Nampaknya permulaan tahun 2021, sudah hampir selesai melabuhkan bulan pertama, kita sebagai rakyat masih lagi belum dapat berehat daripada ‘kebingungan’. Kebingungan menjadi semakin resah kerana jumlah kes COVID-19 semakin meningkat dan dalam dua hari bulan Januari, sudah dua kali melepasi jumlah 4,000 kes baharu. Pertama ialah pada 16 Januari 2021 ialah 4.029 dan semalam (20 Januari 2021) dengan 4,008 kes. Kita pernah rasa cemas dan bingung pada suatu ketika, bila jumlah kes baharu melonjok kepada 869 buat pertama kali (17 Oktober 2020) dan kekal selama empat hari (melebihi 800 kes bahari setiap hari) berturut-turut sebelum kembali sedikit turun 732 kes (21 Oktober 2021).

Sejak itu, jumlah kes baharu di bawah 1000 dilihat tidak lagi mengejutkan, sehinggalah ‘kejutan’ benar-benar muncul pada 24 Oktober 2020 dan 26 Oktober dengan masing-masing 1228 dan 1240 kes. Sebarang penurunannya ada sedikit ‘kelegaan’ tetapi ia tidak lama selepas 24 November mencanak ke 2188 kes baharu sehari. Ia tambah membingungkan pada 7 Januari 2021, kes baharu meningkat kepada 3,027; 14 Januari dengan 3.337 kes baharu dan 16 Januari mencanak lagi ke 4,029 kes serta semalam (20 Januari 2021) dengan 4,008 kes. Ia belum cukup menakutkan sebahagian kecil politikus, walaupun sudah beberapa orang daripada mereka dijangkiti oleh virus corona, yang bukan sahaja menjadikan kesihatan awam berkrisis, ekonomi dan sosial turut menerima masalah besar.

Jika kekalahan Donald Trump dalam pemilihan penggal kedua untuk menduduki Rumah Putih turut dijenakakan dengan ‘kebal virus yang tidak kebal’, turut disumbangkan ialah kaedah bagaimana wabak itu dikawal, diurus dan diberikan perhatian. Trump dikatakan tidak serius dan kurang menekankan kawalan terhadap merebaknya COVID-19 sehingga di akhir tempoh kepresidenannya, jumlah kematian akibatnya melepasi 400,000 kes, manakala lebih 42.18 juta orang dijangkiti oleh virus yang dijadikan jenaka oleh Trump sebagai ‘perang sosial’ selepas meletusnya ‘perdang dagang’ dengan China.

Trump banyak menuduh China, dalam hal merebaknya Wuhan Disease pada akhir tahun 2019, dan merasa bangga dengan apa yang ada di Amerika Syarikat, ‘sistem perubatan termaju’ dan sokongan perubatan yang terbaik, yang kemudiannya membawa sentiment anti etnik China, dan kesemua hal tersebut menjadi cabaran besar kepada Joe Biden untuk ‘menebus maruah Amerika Syarikat’ yang sudah dirosakkan oleh Donal Trump sejak berkuasa di Rumah Putih selama empat tahun (20 Januari 2017 hingga 19 Januari 2021).

Senario politik dunia memang semakin membingungkan oleh tindakan Donald Trump dan juga penularan COVID-19- daripada menamakan virus, peralihan epidemik ke pendamik, keinginan Trump memonopoli vaksin, penemuan vaksin dan rundingan harga, permulaan vaksinasi dan pelan vaksinasi, amaran WHO bahawa COVID-19 tidak akan mati walaupun sebahagian besar penduduk dunia divaksin, gerakan anti-vaksin dan lelucon agamawan, dan, karikatur bekas presiden ke-45 yang menyanyi dalam bahasa Mandarin selepas ‘disuntik vaksin dari China’. Sebelumnya, kerana sikapnya yang enggan mengakui kemenangan Joe Biden, Trump disindir keras apabila kedudukan meja dan kerusi di oval office ditarik keluar dalam keadaan dirinya yang akhir terpaksa bertanya: How about me?

