Ketika berlakunya bencana alam, jentera berat digunakan terutama untuk mencari mangsa runtuhan dan juga mengangkat bahan-bahan binaan yang sudah menjadi ‘sampah’ sebagaimana kita saksikan dalam kes tanah runtuh dan gempa bumi. Ini kerana teknologi mempercepatkan proses ‘mencari dan menyelamat’ tetapi ia tidak berlaku dengan jayanya ketika usaha mencari pesawat MH 370 yang dikatakan telah ‘hilang dari radar’ setelah 38 minit meninggalkan KLIA menuju Beijing pada tengah malam 8 Mac 2014.

Pada tarik tersebut, siangnya Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya. Mahkamah Rayuan (Putrajaya) memutuskan Anwar Ibrahim bersalah melakukan ‘semburit’ dan dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun. Kes tersebut sangat membingungkan (terlalu banyak bantahan teknikal) masyarakat Malaysia dalam banyak perkara.

Antaranya,  sumpah laknat (Saiful Bakhari Azlan), eksploitasi pembantu imam Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bernama Roslan Porangi (saksi sumpah laknat pada 15 Ogos 2008, sebelas hari sebelum PRK Permatang Pauh, di mana Anwar bertanding selepas kerusi tersebut ‘dikorbankan’ oleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail ), eksploitasi surat laporan doktor PUSRAWI, dakwaan sebagai konspirasi politik, perbicaraan yang tertangguh dan proses penyingkiran peguam, keengganan memberikan sampel untuk mendapatkan DNA dan kekalahan besar pasukan peguam Anwar Ibrahim yang diketuai oleh Karpal Singh.

Karpal Singh lebih sebulan kemudian meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya (tengah malam 17 April 2014) berhampiran Gua Tempurung.

Secara keseluruhannya, dalam keadaan dunia semakin maju dan dianggap ‘canggih’ manusia semakin terikat dengan teknologi, bahkan dalam situasi seharian, ramai manusia semakin kekok yang kembali kepada cara tradisi untuk menguruskan kehidupan hariannya. Ia sesuatu yang lazim, apabila talian internet ‘offline’ ramai orang mengeluh kerana tidak dapat membayar lesen memandu, mendeposit dan mengeluarkan wang menerusi ATM, perkhidmatan tambah nilai Touch ‘n’ Go tidak dapat dilakukan, sistem pemeriksaan kenderaan tergendala, pasar raya juga berhadapan denga kesukaran kerana ‘juruwang’ tidak dapat mengira barang-barang yang dibeli oleh pelanggan kerana semuanya bergantung kepada ‘kod bar’ dan ‘cashier machine’, dan sebagainya.

Hal-hal seperti itu sebenarnya pernah dilakukan secara manual sebelum sistem perkomputeran ‘memasuki’ dalam semua urusniaga dan transaksi perkhidmatan. Sebab itulah ramai individu dan peniaga cukup rimas dengan dakwaan akan berlakunya gangguan ‘pepijat alat’ sebelum akhir tahun 1999. Heboh diperkatakan, simpanan data akan menjadi kacau kerana komputer hanya mencatatkan dua angka terakhir untuk menandakan perihal tahun. Jika 00 bermakan tahun 1900, maka pada tahun 2000, ia akan kembali diberikan catatan 00. Ia akan menyebabkan simpanan data berkecamuk dan sukar untuk diselaraskan semula.

Begitu dengan budaya hidup peribadi. Suri rumah tidak sanggup lagi membasuh pakaian secara manual apabila berlaku kerosakan pada mesin basuh. Kini, semua orang akan menjadi kelam-kabut apabila berlaku gangguan terhadap internet kerana tidak dapat membaca perbualan dan posting di media sosial. Bahkan, anak remaja sangat sukar untuk ‘balik kampong’ jika di kampong tiada sambungan internet.

Kalau sebelumnya, kanak-kanak begitu gembira bila orang tua mereka berhasrat ‘balik kampung’ kerana mereka boleh ‘mandi sungai’, mengejar ayam, memanjat pokok buah-buahan, bertemu saudara mara dan bermain bersama-sama, mencari ikan laga di tepi sawah dan sebagainya. Semuanya sudah berlalu, budaya permainan lebih berpaksikan gajet dan ikan-ikan perhiasan lebih mudah dibeli di kedai yang menjual barangan akuarium, makanan haiwan peliharaan dan juga pasar malam di bandar.

