Saya cuba memahami apa yang ditulis oleh seorang budayawan, aktivis politik yang semakin sehari memperlihatkan pendiriannya tidak banyak bersetuju dengan apa sahaja keputusan kerajaan kecuali ketika era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan. Pada akhirnya, beliau cuba mempamerkan anarkisme politik dan budaya yang perlu diambil untuk menjadikan diri bebas dan merdeka, dalam erti kata ‘matlamat menghalalkan cara’.

Kita boleh memahami faktor yang menjadikan budayawan dan aktivis politik itu begitu. Dia sebenarnya tidak menepati ruang dan makna kebebasan, kerana fikirannya masih dikerangkakan dengan kehendak politik dan kumpulan yang disokong sehingga terlupa bahawa nilai ‘kebebasan’ dan ‘keterbukaan’ itu bersifat universal terhad, masih tertaklum pada nilai dan norma masyarakat, individu dan juga negara.

Kalau mengambil skema Ahmad Maslan, hanya mereka yang memiliki  PhD sahaja mampu memahami “kesegaraan pilihan raya” maka begitu juga yang cuba diolah oleh seorang budayawan dan aktivis politik mengenai pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dibuat pada 11 Januari lalu oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Oleh kerana ‘takutkan pergerakan dihadkan sejauh 10 kilometer’, yang membataskan ‘rayauan’, Dr Muhaimi Sulam membuat keputusan balik kampong yang dikatakan ‘lebih bebas bergerak’.(baca: Dr Muhaimi Sulam, Perutusan Kelat Darurat, Malaysiakini, 15 Januari 2021).

Sedar tidak sedar, telah muncul 19 kluster baharu yang dikaitkan dengan ‘kepulangan perantau’ aktif menyebarkan virus COVID-19. Ia muncul di Kelantan (8 kluster iaitu Alor Durian, Wakaf Lanas, Pahang, Kg Getting, Kg Renok, Kg Badak, Taman Kesedar, Pondok Hidayah dan Seragam Chepa), Terengganu ( 2 kluster, iaitu Mengkuang dan Palut), Sarawak (3 Kluster, iaitu Jelita, Bah Sayap dan Pasai) ;  Perak ( 3 kluster, iaitu Lumut Barat, Intan Mas dan Ehsan Ibol) dan Pahang (3 kluster iaitu INTEN, Semambu dan Tembok Mempaga).  Kluster-kluster itu muncul antara 7 Disember 2020 hingga 16 Januari 2021, yang mana akan memanjang lagi senarainya kerana jumlah jangkitan baharu belum berjaya dilandaikan ‘curve’ sebagaimana diharapkan. Ia mengakibatkan 1,567 kes.

Menurut Dr Marzuki Mohamad, Ketua Setia Sulit Perdana Menteri, sebelumnya adalah seorang ahli akademik (sains politik) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Proklamasi Darurat 2021 (Darurat 2021)  adalah ‘sangat berbeza’ dengan proklamasi darurat yang pernah dilaksanakan di Malaysia. Proklamasi Darurat 2021 tidak menguatkuasakan ‘perintah berkurung’ sama ada pada waktu malam ataupu selama 24 jam sehari tanpa diberikan tempoh tamat pelaksanaannya. (baca: Dr Marzuki Mohamad, Malaysia diperintah oleh diktator?,  Harakah Daily, 17 Januari 2021). Gelaran ‘diktator’ terhadap Muhyiddin yang memohon dan berjaya mendapat pengiisytiharan Darurat 2021 diberikan oleh Dr Mahathir Mohamad tiga hari lalu. (baca: Dr Mahathir dakwa Muhyiddin Yassin diktator, Astro Awani, 15 Januari 2021).

Darurat 2021 dilaksanakan pada 13 Januari hingga 1 Ogos 2021. Ia boleh ditamatkan lebih awal sekiranya jumlah kes baharu jangkitan COVID-19 dikategorikan tidak lagi menjadi ‘ketakutan serius’ atau mencapai tahap yang difikirkan memadai untuk dikawal dengan berkesan. Ini kerana sistem kesihatan awam sudah berada di tahap kritikal: jumlah pesakit bertambah ramai menyebabkan kapasiti katil di hospital kerajaan dan tempat kuarantin hampir ke tahap optimum, manakala petugas-petugas kesihatan ada yang merasakan lebih daripada ‘burn-out’.

