Rencana ini adalah sebahagian reaksi kecil yang berimpak tinggi mengenai secebis kisah dalam memoir Tommy Thomas, My Story: Justice in the Wilderness yang diberitahu laku keras sejak ia mula dijual pada Isnin, 1 Februari 2021, sempena cuti menyambut hari Wilayah Persekutuan.  Saya turut menerima mesej dari penerbit, tempahan buku-buku lain akan lewat kerana ‘kesibukan’ menguruskan memoir tersebut.

Keesokannya, pelbagai ulasan, komen dan pandangan mula dimuat dalam akhbar online perihal buku yang sudah habis dijual dalam tempoh dua hari itu. Penerbitnya, SIRD-Gerakbudaya telah membuat persiapan untuk cetakan kedua,  permintaan semakin meningkat disebabkan kontroversi,  kemungkinan ‘saman’ dan perkara yang didedahkan dilihat ‘mengejutkan’.

Menurut laporan, secara fizikal dicetak 1000 naskhah,  tetapi ada juga  edisi digital disebarkan dan dikongsikan,  menyebabkan penerbitnya mengeluarkan amaran agar tidak berkongsi edisi digital. Jika hal itu masih berlaku, Gerakbudaya akan mengambil tindakan undang-undang.

Soal begitu bukan perkara baharu dalam industri perbukuan di Malaysia. Bahkan ketika kontroversi  novel Shit tulisan Shahnon Ahmad, ada kegiatan cetak rompak, yang kemudian ia dijual di pasar malam dan juga secara eceran oleh individu tertentu. Ketika itu kemudahan edisi digital belum sehebat sekarang.

Nama Shahnon Ahmad menjadi sedikit tercalar, biarpun apa yang diperolehnya (royalti daripada buku itu) tidak boleh dianggap ‘lumayan’; ada masalah lain yang berkaitan antara penerbit asal dan syarikat yang diupah melakukan penjilidan. Novel itu akhirnya tidak terjual kerana ia tidak diharamkan. Tiada banyak kontroversi lagi setahun selepas itu.

Memoir Tommy Thomas dijual dengan harga RM 80 senashkah. Jika royaltinya ialah 10 peratus, bermakna daripada cetakan pertama itu bekas peguam negara boleh memperoleh sekitar RM 8,000. Ia masih kecil daripada apa yang diperoleh oleh Tun Dr Mahathir ketika memoirnya, Doctor in House diterbit dan diedarkan oleh MPH tahun 2011. Buku itu dipasarkan dengan harga RM 99 senaskhah (kulit keras) dan cetakan pertama sekitar 5000 nashkah, habis dijual dalam tempoh beberapa minggu. Royalti pertama penulisan tersebut mencecah RM 50,000.

Itu rezeki. Bukan semua penulis hebat peroleh rezeki daripada royalti begitu cepat seperti Dr Mahathir dan Tommy Thomas. Bahkan untuk mencapai tahap jualan ‘laku keras’ ternyata amat susah dan perit. Itu juga buku cetakan pertama pun sukar untuk dihabiskan dalam tempoh setahun. Itulah kelebihannya jika penulis itu ‘orang kenamaan’, yang pernah berada di puncak kuasa dan mengetahui rahsia di ‘dalam tempayan kuasa’.

Tommy Thomas adalah peguam negara yang dilantik bagi menggantikan Tan Sri Afandi Ali selepas Pakatan Harapan memenangi PRU ke-14. Tommy Thomas bukanlah seorang peguam yang pernah bekerja di sektor awam, maka beliau telah memecahkan tradisi dalam pelantikan Peguam Negara. Beliau adalah ‘orang luar’, dan perkara seumpama itu bukanlah sesuatu yang dilihat janggal dalam era pentadbiran Dr Mahathir.

Semasa menjadi Perdana Menteri ke-4, ramai juga bakat-bakat daripada sektor swasta dibawa masuk ke dalam sektor awam, yang kemudiannya menjadi praktis dalam jawatan-jawatan tertentu di pelbagai peringkat. Ketika Tan Sri Sidek Hassan menjadi Ketua Setiausaha Negara (2006-2012), ia memperkenalkan konsep ‘cross fertilization’, termasuklah membawa masuk sekumpulan orang untuk memperkatakan tentang ‘sistem penyampaian kerajaan’.

