Kesatuan Eropah (EU) bakal menyekat penjualan vaksin BioNTech-Pfizer kepada Britain atas alasan untuk memenuhi keperluan penduduk dalam kesatuan tersebut atau mungkin sebagai tindak balas Britain setelah negara itu benar-benar keluar daripada Kesatuan Eropah. Tindakan Britain keluar daripada EU itu dikenali Brexit.

Great Britain (atau juga dikenali United Kingdom) merupakan gabungan tiga negara, England, Scotland dan Wales terbentuk pada tahun 1707, dan pada tahun 1821, Ireland Utara menyertainya. Tahun 1975, United Kingdom (UK) menyertai Kesatuan Eropah (EU). Pada 23 Jun 2016, penduduk UK membuat keputusan untuk keluar daripada EU menerusi satu referendum dan menyebabkan Perdana Menteri Britain, David Cameron meletakkan jawatan setelah memimpin selama enam tahun.

Cameron meletakkan jawatan bukan kerana kekalahan parti pimpinannya dalam pilihan raya, tetapi disebabkan Parti Konservatif tidak dapat mengekalkan keahlian dalam EU apabila 52 peratus hasil referendum mahu menamatkan keanggotaan atas beberapa persoalan berkaitan imigresyen, perdagangan dan ekonomi.

UK dikatakan akan keluar daripada EU secara rasminya pada 31 Januari 2021 sebagaimana dijanjikan oleh Boris Johnson. Selepas David Cameron meletakkan jawatan (Julai 2016), Theresa May dilantik sebagai pengganti (Julai 2016- Julai 2019) dan diganti pula oleh Boris Johnson (mulai Julai 2019). Ketiga-tiga mereka adalah dari Parti Konservatif.

Jika ini benar-benar berlaku, vaksin yang dikeluarkan oleh Britain, Astra-Zeneca juga bakal berhadapan sekatan, tidak dibenarkan dijual di negara-negara Kesatuan Eropah. EU merancang sekatan tersebut sebagai respon Britain menunda penghantaran ke EU setelah menjelaskan bahawa ‘keutamaan adalah untuk memenuhi keperluan rakyat Britain’.

United Kingdom sehingga 30 Januari 2021 mempunyai jumlah kes yang tinggi iaitu 3,772,813 dengan kematian sebanyak 104,371 kes. Sejak 17 Disember 2020, kes jangkitan harian COVID-19 meningkat sebanyak 35,383 dan kes tertinggi ialah pada 8 Januari membabitkan 68,083 kes.

Pada 26 Januari 2021, jumlah kes menurun kepada 20,089 dan kembali meningkat pada 27 Januari kepada 25,308 ,  dan pada 29 Januari 2021 ke 29,079 kes. Mungkin kerana peningkatan tersebut Astra-Zeneca yang dimajukan oleh University of Oxford mengutamakan penduduk United Kingdom berbanding lain-lain negara.

EU mungkin tidak akan membeli vaksin yang dikeluarkan negara lain, terutama China dan Rusia. China mengeluarkan vaksin CoronaVac yang dikeluarkan oleh Sinovac Biotech manakala Rusia dengan vaksin Gamaleya atau Sputnik V. India turut mengeluarkan vaksin Bharat Biotech. Vaksin BioNTech-Pfizer telahpun diluluskan penggunaannya di Filipina manakala Gamaleya, CoronaVac dan vaksin keluaran Bharat Biotech sedang menunggu kelulusan.

Berdasarkan laporan, vaksin BioNTech paling mendapatkan sambutan walaupun ada beberapa kesan rintangan yang dihadapi oleh mereka yang mengambilnya. Bagaimanapun, secara keseluruhan kesan rintangan atau alahan itu adalah kecil (tidak teruk) sebagaimana dilaporkan oleh pihak kesihatan Israel. Berdasarkan pemerhatian klinikal, ia hanya membabitkan 0.04 peratus penerima vaksin.

Singapura sudah melakukan vaksinasi kepada penduduknya, dan akhir bulan ini, ia memasuki pusingan kedua. Singapura membeli 40 juta dos vaksin BioNTech. Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah menerima suntikan pertama pada 8 Januari manakala suntikan kedua pada 29 Januari 2021.

