Setelah menghabiskan masa selama dua minggu akhir tahun 2020 berjalan-jalan di tiga buah negeri di utara tanah air (Pulau Pinang, Kedan dan Perlis) dengan pelbagai kenangan dan nostalgia, saya juga ikut ‘terperuk’ dengan kesunyian sebagaimana dialami oleh Eleanor Oliphant.

Eleanor bukanlah teman wanita saya, bahkan saya tidak mengenalinya secara fizikal. Eleanor Oliphant ialah seorang wanita belum berkahwin. Usianya baru 30 tahun dan tinggal bersendirian di rumah sewa di Glasgow, Scotland. Sebenarnya, saya tidak banyak mengetahui mengenai Glasgow walaupun pernah berkunjung ke University of Glasgow (ditubuhkan 1451) pada tahun 2003, iaitu jauh sebelum kisah Eleanor Oliphant diterbitkan, atau belum ditulis oleh Gail Honeymann. Salah seorang pelajarnya yang terkenal ialah Adam Smith (1723-1790). Dua bukunya yang terkenal dan menjadi rujukan teori ekonomi klasik hingga sekarang ialah The Theory of Moral Sentiments (1759)  dan The Wealth of Nations (1776).

Kisah Eleanor Oliphant diterbitkan pada bulan Mei 2017 oleh HarperCollins, UK dengan judul Eleanor Oliphant is Completely Fine dan versi yang saya baca melakarkan gambar seorang wanita tanpa wajah, berbaju oren dan memakai skirt hitam. Biarpun wajahnya tidak jelas “disengajakan tanpa kepala sebagai grafik”, sebahagian rambutnya yang lurus dan latar belakang warna biru itulah sebenarnya menarik saya untuk membelinya lebih setahun lalu. Ia adalah sesuatu makna yang perlu diterokai dalam buku ini.

Saya bukanlah golongan yang ketagih membaca novel, mungkin dalam setahun hanya sekadar dua atau tiga buah. Sepanjang tahun 2020, saya hanya membaca Haruki Murakami, Colorless Tsukuru Tazaki and His Years of Pilgrimage (2013);   Antoinie de Saint-Exepury,Putera Cilik (2015) dan Gail Honeyman,Eleanor Oliphant is Completely Fine (2017). Kisah Putera Cilik saya sentuh dalam dua siri rencana (omiw.com.my)  bertajuk “Di antara Kita” (31 Oktober 2020) dan “Di antara Kita (Bhgn Akhir)”, 16 November 2020.

Gail Honeyman (lahir 1972) belajar bahasa dan sastera Perancis di University Glasgow dan meneruskan pengajian ke University Oxford dalam pengkhususan puisi Perancis. Bagaimanapun, Gail Honeyman tidak meneruskan kerjayanya dalam bidang akademik, sebaliknya memilih bekerja di pejabat dengan memilih kerjaya sebagai ahli ekonomi pembangunan sebelum bertukar sebagai pegawai tadbir di University Glasgow.

Di bahagian awal pembacaan saya, novel Eleanor Oliphant ini sedikit membosankan, dan saya sering ‘menguap’ akibat tidak banyak ‘konflik’ yang cuba ditimbulkan. Namun, setelah memasuki hampir separuh, baharulah saya dapat memahami apa yang cuba diterjemahkan oleh Gay Honeyman menerusi watak utamanya, Eleanor Oliphant, seorang wanita berkerjaya hidup dalam kesepian dan menyendiri.

Eleanor memasuki dunia pekerjaan ketika berumur 21 tahun, iaitu bekerja sebagai seorang kerani kewangan di sebuah syarikat rekabentuk grafik. Eleanor adalah seorang wanita yang cukup cerdas dan mempunyai kelulusan ijazah pertama dalam pengajian Klasik.

Kisah Eleanor bermula setelasembilan tahun beliau menekuni bekerja dengan rutin kehidupan sebagai seorang yang ‘makan gaji’. Sangat tertakluk dengan waktu bekerja (8.30 pagi dan pulang 5.30 petang), lima hari seminggu (Isnian hingga Jumaat). Saya membayangkan betapa ‘terkocoh-kocoh’nya setiap orang pekerja untuk ‘sampai awal’ dan ‘pulang lewat’; teringat pula kepada lagu yang pernah ‘menaikkan semangat dalam kebosanan rutin seharian’ dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad, ‘Punch Card’ (1982).