Mereka sudah tidak tahu bagaimana ‘memikat burung’ bahkan untuk mengopek durian ramai yang enggan dan tidak tahu. Lebih senang beli durian daripada penjual, dan bawa pulang setelah diisi dalam tupperware. Untuk mengopek rambutan pun ramai yang terasa kekok,tetapi apabila rambutan sudah dikopek, begitu laju remaja zaman sekarang ‘makan’. Sebab itulah ramai juga mengeluh, semakin ramai anak-anak perempuan ‘tidak pandai memasak’ malah anak lelaki lebih ramai yang gemar ke dapur. Tidak hairanlah dalam persekitaran yang baharu ini, ramai lelaki muncul sebagai ‘tukang masak’ untuk keluarga.

Memang benar, dalam Islam tidak disyaratkan bahawa wanita adalah ‘tukang masak’ untuk keluarga. Tetapi, ia bukan pula diharamkan dalam Islam. Budaya meletakkan wanita sejak berzaman-zaman adalah ‘tukang masak’ dalam keluarga, dan jika anak dara tidak tahu ‘menanak nasi’ dengan dapur kayu, ia akan dilatih sebelum dibenarkan berkahwin.

Pada masa sekarang, ia bukan lagi menjadi ‘asuhan yang wajib’; boleh sahaja membeli makanan yang siap dimasak di restoran dan kerana itulah anak-anak lebih berselera makan makanan yang dipanggil ‘fast-food’ daripada nasi ataupun spaghetti, cabonara daripada mee udang dan mee bandung (kecuali Maggie, Sedaap ataupun Ramyeon Samyang, Yukgaejang, Ramen Kimchi dan Ram-Don dari Korea Selatan).

Sebagaimana yang kita tahu, fast-food ada bahayanya, manakala mee segera ada kandungan MSG (monosodium glutamate) yang kalau diambil secara kerap boleh mendatang mudarat, termasuk mempercepatkan sel kanser dan meningkatkan pengumpulan kalestrol. Begitu dengan minuman berkarbonit, kandungan gula sangat tinggi dan boleh menyebabkan seseorang itu terkena kencing manis dalam usia terlalu muda. Junk food juga bahaya, kerana bukan sahaja mengandungi MSG, turut mengandungi kalori yang lebih tinggi. Sepatutnya kita dilatih untuk makan sayur dan buah-buah dengan lebih kerap, bersenam tanpa ponteng dan banyak minum air suam.

Menariknya, dalam novel Hujan memperlihatkan reality masakini. Ketika bencana berlaku, masih kedengaran ada ruang yang digunakan secara politik, kerana dengan ‘turun padang’ membantu ia boleh meraih sokongan dan membina populariti. Sikap agensi juga dikritik oleh Tere Liye kerana pihak yang bertanggungjawab hanya melakukan ‘sekadarnya’ kerana itu adalah kerja, bukan mengekploitasikan sebaik mungkin erti tanggungjawab. Politician and celebrities (artis dan orang kenamaan) menjadi daya tarikan khalayak penonton dan pembaca media.

Banyaknya, orang politik menagih promosi (dapat sorotan media). Hal ini banyak berlaku di Malaysia ketika di bulan Ramadhan. Tampil ahli politik membuat program ‘singgah sahur’, buka puasa perdana, membawa anak-anak yatim ke pasar raya membeli baju baharu dan sebagainya. Sejak COVID-19 melanda, fenomena sedemikian tidak lagi menjadi fokus lensa media.

Begitulah, bila terhantuk baharu terngadah sebagaimana kerajaan Kelantan mula menerima hakikat pengetahuan itu penting dalam mencari ruang untuk memperbaiki apa yang berlaku pada tahun 2014. Setelah menolak pandangan ahli akademik mengenai banjir besar sebahagian disebabkan pembalakan –menganggu keseimbangan alam dan merentasi kawasan tadahan air—maka, laporan yang dikeluarkan itu menunjukkan kebenarannya: aktiviti di lembangan sungai dan pembersihan hutan tanpa sekatan menjadikan Bah Kuning tersangat besar dan lebih dahsyat daripada banjir sebelumnya (Lampiran 5 – Dr Wan Nik Wan Yussof, et.al, halaman 175-182).

***

Hati saya cukup menggeletek dengan perucapan Timbalan Menteri Besar Kelantan perihal dakwaan Kelantan tidak ada air, kerana yang dibahaskan itu bukan air bersih. Ia adalah air Sungai Kelantan yang berada di belakang hypermarket Tesco. Ada perihal bobrok dan kesombongan yang jelas, bukan air paip yang menentukan kejayaan seseorang kerana ‘ yang mandi air telaga’ pun boleh menang dan boleh jadi exco. Itulah makna kesombongan yang tidak boleh dimaafkan dengan lojik yang tidak relevan, termasuk perihal perbezaan ‘warna paip’ dan ‘warna air’.