Misalnya,  pelantikan Ketua Komunikasi Korporat di kementerian-kementerian daripada bakat luar (jawatan terbuka) dengan tanggagaji yang lebih besar, yang seolah-olah mendiskreditkan penjawat awam. Ia juga telah gagal membawa kesan besar di atas ‘kehebatan bakat luar’ sebaliknya, BN semakin tidak diterima oleh pengundi.

Hanya beberapa tahun berpengalaman di sektor swasta, boleh dilantik secara kontrak selama dua tahun dalam gred 54 sedangkan bagi penjawat awam, untuk sampai ke tahap itu perlu bertatih (dari gred 41, 44, 48 dan 52), suatu proses yang ‘amat panjang’. Bahkan setelah berkhidmat selama 20 tahun pun belum tentu berada di tangga gred 54, sebab terlalu banyak hal yang menghalangnya (termasuk lulus peperiksaan PTK, perakuan ketua jabatan, bebas daripada tindakan tatatertib dan rasuah, dan ada bakat kepimpinan).

Ia menjadi sesuatu yang mengejutkan selepas PRU ke-12 (2008), bila mana BN tergelonsor dan KSN benar-benar yakin kekalahan tersebut disebabkan masalah ‘kaedah penyampaian’ termasuklah komunikasi yang tidak berkesan. Bagaimanapun, strategi tersebut tidak dapat meningkatkan keupayaan BN, pencapaiannya semakin ‘tergelonsor’ dari 140 kerusi kepada 133 kerusi (PRU ke-13) dan seterusnya ‘hilang kuasa’ (PRU ke-14).

Sebahagian matlamat ‘cross fertilisation’ dilihat gagal bukan kerana sabotaj ‘penjawat awam’, ia gagal kerana tidak ramai pemimpin tertinggi (termasuk pemimpin politik) tidak menunjukkan amalan perhubungan awam yang baik dan masih ‘sombong dengan kuasa’. Biarpun pelbagai transformasi dilaksanakan, perubahan orientasi dasar dibuat, ia hanyalah sekadar perubahan ‘mekanisme’, sikap dan budaya kepimpinan tidak banyak berubah. Masih melebar pembinaan kelompok dan  menekan antara satu sama lain: yang tidak sehaluan ditukarkan manakala  prinsip ‘boss almost right’ semakin membarah.

Mungkin kerana Tommy Thomas tidak cukup terlatih dan memahami ‘budaya sektor awam’ maka beliau dengan sombongnya menulis banyak perkara yang menyentuh tentang penjawat awam sehingga menjejaskan reputasi institusi Jabatan Peguam Negara. Ini bermakna, Tommy Thomas walaupun mengetahui undang-undang, kerana psikik ‘sektor awam’ tidak dihayatinya dengan betul, beliau tanpa berlapik membuat komen bahawa pelantikannya disebabkan kecemerlangannya,  manakala peguam-peguam kerajaan tidak ada motivasi bekerja dengan cemerlang.

Akhirnya, beliau terpaksa memikirkan bagaimana untuk ‘membebaskan diri sendiri’ daripada tindakan undang-undang terhadapnya, termasuk daripada bekas seorang peguam yang pernah berkhidmat di bawahnya. Tommy juga sudah ditagihkan untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf oleh PM ke-6 (dikaitkan  dengan kematian seorang wanita Mongolia), biarpun hanya dalam bentuk ‘caption’ sekeping gambar. Najib memohon bayaran ganti rugi sebanyak RM10 juta dan semalam (Jumaat, 5 Februari 2021) adalah hari terakhir untuk Tommy ‘memohon maaf’.