Kebingungan dalam negara juga cukup banyak. Ketika COVID-19 belum diisytiharkan sebagai pandemic oleh WHO (11 Mac 2020), huru-hara politik dan kerajaan sampai ke kemuncaknya setelah Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM ke-7 pada 24 Februari 2020. Kecoh dan gempar selama tujuh hari, rakyat sibuk untuk percaya apakah Dr Mahathir dan Anwar yang semakin besar pertelagahannya ‘boleh bersatu’ semula untuk mengembalikan kerajaan Pakatan Rakyat. Dua hari berturut-turut wakil rakyat dipanggil mengadap, dan akhirnya, Anwar dan Mahathir menemui kegagalan.

Fatalisme politik semakin membarah, namun rakyat menjadi sedikit lega apabila Muhyiddin berjaya membentuk kerjasama lebih baik dengan parti-parti Melayu-Islam terbesar, walaupun UMNO dan PAS tewas dalam PRU ke-14. UMNO masih belum melepasi peringkat cemas akibat kekalahannya, manakala PAS masih belum kemas untuk menerima kekalahan yang menyakitkan kerana hanya menang 18 kerusi dan tidak mampu berperanan sebagai King Maker.

Sebagai rakyat, kita diberikan pelbagai keistimewaan semasa politikus memerlukan kuasa. Sepanjang kempen, rakya dijanjikan, ‘macam-macam ada’ hinggakan apa yang sukar dibuat pun dijanjikan. Kelakar juga pada suatu masa, bila rakyat bersungut di kampong mereka tidak ada kemudahan elektrik, maka cepat-cepat dipacak tiangnya. Selepas menang, tiang sudah mula berkulat dan mereput, listrik belum sampai ke rumah. Tiba musim pilihan raya, janji lagi tetapi baki janji lama pun belum ditepati. Itu sudah melepasi ‘zaman purba’; rakyat tidak lupa seperti Shahnon Ahmad pernah tulis dalam beberapa buah novelnya perihal ‘orang politik’ dan juga ‘kemarahan’nya. Antaranya novel Menteri (1967), Protes (1967), Perdana (1969), Kemelut (1977), Sutan Baginda (1997), Shit (1999) dan Muntah (2000).

Novel-novelnya yang bukan tidak ada perkaitan politik yang ditulis, tetapi ia disulami dengan kisah-kisah kehidupan lain yang lebih besar. Umpamanya dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, ia mengisahkan tentang kemiskinan keluarga Lahuma dan Jeha, yang mewakili masyakat petani di Banggul Derdap. Dalam novella TIVI, kesan dan pengaruh buruh televisyen sehingga menggoyahkan iman dan etika kehidupan dengan perubahan perilaku Mat Hassan manakala kesan pembangunan industri menjadikan salah seorang anak perempuannya mula dengan idealisme kebebasan ‘free sexs’ dan ‘free thinkers’. Ia bukan salah rakyat, kerajaan menjadi pemangkin kepada hedonism dan kerosakan etika serta sosial masyarakat.

Dalam Shit, sebuah novel yang sangat kontroversi pada akhir tahun 1999, berkisahkan perilaku politik seorang pemimpin tertinggi. Akibatnya, Shahnon dicadangkan dilucutkan Anugerah Sasterawan Negara, namun ada juga yang mempertahankan dunia kreativiti Shahnon kerana sastera bukan hanya untuk dinikmati oleh masyarakat sastera. Sastera yang lahir dalam tubuh masyarakat, maka sastera perlu merakyatkan khalayaknya. Shahnon bercakap tentang apa yang tidak beres dalam masyarakat dan perilaku pemimpin yang ‘gila kuasa’ dan ‘mempertahankan kuasa’; matlamat menghalalkan cara. Yang mendesak novel itu diharamkan dan anugerah Shahnon juga adalah politikus oportunis, kerjanya mencari salah orang untuk dijadikan ‘batu loncatan’ bukannya mencari solusi memperbetulkan kebobrokan yang diperkatakan.