Waktu rehat adalah selama satu jam (tengah hari), dan tentunya, apa yang dimakan itu adalah fastfood, makanan yang ringkas dan telah sedia dimasak. Biasanya Eleanor makan sandwich yang dibelinya di High Street. Sandwich menjadi menu utamanya setiap hari bekerja. Sambil makan sandwich, Eleanor membaca akhbar The Daily Telegraph dan salah ruangan yang diminatinya ialah ‘teka silang kata’, cryptic crossword. Cukup waktu rehat, Eleanor kembali ke meja kerja dan pulang setelah tamat waktu kerja, 5.30 petang.

Perjalanan pergi dan balik Eleanor ke pejabat adalah menggunakan kenderaan awam. Situasi itu berbeza dengan apa yang kita alami di Malaysia. Kenderaan awam ‘amat menyusahkan’; ada-ada sahaja ‘terlewat jadual’ dan masalah teknikal (signal perjalanan, memberi laluan kepada kargo ataupun kereta api ekspress) serta kerap mengubah laluan perjalanan sebagaimana dihadapi oleh penggunan KTM Komuter sehingga KTM itu diterjemahkan sebagai Keretapi Terlajak Masa.

Sejak tahun 2016, ia menjadi semakin ‘gila’ apabila projek menaiktaraf dilaksanakan ‘teramat perlahan’ dan masih belum siap walaupun dah ‘terlajak masa’. Ada pelbagai masalah, termasuklah ‘dipolitikkan’ dan kelembapan kontraktor ‘take-off’, serta pengurusan KTM yang terus ‘berteriak dalam nostalgia’. Atau mungkin segila dan seburuk infrastruktur di Ghana ketika pentadbiran Kwame Nkrumah pascamerdeka. Ghana merdeka sama dengan Malaysia (1957) dan kisah buruk itu terakam dalam Ayei Kwei Armah, The Beautyful One Are Not Yet Born (1968).

Sebaik sahaja pulang ke rumah, Eleanor makan salad, pasta atau makanan yang mudah dimasak untuk makan malam. Namun, apa yang menjadi pertimbangan Eleanor ialah bukan sekadar makan, pertimbangan khasiat dan zat yang mampu memberikan dirinya kekuatan untuk bertahan hidup. Ertinya, Eleanor sangat mementingkan ‘makanan sihat’ bukan makanan yang sangat mengenyangkan sehingga boleh menyebabkan obesiti. Eleanor sangat menjaga dan menghargai ‘menu sihat’ yang lebih banyak mengandungi fiber. Sambil makan atau selepas makan, Eleanor menjalani kehidupan rutin, membaca buku atau menonton TV. Jam 10 malam Eleanor tidur, tiada masalah ‘gangguan tidur’.

Hari Rabu, terutama waktu petang Eleanor akan menelefon ibunya. Percakapan antara mereka berlangsung selama 15 minit atau lebih, bergantung kepada apa yang menarik atau situasi yang berlaku. Pada hari Jumaat, Eleanor biasanya tidak terus pulang ke rumah sehabis waktu kerja. Eleanor akan ke Tesco Metro (rangkaian pasar raya milik syarikat multinasional British yang diasaskan oleh Jack Cohen pada tahun 1919 di timur London).

Di situ, Eleanor membeli pizza margheritta (sejenis pizza yang melambangkan simbol warna bendera Itali –merah (tomato), putih (mozzarella) dan hijau (basil)—chianti (sejenis arak yang dihasilkan di Tuscany, Itali yang botolnya turut dibungkuskan dengan ‘straw basket’ dan dua botol vodka berjenama Glen (buat tempatan, iaitu Scotland) untuk santai dan makan-minumnya selama dua hari bersendirian di rumah (hujung minggu).

Dari sinilah saya mula berfikir, apakah Eleanor hanya menghabiskan hujung minggu dengan ‘berteleku di rumah’ dan kenapa tidak keluar bersama-sama sahabat atau rakan untuk ‘berhibur’ atau ‘jalan-jalan’? Ia adalah sesuatu yang lumrah bagai ‘orang bujang’. Di hujung minggu menghabiskan masa dengan ‘window shopping’ atau menonton wayang dan jalan-jalan (ke pantai mahupun pulang kampong, sekiranya kampong begitu dekat – satu atau dua jam perjalanan dengan bas).

