Seminggu lalu (15 Februari 2021), berita meninggalnya seorang pemikir, pakar komunikasi yang sufistik  dan pengamal tasauf Indonesia, Jalaludin Rakhmat mendapat reaksi yang pelbagai. Bagi mereka yang senang dengan pemikirannya, pemergian bekas pensyarah komunikasi Universitas Padjajaran itu adalah satu kehilangan besar manakala bagi mereka yang mengucilkannya merasakan ia sesuatu yang tidak perlu diingati.

Namun, balasungkawa dan rasa duka di atas pemergian itu lebih banyak ditulis, diucap dan disohorkan dalam pelbagai platform media kerana rasa duka itu adalah bersambung. Jalaludin Rakhmat meninggal akibat COVID-19 selepas empat hari isterinya, Euis Kartini binti Iri Suhanda pergi (11 Februari 2021). Cinta sejati antara mereka benar-benar sampai ke akhir hayat. Innallillahi wainna illaihi roji’oun. Alfatihah.

Jalaludin Rakhmat atau lebih dikenali dengan panggilan Kang Jalal meninggal dalam usia 71 tahun di Rumah Sakit Antarabangsa Santoso di Bandung. Allahyarham dilahirkan pada 29 Ogos 1949 turut aktif berpolitik dan dipilih menduduki Dewan Perwakilan Rakyat dari Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) selama lima tahun (2014-2019) dalam Jawatankuasa VIII (Agama dan Sosial).

Dalam kalangan dunia akademik dan cendekiawan Indonesia, Kang Jalal dikatakan salah seorang daripada tiga tokoh yang turut mempengaruhi wacana keislaman Indonesia selain Gus Dur (Abdul Rahman Wahid 1940-2009) dan Cak Nur (Nurcholish Majid 1939-2005).

Gus Dur adalah Presiden Indonesia pertama dalam kalangan agamawan dan dipilih daripada bukan dalam kalangan tentera. BJ Habibie, Presiden Indonesia ketiga bukanlah pilihan rakyat kerana beliau dilantik sebagai presiden sementara bagi menggantikan Suharto yang digulingkan menerusi gerakan reformasi. Gus Dur hanya mampu bertahan selama dua tahun (1999-2001) dan kemudian digantikan oleh Megawari Seokarnoputri.

Nurcholish Majid adalah pemikir dan ahli akademik yang sering dikaitkan dengan pluralisme agama. Ayahnya, KH Abdul Majid adalah pendokong Masyumi (Parti Majlis Syuro Muslimin Indonesia) dan mempunyai hubungan yang rapat dengan KH Abdul Wahid, ayahanda Gus Dur. Mereka sama-sama tinggal dan membesar di Jombang, Jawa Timur.

Semasa penjajahan Jepun, Masyumi masih belum merupakan sebuah pertubuhan politik dan merupakan sebuah pertubuhan gabungan daripada Nahdatul Ulama, Muhammadiyah, Persatuan Umat Islam dan Persatuan Umat Islam Indonesia.

Gus Dur yang lahir dalam kalangan ulama terkemuka Indonesia di mana ayahnya, Abdul Wahid Hashim (1914-1953) adalah menteri dalam kabinet pertama Indonesia. Wahid Hashim adalah anak lelaki Kiyai Hasyim Asy’ari (1875-1947) pegasas Nahdatul Ulama, sebuah pertubuhan Islam Indonesia terbesar.

Kiyai Hashim Asy’ari juga merupakan pengasas Sekolah Agama Berasrama Tebu Iring, yang kemudiannya berkembang menjadi sekolah agama berasrama terbesar dan terpenting di Jawa pada Abad ke-20.

Tiga tokoh tersebut – Gus Dur, Cak Nur dan Kang Jalal – adalah tiga tokoh penting yang suara-suara mereka sentiasa bergema ketika Indonesia dikekang oleh Orde Baharu, namun pendekatan yang diambil tetap berbeza. Gus Dur terus terjun dalam arena politik manakala Cak Nur sampai akhir hayatnya bergelumang terus dalam dunia akademik. Kang Jalal, selepas mencipta nama dalam dunia akademik, beliau hanya memasuki politik di ambang persaraannya daripada dunia akademik.