Apabila kerajaan mengisytiharkan Darurat 2021, kerajaan boleh menggunakan aset dan kepakaran pusat-pusat perubatan bagi menampung keperluan rawatan kepada pesakit COVID-19. Rasional itu tidak diperkatakan oleh Dr Muhaimin Sulam, kerana beliau sebenarnya lebih cenderung melihat Darurat 2021 daripada perspektif politik, selari dengan pendirian parti yang disokongnya, Parti Amanah Nasional (PAN). Jika sebelumnya, beliau adalah ahli PAS dan menulis mengenai idealisme politik PAS dalam Harakah dan situs media online . Kini, beliau berusaha memanjangkan apa yang dapat dikaitkan dengan pendirian, pandangan dan mutasi politik PAN yang sudah tersungkur akibat kegelinciran landasan perjalanan menuju ke PRU ke-15 selepas PH bergerak 22 langkah dengan keadaan ‘terhencot-hencot’ dan kesakitan akibat ‘gout, lemah sendi dan slip disc’, kepala gerabak ets electric train service’  berhadapan dengan ‘kerosakan isyarat (signal) bergerak.” Kerosakan itu berlaku kerana ada beberapa ‘kabel kuasa’ yang memberikan ‘keupayaan meluncur’ dan sistem penyaluran kuasa (power distribution system) mengalami gangguan.

Gangguan pertama ialah kepala gerabak et situ dibina di atas acuan ‘balas dendam’ manakala pelbagai gajet yang menyalurkan kuasa pula mempunyai ‘masalah keupayaan penyaluran kuasa’ (power distributor failure) yang sangat berbeza da nada ketikanya, tidak dapat diseimbangkan oleh kotak penyalur kuasa, meter yang ditunjukkan bukan sahaja ‘menggila’ dan ada ketika ‘tidak normal’. Itulah analogi politik yang berlaku dalam PH sehingga kepala ets terhenti tiba-tiba, dan gerabak-gerabak yang ditarik itu ‘kebingungan’ serta ‘meroyan’ tanpa henti. Akibatnya, tidak dapat melihat keperluan Darurat 2021 dalam konteks yang betul dan sedikit ‘kurang rasional’.

Bagi saya, penentuan ‘tarikh peralihan kuasa yang tepat kepada Anwar’ diibaratkan sebagai gangguang kepada slip disc PH manakala gout yang dihadapi oleh hampir semua komponen PH ialah ‘mahu buktikan parti masing-masing lebih dominan’ sehingga terlupa kesemuanya adalah organ yang menghidupkan Kerajaan Pakatan Harapan. Kedunguan awal dalam menanggapi wabak COVID-19 telah menyebabkan aliran darah dalam Kerajaan PH berakhir dengan ‘saluran darah tersumbat’ kerana telalu banyak lemak terkumpul (menuding jari dan gagal mengakui kelemahan serta tiada tindakan memudahkan aliran oksijen ke dalam saluran darah).

Kesemua faktor itulah telah memberik kesan terhadap budaya politikus: sikap mengada-ada, lupa diri, mungkir janji dan berpolitiking sesama sendiri melenyapkan euforia Malaysia Baharu sehingga digantikan dengan cerita rakyat Malaysia Keliru atau Malaysia Tertipu oleh Pakatan Harapan. Kenapa faktor-faktor tersebut tidak diteliti dengan baik, berkesan oleh mereka yang mempunya skema akademik bertaraf PhD untuk membolehkan tindakan politikus bukan lagi berperangai tikus? (baca: Amir Izzudin Mohamad, Falsafah Politikus (politik + tikus), Malaysiakini, 12 Januari 2021). Antara yang ditafsirkan mengada-ada adalah dua faktor Ahmad Maslan kenapa “UMNO perlukan PRU ke-15” segera dan ‘tidak menjadikan COVID-19 sebagai alasan’.

Ahmad Maslan yang sudah dilihat sebagai ‘penari politik yang sumbang’ menyatakan masalah jawatan dalam kerajaan dan kabinet faktor kedua keperluan PRU ke-15 diadakan secepat mungkin. Faktor yang besar atau utama ialah kedinginan Muhyiddin untuk tidak campur tangan dalam kes-kes ‘kezaliman’ yang dilakukan pada zaman Dr Mahathir, Tommy Thomas dan Latheefa Koya.