Gambaran itu sangat menggeletekkan. Dalam novel Hujan, tidak diperihalkan kisah ‘warna paip’ dan ‘warna air’, tetapi memperingatkan kita, orang politik dalam keadaan apa pun akan bercakap dan mencari ruang untuk kepentingan politik, walaupun realiti itu adalah petunjuk kegagalan. Misalnya, dalam pengurusan bencana alam, Tere Liye menceritakan suasana perbincangan hanya sekadarnya, tidak pernah memperlihatkan kesungguhan meneroka pengetahuan dan aplikasi teknologi secukupnya, walaupun teknologi belum sepenuhnya mampu menghalang. Teknologi tetap perlu, ia bersifat membantu.

Tulis Tere Liye, akibat banyak perkara yang kita fikirkan, menjadi semua orang sibuk dengan pelbagai perkara, dari menjaga kedudukan hingga kepada meneruskan kehidupan dengan cara masing-masing. Maka di situlah kadangkala kita terpaksa melupakan kesibukan, apa pun kesibukan sementara dan pula mereka sengaja menjadi sibuk untuk melupakan perkara yang sangat mengecewakan fikirannya. Lantas, ‘kesibukan adalah cara terbaik melupakan banyak hal, membuat waktu melesat tanpa terasa.’ (halaman 63).

Kata-kata itu mengingatkan saya kepada penjelasan seorang pemikir sufi dan juga usahawan yang berjaya dari Iran. Biarpun sebahagian besar rakyat Malaysia semacam ‘tergoda’ dengan ikatan bahawa segala-segalanya yang lahir, membesar dan berkembang dari Iran dilihat sebagai nuansa Syiah, saya tetap hormat pemikiran Syeikh Fadhullah Heari dalam tiga buah bukunya, Jelajah Diri: Panduan Psikologi Spiritual Membangun Keperibadian (1989) ;  Bahagia Tanpa Jeda:Mencerdasakan Jiwa Cara Sufi (2004) dan Membaca Alam Memahami Zaman: Perjalanan Jagad Raya dari Awal Penciptaan hingga Akhir Kehancurannya (1985). Ketiga-tiga buku diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Indonesia dan diterbitkan oleh PT Serambi Ilmu Semesta hampir serentak pada tahun 2004. Huraiannya cukup mudah difahami dan kesannya cukup kepada pembaca yang ingin mengenal diri sendiri dan bukan berusaha menjadi sebuah enigma.

Dalam Membaca Alam Memahami Zaman (MAMZ), Haeri banyak menceritakan tentang perjalanan kosmik yang bermula dengan penciptaan Alam dan berakhir juga dengan kemusnahan Alam yang setiap umat Islam percaya akan adanya hari terakhir, atau kiamat. Haeri menggali apa sahaja ilmu yang terjangkau olehnya untuk memberitahu kita –walaupun kita sudah percaya—sebagai ingatan cara sufi memandang kehidupan berdasarkan apa yang diterangkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an, dan kebijaksanaan ulama mentafsir serta keteguhan pendirian para pemimpin yang memimpin dengan adil, saksama dan sentiasa memikirkan kedudukannya sebagai amanah serta menjaga kemaslahatan rakyat yang dipimpinnya.

Ajar Heari, dalam hidup kita memerlukan pengetahuan, dan jalan pengetahuan itu berada ‘di dalam setiap hati…Kita memerlukannya untuk menjadikan hidup kita cukup mudah sehingga kita dapat bergerak dan mengakui kurniaan besar yang dianugerahkan atas diri kita.  Keahlian sama sekali bukanlah pengetahuan sejati” (halaman 176). Apa pun yang berlaku, dalam hidup kita, kita perlu ‘tenang menghadapinya’ sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda lagi diridahinya. (surah al-Fajr [89]: 27-28) kerana ketenangan itulah menjadikan kita boleh berfikir dengan rasional, memperbetulkan kesilapan, memulakan tindakan selanjutnya bukan hanya dengan merungut dan menyalahkan ‘orang lain’ dalam hal-hal yang dikategorikan sebagai musibah, sama ada musibah diri, keluarga, masyarakat atau negara.

Apa yang berlaku sekarang, umpama ‘tong yang pecah’ atau ‘belanga yang pecah’. Jelas Haeri, tong akan menyuarakan apa yang ada di dalamnya. Isi itu akhirnya akan menyatakan dirinya sendiri. Tetapi, pada zaman ini, kita menjadi laksana tong yang pecah. Seringkali kita tidak menjadi ‘diri kita sendiri’, yakni kita harus menjadi orang lain. Kita semua telah menjadi ‘belanga yang retak’. Itulah mengapa kebanyakan dari kita terus menjadi pasien yang dikasihani jutaan ahli jiwa.” (halaman 177). (BERSAMBUNG)

Translate »