Pendekatan yang berbeza itu ialah, Kang Jalal berjuang atas landasan sufisme, falsafah Islam dan landasan pemikiran Syiah yang sedikit revolusioner. Gus Dur dengan tradisi kitab kuning manakala Cak Nur dengan kerangka dan pentafsiran  pemikiran Ibnu Taymiyyah. Namun, secara jelasnya, mereka memperjuangkan hal yang sama, memahami Islam dalam konteks nasionalisme dan negara bangsa.

Mereka bertiga adalah sahabat karib.  Tetap ada hal yang tidak dipersetujui dan bertentangan dengan dasar Soeharto dalam ‘memperlekehkan’ politik Islam sebagaimana dibahas dengan menarik oleh Robert Hefner, Islam Dalam Politik dan Pendemokrasian di Indonesia (2017, edisi terjemahan bahasa Melayu).

Suharto (1921-2008) hanya menggunakan tokoh-tokoh pemikir Islam demi kelangsungan politiknya, bukan menjadikan Islam sepenuhnya berada dalam kerangka pemerintahan Indonesia selama lebih tiga puluh tahun berkuasa (1967-1998).

Senin sore, 15 Februari 2021, pesan singkat yang mengejutkan datang dari seorang teman. Ia mengabarkan Jalaluddin Rakhmat telah pergi. Kang Jalal, begitu sapaan akrabnya, adalah salah seorang cendekiawan yang banyak memengaruhi pemikiran Islam Indonesia era 1980-an hingga 1990-an.

Laman media sosial segera dibanjiri ucapan bela sungkawa oleh berbagai kalangan: dari aktivis sampai akademisi, dari politikus hingga selebritas. Mereka seperti terikat oleh memori bersama ketika bersinggungan dengan karya-karya Kang Jalal yang memberikan warna keislaman berbeda. Ia pernah diakui dengan jelas oleh Kang Jalal mengenai lima fungsi ‘perkhidmatan dalam tasauf’: (1) menaklukkan ego; mengalahkan upaya yang selalu mementingkan diri; (2) meruntuhkan kesombongan; (3) mendekatkan diri kita kepada Allah; (4) dengan berkhidmat, kita belajar mencintai; dan, (5) dengan praktik kepada sesama manusia, kita menyucikan jiwa kita.

Terasa cukup jernih pemikiran Kang Jalal dalam membuktikan betapa pentingnya jalan tasauf dalam diri manusia untuk memperbaiki diri agar runtuhnya kesombongan dan hadir jiwa yang bersih. Diceritakan mengenai dialog antara seorang murid dengan gurunya, Abu Said Abdul Khayr, juga dikenali Syeikh Abusaeid atau Abu Sa’eed, seorang tokoh Sufi dari Parsi (967-1049), yang disebut oleh cucunya, Mohamad Ibn Monavar (1157-1202) dalam Asrar at-Tawhid (dikatakan selesai ditulis pada tahun 1178/1179), iaitu 130 tahun selepas kematian Abu Sa’eed .

Cerita Kang Jalal, seorang murid berkata, “Guru, di tempat lain ada orang yang bisa terbang.” Jawab sang guru (Abdul Khayr) : “Tidak aneh. Lalat pun bisa terbang.” Muridnya berkata lagi: “Guru, di sana ada orang yang bisa berjalan di atas air.”  Balas Abdul Khayr, “Itu juga tidak aneh. Katak pun bisa berjalan di atas air.” Beritahu murid itu sekali lagi: ”Guru, di negeri itu ada orang yang bisa berada di beberapa tempat sekaligus.” Jawab Abdul Khayr lagi: “Yang paling pintar seperti itu ialah setan. Ia bisa berada di hati jutaan manusia dalam waktu bersamaan.”