Itu yang dapat kita baca, sintiseskan mengenai zaman yang sudah berlalu. Itu yang dapat kita kutip apa yang telah memboyot tubuh kita akibat semakin sehari semakin berat bagasi yang terpaksa kita jinjing atau pikul, sama ada sebagai rakyat ataupun legasi yang bakal ditinggalkan kepada generasi seterusnya. Saya tertarik dengan harapan dan kesanggupan pengasas Kumpulan Karangkraf, Datuk Hishamudin Yaacob yang sanggup menyerahkan apa yang dibinanya kepada generasi seterusnya kerana mengakui ekosistem sudah banyak berubah dan ‘kerajaan kecil’nya perlukan ‘turn-around’.

Nostalgia kejayaan semasa membina, membangun dan melantunkan kedudukan sebagai sebuah ‘kerajaan kecil’ sudah berlalu, petunjuknya sudah jelas, pada tahun 2013 ia sampai ke kemuncaknya. Tetapi, seperti pernah disebut oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, mencipta kejayaan adalah lebih mudah daripada menguruskan kejayaan. Lebih sukar untuk menentukan sesuatu kejayaan terus kekal dan abadi, kalau yang merasakan dirinya ada ‘sentuhan emas atau midas touch’ seumpama ‘orang tua’ yang terus menganggap anak-anaknya masih belum dibolehkan ‘berumah tangga’ walaupun umur berdekad melepasi umur baligh.

Banyak alasan yang dicipta—pengurusan diri yang kurang menarik (ikut kaca mata orang tua), sosialisasi dan isolisasi persekitaran, keupayaan membuat keputusan (pengalaman dan pengetahuan), kemahiran sosial dan sebagainya. Penilaian tanggungjawab menurut kayu ukur yang saling bertentangan. Namun, Datuk Hishamudin telah menjadikan penilaian yang bias itu sebagai halangan, sebaliknya memberikan mereka harapan.

Generasi pewaris ‘kerajaan kecil’ itu berjaya melepaskan ‘batas psikologi’ sehingga Karangkraf kembali mencatatkan keuntungan hasil daripada ‘pemahan bahasa’ dan ‘ekosistem pasaran’ yang dikendalikan oleh orang muda. Generasi sebelum hanya bertindak sebagai penasihat, bukan ‘punahsihat’. Generasi sebelumnya memberikan pandangan, sudut pandangan kedua berdasarkan pengalaman dan pengetahuan, tetapi keputusan akhir tetap dibuat oleh generasi yang memimpinnya.

Alangkah bagusnya jika model ‘kerajaan kecil’ Datuk Hishamudin itu dapat dijadikan sedikit ilham dalam pengurusan politik Malaysia yang tidak pernah berhenti daripada bergolak. Pergolakan 1987 menyebabkan UMNO berpecah kepada dua fraksi, Team A dan Team B, akhirnya April 1988 UMNO diharamkan. Sepuluh tahun kemudian (1998), UMNO bergolak lagi sehingga timbul Reformasi Jalan Raya yang kesannya masih ada hingga kini. Tahun 2008, UMNO bergolak lagi apabila ‘pemimpin lama’ merasakan ‘pemimpin yang berkuasa’ tidak meneruskan apa yang ‘dimahu’ dan ‘diharapkan’. Mahathirisme terperangkap, dan kemudian bingkas mengkritik penerusnya sebagai ‘lemah dan hanyut’ dalam pelbagai emosi melankolik. Kemuncaknya, 2018 UMNO berjaya ditumbangkan atas permainan dan rekayasa baharu dalam kempen politik, iaitu post-truth yang turut memenangkan Donald Trump dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat tahun 2016.

