Dua perkataan ini –vaksinisasi dan divaksin– cukup menimbulkan pelbagai konotasi, walaupun asalnya bermaksud sama. Vaksinisasi atau divaksin, asalnya dari perkataan Inggeris, iaitu vaccine. Vaksin bermaksud “bahan yang disuntik ke dalam darah dan melindungi badan dengan membuatnya mendapat sedikit penyakit tersebut” Oxford English-Malay:Compact Advanced Learner’s Dictionary, 2007:1644. Kamus Dewan (Edisi keempat, 2007:1787) menjelaskan vaksin “sediaan bakteria, virus dan lain-lain yang sudah mati atau dilemahkan untuk disuntik atau ditanam ke dalam badan supaya menghasilkan daya tahan terhadap penyakit tertentu.”
Proses memasukkan atau menyuntik vaksin dikenali sebagai vaksinasi, iaitu “proses menyuntikkan vaksin ke dalam tubuh seseorang sebagai langkah perlindungan mencegah sesuatu penyakit”. Selain itu ada istilah yang sama maksudnya dengan vaksinasi, iaitu memvaksin dan pemvaksinan. Tidak terdapat istilah divaksin dalam Kamus Dewan, dan bagi saya ia patut diterangkan perbezaan dengan jelas antara vaksinasi, memvaksin dan pemvaksinan.
Atau, apakah istilah divaksin itu tidak layak dipakai dan dilarang dari digunakan sebagai perbuatan ‘memasukkan vaksin’ sama ada kepada seseorang atau binatang dan tumbuh-tumbuhan agar hidup agar ‘rentang penyakit’ dan melemahkan virus jahat yang sedang mengganggu organ-organ dalaman (manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan).
Saya bukan ahli bahasa. Tetapi saya tertarik dengan makna bahasa yang difahami oleh segelintir orang, sebab apa yang difahami selain makna yang terdapat dalam kamus, sesuatu istilah juga mempunyai makna konotatif. Makna konotatif ialah makna selain daripada apa yang diberikan oleh kamus. Makna dalam kamus dipanggil denotatif.
Mungkin kerana sejak hampir setahun berlalu, istilah vaksin boleh disebut oleh anak kecil. Ia berdasarkan apa yang mereka dengar, sama ada menerusi siaran televisyen, cakap-cakap golongan dewasa bahawa COVID-19 masih belum ada vaksin. Kita juga tahu, banyak penyakit yang melanda penduduk dunia juga masih belum ditemui vaksinnya. Antaranya ialah denggi, kanser, HIV/AIDS dan chikunya.
Akibat ketiadaan vaksin yang terbukti dapat meningkatkan sistem imun badan, merawat penyakit-penyakit berkenaan, ia masih kekal menjadi ‘misteri’ kaedah pengubatannya. Ada segelintir menemukan pelbagai petua dan kaedah alternatif, tetapi apa yang dilaporkan hanyalah beberapa kejayaan kecil, bukan kejayaan yang boleh dibanggakan bagaimana imunisasi telah berjaya mengurangkan jangkitan pelbagai penyakit seperti polio, campak, batuk kering dan difteria.
Bahkan, pada suatu ketika kesan pengambilan vaksin dalam kalangan kanak-kanak, kita bertahun tidak mendengar seseorang mengidap penyakit batuk kering ataupun polio. Ia kembali muncul setelah kemasukan buruh imigran, kesan daripada pembangunan negara yang pesat. Buru-buruh imigran pada awalnya tidak disaring kesihatan semasa kemasukannya sehinggalah satu keputusan mewajibkan mereka yang sihat boleh dibenarkan bekerja di Malaysia.
Bagaimanapun, kemasukan pendatang tanpa izin tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Mereka yang tidak mempunyai sebarang sejarah imunisasi dan tahap kesihatan tetap menyelinap masuk ke negara ini kerana menginginkan pekerjaan yang lebih baik. Di negara mereka, hampir tidak ada peluang pekerjaan dan jika ada pun, upah yang diterima adalah terlalu rendah.
Juga, selepas mendapat perkhabaran lebih baik prospek ‘rezeki di Malaysia’, mereka berduyun-duyun masuk dengan harapan boleh terus kekal menetap dan bekerja (ada yang sanggup membayar ribuan ringgit kepada sindiket untuk mendapatkan MyKad, berusaha kerana mendapat taraf sebagai penduduk tetap dengan pelbagai cara, termasuk berkahwin dengan penduduk tempatan).