Di situ saya merasakan Eleanor bukanlah dari jenis ‘homesick’ dan ada masalah hubungan dengan ibunya, tidak begitu ‘akrab’. Atau itu mungkin salah satu ciri budaya masyarakat barat, bila usia mencecah 21 tahun mereka bebas membuat keputusan sendiri dan menentukan haluan sendiri? Ya! Itulah kebebasan selepas ‘kunci kebebasan’ menjadi milik seorang anak. Ada perbezaan dengan budaya orang Melayu.

Meskipun sudah mencecah umur 21 tahun, ia masih belum bebas selagi tidak berkahwin, masih dalam ‘kawalan dan pengawasan keluarga’. Itulah sebenarnya ‘kesepian’ yang harus dihadapi oleh Eleanor. Telefon genggamnya tidaklah begitu ‘sesak’ dengan nada dering, hanya sesekali ada panggilan dari pejabat insuran. Paling aktif ialah ketika petang Rabu atau lewat petang, ketika bercakap-cakap dengan ibunya.

Ia berbeza dengan rutin hidup dan budaya penggunaan telefon genggam dalam masyarakat Malaysia. Talian ‘sentiasa sibuk’ manakala ‘storage’ hampir penuh akibat mesej bertalu-talu masuk dan ditambah dengan rakaman wajah syok sendiri menerusi ‘selfie’. Bahkan, waktu malam sedikit terganggu, ringtone sentiasa berbunyi sama ada mesej WhatsApp daripada kumpulan  old friend – kawan sekolah’ atau rakan sepejabat yang ada-ada sahaja perkara yang dimuatnaik walaupun ia adalah ‘sampah’ dan ‘usikan nakal’ atau ‘rasa terkilan akan sesuatu’.

Telefon genggam menjadi suatu bentuk ‘escapism’ atau kaedah ‘meruntuhkan tembok bosan’. Digambarkan bahawa Eleanor tidak begitu berminat dengan penampilan diri dan tidak lagi memotong rambut. Kali terakhir memotong rambut ialah ketika berumur 13 tahun. Eleanor tidak menyifatkan apa yang dialami itu sebagai sesuatu yang menggelisahkan, kerana semuanya adalah ‘obsolutely fine’, dan ketika berhadapan dengan komunikasi yang kurang mesra dengan rakan-rakan, disifatkan pula sebagai “underdeveloped social skills”. Teman sepejabatnya sering mengaitkan peribadi Eleanor itu seumpama lelucon Wacko Jacko (penampilan Michael Jackson yang dianggap pelik dan tidur bersama tabung oksijen) atau “Harry Porter” sebagai ‘shirkers and idiots’ (pengelak dan bodoh).

Hal seperti mungkin terbentuk kerana trauma. Eleanor ketika kecil, menghabiskan masa tingga di rumah kebajikan (foster care) dan ketika menjadi pelajar, dua tahun tinggal bersama teman lelaki yang suka bertindak kasar dan keras (abusive), sehingga beberapa kali dipukul. Dua kali setahun, pekerja sosial memantau perkembangannya. Ibunya hanya muncul sesekali, dan kerana itulah hubungannya tidaklah begitu mesra da nada ketikanya, dilihat ‘vindictive’ dan ‘manipulative’. Eleanor juga tidak mengenali secara jelas ayahnya. Itulah persoalan yang mempengaruhi pembentukan jiwa dan peribadinya, lebih menyendiri dan hidup dalam ‘kesepian’.

Kesepian itu jelas menerusi petikan berikut: You’d think that would be impossible, wouldn’t you? It’s true, though. I do exist, don’t I? It often feel so lightly connected to the earth that the threads that tether me to the planet are gossamer thin, spun sugar. A strong gust of wind could dislodge me completely, and I’d lift off and blow away, like one of those seeds in a dandelion clock” Hal 13–14.

Eleanor mula berubah apabila bertemu Raymond Gibbons, yang baharu bekerja di bahagian teknologi maklumat (komputer). Suatu petang Jumaat, ketika sama-sama pulang daripada pejabat, secara kebetulan mereka keluar pejabat pada waktu yang sama dan menuju ke arah yang sama, mereka melihat satu insiden kemalangan melibatkan seorang lelaki tua, Sammy Thom yang terjatuh di bahu jalan. Raymond menelefon ambulance meminta pertolongan, dan sikap prihatin itu telah menarik perhatian Eleanor. Kedua mereka kemudiannya mula berkawan dan menjadi semakin rapat.