Lee berkata, suntikan vaksin yang diterimanya ‘cepat dan tidak sakit’.

Malaysia dijangka akan menerima vaksin BioNTech-Pfizer sebanyak 20 peratus pada suku pertama 2021 (Januari hingga Mac 2021) manakala proses vaksinasi dijangka akan dimulakan pada bulan Mac.

Dalam perkembangan terbaharu, seramai 62 sukarelawan (bukan pesakit COVID-19) pertama telah menerima suntikan vaksin di Hospital Sultanah Bahiyah, Sungai Petani pada 30 Januari 2021. Mereka adalah sebahagian daripada 379 sukarelawan yang terlibat dalam kajian klinikal vaksin COVID-19 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ia adalah kajian klinikal fasa ketiga manakala fasa pertama dan kedua diadakan di Brazil. Ia diadakan dengan kerjasama Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS) manakala vaksin berkenaan adalah diperbuat daripada platform vaksin tidak aktif (virus yang sudah dimatikan) .

Seramai lebih 3,000 sukarelawan dijangka akan menerima suntikan vaksin di sembilan buah hospital dibawah penyeliaan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan mereka akan dikawal selama setahun oleh kakitangan hospital yang terbabit. Hospital tersebut ialah Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar), Hospital Taiping, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Seberang Jaya, Hospital Pulau Pinang, Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Umum Sarawak.

Bulan Disember 2020, BioNTech berhadapan dengan masalah ‘rantaian bekalan’ namun Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi memberi jaminan, masalah itu tidak menjejaskan peluang Malaysia mendapatkan vaksin sebagaimana tertera dalam kontrak telah ditandatangani pada 27 November 2020.

Menurut Menteri Kesihatan, bekalan sebanyak 500,000 dos vaksin BioNTech adalah untuk fasa pertama vaksinasi, yakni akan dimulakan kepada barisan hadapan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan.

Akibat tumpuan pertama ke atas barisan hadapan, ada netizen mencadangkan ia patut dimulakan ke atas ahli politik, terutama menteri kabinet sebelum diterima oleh barisan hadapan dengan alasan, jika vaksin tersebut menimbulkan komplikasi, ia dapat meredakan isu politik. Proses penggantian ahli politik adalah lebih mudah berbanding menggantikan barisan hadapan, kerana mereka memerlukan latihan dan perekrutan yang ketat.

Ahli politik tidak ada proses latihan dan perekrutan secara ketat, kerana itulah ramai orang bercita-cita menjadi ahli politik, tambahan pula jika menang bertanding dalam pilihan raya, selepas tamat sepenggal mereka mempunyai jaminan mendapat pencen penuh. Bagi pekerja barisan hadapan, selepas beberapa tahun menjalani pendidikan dan latihan, hanya akan mendapat pencen penuh selepas dua puluh lima tahun berkhidmat.

Ertinya, menjadi wakil rakyat adalah jalan pintas paling cepat memperoleh pencen, yakni lima kali lebih cepat daripada penjawat awam. Sebab itulah netizen mula mempersoalkan ‘keberanian’ ahli politik untuk menjadi pemula vaksinasi. Hal ini rasanya tidak menjadi masalah kerana menurut laporan, vaksin BioNTech tidak menyebabkan banyak rintangan sebagaimana diuar-uarkan pihak tertentu.

Di Singapur setelah lebih 110,000 orang disuntik vaksin BioNTech bagi dos pertama, hanya tiga orang mengalami sedikit ketidakselesaan untuk beberapa hari. Selepas itu, ia kembali normal. Belum ada kematian berkaitan vaksin COVID-19. Sebelum ini tular mengenai kematian seorang doktor di Indonesia berpunca daripada suntikan vaksin. Doktor dari Palembang itu sebenarnya meninggal akibat serangan jantung (Sinar Harian, 25 Januari 2021).