Kes-kes tersebut diinterpretasikan sebagai ‘melepaskan diri’ kerana apa yang dimahukan ialah digugur secara ‘campur tangan kerajaan’ dan bukannya keputusan undang-undang, lantas masyarakat melihat ia sesuatu yang ‘tengit dan memualkan’. Ia adalah satu hal yang dikatakan ‘kuasa digunakan secara paksa untuk mengekalkan kuasa’ walaupun kuasa sepatutnya diperoleh menerusi integriti dan akauntabiliti. Ia mengingatkan rakyat kepada apa yang berlaku ketika era Dr Mahathir Mohamad sebagai PM ke-4: misalnya pemecatan Tun Salleh Abas (Al-Fatihah); video VK Lingam, dan komen-komen Dr Mahathir selepas kes-kes yang dikaitkan dengan kerajaan tewas di mahkamah.

Seperti diungkapkan oleh Dr Marzuki, Darurat 2021 bukanlah kesimpulan yang boleh disejajarkan dengan makna diktator. Muhyiddin mengambil keputusan memohon perkenaan Proklamasi Darurat 2021 kerana pertimbangan untuk melemahkan wabak COVID-19. Bila Darurat 2021 diisytiharkan ia boleh menyekat ‘agen-agen yang membawa virus corona’ kerana interaksi dan pertembungan tatap muka dapat dihadkan. Mobilisasi manusia menjadi sedikit terhad dan dapat dikawal. Kita mungkin boleh melihat senario bagaimana keadaan yang berlaku pada bulan Disember 2020 apabila ramai kembali menyerbu ‘restoran kegemaran’ dan pusat-pusat peranginan.

Kenapa Restoran Nasi Kanda Kg Melayu Pulau Pinang (terletak di bawah bangunan rumah pangsa di Air Itam, Pulau Pinang) telah diperintahkan tutup pada 14 Januari 2021? Tergambar di minda saya ialah sudah ada mereka yang positif COVID-19 dapat dikaitkan dengan restoran yang sangat mengabaikan ‘kebersihan’ dan ‘SOP’. Salah satu hari ketika saya mengunjungi restoran berkenaan semasa cuti Krismas, memang cukup menyiksa kerana pelanggan terpaksa beratur lebih sejam untuk membeli nasi kandar popular itu. Sebahagian besar pelanggan adalah ‘pelancong domestik’ sama ada yang ‘balik kampong sempena cuti umum akhir tahun’ atau peminat nasi kandar tegar.

Semasa berbaris, tiada SOP dikuatkuasakan. SOP menetapkan penjarakan sosial sekurang-kurang satu meter, tetapi apa yang berlaku ialah tersentuh ‘bahu ke bahu’ seumpama kesesakan teruk kenderaan di jalan raya –bumper to bumper—semasa waktu puncak atau ada kemalangan dan banjir kilat terjadi. Di meja makan juga tidak ada had jumlah pelanggan, bahkan meja yang berkapasiti empat orang dikongsikan hampir sekali ganda dalam keadaan berhimpit dan semua pelitup muka ‘terbuka’. Mahunya, bagaimana ‘nak makan dengan mulut tertutup pelitup muka?. Sayangnya, kanak-kanak turut dibawa bersama akibat ‘kemaruk’ dan beberapa bulan ‘kempunan’.

Diktatorkah Muhyiddin apabila membenarkan rakyat masih boleh membeli makanan (tetapi tidak dibenarkan makan di restoran) dan keluar dalam radius 10 kilometer; sektor ekonomi diberikan kebenaran beroperasi (kecuali pasar malam kerana ada kecenderungan sikap kurang prihatian peniaga, lorong untuk pelanggan berjalan dipersempitkan dengan meletakkan barang dan kenderaan di belakang gerai sebagai alasan ‘mudah dicapai’); kuatkuasa pematuhan SOP dan sekatan di pintu masuk atau keluar kawasan PKP yang tidak sama dengan apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir semasa berhadapan ketegangan politik (laksanakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), melakukan tahanan politik (di Hotel Kamunting tanpa dibicarakan, dan sebagainya). Ini tidak berlaku dalam Darurat 2021, kalau melanggar SOP dikenakan kompaun atau dibicarakan di mahkamah.