Eleanor juga dikatakan mula menjaga penampilan diri. Mula memakai pakaian cantik dan melakukan ‘personal grooming’, dan mengunjungi kedai kecantikan Bobby Brown, mempelajari teknik mengenakan ‘make-up’. Situasi itu mengingatkan saya kepada perubahan yang berlaku ke atas guru dan pelajar di sebuah sekolah ‘yang dianggap ketat disiplin dan mengawal penampilan’ apabila hadirnya seorang guru sains lelaki bernama Che Gu Azmin. Sekolah khusus untuk perempuan itu tidak pernah menerima guru lelaki. Sebuah sekolah berasrama penuh, iaitu Institut Seri Ilmu dan penggambaranya dilakukan di Sekolah Seri Puteri, Jalan Kolam Air, Kuala Lumpur.

Semenjak kehadiran Azmin (Dharma Harun Al-Rashid), Cik Gu Bedah (Adibah Amin) sudah pandai mengenakan gincu dan berbedak, yang kemudiannya menimbulkan sedikit konflik bila cemburukan Cik Gu Sharina (Nor Kumalasari) yang mendapat perhatian Che Gu Azmin. (saya sengajakan bezakan ejaan, Cik Gu merujuk kepada guru perempuan manakala Che Gu merujuk kepada guru lelaki, bukan menentang kesetaraan gender). Itu berlaku dalam filem Adik Manja (arahan Othman Hafsham pada tahun 1980) yang cukup hebat dan menjadikan ia sebuah filem ‘pecah panggung’ (selama 14 tahun) sebelum berjaya dipecahkan oleh filem Sembilu (arahan Yusuf Haslam) pada tahun 1994.

Secara jelasnya, unsur kebetulan adalah sesuatu yang sangat mempengaruhi. Kebetulan kerana insiden, ketika mereka berdua berjalan di arah yang sama dan pada masa yang sama, menjadikan Eleanor kembali berputik nilai ‘cinta’, yang dikategorikan sebagai salah satu ‘kehendak asasi manusia’ dalam teori hierarki keperluan manusia Abraham Maslow (1908-1990). Biarpun ia berlaku secara tidak sengaja, Raymond adalah sebahagian daripada perubahan peribadi Eleanor walaupun ada yang menyifatkan seumpama kisah cinta komedi Disney.

Sebenarnya, jika ingin mencari ‘kisah cinta’ yang melankolik dan penuh ‘ghairah’, tidak kita ketemui dalam novel ini. Apa yang berlaku ialah Eleanor merasai pengalaman pertama dalam hidupny, iaitu sama-sama menolong seorang lelaki lanjut usia. Eleanor menjadi seorang yang sangat berjiwa penyayang, sentiasa mengunjungi lelaki tua itu di rumah sakit walaupun, Sammy bukanlah ahli keluarganya. Juga, menerusi ‘persahabatan itu’ Eleanor semakin menjadi terlewat menghubungi ibunya pada setiap petang Rabu, demi menjengok Sammy di hospital.

Juga apa yang kita dapati, walaupun anak dan ibu mempunyai rutin bercakap menerusi telefon setiap petang Rabu sebelum Eleanor bertemu Raymond dan menjengok Sammy di hospital’, percakapan dan perhubungan itu tidak membaiki ‘hubungan tidak mesra’ ibu dan anak. Masih banyak perkara yang perlu digelidah, termasuklah apa yang disuarakan.

Don’t you go getting side tracked, now, Eleanor — don’t go ignoring Mummy, will you? Oh, you think you’re so smart now, don’t you, with your job and your new friends. But you’re not smart, Eleanor. You’re someone who lets people down. Someone who can’t be trusted. Someone who failed. Oh yes, I know exactly what you are. And I know how you’ll end up. Listen, the past isn’t over. The past is a living thing.Those lovely scars of yours — they’re from the past, aren’t they? And yet they still live on your plain little face. Do they still hurt?” Hal 122. Seperti berlaku  mental abuse dalam jiwa si ibu, dan juga Eleanor dalam halaman seterusnya.