Sebahagian besar kaum imigran –PATI ataupun pekerja sah—tidak mempunyai rekod kesihatan yang lengkap, termasuk imunisasi yang pernah mereka ambil di negara masing-masing sejak lahir. Hakikat itu telah menampakkan penyakit yang sudah hampir ‘mati’ muncul semula di Malaysia. Antaranya, batuk kering (tuberculosis atau dikenali ringkasan TB) dan polio dalam kalangan orang dewasa, manakala campak dan difteria dalam kalangan orang dewasa.
Kini di seluruh dunia cemas dengan kemunculan demam selsema yang dikenali pertama kali sebagai Wuhan Disease (Disember 2019 di Wuhan, China) sebelum digantikan dengan istilah COVID-19 pada bulan Februari 2020 setelah ia memasuki tahap epidemik (11 Mac 2020). Sebulan kemudian, tahap epidemik telah ditingkatkan kepada pandemik setelah ia menjadi ‘darurat kesihatan’ di seluruh dunia (Eropah dan Amerika Syarikat)’ manakala di China ia semakin reda. Sehingga 14 Januari, COVID-19 telah melibatkan jangkitan ke atas 92.3 juta orang , dengan lebih daripada 1,970,000 kematian di seluruh dunia.
Malaysia turut mengisytiharkan ‘darurat kesihatan’ setelah kes jangkitan baharu melonjak lebih 3000 kes pada 12 Januari 2021. Peningkatan yang mendadak sejak bulan Oktober 2020 itu telah memberikan tekanan kepada ‘kesihatan awam’ dan dengan mengisytiharkan ‘darurat kesihatan’, kerajaan boleh menggunakan kemudian hospital swasta (kelengkapan dan kepakaran), mengenakan tindakan lebih tegas kepada mereka yang mencabar atau melanggar SOP, melarang aktiviti rentas daerah dan negeri, dan mengelakkan pelbagai aktiviti sosial serta kerumuman awam (kenduri, berhimpun, berdemonstrasi, mengadakan sebarang bentuk perayaan, kunjung mengunjungi ketika hari perayaan, aktiviti keagamaan dan sebagainya).
Biarpun ada pihak yang mempertikaikan pelbagai sekatan yang dikenakan, termasuk jumlah yang dibenarkan untuk mengungi rumah ibadat, pelaksanaan Sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah di surau, masjid dan sebagainya. Situasi itu dilaksanakan bagi mengekang penyebaran virus kecil yang tidak dapat dilihat, tetapi amat berbahaya kerana ia boleh membunuh apabila mereka yang dijangkitinya mempunyai lain-lain penyakit (misalnya penyakit tiga serangkai –kencing manis, darah tinggi dan kardiovaskular).
Larangan ini dikenakan kerana virus COVID-19 sangat mudah tersebar menerusi perhubungan (kontak) atau pertemuan fizikal antara seseorang dengan seseorang walaupun pada awalnya tidak bergejala atau dikatakan tidak demam atau selsema dan batuk. Itulah sebabnya pada saat ini, mereka yang mengalami batuk, demam dan selesema paling ditakuti, dibimbangi bakal menjadi agen penyebar virus yang dinamakan corona. Ia dijangka dapat diatasi setelah vaksin COVID-19 ditemui dan berjaya dilaksanakan program imunisasi kepada sebahagian besar manusia di bumi.
Vaksin COVID-19 hanya diketahui telah berjaya dicipta atau ditemukan sekitar dua bulan terakhir tahun lalu. Tetapi, beberapa buah negara telah berusaha keras untuk menghasilkan vaksin secepat mungkin, maka sebelum akhir tahun lalu, ada berita gembira.
Pasangan keturunan Turki yang menetap di Jerman, Dr Ughur Sahin dan Dr Ozlem Tureci, yang mengasaskan BioNTech SE bersama-sama Christoph Huber, Andreas Strüngmann, Thomas Strüngmann, Michael Motschmann, dan Helmut Jeggle pada tahun 2008 berjaya menemukan formula mencipta vaksin COVID-19. Pada 21 Disember 2020, Suruhanjaya Eropah meluluskan vaksin yang dihasilkan itu berdasarkan perakuan positif daripada Agensi Perubatan Eropah (European Medicine Agency – EMA).
Pfizer pula diberikan hak untuk menjual vaksin BioNTech ke seluruh dunia. Ertinya, BioNTech akan memperoleh royalti yang banyak manakala Pfizer turut melonjak keuntungan besar hasil penemuan, pengkomersialan dan penjualan secara ‘rundingan terus’.