Setelah soalan-soalan dapat dijawab dengan baik oleh sang guru, ditanyakan secara langsung “Kalau begitu Guru, bagaimana cara paling cepat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT?.” Pada anggapan para murid, orang yang palin dekat dengan Allah SWT adalah mereka yang mempunyai ‘keajaiban dan kekuatan supranatural’.

Sangkaan itu meleset apabila Abdul Khayr menjawab: “Banyak jalan untuk  mendekati Tuhan, sebanyak bilangan napas para penari Tuhan. Tetapi, jalan yang paling dekat kepada Allah adalah membahagiakan orang lain di sekitarmu. Engkau berkhidmat dengan mereka.” (dipetik dari The Road to Allah: Tahap-Tahap Perjalanan Rohani Menuju Tuhan (2007:265-268).

Selepas berjaya menamatkan pengajian sarjana dalam bidang komunikasi dari Iowa State University (1981) dan ijazah kedoktoran dari Australia National University (1997), Kang Jalal terjun ke bidang akademik sebagai pembantu pensyarah komunikasi di Universitas Padjajaran pada tahun 1978. Tahun 2001, dilantik sebagai Guru Besar (Dekan) Pengajian Komunikasi Universitas Padjajaran.

Kerjaya itu ditekuni sehingga tahun 2013 selepas mula aktif dalam politik bersama PDI-P, sebuah parti politik pimpinan Megawati Seokarnoputri dengan tujuan memperjuangkan golongan minoriti.

Jalaludin diasuh dalam persekitaran tradisi pendidikan Nahdatul Ulama (NU) dan kemudiannya cenderung kepada Muhammadiyah. Kang Jalal pada masa itu dianggap sebagai seorang tokoh yang memperjuangkan Syi’ah kerana turut menubuhkan Jemaah Ahlul Bait Indonesia (IJABI) pada pertengahan tahun 2000.

Selepas berhenti daripada Universitas Padjajaran, sebelum dipilih sebagai ahli MPR, Jalaludin Rakhmat dihadapkan dengan dakwaan ‘ijazah palsu’ di Makasar, Sulawesi, Indonesia oleh Lembaga Penelitian dan Pengkajian Islam (LPPI). Dakwaan itu bersandarkan kelulusan sarjana dan ijazah kedoktorannya adalah tidak sah.

Sebelum menyambung pendidikan ke Amerika Syarikat, Jalaludin didakwa tidak memiliki ijazah pertama dari Unversitas Padjajaran. Ketika isu itu muncul, Jalaludin adalah salah seorang tenaga pengajar Program Pascasarjana Universitas Islam Negeri Alaudin Makasar dalam program doctoral by research   dan dalam setiap ruang pertemuan dengan para pelajar, digunakan gelaran professor serta doktor dipangkal namanya.

Dikatakan, perkara itu sudah diajukan siasatan sejak tahun 2011, dan dengan ‘gelaran palsu’ itu, Jalaludin terus mengajar di UIN Alaudin, Makasar. (Rujuk https://koran.tempo.co/read/makassar/349264/kepolisian-usut-dugaan-ijazah-palsu-jalaluddin-rakhmat juga laporan “Skandal Gelar dan Ijazah Jalaluddin Rakhmat (JR) di UIN Alauddin Makassar (UINAM)” dalam  http://www.lppimakassar.co.id/2019/01/skandal-gelar-dan-ijazah-jalaluddin.html).

Keputusannya, memang Jalaludin Rakhmat memiliki ijazah yang asli, tetapi kerana ijazah tersebut belum diakreditasikan, itulah yang menjadi persoalan. Ketika itu, belum dilaksanakan proses akreditasi terhadap ijazah luar negara di Indonesia. Apatah lagi untuk dibuktikan dengan salinan passport dan visa pengajian setelah ianya sudah lama berlaku.