Eleanor pernah mengalami ‘halusinasi’ bila begiu kagum dengan keindahan bait-bait lagu nyanyian Johnnie Lemmon. Suatu hari, Eleanor memenangi tiket untuk menyaksikan konsert Johnnie, dan mula percaya diri (perasaan) bahawa Johnnie ‘menyintai’nya kerana memenangi tiket konsert tersebut. Setibanya di tapak konsert, Eleanor terpaksa bersesak dalam kerumunan sehinga perasaan, kehadirannya tidaklah dianggap istimewa seumpama ‘love of [her] life’ dan ‘material husband’.

Mula menjadi pengagum tegar, menjejaski twitter Johnnie, dan sesekali mengunjungi rumah di mana Johnnie tinggal. Ia bukan sesuatu yang luar biasa, hal yang sama turut berlaku dalam jiwa sebahagian anak muda Malaysia yang kecanduan hiburan dan sangat memuja seseorang selebriti. Bahkan, ada yang lebih dahsyat daripada itu. Ada yang sanggup ‘mati’ dan hanyut bersama ‘dadah’ hanya kerana hanyut dalam alunan muzik dan sebuah ekstasi hiburan. Akibat kecewa, Eleanor kecewa dan akhirnya mengambil ‘pil tidur’ sehingga jiwanya terganggu dan mengancam ‘membunuh diri’.

Setelah beberapa hari Eleanor tidak ‘masuk kerja’, Raymond yang menjadi ‘sahabat’ dihantar oleh majikan untuk mengetahu apa yang sedang berlaku.  Setibanya di rumah pangsa yang disewa oleh Eleanor, Raymond mendapati Eleanor dalam keadaan tidak terurus, kotor dan begitu comot manakala wajahnya begitu pucat, kusam dan menjengkelkan. Raymond membantu ‘membersihkan’ Eleanor dan seterusnya menguruskan proses pemulihan. Raymond menziarahi Eleanor secara kerap, termasuk membawa menemui psikiatari, bagi membantu pemulihan semangat untuk meneruskan hidup. Raymond turut menghadiah seekor kucing yang ‘berhijrah’ ke tempat kerja mereka sebagai teman buat Eleanor.

Setelah kembali pulih, Eleanor kembali ke pejabat. Pada saat Eleanor dikatakan pulih, perhubungan telefon dengan si ibu telah diputuskan. Eleanor mula sedar bahawa perhubungan telefon, berbual-bual dengan ibunya hanyalah ‘halusinasi’. Eleanor kembali mengingatkan beberapa peristiwa ‘tragis’ dalam hidupnya.

Ketika berusia 10 tahun, ibunya telah membakar rumah bagi membunuh dan adik perempuannya yang berusia empat tahun, Marianne. Bagaimanapun, ibu dan Marianne terkorban. Eleanor terselamat, dan kemudiannya ditempatkan di rumah kanak-kanak. Eleanor membesar di rumah kebajikan dan itulah sebabnya ia tumbuh sebagai seorang wanita sepi serta gemar bersendirian.

Ada trauma – cubaan membunuh (bakar rumah), dikasari oleh teman lelaki dan paling besar ialah kehilangan kasih sayang keluarga, membesar bersama rakan-rakan di rumah kanak-kanak dan rumah kebajikan. Imajinasi ‘perbualan telefon’ setiap lewat petang Rabu itu adalah gambaran betapa perlunya Eleanor kepada seseorang sebagai teman untuk ‘berbual-bual’ dan ‘melepaskan rasa rindu’.  Kerana itulah memungkinkan Eleanor ‘mencipita ruang bicara lewat telefon’ seolah-olah ibunya sentiasa hidup meskipun sudah lama mati.

Ada yang beranggapan bahawa watak Eleanor itu mewakili diri pengarangnya, Gail Honeyman ketika diwawancara oleh seorang wanita berusia 20 tahun. Dalam kehidupan peribadi, Gail pernah dilaporkan tidak akan berhubung dengan sesiapa antara petang Jumaat hinggalah dia kembali ke pejabat pada pagi Isnin. Gail pernah ‘mengurung diri’ di kediamannya sepanjang dua hari di hujung minggu.