Peguam Negara yang menggantikan Tommy Thomas turut melahirkan kekecewaan mengenai apa yang ditulisnya mengenai reputasi peguam-peguam kerajaan dan juga imej Jabatan Peguam Negara. Dr Mahathir yang bersetuju melantik Tommy Thomas sudah merasa kesal dengan tindakan Tommy, yang mendedahkan pendirian bekas PM ke-7 itu berhubung isu pelantikannya dan juga ‘pembohongan’ penggantian Dr Wan Azizah selepas kekal dengan keputusan meletakkan jawatan oleh YDPA.

Akibat menerima tekanan dan ‘kemarahan’ orang Melayu, sikap dan pendirian Dr Mahathir berubah dalam tempoh dua puluh empat jam. Tommy Thomas diminta untuk meletakkan jawatan dan kemudian dibatalkan setelah Dr Mahathir ‘mungkin diselamatkan oleh PAS’. Tommy pernah membantu PAS dalam sama royalti minyak di Kelantan dan Terengganu selepas kekalahan BN dalam PRU ke-10 (1999). Dr Mahathir sedikit penasaran ketika itu kerana BN tewas di Terengganu dan antara sebabnya ialah ‘kekecewaan rakyat terhadap kepimpinan Tan Sri Wan Mokhtar yang menjadi Menteri Besar sejak 1974 (22 tahun).

Kekalahan Wan Mokhtar turut mengukur ‘nilai masa’, rakyat mula mempersoalkan kedudukan Dr Mahathir sendiri dengan memulangkan ‘paku buah keras’. Ketika menentang Tunku Abdul Rahman akibat kekalahan dalam PRU ke-   (1969), Mahathir mencemoh masa kekuasaan selama 13 tahun. Mahathir sendiri pada tahun 1999 sudah berkuasa selama 18 tahun.

Beliau juga turut menyindir Datuk Nik Aziz Nik Mat (10 Januari 1931-12 Februari 2015), sepatutnya sudah bersara dan menyerahkan kuasa (1999). Ketika itu Nik Aziz baharu 9 tahun dilantik sebagai MB Kelantan dan berusia 68 tahun sedangkan Dr Mahathir sudah menjawat jawatan PM ke-4 selama 18 tahun dan berusia 74 tahun. Ini bermakna, Dr Mahathir masih merasakan ‘diri masih muda’ dan ‘belum cukup lama’ berada dalam ‘tempayan kuasa’.

Akhirnya, Dr Mahathir turut tercabar dengan kekalahan Tan Sri Wan Mokhtar dan melihat semula di mana-mana pemimpin-pemimpin BN yang sudah ‘lama’ menerajui sesebuah negeri. Tetapi, Dr Mahathir perlukan sedikit ketenangan untuk ‘menunjukkan isyarat berundur’. Setelah usia ‘orang lama’ reda dan kekalahan di Terengganu dilihat boleh diterima, baharulah ada keputusan berundur di hadapan perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan UMNO 2002. Episod serbu menyerbu, menangis kecewa dan pujuk memujuk itu disebarkan ke “seluruh Malaya”, menyebabkan ramai pula yang mahukan Dr Mahathir terus memimpin.

Apakah strategi sedemikian menarik perhatian Dr Mahathir agar ada yang memujuknya kembali? Jika dilihat daripada kenyataan ‘perinci Muhyiddin sebagai PM’ nyata Dr Mahathir sengaja menguji strategi itu sekali lagi. Kalau tahun 2002 beliau berjaya setahun lagi, kali ini Dr Mahathir mengharapkan ada sokongan sehingga ke tarikh PRU ke-15. Ia tidak menjadi, maka ‘meratib’lah Dr Mahathir, jika 92-65 maka beliau akan menjadi PM sekali lagi dengan majoriti yang lebih besar 154.

Namun apa yang dikesalkan ialah komen dan pandangan peribadi Tommy Thomas terhadap Dr Mahathir mengenai isu ‘hilang sokongan majoriti’ sehingga membuat keputusan untuk meletakkan jawatan selepas tidak hadir di Majlis Makan Malam di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. Di sebelah petang Dr Mahathir dilaporkan akan membuat pengumuman penting mengenai penubuhan ‘kerajaan perpaduan’ tanpa Anwar dan DAP. Sayangnya, Dr Mahathir terpaksa meninggalkan majlis tanpa apa-apa sidang akhbar dan Langkah Sheraton itu kemudian dilihat telah gagal.

