Donald Trump yang terpaksa menyerah kalah dan gagal dalam misinya untuk mempertikaikan kemenangan Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 3 November 2020 akhirnya menanggung malu besar.
Akibat tindakan dan pendiriannya yang tidak menghormati keputusan demokrasi atas alasan ‘kemenangan telah dicuri’, akhirnya disimbah dengan kritikan oleh pemimpin-pemimpin dari Kesatuan Eropah.
Trump dikecam kerana mendorong rusuhan di bangunan Capitol beberapa hari lalu ketika satu keputusan undang-undang untuk mengesahkan kemenangan Joe Biden sedang diputuskan. Insiden tersebut menyebabkan empat orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 14 anggota polis cedera termasuk seorang parah. Seramai 52 orang telah ditahan dan 47 daripadanya didakwa melanggar arahan perintah berkurung.
Akaun facebook, twitter dan instagram milik Trump turut disekat. Trump didakwa telah memuatnaikkan retorik melampau (hasutan keganasan) selepas penyokongnya menyerbu Capitol dan ia adalah kejadian pertama dalam sejarah politik Amerika Syarikat.
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton berkata, ‘hari ini (Rabu 6/1/2021), kita menghadapi satu serangan yang tidak pernah berlaku di Capitol, Perlembagaan kita dan negara kita.’
Ketika hampir kesemua protes dan gugatannya gagal, Trump buat pertama kali pada 26 November 2020 mengakui akan ‘meninggalkan Rumah Putih sekiranya Joe Biden benar-benar disahkan memenangi Pilihan Raya Presiden’.
Trump menggunakan pelbagai ancaman untuk menghalangi pengesahan keputusan Joe Biden menang, antaranya dakwaan ‘mencuri undi’, meminta mahkamah membuat keputusan mengira semula keputusan di beberapa buah undi perwakilan, sistem pengiraan undi yang dicurigai menyebelahi Biden, dan lontaran kata-kata kesat.
Joe Biden secara rasminya akan memasuki Rumah Putih pada 20 Januari 2021 untuk memulakan tugasnya sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46 untuk tempoh empat tahun.
Berdasarkan rekod, Joe Biden memenangi 306 undi elektoral dan meraih sokongan 81,268,867 undi (51.3 peratus) berbanding Donald Trump yang cuba untuk berada di RUmah Putih bagi penggal kedua. Trump hanya mampu menguasai 232 undi elektoral dan 74,216,747 undi popular (46.8 peratus).
Dalam sistem politik Amerika Syarikat, mana-mana calon yang memenangi 237 undi electoral diisytiharkan memenangi jawatan presiden. Ini bermakna Trump tidak melepasi keputusan minimum, yakni kurang lima undi elektoral.
Keputusan yang diraih oleh Joe Biden adalah lebih besar daripada apa yang pernah dimenangi oleh Trump pada 9 November 2016. Ketika menentang Hillary Clinton, Trump mendapat 304 undi electoral dan menguasai 62,984,825 undi popular (46.1 peratus).
Hillary Clinton yang diramalkan menang akhirnya terpaksa mengakui kekalahannya setelah hanya mampu memperoleh 227 undi electoral walaupun berjaya menguasai 65,853,516 undi popular (48.2 peratus).
Ketika Trump diisytiharkan sebagai pemenang, sebahagian penyokong-penyokong Demokrat keluar berdemonstrasi sehinggalah upacara mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 sedikit muram.
Beberapa negeri turut memberi ancaman akan menarik diri daripada Kesatuan Amerika Syarikat (United States of America) kerana menyifatkan dasar dan tindakan yang akan diambil oleh Trump tidak selari dengan kepentingan kapitalis, termasuk cadangan pembinaan tembok bersempadanan dengan Mexico, menyekat kemasukan pekerja imigran dan retorik kempen Make American Great Again.
Empat tahun pentadbiran Trump dibayangi dengan pelbagai kontroversi, dari dakwaan pembabitan Rusia bagi meraih kemenangan, sekatan kemasukan ke atas rakyat beberapa buah negara Islam, menarik diri daripada Majlis Keselamatan PBB, membatalkan sumbangan kewangan tahunan kepada WHO, UNESCO dan Pasukan Pemeriksa Nuklear, melancarkan perang perdagangan dengan China, menyekat persaingan teknologi 5G daripada China, skandal Golden Shower hingga berjaya mewujudkan plan normalisasi negara-negara Arab dengan Israel selepas berjaya mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu kota Israel.
Pentadbiran Trump turut dicemari oleh tindak balas menggantikan pegawai-pegawai dalam pentadbiran Rumah Putih, FBI, CIA, NSA, Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman (DoJ). Isteri Trump, Melinea turut disimbah kontroversi termasuk mengajukan pemecatan seorang pegawai yang menguruskan lawatannya ke Afrika setelah dikatakan sengaja memotong perbelanjaan.