Dua hari lalu, Pharmaniaga akan mengeluarkan vaksin COVID-19 yang berjaya dimajukan oleh Sinovac Life Sciences Co. Ltd. Dari China. Kedengaran pula vaksin yang diformulakan oleh Sinovac kurang berkesan, hanya sekitar 50.4 peratus, sebelumnya dilaporkan kekesanannya sehingga 78 peratus. Ertinya, jika benar keputusan ujian yang dibuat oleh Institut Butantan dari Brazil itu akan menyebabkan Pharmanagia alami kerugian besar setelah meneruskan perancangan mengeluarkan sehingga 2 juta dos vaksin bermula Mac nanti.
Vaksin BioNTech/Pfizer tidak dikeluarkan dalam negara. Ia akan diimport terus daripada pengedarnya. Ini bermakna, vaksin tersebut akan mula diperoleh bulan Februari 2021. Fasa pertama membabitkan pembelian sebanyak 12.799, 800 dos dan fasa kedua membabitkan sejumlah 12.2 juta lagi. Ia cukup untuk menampung keperluan 39 peratus rakyat Malaysia pada tahun 2021.
Vaksin BioNTech dipercayai mempunyai kesan yang lebih baik daripada Sinovac. Setakat ini ramai yang berpuas hati dengan kadar keberkesanan vaksin BioNTech sehingga 90 peratus. Satu lagi jenama vaksin COVID-19 ialah AstraZeneca, yang berjaya dihasilkan oleh firma penyelidikan bioperubatan Britain-Sweeden yang berpengkalan di Cambridge.
Vaksin AstraZeneca sedang dibangunkan dengan kerjasama University Oxford dan dikatakan mampu memberikan tindak balas imun yang tinggi kepada orang tua. Ia memberikan harapan kepada golongan yang berusia setelah vaksin BioNTech menimbulkan kesan negatif.
Setakat ini, vaksin BioNTech telah diterima dan vaksinasi dimulakan di beberapa buah negara. Antaranya, Amerika Syarikat, Britain, negara-negara Eropah, Indonesia dan Singapura. Di Malaysia, dilaporkan bahawa 3,000 sukarelawan akan menjadi barisan ujian pertama vaksin Sinovac di luar China bermula 21 Januari ini di sembilan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sebelumnya, timbul dua persoalan besar mengenai vaksin COVID-19, iaitu harga yang diperoleh adalah lebih mahal berbanding yang didedahkan oleh Setiausaha Belanjawan Belgium, Eva de Bleeker dan kedua, bahan-bahan yang digunakan untuk mencipta vaksin dari sumber mungkin tidak halal.
Isu pertama timbul kerana ada rundingan rahsia antara kerajaan dan Pfizer tentang harga, serta menjadi rahsia perniagaan. Ia kemudian menyebabkan segelintir politikus dan penyembang politik mendakwa proses rundingan terus mungkin menghasilkan ‘komisyen sebanyak RM 500 juta”.
Belgium membeli sebanyak 12 juta dos dengan biaya E279 juta (RM 1.38 bilion). Ada pula mengatakan untuk mendapat vaksin sebanyak 10 juta dosa kerajaan terpaksa membayar RM 3 bilion. Bagaimanapun isu tersebut telah disangkal oleh Timbalan Menteri (MOSTI) di mana kos vaksin setiap orang adalah sekitar USD$21 (dibawah RM 100). RM 3 bilion merupakan peruntukan, dan ini tidak bermakna jumlah tersebut digunakan untuk membeli hanya 10 juta dos. Ertinya, dengan peruntukan sebanyak RM 3 bilion, KKM boleh membeli sejumlah 33 juta dos, yakni cukup untuk semua orang.
Pembelian vaksin Sinovac menerusi Pharmaniaga adalah lebih murah daripada membeli terus daripada Sinovac Life Sciences Co. Ltd,. Kos akan menjadi lebih murah apabila ia dikeluarkan dalam negara. Itulah yang diberitahu oleh Menteri MOSTI dua hari lalu (12 Januari 2021).
Isu kedua ialah mengenai kesucian bahan yang digunakan untuk menghasilkan vaksin COVID-19. Berdasarkan beberapa ujian yang dibuat, vaksin BioNTech tidak mempunyai apa-apa bahan yang dikaitkan dengan binatang. Ia sedikit sebanyak telah memberikan keyakinan kepada masyarakat Islam bahawa dakwaan mengandungi bahan binatang yang tidak halal atau disembelih tanpa menurut kaedah Islam. Indonesia telah mengeluarkan pandangan bahawa vaksin COVID-19 adalah halal.