Namun, kerana budaya politik baharu atau dikenali sebagai new politic atau realipolitik yang sangat dipengaruhi oleh persepsi, kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan BN/UMNO tidak kekal lama. Faktor yang mendorong kepada ‘keruntuhan PH’ adalah separuhnya disebabkan oleh masalah dalam komponen yang menunjanginya. Setiap parti cuba memperkatakan idealismenya masing-masing, sehingga mewujudkan perkelahian sengit tentang kaedah dan cara untuk muncul sebagai parti yang paling berdominasi. Biarpun dengan kekuatan 13 kerusi, PPBM mengambil langkah melanggar ‘persetujuan bersama’, akhirnya menyebabkan harapan tinggi buat Dr Mahathir semakin dipersoalkan dari dalam. Dr Mahathir juga ada dilemanya sendiri, yakn bagaimana untuk menunaikan ‘janji’ peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, dan juga melaksanakan 10 Janji 100 hari pertama kerana prestasi kabinetnya dinilai ‘lebih banyak berpolitiking’ daripada melaksanakan tanggungjawab. Enam bulan pertama hanya mampu memperoleh skor 5.5 daripada skala 10.

Enam bulan kedua semakin menurun skornya sehinggalah pada akhir tahun 2019, ada gambaran bahawa kurang separuh menteri kabinet berprestasi di atas skor lebih 50 peratus. Sebahagian besarnya ialah dari DAP, PKR dan PAN, manakala semua menteri (termasuk PM) daripada Bersatu dilihat ‘sangat teruk’. Biarpun itu gambaran yang kurang tepat, ia tetap mewajahkan imej sebenar kepimpinan Dr Mahathir, gagal menyatukan tanggungjawab setiap menteri untuk “membaiki kerosakan”. Ia kemudiannya dibuktikan (secara sampling), PH tewas di tujuh kawasan PRK dan paling parah ialah kekalahan calon yang mewakili Bersatu.

DAP juga tewas di Cameron Highlands. Bersatu tewas di PRK Tg Piai (kekalahan yang teruk bila undi yang diraih oleh calon Bersatu lebih rendah daripada undi majoriti calon BN), sebelumya tewas di DUN Semenyih. Warisan yang menyokong PH, tewas di PRK Kimanis menyebabkan kedudukan Shafie (Ketua Menteri Sabah) sedikit tertekan. PH tewas di DUN Slim, yang ketika itu wibawa Dr Mahathir sudah jatuh menjuman dan PH terlucut kuasa. Komponen PH tidak bertanding di DUN Chini, membangkitkan sikap PH yang kian kerdil. Biarpun sebelumnya PH begitu berbangga kerana dapat kekalkan kedudukan di DUN Sungai Kandis, PKR menang besar di Port Dickson, tetapi kecundang ‘serius’ di DUN Semenyih akibat ‘bulus-bulus’ dan DAP kekal di Sandakan dan DUN Balakong, manakala PH kekal di DUN Seri Setia, kejituan kerjasama PAS dan UMNO turut memberikan ancaman kepada PH untuk mempetahankan penguasaannya.

Selepas 22 bulan, PH tumbang dari percaturan dalamannya sendiri. PH tumbang kerana semakin sehari semakin memudarnya sokongan dari dalam PH sendiri. Dalam PKR, telah wujud gerakan menentang ‘peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim’ dan Anwar semakin giat memecabelahkan penyokong Azmin Ali. DAP juga tidak dapat mengawal keceluparan wakil rakyatnya, ada yang mendesak Dr Mahathir meletakkan jawatan kerana berlengah-lengah melakukan ‘peralihan kuasa’, pelibatan Dr Mahathir dalam Kongres Maruah Melayu, menerima kemasuk ‘katak-katak’ ke dalam Bersatu, pelantikan jawatan dalam beberapa agensi kerajaan dipertikaikan kerana membelakangkan jawatankuasa pelantikan yang dipersetujui, keinginan besar Dr Mahathir untuk menyedikan ‘jalan kepada Mukhriz dalam puncak kuasa politik’ dan lebih mengharukan ialah kemuafakan rakyat tentang kegagalan PH menunaikan inisiatif Buku Harapan.