Di Norway dikatakan 29 orang mengalami kesan sampingan selepas beberapa disuntik vaksin, tetapi menurut Dr Sigurd Hortemo, Ketua Doktor di Badan Perubatan Norway, 13 kes daripadanya meninggal dunia. Mereka adalah penghui rumah orang tua-tua dan berumur lebih 80 tahun. Ia mungkin disebabkan pesakit lemah setelah mengalami demam dan loya selepas menerima vaksinasi.

Namun, Norway tetap akan meneruskan vaksinasi dengan menggunakan vaksin BioNTech atau Moderna kerana mereka yang mengalami situasi lemah adalah kecil. Ertinya, vaksin BioNTech kemungkinan mendatangkan sedikit masalah kepada mereka yang berisiko, berumur 80 tahun ke atas dan mempunyai beberapa jenis komplikasi penyakit.

Selepas permulaan vaksinasi telah menunjukkan tiada kesan sampingan yang besar, vaksin BioNTech memperoleh tempahan yang banyak kerana ia dipercayai dapat memberikan kesan 90 ke atas kepada penerimanya. Ini bermakna, mereka yang telah disuntik dengan dua dos mempunyai daya tahanan serangan COVID-19 adalah tinggi berbanding vaksin-vaksin lain.

Menurut Persatuan Imunologi Australia dan New Zealand, berdasarkan bukti semasa vaksin Astra-Zeneca “sukar membantu mengawal virus di Australia” dan masih diperdebatkan keberkesanannya.

Jawatankuasa Khas Vaksinasi Institut Robert Koch  Jerman mengeluarkan kenyataan bahawa vaksin Astra-Zeneca tidak sesuai disuntik kepada mereka yang berumur lebih 65 tahun dan tiada lagi data yang membuktikan kumpulan umur berkenaan benar-benar mempunyai imunisasi yang berkesan setelah disuntik vaksin Astra-Zeneca.

Dalam laporan pada  8 Januari 2020 yang diterbitkan dalam sebuah jurnal menyebut        keberkesanan vaksin Astra-Zeneca adalah sehingga 70 peratus, dan ini bermakna, vaksin BioNTech-Pfizer adalah yang terbaik setakat ini.

Vaksin keluaran Sinovac Biotech hanya mampu mengatasi jangkitan COVID-19 setakat 50.4 peratus manakala Rusia mendakwa keberkesanan vaksin Sputnik V mencapai tahap 92 peratus dan vaksin Bharat Biotech telah diluluskan untuk kegunaan kecemasan di India.

Vaksin BioNTech-Pfizer dikeluarkan di India oleh Serum Institute, pengeluar vaksin terbesar di negara kedua tertinggi kes COVID-19. Sehingga kini, jumlah kes COVID-19 di India ialah 10.74 juta manakala lebih 154,000 orang telah meninggal dunia. Malaysia berada di tangga ke-54 dunia dengan jumlah kes 209,661 dan kematian 746 kes.

Pada 30 Januari 2021, Malaysia mempunyai jumlah kes baharu sebanyak 5,728 menjadikan ia lebih tinggi daripada Jepun (3,567 kes), UAE  (3,647 kes), Bolivia (2,666 kes) dan Filipina (2,109 kes). Negara yang mempunyai kes harian tertinggi ialah Rusia (19,032 kes), Mexoco (16.374 kes), Indonesia (14,518 kes), Portugal (12,435 kes) , Czechia (8,010 kes) dan Iran (6,317 kes).

EU menempah 300 juta dos vaksin Astra-Zeneca, tetapi pengeluarnya dikatakan tidak mampu memenuhi jumlah tempahan ke Eropah kerana mereka lebih mengutamakan United Kingdom ketika ini. Ekoran masalah tersebut, beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan penjelasan Astra-Zeneca mula melancarkan serangan, termasuklah bakal mengancam kemungkinan vaksin BioNTech-Pfizer tidak dieksport ke United Kingdom.

China mempunyai dua jenis vaksin, iaitu Sinopharm dan CoronaVac keluaran Sinovac manakala Covaxin (Bharat Biotech) sedang menjalani ujian fasa ketiga di Malaysia.

Berdasarkan ujian di China terhadap vaksin SARS-COV-2 yang menjadi asas vaksin COVID-19 itu tidak menunjukkan kesan sampingan serius, dan telah merekodkan imun yang signifikan terhadap antigen tersebut. Kesan sampingan hanya berlaku tidak lebih 30 peratus dalam tempoh 28 hari imunisasi dilaksanakan.