Apa yang menarik mengenai politik Amerika Syarikat dalam beberapa hari selepas keputusan Pilihan Raya Presiden yang tidak dimenangi oleh Trump ialah gugatan terhadap amalan demokrasi. Amerika Syarikat yang dimodel sebagai pengamal demokrasi moden yang terbesar akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa Trump telah berusaha merombak makna demokrasi itu sendiri, setelah melihat dirinya telah kalah.
Demokrasi yang sentiasa ditiup dan dihidupkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu sehingga menjadi kerangkan dasar luar Amerika Syarikat sejak Woodrow Wilson (1856-1924) membentangkan cadangan 14 perkara pada bulan Januari 1918, sebagai asas menamatkan Perang Dunia I dan mempromosikan sebuah dunia yang aman. Ia kemudian menjadi idealisme Amerika Syarikat yang dijaja ke seluruh dunia selepas negara itu menjadi kuasa besar dunia pasca Perang Dunia II.
Idealisme tersebut dikenali sebagai Wilsonisme. Idea ini menjadi bahan perbincangan menarik ketika Amerika Syarikat membabitkan diri dalam mencaturkan geopolitik dunia dengan menumpukan gerakan di negara-negara yang berideologi komunis dan Islam. Ini kerana, selepas Perang Dunia II, Amerika Syarikat boleh dikatakan campur tangan dalam hampir kebanyakan perang antara negara, termasuklah Perang Vietnam dan ia menjadi sedikit kendur apabila perancangan Amerika Syarikat di Iran dapat digagalkan oleh gerakan Ayatullah Khomeini.
Amerika Syarikat sedikit terpukul apabila Shah Redza Pahlavi, Raja Irak yang menjadi boneka Amerika Syarikat berjaya digulingkan oleh Ayatullah Khomeini yang dibuang negara (selama 14 tahun mulai November 1964) ke Irak dan kemudian ke Perancis pada tahun 1979. Kejayaan tersebut yang kemudiannya diikuti dengan tahanan kakitangan kedutaan Amerika Syarikat di Teheran telah memalukan Rumah Putih.
Mengingatkan tentang makna demokrasi, kita mungkin akan mengingat sosok wajah seorang presiden yang mula berusaha untuk menghapuskan sistem perhambaan di Amerika Syarikat, iaitu Abraham Lincoln (1808-1865), iaitu “government of the people, by the people, for the people, shall not perish from the earth”. Kata-kata itu diucapkan pada 19 November 1863. Dari situlah kemudiannya membingkai kisah amalan demokrasi moden dan kemudian Amerika Syarikat dinobatkan sebagai “Bapa Demokrasi”.
Imej Amerika Syarikat sebagai Bapa Demokrasi di era moden akhirnya tercemar dan kian merosot apabila Donald Trump menodainya sehinggalah pada 6 Januari 2021 ia menjadi mencatatkan sejarah hitam demokrasi Amerika Syarikat.
Sebahagian besar pakar dan penganalisis politik melihat serangan penyokong Trump ke atas Capitol sebagai imej demokrasi yang tercalar. Ia dicalarkan dengan tindakan anarkis dan rusuhan bagi membangkitkan stigma politik walau apa pun caranya, Trump adalah pemenangnya. Ia tidak lain sebagai meneruskan kepentingan Trump, yang feodalis dan nepotis.
Sebaik sahaja beliau menduduki Rumah Putih, anak dan menantunya, Ivanka Trump dan Jared Kushner. Ivanka dilantik sebagai Penasihat kepada Presiden manakala suaminya, Jared Kushner adalah Penasihat Kanan kepada Presiden.
Jared Krushner merupakan salah seorang yang memainkan peranan membentuk dan menzahirkan normalisasi negara-negara Arab dengan Israel. Feodalisme Trump itu membuktikan bahawa Presiden Amerika Syarikat ke-45 berusaha membina dinasti dan kekuasaan di Rumah Putih.
Dengan berlakunya insiden di Capitol, masyarakat dunia kembali mempersoalkan kewajaran Amerika Syarikat diberikan gelaran Bapa Demokrasi Moden setelah nilai demokrasinya merobek dengan pelbagai jenis ‘politik kebencian’. Sejak berdekad lamanya, negara-negara yang baharu merdeka dan dilanda kemunduran ekonomi akibat kebekuan ideologi politik melihat kerangka demokrasi di Amerika Syarikat cukup meyakinkan. Namun, dalam tempoh pemerintahan Trump dan insiden ‘Rabu Hitam –Black Wednesday’ ia telah mengubah persepsi dari ‘role model’ kepada ‘rude model’.
Kesan daripada sosialisasi politik yang dilakukan, daripada pembentukan nilai, budaya, teori dan kerangka politik, rakyat Amerika Syarikat seringkali diukur sangat memahami mengenai demokrasi. Mereka bukan sahaja tertib dan menghargai demokrasi sebagai sistem pemerintahan yang terbaik dan adil, tetapi kali ini ia diselubungi oleh narsisme politik yang tidak berkesudahan dan semakin membuak-buak.