Langkah Sheraton memang gagal tetapi ia memberikan impak yang besar kepada perubahan lanskap politik Malaysia selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM ke-7 dan seterusnya Pengerusi PPBM. Pentadbiran negara seumpama ‘anak ayam kehilangan ibu’ dan perlu diselesaikan sebelum ia menjadi ‘tidak berfungsi’ dalam jangka masa panjang, walaupun jentera pentadbiran kerajaan masih beroperasi.

Atas kebijaksanaan dan peranan YDPA maka isu tidak dapat diselesaikan secara ‘consultation’ di mana semua wakil rakyat perlu hadir untuk menyatakan penzahiran sokongan di hadapan YDPA. Di situlah nama Muhyiddin mula disebut sebagai pengganti, dan ini bermakna, PH terlucut kuasa bukan dirampas oleh Muhyiddin, ia disebabkan oleh peletakkan jawatan Dr Mahathir.

Di sini, daripada satu perspektif memang benar Dr Mahathirlah punca kepada ‘kejatuhan PH’ dan rentetannya boleh ditelusuri sejak pembentukan kabinetnya lagi. Jika Tommy Thomas diminta meletakkan jawatan (sebelum ditarik balik) atas bantahan orang Melayu, kenapa Dr Mahathir tidak meminta Lim Guan Eng meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan yang juga dibantah oleh orang Melayu. Akhirnya, banyak perkara yang menjadi orang Melayu marahkan Dr Mahathir apabila Lim Guan Eng terus kekal sebagai Menteri Kewangan, sebagaimana marahnya orang Melayu kepada Tommy Thomas.

Lim Guan Eng digelar Menteri Kewangan manakala Tommy Thoma dipanggil Tommy Tomato. Dua aktor inilah telah menimbulkan banyak kebengkakan dalam senario politik di Malaysia, bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu, bahkan dalam kalangan bukan Melayu. Lim Guan Eng dibenci kerana ‘salah baca’, ‘salah laporan’, ‘tidak boleh tidur malam’ kerana memikirkan masalah negara, akhirnya dikaitkan dengan pemindahan aset Tabung Haji ke sebuah syarikat di bawah Khazanah Holding.

Ia menambahkan senarai penjualan aset kerajaan dan GLC, walaupun ia ada rasionalnya, ia tetap dilihat sebagai satu usaha melumpuhkan penguasaan ekuiti orang Melayu dan Bumiputra. Ia berlaku dalam syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan orang Melayu-Islam dan Bumiputera, tidak dalam syarikat-syarikat yang dikuasai oleh bukan Melayu.  Itu gambar mental (persepsi) yang berkembang dan terus menimbulkan keraguan haluan politik PH, yang didakwa dikuasai secara halus oleh DAP.

Tommy mula menjalankan tugas sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018  dengan ikatan kontrak selama dua tahun (3 Jun 2020). Setelah Dr Mahathir ‘penasaran’, pada 24 Februari 2020 telah meletakkan jawatan sebagai PM ke-7 dan seterusnya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Keesokannya, Muhyiddin menulis surat menyatakan bahawa PPBM menarik diri daripada menyertai Pakatan Rakyat. Tommy juga penasaran kerana PH tumbang, maka memaksanya meletakkan jawatan pada 28 Februari 2020.

Ketika isu itu meletus, nama Muhyiddin sebagai pengganti belum muncul, tetapi Dr Mahathir yang diperkenankan oleh YDPA (Yang di Pertuan Agong) sebagai PM interim masih berhajat untuk dipilih sebagai PM ke-8 sekali lagi. Akhirnya, tiada kata sepakat, maka rebahlah kededuanya sekali dengan pertengkaran ‘tanpa hujung’ dan hingga kini masih ungkit mengungkit.