Jika hanya bersandarkan kepada ‘kuasa majoriti Muhyiddin telah susut’ maka Darurat 2021 itu adalah ‘langkah mengkhianati demokrasi’ atau menuju kepada sebuah pemerintahan autokrasi, rakyat boleh menolaknya dengan mudah, semudah mengupas kulit bawang. Ini kerana politikus yang ‘membawang’ itu sebenarnya merasakan ‘kulit bawang sudah menggelupas’ bila tidak dapat bertemu dengan orang ramai untuk berkata dan bercakap dari sudut pandangan sendiri yang bias dan ‘kelingking berkait’. Apa tidaknya, apabila Anwar berkata, berusaha dengan sepenuh kekuatan bicaranya untuk memujuk wakil rakyat menolak Proklamasi Darurat 2021 hanya kerana pentadbiran Muhyiddin memasuki ‘lembah kegilaan’. (baca: Pembangkang akan cabar perisytiharan darurat –Anwar, Malaysia Gazette, 17 Januari 2021).

Anwar berusaha gunakan isu itu untuk memulihkan ‘defisit kepercayaan’ terhadap dirinya yang sudah kehilangan banyak tenaga dalam marathon menjatuhkan Muhyiddin dan Perikatan Nasional. Usaha ‘menebang pokok’ telah gagal dan sebahagian dahan yang dicantas telah menimpa Anwar sendiri. Antara dahan-dahan yang dicantas ialah dahan yang sekian lama menyuburkan idealisme PKR semasa Anwar hanya seorang ‘ketua yang berfungsi secara remote control.’ Memang perit mengalaminya, tetapi Anwar berlakon seumpama memperoleh kekuatan yang lebih baik daripada ‘kehilangan’ tersebut, seolah-olah mengulangai ‘keajaiban pembedahan tulang belakang’ yang diterimanya di sebuah pusat perubatan di Jerman selepas beberapa jam menjalaninya, tidak berapa lama dahulu (belum boleh dikategorikan sebagai Hikayat Auta Wal Nawaitu).

Telinga dan pendengaran rakyat masih belum hilang gemanya dengan ‘cukup nombor dan jumlah menyakinkan’ kerana ‘kerajaan Muhyiddin belum tumbang’ setelah seruan Anwar untuk menghalang Belanjawan 2021 gagal di Dewan Rakyat biarpun dengan kelebihan 3 undi. Tidak ada masalah, seperti pernah berkata Dr Mahathir, meskipun menang satu undi ia tetap sebuah kemenangan. Ia tetap melepasi tahap minimum dan sudah berada di level majoriti. Majoriti kuat atau lemah bukan ‘halangan’ lagi. Muhyiddin sedang melaksanakan apa yang dirancang dan sudah diluluskan walaupun politikus terus memperitikaikan ‘kelebihan’ itu dengan pelbagai tafsiran jengkel dan kurang rasional. Asas tetap dipertahankan bukan mengapungkan sesuatu yang hanya bersifat kosmetik, seumpama pembohongan frasa iklan, 99 peratus menggunakan sabun berjenama X.

Frontline Worker with protective suit disinfecting car with chemicals during COVID-19

Siapakah pengguna sabun jenama X itu? (Ahli PAN, PKR atau peniaga yang sibuk memenuhi permintaan pelanggan setelah ‘daging harimau menangis’  yang bukan hendak dijadikan hak eksklusif milik seseorang?) Kalau begitu, kenapa banyak penjual yang menjual Nasi Kak Wok tumbuh ‘selepas hujan’ setelah menu berkenaan menjadi begitu popular di Kelantan? Kenapa pula Nasi Ikan Bekok telah ‘memudarkan Nasi Kak Wok’? Apakah Nasi Ikan Bekok itu adalah ‘kerajaan pintu belakang’ selepas selera Nasi Kak Wok sudah berubah? Apakah dalam persaingan –kuasa atau pasaran—selalu berlaku perseteruan?

Dalam kesukaran rakyat berhadapan dengan ‘krisis kesihatan’ dan juga ‘krisis ekonomi’ politikus terus muncul dengan teori tikusnya? Seharusnya, setiap daripada rakyat, setiap manusia dan daripada kita berganding bahu untuk ‘menamatkan rantaian jangkitan COVID-19’, bukannya ‘menahan lukah di pergentingan’, sama ada yang mempunyai kelulusan PhD ataupun penarik beca di Pengkalan Sultan Abdul Halim ekoran bertukarnya ‘feri ikonik’ kepada teksi air atau catamaran boat.  (baca: Tamat perkhidmatan feri bukan keputusan saya- Anthony, Sinar Harian, 17 Disember 2020; Guan Eng jangan putar belit cerita, http://www.pnbbcportal.com/2020/12/17/guan-eng-jangan-putar-belit-cerita/; dan Feri Pulau Pinang, ‘Wayang Lim Guan Eng’, Harakah Daily, 17 Disember 2020).