Rakyat Amerika Syarikat, ketika di awal kemenangan Trump melihat taikun hartanah itu sebagai seorang yang amat tidak berpengalaman dalam hal ehwal diplomatik dan pentadbiran, akhirnya boleh bersetuju dengan idealisme politik ‘tidak peduli sesiapa pun’, termasuk tidak boleh menerima nasihat penasihatnya, kecuali dari anak dan menantunya sahaja.
Sejak kemunculan Trump dalam kempen merebut tempat sebagai calon bagi mewakili Republikan sehinggalah Pilihan Raya Presiden, sudah dibuktikan bahawa retorik yang digunakan lebih cenderung kepada post-truth, iaitu fakta atau bukti bukan lagi menjadi asas pembuatan keputusan atau kepercayaan. Begitu banyak kemudian muncul memperkatakan post-truth yang dikaitkan dengan kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, semuanya mencapai kata sepakat bahawa kemenangan itu banyak bergantung kepada ‘kebohongan’.
Dalam Pilihan Raya Presiden 2020, Trump semakin sukar untuk memperbaiki kelemahan dan melanjutkan post-truth disebabkan beberapa kerangka untuk menghindari post-truth telah berjaya dikembangkan oleh pelbagai pihak dan pakar strategi politik. Hal ini telah membingungkan Donald Trump sebaik sahaja Joe Biden memilih regunya, Kamala Haris sebagai calon Naib Presiden.
Kamala mempunyai aura yang menarik dan berjaya mendapat sokongan pengundi wanita. Trump masih dilihat sebagai seorang ‘pembuli dan penghina wanita’ apabila berjaya menutupi dakwaan terhadap salah laku seksnya dengan membayarnya. Trump turut diingati sebagai ‘pembuli seks’ ketika begitu terpesona dengan pelacur wanita di Moskow, yang kemudiannya dikenali sebagai Golden Shower.
Biarpun kes tersebut berlaku sebelum Trump terpilih sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45, ia terus membekas dan menjadi ‘recognition memory’ dalam minda pengundi wanita. Gugatan yang cuba dilakukan oleh Rudy Guliani menjelang kempen terakhir sebelum pengundian, mengaitkan skandal seks Hunter Biden dan cubaan mempengaruhi ayahnya, ketika menjadi Naib Presiden pelantikan dalam syarikat minyak Burisme Holding tidak menjadi.
Trump, sekaligus akan diingat sebagai Presiden Amerika Syarikat yang telah berjaya memadamkan sebahagian idealisme Abraham Lincoln mengenai makna demokrasi. Jadi, tidak hairanlah menjelang kemasukan Joe Biden ke Rumah Putih, Trump sanggup lakukan apa saja termasuk meruntuhkan apa yang sedia ada. Sesuatu pelabelan yang tepat, Trump yang piromania.
Sebagai seorang pemimpin yang dilihat eksklusif, angkuh, feudal, bongkak, tidak pedulikan nasihat dan pandangan orang lain, Trump akan dikenang telah mencorengkan potret demokrasi Amerika Syarikat di samping seorang presiden ‘you’re fired’. Kalau dahulu, Trump mengeluarkan kata-kata itu kepada peserta program realiti kendalianya, The Apprentice, maka kali ini, Trump terpaksa menerimanya sebagai karma politik dan tindakannya. Trump benar-benar ‘you’re fired’ dan “America is not great anymore” di mata dunia.
Beban itu terpaksa dipulih dan diperbaiki oleh Joe Biden sebaik sahaja beliau mengambil alih pentadbiran Rumah Putih, Akhirnya, jika Joe Biden yang tua sepuluh tahun dari Trump perlu bijak menyusun program dan dasar jika mahukan Amerika Syarikat kembali mendapat perhatian dunia. Joe Biden tidak perlu meneruskan dasar bermusuhan dengan China, kerana permusuhan itu boleh menjadikan ekonomi Amerika Syarikat terus menguncup manakala produknya semakin mahal dan tidak mampu bersaing di pasaran antarabangsa.
China bukan sahaja telah berjaya mengekalkan daya saing produknya, bahkan turut meningkatkan kualiti dalam kebanyakan produk keluarannya.
Dan, yang lebih penting ialah bagaimana Joe Biden akan meneruskan wilsonisme dalam kerangka dasar luar Amerika Syarikat untuk tempoh empat tahun selanjutnya. Ia adalah kerangka yang penting, kerana dengan Wilsonisme itulah Amerika Syarikat dilihat sebagai pengamal demokrasi terbesar dan terbaik sebelum dirobek dan diconteng oleh Donald Trump, agar idiom makna keramat demokrasi Abraham Lincoln terus hidup dan berkembang: dari rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat’.
Monosin Sobri
Recent Comments