Kenapa silap? Saya bukanlah seorang hakim yang boleh menetapkan ‘kesalahan’ apa sudah dilakukan oleh Tommy Thomas semasa beliau menduduki jawatan itu selama 21 bulan (4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020). Sejak namanya disebut sebagai pengganti Tan Sri Afandi Ali, desakan demi desakan daripada orang Melayu telah muncul, bukan kerana keturunannya (bukan Melayu dan bukan Islam) tetapi reputasinya sebagai seorang peguam yang banyak membela dan menentukan kepentingan DAP.

Beliau merupakan ketua pasukan guaman yang mewakili Lim Guan Eng dalam kes berkaitan salah guna kuasa atau ‘konflik kepentingan’ mengenai pembelian sebuah banglo lebih murah daripada harga pasaran di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang. Banglo dikatakan berharga rendah kerana ‘tidak ada kolam mandi’ manakala penjualnya, seorang perempuan, Phang Li Khoon beroleh beberapa ‘keistimewaan’ daripada Lim Guan Eng yang ketika itu adalah Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kes tersebut sudah dibicarakan di mahkamah dengan puluhan saksi sudah pun memberikan keterangan, tiba-tiba setelah beliau dilantik (atas permintaan DAP), kes Lim Guan Eng digugurkan pada 2 September 2018, yakni setelah dipohon oleh pasukan peguambela. Perbicaraan sudah dimulakan sejak 2016 membabitkan 25 saksi memberikan keterangan, dan pada 30 Jun 2016, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, di bawah nilai pasaran.

Kes tersebut turut menimbulkan soal integriti parti DAP kerana semasa Lim Guan Eng disiasat, tidak ada desakan untuk Ketua Menteri Pulau Pinang itu bercuti sedangkan ketika pemimpin-pemimpin BN disiasat, parti itu lantang mendesak dengan mengitari makna integriti.

Maknanya menjadi semakin ‘kabur dan subjektif’ kerana semakin dikaitkan dengan prinsip ‘seseorang itu belum bersalah selagi ia tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah’ dan seseorang itu masih boleh ‘memegang jawatan’. Jika pun sudah disabitkan dengan kesalahan, kedudukannya masih belum gugur sehingga semua proses rayuan selesai.

Tiada desakan daripada DAP sebaliknya menyokong tindakan Lim Guan Eng untuk tidak bercuti atas alasan sedia memberikan kerjasama yang baik bila disiasat. Sekali lagi DAP dilihat mengamalkan ‘dwi standard’ termasuklah ketika DAP menekan dan mendesak BN pada suatu ketika yang membina pelbagai projek. DAP pernah mendesak agar pembinaan Jambatan Pulau Pinang (1985) ditangguhkan kerana ‘membazir’, wang yang digunakan itu boleh digunakan untuk membina lain-lain projek yang sangat diperlukan oleh rakyat.

Tetapi, apakah DAP memikirkan kesegeraan projek Terowong Dasar Laut dan pembinaan pulau buatan itu satu keperluan? Sedangkan Pulau Pinang sudah ada dua jambatan yang menghubungkan ‘tanah besar’ dan ‘pulau’. Ada sesuatu ‘agenda’ yang hendak direalisasikan oleh DAP di Pulau Pinang. Apakah strategi itu berusaha ‘menghalau orang Melayu’ sebagai penduduk ‘pulau’ secara terhormat?

Ia berdasarkan dua faktor, ketidakmampuan orang Melayu membeli ‘rumah mampu tengok’ yang dibina di bahagian pulau. Setelah rumah-rumah itu tidak laku, dipohon agar direndahkan nilai ambang pembelian kediaman oleh penduduk asing. Dalam hal ini kenapa Tommy Thomas tidak menyentuh perihal MyKad Palsu yang mula dikaitkan dengan sindiket yang didalangi oleh taiko berketurunan Cina-Malaysia yang kemudiannya dijual kepada rakyat asing? Kalau ia dilihat sebagai ‘subjudice’ maka Tommy juga melakukan kesalahan yang sama dalam memoirnya kali ini, dan boleh didakwa dengan kesalahan tersebut.

Peguam Baljit Singh Siddhu mendedahkan bahawa Tommy Thomas turut melakukan ‘subjudice’ apabila mendedahkan fakta satu kes membabitkan bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) kerana semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan belum selesai.