Alasan demi alasan diberikan, dari ‘bukan kitab suci’, ‘malaikat pun buat silap’, ‘Nabi pun berbohong’, ponteng Sidang Dewan Rakyat (alasan sejuk melampau), ‘era rakyat mengharapkan kerajaan sudah berlalu’, kritikan dan pelecehan statusquo negara (Bahasa Melayu, kedudukan Orang Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu) membangkitkan ‘politik kebencian’ sehingga senario politik semakin berkecamuk. Kekalutan itu akhirnya menyesakkan pemikiran Dr Mahathir, yang kemudiannya dilihat sangat tidak berguna walaupun pernah mencipta banyak kejayaan semasa memegang jawatan PM selama 22 tahun. Kekuatan Dr Mahathir ketika itu ialah disokong oleh kedudukan UMNO yang dominan.

Kelemahan Dr Mahathir pada period PH adalah tidak disokong oleh pengaruh parti yang kuat (Bersatu). Dr Mahathir seumpama seekor burung helang patah sayap dan kuku yang semakin tumpul. Dr Mahathir tidak lagi ‘kuat mencengkam’ seperti kejayaannya ‘menundukkan Semangat 46 sehingga kembali ke pangkuan UMNO’ dan hulubalang-hulubalangnya yang tidak menunjukkan semangat juang yang kental. Muhyiddin ada keinginannya yang besar, Lim Guan Eng ada agenda yang mahu diperjuangkan, Anwar ‘gila-gila nak jadi Perdana Menteri’ manakala PAN akan terus kental untuk menjayakan mutasi politiknya daripada ideologi politik Islam kepada mempertahankan ‘godfather’nya, iaitu DAP. Ini dapat dibuktikan, ketika pemimpin DAP mengeluarkan kata-kata ‘kesat dan menghina Islam’, menteri-menteri daripada PAN tidak cepat memberikan ulasan, sebaliknya, lebih mengharapkan penyelesaian daripada pihak polis. Ia berbeza, apabila PAS dan UMNO mengeluarkan kenyataan, dengan cepat dibalas dan dikritik.

Mutasi itu telah menggagalkan PAN menjadi ‘alternatif kepada PAS’. Bersatu juga menyimpan hasrat untuk menggantikan UMNO, biarpun sudah berpecah, idealisme UMNO terus diperjuangkan oleh Bersatu dengan ‘menikam UMNO dari belakang’. Kerjasama antara Muafakat Nasional (PAS dan UMNO) dengan Bersatu bukan sahaja semakin ruwet, bahkan sedang diambang perpecahan yang menakutkan sebahagian orang Melayu-Islam. Bersatu mahu mendominasi UMNO, maka ketika membentuk kerajaan Perikatan Nasional, tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi dibentuk empat menteri kanan. Empat menteri kanan mewakili setiap parti, Azmin Ali (Serpihan PKR), Dr Radzi Jidin (serpihan Bersatu), Ismail Sabri Yaacob (UMNO) dan Fadilah Yusuf (PBB-GPS). Menariknya, hanya Azmin Ali dan Dr Radzi boleh mempengerusikan Jemaah Menteri sekiranya Muhyiddin berhalangan.

Ia sudah menggambarkan bahawa darjah keyakinan Muhyiddin ke atas UMNO dan GPS adalah lebih rendah berbanding Azmin Ali dan Radzi walaupun bukan seorang wakil rakyat. Namun, setelah beberapa bulan pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (10 Mac 2020 hingga 20 Januari 2021), tidak menampakkan ketokohan menteri-menteri kanan, kecuali Ismail Sabri Yaacob. Dr Jidin belum mempunyai rangka dasar pendidikan yang jelas, dan kini didakwa telah gagal dalam sektor pendidikan sehingga dilihat sistem pendidikan sedang mengalami krisis.

Azmin sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga gagal memainkan peranannya untuk membawa masuk jumlah pelaburan asing, kecuali sekadar meluluskan peruntukan membina ‘longkang’. Maka, Azmin yang pernah mengkritik ‘politik longkang yang ditujukan kepadanya ekoran Semburit di Sandakan’ terpaksa menerima hakikat kejayaan selama 11 bulan menteri hanya memang handal dan cekap ‘menjaga longkang’. Lainnya tidak ada yang boleh membentuk karakter politiknya, kecuali turut dikaitkan untuk mengubah pendirian pemimpin PAS Gombak agar ‘tidak setia dengan Muafakat Nasional’ bagi memberikan laluan mudah mempertahankan parlimen Gombak dalam PRU ke-15. Azmin mungkin sedikit tergugat apabila UMNO dan PAS benar-benar tidak akan bertembung sesama sendiri di Gombak.