Indonesia menyasarkan sejumlah 181.5 juta (70 peratus) rakyatnya mendapat suntikan vaksin yang telah dimulakan bulan ini sehingga Mac 2021 (15 bulan). Bulan Disember 2020, Indonesia telah menerima 1.2 juta dos vaksin daripada Sinovac Biotech (China), pengeluar vaksin CoronaVac daripada 3 juta dos yang ditempah.

Amerika Syarikat juga sedang melakukan ujian ke atas vaksin yang dikeluarkan olah Janssen, anak syarikat firma farmasinya, Johnson & Johnson. Setakat ini, hasil ujian klinikal awal yang dilakukan ke atas 44,000 sukarelawan, keberkesanannya melebih 66 peratus.

Walaupun vaksin COVID-19 Janssen mempunyai kesan yang berbeza antara negara (66 peratus mencegah gejala sederhana dan 85 peratus gejala teruk), ia dijangka diluluskan bagi tujuan kecemasan. Di Amerika Syarikat menunjukkan kekesanan sebanyak 72 peratus dalam kalangan mencegah penyakit yang ‘sedang dan parah’ manakala 57 peratus berkesan di Afrika Selatan di mana virus yang mudah merebak muncul.

Setakat ini, vaksin BioNTech, Moderna dan Astra-Zeneca menunjukkan kadar keberkesanan yang tinggi.

Turut juga menjadi persaingan ialah dari segi harga. Vaksin keluaran Rusia dijangka akan dijual kurang $20 dolar setiap dos.

Dalam keadaan persaingan yang sengit setelah kesemua vaksin-vaksin itu melepasi ujian klinikal dan diluluskan sama ada untuk kegunaan vaksinasi mahupun mengatasi gejala penyakit, ia akan mengakibat ‘perang vaksin’. Ini kerana setiap pihak yang memaju dan membangunkan penciptaan vaksin terpaksa berbelanja besar, dan tentunya, akan berusaha membuat tuntutan kejayaan masing-masing sebagai testimonial.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah berlakukah “perang vaksin” setelah EU mengancam tidak akan meneksport vaksin BioNTech kepada Britain dan negara-negara tertentu kecuali menerusi mekanisme antarabangsa COVAX? Jika ini berlaku, Britain ada kelebihannya dengan kerjasama lebih besar dengan negara-negara tertentu untuk mengeluarkan vaksin Astra-Zeneca terutama dalam kalangan negara-negara bekas jajahannya (Commonwealth) bagi membolehkan harganya menjadi lebih rendah atas kejayaan dan kekesanannya hampir setanding dengan BioNTech.

Misalnya, Sinovac Biotech telah menjalinkan kerjasama dengan Pharmaniaga untuk mengeluarkan vaksin CoronaVax di Malaysia. India turut menjalin kerjasama Pfizer untuk mengeluarkan vaksin BioNTech yang memungkinkan kosnya adalah lebih rendah untuk pasaran negara-negara tertentu.

Perang vaksin bukan sahaja berlaku kerana merebut pasaran, bahkan akan membolehkan kapitalisme membolot kekayaan setelah ekonomi dunia merosot akibat pandemik COVID-19. COVID-19 juga akan digunakan untuk mengatasi krisis ekonomi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Namun, perang vaksin akan terus menjadi ‘pertarungan’ sengit antara kelompok antivaksin yang semakin lantang berjuang untuk bergerak atas olahan kebebasan dan hak asasi manusia manakala bagi sekumpulan negara, ada percubaan untuk memperketatkan undang-undang bagi mewajibkan pengambilan vaksin.

MAlaysia tidak mewajibkan pengambil vaksin dan berdasarkan pengalaman sebelum ini, 95 peratus rakyat tempatan mengambil bahagian. Untuk mengekang wabak COVID-19 setelah isu keselamatan dan keberkesanan vaksin selesai, Malaysia mengharapkan masyarakat akan terus menyambut hasrat Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19.

 

Kamarun KH

 

Translate »