Mungkin kerana ingin menyatakan kepada umum bahawa ada banyak orang yang mengalami hal seperti itu, Gail menulis “I felt that I might die of loneliness. People sometimes say that they might die of boredom, that they’re dying for a cup of tea, but for me, dying of loneliness is not hyperbole” Hal 231.

Saya melihat fenomena sedemikian adalah perkara yang sudah bermula sejak manusia menjadi semakin individualistik dan ‘hamba’ kepada pola ekonomi. Fenomena itu telah merosakkan ‘rantai kekeluargaan’, hubungan peribadi dan pembentukan sahsiah diri. Manusia semakin hilang sifat sosialnya, walaupun masih percaya sebagai ‘makhluk sosial’. Realitinya, kesepian dan kesunyian begitu membarah. Maka, tidak hairanlah semakin ramai manusia terpaksa ‘sunyi dan sepi’ bahkan bilangan mereka yang mati dalam situasi seperti itu semakin bertambah.

Ia adalah suatu fenomena yang sedang membarah di Jepun dan Korea Selatan, kerana ‘hidup sendirian’ pada ketika ‘usia lanjut’ sudah tidak dapat dielakkan. Lebih menyayat hati ialah ‘mati sepi’ akibat penceraian dalam usia lanjut (setelah bersara) keranan tekanan semakin meningkat. Ia mengingatkan saya kepada lagu “Mati Sepi Sendirian” dalam single Musikawan (2018). Di Jepun, mati sepi sendirian dinamakan kodokushi. Ia semakin membimbangkan dan dianggarkan ada lebih 30,000 kes setahun (Astro Awani, 1 Disember 2017).

Tulis Gail Honeyman, “These days, loneliness is the new cancer — a shameful, embarrassing thing, brought upon yourself in some obscure way. A fearful, incurable thing, so horrifying that you dare not mention it. Other people don’t want to hear the word spoken aloud for fear that they might too be afflicted, or that it might tempt fate into visiting a similar horror upon them” Hal 232. Jadi, itulah yang dihadapi dan intrig yang berlaku dalam diri Eleanor sebelum menjalin hubungan mesra dengan Raymond.

Cerita berakhir dengan secuit kenangan, selepas menikmati makan tengah hari, Eleanor dan Raymond menonton sebuah konsert muzik klasik.  Selepasnya, mereka pulang ke rumah dan ketika perpisahan berlaku, mereka berpelukan, masing-masing ‘bercium pipi’. Ia bagaikan satu kemuncak hasil metamorphosis, dari ‘hari yang buruk’ kepada sebuah ‘harapan’ dan ‘damai. Dan, itulah yang agaknya Gail Honeyman menyatakan semuanya ‘completely fine’ buat Eleanor. Sesuatu perkara yang amat alami, gembira (happiness) selepas segala kesukaran (pain) berlalu. Namun, yang penting ialah ‘seseorang’ yang mampu ‘membuka jalan’ untuk menuju ke situasi itu.

Hubungan dengan Raymond, Eleanor belajar erti ‘persahabatan’ dan perlunya ‘kasih sayang’ manakala insiden Sammy mewakili makna ‘nilai kemanusiaan’ adalah lebih penting daripada apa pun dalam hidup seseorang. Teladan Raymond, membantu Sammy ikut membina ‘rasa sayang’ dan ‘prihatin’, seolah-olah dinamit buat Eleanor walaupun akhir novel tidak diketahui sejauh manakah persahabatan itu kekal bertumbuh menjadi pasangan yang bahagia,

Novel ini sebenarnya sudah mendapat ulasan lebih 750,254 pembacanya (menurut data Goodreads sehingga ulasan ini dibuat – 4 Januari 2021). Difahamkan bahawa sambungan kisah Eleanor Oliphant sedang diusahakan dan dijangka akan terbit bulan September 2021. Kisah pertama Eleanor itu sudah terjual lebih dua juta naskhah di seluruh dunia. Walaupun Eleanor adalah novel pertama, Gay Honeyman sudah dianugerahkan (1) Costa Novel Award (2017); (2) Best Fiction 2020 (Goodreads Choice); (3) British Debut Award 2018 dalam kategori Debut Book of the Year dan Overall Winner (pilihan pembaca); dan (4) Audie Award Fiction (2018) selepas diaudiokan oleh Cathleen McCarron (Pengiun Audio).

Kamarun KH

Translate »