Dalam satu kenyataan di Malaysia, Menteri Hal Ehwal Agama mengatakan pengambilan vaksin adalah harus sekiranya mengandungi bahan-bahan yang diragui. Ia bertujuan perubatan. Ertinya, sekiranya vaksin COVID-19 tidak mengandungi bahan-bahan yang dicurigai (haram), ia adalah suatu keperluan oleh semua orang sebagai ikhtiar untuk melindungi diri daripada penyakit yang boleh membawa maut itu sekiranya sudah ada penyakit-penyakit lain.
Berdasarkan rekod kematian, hampir kesemua mereka meninggal yang dikaitkan dengan COVID-19 mempunyai pelbagai komplikasi. Antaranya, jantung (kardiovaskular), kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, kanser, dementia dan sebagainya. Maksudnya, COVID-19 bukanlah pembunuh tunggal. Ia menjadi faktor yang mempercepatkan kematian seseorang yang sudah pun mempunyai komplikasi penyakit lain.
Ketika negara berada dalam fasa PKPB dan PKPP, masyarakat Malaysia nampaknya seperti melepas ‘emosi terpuruk’ selama lebih lima bulan (18 Mac hingga 31 Ogos 2020) untuk berjalan-jalan dan pulang kampong. Ia menjadi semakin rancak pada bulan Disember lalu sehingga ada yang melupakan perlunya mengamalkan SOP.
Kawasan peranginan sesak (Cameron Highlands) setelah Genting Highland tidak lagi jadi tumpuan kesan ada pekerja di situ terkena COVID-19. Bukit Tinggi juga menerima pelawat yang besar. Kegembiraan itu nampaknya tidak kekal lama. Menjelang akhir bulan Disember 2020, kes baharu COVID-19 meningkat tinggi sehinggalah kerajaan terpaksa memikirkan bagaimana untuk melandaikan semula keluk jangkitan.
Kerajaan menerima pukulan yang berat apabila KKM telah mengakui bahawa ‘kesihatan awam sedang terbeban’ dengan kes yang meningkat empat angka setiap hari. Pada hari pengumuman pelaksanaan PKP 2.0 di enam buah negeri, jangkitan baharu telah mencecah 3,309 kes (12 Januari 2021) dan dua hari selepasnya (14 Januari 2021) meningkat kepada 3,337 kes.
PKP dilaksanakan dari 13 hingga 26 Januari. Dua hari sebelumnya, jalan raya di sekitar Lembah Klang begitu sesak. Pertama, ada segelintir penduduk Lembah Klang berpusu-pusu ke pasar raya, pasar raya hiper, gedong borong dan runcit untuk memborong seberapa banyak yang mampu dibeli seolah-olah bakal berlaku ‘perintah berkurung’ atau lockdown.
Pada hari yang sama pengumuman PKP, tersebar kenyataan dari Istana Negara bahawa SPBYDA telah berkenaan dan berpuas hati dengan penjelasan PM serta taklimat dari KKM, Ketua Polis Negara, Panglima Angkata Tentera, Setiausaha Negara, SPR dan Peguam Negara keperluan untuk Proklamasi Darurat bagi tujuan membendung wabak COVID-19.
Secara mudahnya, proklamasi tersebut berusaha untuk mengehadkan perjalanan rakyat Malaysia rentas daerah dan negeri. Ini kerana, selepas negara terkesan dengan peningkatkan mendadak jangkitan kes baharu COVID-19 setelah selesainya PRN Sabah. Buat beberapa hari Sabah kekal menjadi negeri yang paling banyak terkena jangkitan COVID-19 sebelum beralih ke Selangor.
Peningkatan di Selangor secara besarnya berlaku di rumah pekerja Top Gloves dan kawasan tapak bina. Kuala Lumpur turut menjadi salah sebuah negeri (umpama) yang mempunyai banyak kawasan pembinaan pelbagai kemudahan seperti perumahan, infrastruktur awam dan premis-premis komersial baharu.
Bagi negeri lain, Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini agak kurang menerima jangkitan, kini mula merasa kesan setelah ‘kepulangan pelawat ke kampung’. Sanak saudara yang balik kampong selepas secara rasminya penggal persekolahan bagi sesi 2020 tamat, turut memberikan tekanan sehingga muncul semula COVID-19 dengan peningkatan kes. Contohnya, sebelum ini peningkatan kes baharu berlaku di sekolah tahfiz, pondok dan kampong selepas berlakunya kontak dengan ‘orang luar’ yang pulang kampong dan mereka yang positif. Kini, sekampung diminta untuk jalani ujian COVID-19 selepas beberapa orang ‘perantau pulang kampong didapati positif’. Kampung yang terbabit ialah Kampung Chedok, Bukit Bunga, di Tanah Merah. (Malaysiakini, 14 Januari 2021).