Ketika COVID-19 terus menjadi cabaran terbesar politik tanah air, Ismail Sabri Yaacob dilihat cukup kompeten melaksanakan tugasnya tanpa jemu sejak ia memasuki tahap pandemik dan dilantik sebagai jurucakap kerajaan. Tentu sahaja ada kritikan, terutama dari segi penampilan hariannya ‘fesyen batik’ dan beberapa perubahan dalam SOP yang kerap berlaku. Perlu diingat, SOP itu bukan ditentukan oleh Menteri Pertahanan, ia adalah keputusan bersama yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara. Ismail Sabri hanya mengemukakan apa yang diputuskan oleh MKN, yang turut disertai oleh pakar daripada Kementerian Kesihatan, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara (mewakili sektor awam), Panglima Angkatan Tentera dan sebagainya. Semua pandangan dan ulasan dibincang, maka ia tentunya akan ada perubahan apabila ada keperluan.

Ketika menjawab dakwaan bahawa SOP tidak membenarkan kapasiti masjid kembali kepada sebelum COVID-19, yakni halangan berjemaah di surau, madrasah dan masjid, Ismail mengingatkan bahawa pentadbiran agama Islam bukan berada dalam tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara, kecuali bila berlaku konflik seumpama perebutan dan perkelahian antara agama dan intra agama. Ia merupakan bidang kuasa negeri-negeri di mana Raja atau Sultan mempunyai hak untuk menentukan SOP. Itu tidak difahami oleh pengkritik kerana sebarang arahan yang dikeluarkan ialah oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri, bukan Majlis Keselamatan Negara atau Menteri Kanan Pertahanan (jurucakap Jawatankuasa COVID-19).

Selepas Seri Paduka Yang di Pertuan Agong mengistiharkan ‘Proklamasi Darurat’ rakyat semakin dibingungkan oleh politikus yang merasakan rayauannya tersekat. Tetapi, sebahagian besar rakyat Malaysia masih waras, tidaklah segelabah ahli politik yang terhimpit ruangnya untuk ‘berjalan-jalan menghasut’ agar Perikatan Nasional segera tumbang. PH tumbang dalam tempoh 22 bulan, namun 11 bulan yang dilalui oleh Muhyiddin sangat besar cabarannya, maka rakyat tetap mengharapkan Perikatan Nasional dapat melakukan yang terbaik untuk rakyat.

Rakyat sudah mendapat sedikit kelegaan apabila ‘perintah darurat’ diisytiharkan kerana ia dapat menyekat dan meminumkan pergerakan orang ramai, yang terlupa mengamalkan SOP kendiri untuk membendung jangkitan COVID-19. Kita dapat lihat bagaimana segelintirnya ‘berpusu-pusu ke tempat peranginan’, berada di meja makan di restoran melebih kapasiti, tidak melakukan penjarakan sosial, memakai pelitup muka di dagu, dan akhirnya turut menyumbang kepada peningkatan jumlah mereka yang positif COVID-19.

Bila ada sedikit ‘kesenangan’, diberikan kebenaran merentas negeri dan daerah, penumpang dalam kapasiti sebenar kenderaan dalam bulan November dan Disember lalu, jumlah mereka yang dijangkiti COVID-19 meningkat naik dan mengejutkan ramai orang. Bayangkan, pada permulaan November hanya ada 957 kes baharu’, kemudian meningkat 1054 kes (3 November 2020), 1472 kes (1 Disember 2020), 2018 kes (21 Disember 2020), 2068 kes (1 Januari 2021), 3027 kes (7 Januari 2021), 3309 kes (12 Januari 2021 Proklamasi Darurat), 4029 kes (16 Januari 2021) dan hingga kini seramai 15 politikus telah dikuarantinkan akibat jangkitan COVID-19, termasuk mereka yang dirawat di hospital.