Tujuannya adalah mudah, iaitu menggagalkan pemilihan Jalaludin sebagai anggota MPR yang sedang hangat diperkatakan di samping menjatuhkan reputasi dan menghalang Jalaludin mendapat dana persaraan. Namun hasil penyiasatan, kes penipuan ijazah terhadap Jalaludin Rakhmat menyebelahinya dan beliau kekal sebagai mendudukinya sehingga tahun 2019.

Tahun 1992, Jalaludin menubuhkan Sekolah Menengah Ugama Plus Muthahhari. Sekolah tersebut terkenal dengan atmosfera kebebasan berpendapat dan keterbukaan dalam membincangkan soal-soal aliran pemikiran yang pelbagai dalam Islam, kerana pengurusan sekolah sentiasa mengundang tokoh-tokoh lintas mazhab dan agama.

Seperti dirakamkan oleh salah seorang bekas siswa SMU Muthahhari, Afifah Ahmad, “Jalaluddin Rakhmat, Ia yang Berkhidmat untuk Ilmu dan Umat” : Dengan masih diselimuti rasa duka mendalam, saya mencoba membongkar serpihan memori tahun 1996-1998 ketika masih berstatus sebagai pelajar di SMU plus Muthahhari, sekolah unggulan yang dirintis Kang Jalal pada 1992. Saya adalah siswi angkatan awal-awal ketika Pak Jalal, begitu kami memanggilnya, masih menjadi kepala sekolah.

Suasana pendidikan yang terbuka dan dinamis membuat kami merasa lebih dewasa dari usia kebanyakan remaja. Kang Jalal sering mengundang tokoh-tokoh lintas mazhab dan agama untuk berdiskusi dengan para siswa hingga atmosfer kebebasan berpendapat sudah terbiasa kami sesap. (https://tirto.id/jalaluddin-rakhmat-ia-yang-berkhidmat-untuk-ilmu-dan-umat-galS)

Sekembalinya menuntut di Amerika Syarikat (1981), Jalaludin Rakhmat menulis buku Islam Alternatif (1986) dan Islam Aktual (1991). Islam Alternatif :Ceramah-Ceramah di Kampus, Kang Jalal yang begitu luas pengetahuan agamnya cuba mengupas pelbagai persoalan mengenai Islam dari kemuliaan Allah SWT, pengertian Bismillahi Rabbil Mustadh’fin, sufisme, sejarah, peranan agama dalam dunia moden, perkembangan falsafah di barat dan cabaran umat Islam terhadap perkembangan sains dan teknologi. Sikap dan kebekuan pemikiran agama umat Islam dan membiarkan sains dan teknologi berkembang tanpa sekatan dikritiknya.

Ini kerana, tanpa kawalan akan menjadikan sains dan teknologi melekakan umat Islam sehingga cuba memperkecilkan peranan agama.  Kehidupan tanpa etika dan nilai agama akan menyebabkan kehidupan menjadi semakin gawat dan tidak harmoni seperti mana diberlakukan terhadap seks bebas dan sebagainya. Semuanya boleh berlaku atas nama ‘suka sama suka’ , semuanya akan dibolehkan atas nama ‘keseronakan’ yang kini sedang mabuk dilanda faham kebebasan dan hak asasi.

Agamawan memainkan peranan besar untuk mengupas semula beberapa etika dan nilai agama berdasarkan ruang ilmu dan petunjuk agama. Daripada penemuan itu, para ilmuan harus mempertimbangkannya sebagai solusi yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut masyarakat, bukannya menambahkan lagi keburukan kehidupan meskipun ia berbaur rasional dan lojik semasa.

Kang Jalal ikut mengkritik pandangan Percy William Bridgaman (1882-1961),  seorang ahli falsafah dan ahli fizik Amerika Syarikat yang dianugerahkan Hadiah Nobel (1946) dalam bidang fizik. Selain terkenal dalam bidang fizik. Bridgaman turut memperkatakan mengenai falsafah sains, yang mempersoalkan peranan ilmuan mengenai tanggungjawab sosial. (Bersambung)

Kamarun KH

 

Translate »