PKP akan ‘kekal’ selagi perihal COVID-19 masih tinggi. COVID-19 yang mula dikesan di Malaysia hampir setahun lalu sudah mencapai tahap yang membimbangkan walaupun ada yang mengisyaratkan wabak itu tidaklah menjadi penghalang kepada kebebasan, mobilasisasi rakyat (tiada sekatan nak ke mana-mana atas apa pun alasan), pembukaan sektor ekonomi seluas-luasnya (asal patuh SOP), menyemarakkan aktiviti agama dan sosial, kerana sebelum vaksin pun kadar kesembuhan adalah tinggi. Penggunaan vaksin seolah-olah ‘suatu perihal’ yang sangat ‘kuat dengan konspirasi’ dan ‘kapitalis’ sedangkan semua memahami bahawa vaksin adalah suatu usaha untuk ‘meningkatkan imunisasi seseorang’.

Penggunaan vaksin telah berjaya ‘melenyapkan beberapa jenis penyakit’ yang sebelumnya amat ditakuti kerana boleh membunuh. Rekod hampir lenyapnya ‘polio, campak, rubella dan sebagainya’ telah membuktikan bahawa vaksin amat diperlukan oleh manusia demi kelangsungan hidupnya. Sebagai ‘self-mechanisme’, vaksin yang disuntik dapat mengurangkan kesan kesakitan akibat penyakit berjangkit, tetapi, akibat beberapa orang mengalami ‘alahan’ maka vaksin perlu dijauhi. Sistem imunisasi semula jadi dapat ditingkatkan dengan amalan gaya hidup sehat, tetapi berapa ramaikah yang berfikir sedemikian melaksanakan gaya hidup sehat?

Begitu juga dengan budaya politik segelintir politikus yang mengkritik dan mencemoh keputusan kerajaan, yang pada pandangannya sahaja ‘betul dan berkesan’. Sayangnya, bila ditanya maka dijawab dengan penuh kekaburan dan sangat tidak konsisten (cognitive dissonane). Apakah salah bila kita kembali ke peringkat asal, sedangkan kebijaksaan lokal (local wisdom) telah membuktikan ‘balik ke pangkal jalan’ sekiranya ‘rasa tersesat’ atau ‘ada petunjuk telah gagal’. Ini kerana, ‘kembali ke pangkal jalan’ bukan lagi bermaksud ‘mengulangi kesilapan yang sudah berlaku’, suatu langkah menambahbaik apa yang dilihat gagal (improvement) dan melihat ‘ke dalam’ dengan ‘pengetahuan’ bukan semberono seumpama Lebai Malang yang bersembunyi di dalam kelambu selepas penat mengejar (anjing yang menyambar lempeng) dan dipukul dengan kayu api oleh Mak Lebai.

Dalam menahan kesakitan, Lebai Malang pun bersyair kecewa: “Penat berkejar tidak terkira, Ke sana ke mari tersera-sera, Punah golok bersama nira, Pulang ke rumah mendapat mara.” Tak perlu kita tergesa-gesa mengatakan Darurat 2021 itu adalah ‘petaka’ daripada ‘acara tahunan’ atau pengisytiharan hanya untuk ‘selamatkan kedudukan politik’ kerana yang berkata itulah sebenarnya ‘sedang sakit’ kalaupun ‘belum nazak’. Mereka itulah sebenarnya ‘sedang bermain dengan politik sempit’ dan sangat ‘mengada-ngada’; kini sedang mengadah ‘lapar kuasa’.

Tulis seorang mahasiswa, “Janganlah sudah terhantuk baru tengadah dan mengutuk pihak atasan akibat mengenakan kadar saman yang tinggi.” (Nur Athirah Hamdan, COVID-19: Usah terhantuk baru terngadah, Malaysiakini, 2 Januari 2021). Apakah angka jangkitan baharu COVID-19 tidak cukup ‘kuat’ untuk mengambil langkah terbaik (tidak terhantuk) daripada menangis akibat kehilangan ‘orang tersayang’ atau ‘tidak dapat memberikan penghormatan terakhir’ akan terus menyebabkan kita mengutuk diri sendiri? Leburkan ‘angan-angan’, jauhilah ‘politikus mengada-mengada’ kerana mereka sebenarnya bukanlah ‘menyelamatkan kita’; mereka membuli kita, mengekploiasi kita ‘demi kuasa’ dan ‘membingkaikan minda kita’ dengan cara yang dikatakan ‘baik dan munasabah’.

MONOSIN SOBRI

Translate »