Kecepatan berlakunya jangkitan itu adalah kerana tidak mematuhi SOP kendiri, rentas negeri dan daerah, kontaks atas pelbagai sebab dan aktiviti (penyampaian bantuan, sidang media, bermesyuarat, makan ramai-ramai di restoran, kenduri-kendara (kahwin, meraikan hari jadi, ulangtahun perkahwinan, ziarah dan sebagainya) dan virus itu terus berada dalam komuniti apabila pekerja dalam sektor binaan, perkilangan terus dibenarkan bercampur dalam komuniti, bukan diasingkan. Singapura berjaya mengawal COVID-19 kerana mereka memisahkan kumpulan pekerja asing daripada berada dalam komuniti, kerana kes COVID-19 banyak disumbangkan oleh mereka.

Di Malaysia, keadaan tersebut tidak banyak boleh dilakukan kerana semua pekerja asing tidak ditempatkan dalam satu kawasan penempatan, kecuali kes yang diberlaku di asrama pekerja di Batu Maung, Top Gloves (Selangor) dan sebagainya. Pekerja kontrak tinggal di merata tempat, termasuk bersesak-sesak dalam rumah pangsa, rumah kongsi dan di taman-taman perumahan. Ini menyebabkan virus yang dijangkiti dalam pekerja binaan turut memasuki komuniti sehingga seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditandai dengan zon merah dan menjadi penyumbang utama pada 21 Januari 2021. Daripada 3.170 kes baharu, Kuala Lumpur menyumbang 576 kes (18.2 peratus) dan keadaan di Selangor sedikit berkurangan (545 kes) setelah beberapa hari mengungguli kedudukan kes positif.

Jika trend ini berterusan untuk beberapa hari, Wilayah Persekutuan akan mengekori Selangor selepas Selangor berjaya mengatasi Sabah. Inilah yang membingungkan ramai rakyat kerana sebahagian politikus yang berpusat di Kuala Lumpur semakin galak mencari jalan bagaimana mempengaruhi SPBYDPA agar ‘menarik balik’ pengisytiharan “Proklamasi Darurat’. Mereka tidak sanggup menunggu sehingga 1 Ogos 2021 (tarikh akhir) kerana dalam tempoh enam bulan, akan berlaku perubahan besar, termasuk budaya tikus tidak lagi berdegar-degar kerana Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri digantung, mobilisasi mereka (pergerakan harian) terbatas, tidak boleh melakukan rentas daedah dan negeri, berkomplot ( mesyuarat dan berbengkel).

Jika itu disekat, maka teramat kesal Salehudin Ayub. Dalam lontarannya di media sosial, beliau menulis: Kita berpolitik untuk Melakukan Semak & Imbang. Kalau Orang Politik Tak Boleh Main Politik, Nak Main Apa? Nak Main Mak Yong? Congkak?” Tentunya ramai pula memberikan reaksi sinis, politikus sudah lama bermain “Mak Yong”, apakah dengan berhenti seketika (enam bulan) kemahiran bermain Mak Yong akan hilang? Kalau tak nak ‘Main Mak Yong” mainlah Congkak di rumah dengan ahli keluarga. Ketika bermain itu, siapakah yang sentiasa menang?.

Adakah kemenangan itu secara sah atau ada kelicikan menipu? Buatlah pertimbangan sendiri, kerana keputusan bermain Congkak, hasilnya tepat dan boleh disemak semula, tindakan dan langkah ‘matlamat menghalalkan cara’. Ramai-ramailah ahli politik main Congkak, kerana permainan itu lebih baik daripada sandiwara menghulur ‘rumput gajah ke mulut lembu’ ataupun jalan-jalan ke pasar raya melihat stok barangan cukup atau tidak? Bukankah itu yang dilakukan oleh politikus ketika terlucut kuasa bagi mengembalikan keyakinan rakyat selepas terjaga dari mimpi ‘berkahwin puteri raja’? Lawak politik yang membingungkan.

Monosin Sobri

Translate »