Pada 6 Januari 2021, sekeluarga 16 orang di Labis, Johor dijangkiti COVID-19 selepas masa selama seminggu di Lembah Klang. Mereka berada di Lembah Klang pada 17 Disember dan pulang ke Labis pada 25 Disember 2020. Ia kemudiannya menjangkiti dua orang lagi ahli keluarga tersebut menjadikan kesemuanya 18 orang. Di antara mereka yang dijangkiti, paling muda berusia dua tahun dan paling tua 60 tahun. Wanita yang berusia 60 tahun dimasukkan ke Hospital Segamat dan meninggal dunia pada 3 Januari 2021. (Malaysiakini, 6 Januari 2021).
Enam orang dari sebuah keluarga dari Kulim dimasukkan ke hospital setelah hadir kenduri korban di Megat Dewa, Jitra, Kedah (1 Ogos 2020) dan dipercayai ada kaitan dengan Kluster Sivagangga. (Astro Awani, 7 Ogos 2020). 16 orang sekeluarga di Kulim disahkan dijangkiti COVID-19 setelah salah seorangnya mengalami gejala pada 2 November 2020. (mStar Online, 22 November 2020). Ini menunjukkan bahawa COVID-19 begitu mudah berjangkit dan keberjangkitan itu tidak mengira usia. Atas sebab itulah diperlukan satu sekatan yang lebih tegas bagi membolehkan mereka yang berada di zon merah tidak menjadi agen pembawa COVID-19 ke zon-zon lain, termasuk zon hijau.
Dengan melaksanakan semula PKP, ia dijangka mampu menurunkan jumlah kes positif baharu, yakni mewartakan larangan rentas daerah dan negeri. Ketika PKP dimulakan, turut diisytiharkan darurat, bukan atas tujuan politik. Ia adalah satu langkah pembendungan penularan kerana politikus tidak lagi bebas untuk ke sana ke mari menjajakan ‘angan-angan yang tidak pernah sudah’.
Kita tahu, sejak bulan November lalu, politikus tersangat galak memberikan tekanan agar dilaksanakan secepat mungkin PRU ke-15. Kerajaan Perikatan Nasional dikatakan tidak stabil dan ‘telah tumbang’. Hakikatnya, UMNO yang galak mengacah, belum melaksanakan apa yang diacahnya untuk keluar daripada Perikatan Nasional. Beberapa hari lalu, berkocak sekali lagi tekanan agar Dewan Rakyat dibubarkan dan menyatakan “COVID-19 bukanlah alasan untuk tidak mengadakan PRU”. Sebelumnya, orang yang sama menjelaskan, kalau orang ramai boleh beratur ketika membeli-belah, tidak ada sebab PRU tidak boleh diadakan. Sesuatu yang begitu ironik dan tersangat déjà vu.
Ironik kerana semua orang tahu bahawa menerusi interaksi dan kontak dengan seseorang, ia boleh menyebabkan viru corona tersebar. Inilah yang menyebabkan salah satu faktor kenapa selepas PRN Sabah, angka jangkitan terus meningkat tinggi.
Déjà vu mengingatkan kita kepada kisah-kisah bagaimana timbulnya istilah kluster dalam kategori penerima virus corona. Kita ada Kluster Tembok, ada Kluster Damanlela, ada Kluster Tapak Bina Dutamas dan beratus lagi. Kesemuanya dikaitkan dengan hubungan dan kontak dalam komuniti tertentu. Ertinya, kita sangat terkesan dengan nama-nama tersebut sehingga kita tidak mahu muncul pula Kluster PRU ke-15.
Kita tumpukan kepada bagaimana mencari penawar untuk mengatasi COVID-19 semoga kita dapat kembali bekerja dengan selesa dan hidup tidak diselubungi ketakutan serta kebimbangan. Kalau politikus semakin galak untuk ‘merebut kuasa’ maka rakyat mendoakan mereka agar sedar diri bahawa desakan sedemikian akan menimbulkan lebih banyak ‘kebencian’ dan ‘mudarat’. Gunakan pengaruh untuk bersama-sama menimbulkan kesedaran bahawa vaksinasi adalah penting untuk menguatkan imunity Bertelagah dan berperanglah melawan mereka yang sedang galak melancarkan kempen antivaksin.
KAMARUN KH
Recent Comments