Menurut Baljit, seperti dilaporkan Free Malaysia Today (3 Februari 2021), pejabat Sundra telah ‘diserbu’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2018, disyaki menggunakan dana kerajaan  “untuk mendapatkan bantuan daripada bekas menteri dan menteri yang masih berkhidmat untuk melanjutkan kontraknya.” Semakan itu dilakukan sebelum pertuduhan dikenakan dan “bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam buku Thomas.”

Kata Baljit lagi, “Thomas adalah “satu-satunya peguam negara di dunia yang bertindak berdasarkan surat layang” dan Tommy ‘sudah melanggar sumpah kerahsiaan’.

Secara keseluruhannya, Tommy secara langsung mendedahkan kegagalan PH memerintah selama 22 bulan. Ia turut membuktikan bahawa terlucutnya kuasa PH bukan disebabkan ‘rampasan kuasa’ ia adalah kegagalan Dr Mahathir sendiri dalam menangani masalah ‘kesatuan dalam kepelbagaian’ dan betapa liarnya ‘keadilan’ dalam persekitaran politik yang diterajui oleh Dr Mahathir.

Bukan sahaja isu campur-tangan dalam badan kehakiman, bahkan Dr Mahathir masih berusaha mentafsir dan menterjemahkan asas politik sebagai Mahathirsme 2.0 selepas Mahathirisme 1.0 meninggalkan legasi besar dalam keadaan budaya politik ‘neofeodalisme’. Kali ini nampaknya amalan ‘penaungan’ tidak lagi menjadi, bahkan kesan boomerangnya semakin membuak-buak sehingga Mahathir ‘penasaran’ ingin kembali sebagai PM.

Entah bila akan berakhir politik adu-domba sebegini. Semoga COVID-19 cepat berakhir, rakyat tidak sabar lagi menunggu PRU ke-15 kerana PRU ke-14 benar-benar ‘mengecewakan’ akibat tersalah pilih dan sangat berakar pada perilaku anarki seumpama ‘monyet-monyet menyerbu desa’.

Herbert Henry Asquith (1852-1928), negarawan dan PM British selama lapan tahun (1908-1916) berkata:  “Seorang menjerumuskan publik, orang lain menjerumuskan kabinet, orang ketiga menjerumuskan diri sendiri”.(dipetik dari Dr Kuntowijoyo, Mengusir Matahari:Fabel-Fabel Politik, Bandung: Pustaka Hidayah, 1999:197). Kita ‘tunggu dan lihat’ apakah yang akan berlaku selepas ‘kecerdikan Tommy Thomas’ ini menjadi ‘kebodohan menjalar’ yang ‘memerangkap diri sendiri”

Apakah buku memoir Tommy Thomas adalah “PR exercise” yang akan memberikan ‘nafas segar kepada DAP?” sebagaimana memoir Ed Hussain, Saya Juga Pejuang Islam (terjemahan oleh ZI Publications (2009) dari edisi Inggeris, The Islamist: Why I Became an Islamic Fundamentalist, What I Saw Inside, and Why I Left (2009) , yang dianggap sebagai ‘Whitehall PR exercise”?

Ed Hussain (lahir 19740 pernah berada dalam kumpulan ‘think tank’ dan bekas penasihat kanan kepada Tony Blair maka Tommy juga mungkin berperanan sedemikian kerana beliau adalah seorang peguam yang sangat rapat dengan parti politik dominasi bukan Melayu, iaitu DAP. Sebab itulah tidak banyak kisah yang dikisahkan oleh beliau mengenai DAP, berbanding kisah dan pendiriannya terhadap pemimpin UMNO, Dr Mahathir dan bukan sekufu dengan pemimpin-pemimpin DAP.

Apakah penulisan buku ini mendapat kerjasama yang menarik daripada  Liew Chin Tong (Pengerusi DAP Johor) dan Shahredzan Johan (anak lelaki Tan Sri Johan Jaafar)? Jika itu berlaku, tidak hairanlah DAP terus membisu mendengar dan menonton Tommy Thomas dikeronyok.

 

MONOSIN SOBRI.

Translate »