurang 35 judul sudah diterbitkan. Ini bermakna, sejak mula menulis (1985) sehingga kematiannya (2020), purata sebuah buku dalam tempoh setahun berjaya dihasilkan, 35 tahun dengan 35 buku. Buku-buku tersebut akan terus dibaca, dikaji dan diteliti, kerana ia adalah khazanah pemikiran yang tiada berhujung dan tentunya, nama Jalaludin Rakhmat akan terus dikenang sebagai cendekiawan yang penting dalam pemikiran Islam moden Indonesia, sekurang-kurang untuk tempoh 15 tahun di akhir Abad ke-20 dan 20 tahun di awal Abad ke-21.
Kang Jalal sering mengingatkan: Kebahagiaan hidup kita bergantung pada apa yang kita cintai. Kebahagiaan tak dapat diperoleh dengan dicintai.” Akibat cintanya, Kang Jalal bahagia dan ‘sudah merasa bahagia “ dengan jalannya sendiri; walaupun ada orang tidak merasakan bahagia dengan apa yang Kang Jalal lakukan. Kang Jalal tidak mengharapkan dirinya dicintai, tetapi selalu menyungguhkan ‘apa yang dicintai”nya. Jiwa luhur seorang pejuang, guru, aktivis masyarakat dan pemimpin yang berusaha menyegarkan pemikiran khalayaknya.
Beristirehatlah Kang Jalal. Tugasnya telah sampai ke penghujungnya, biarpun terlalu banyak onak dan duri telah dilalui. Semoga jejak-jejak yang telah melegasikan peranan dan tanggungjawabmu akan menginspirasikan orang-orang yang sudah mengenali dan bersamamu sepanjang perjuangan tersebut. Semoga ‘keringat dan fikiran’mu menjadi ‘amalan mulia’ dan diterima sebagai ‘saham’ yang telah dilaburkan. In Sha Allah, dividennya akan dapat ‘ambil’nya nanti di syurga.
KAMARUN KH.
Recent Comments