Tahun 2020 telah meninggalkan kita dalam episod politik Malaysia penuh caca marba. Permulaan tahun 2020 kita sambut dengan rasa sinis kerana Wawasan 2020 yang dilakarkan oleh Dr Mahathir pada 28 Februari 1991 secara sahnya tidak mencapai matlamat. Ketika kemenangan PH dizahirkan menerusi peti undi, ekonomi Malaysia berkembang dalam jajaran 5 peratus tetapi akhirnya merudum sekitar 4 peratus oleh ‘gelongsor’ dan politicking dalam Pakatan Harapan sehingga enam bulan pertama penuh ‘kerakusan menghina’ kepimpinan dan pengurusan kerajaan terdahulu.

Mujurlah tahun 2020 diterima sebagai tahun yang ‘cukup tersiksa’ dengan wabak COVID-19 di seluruh dunia. Ia bukanlah sahaja menjadi faktor ekonomi menjadi lemah di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Dr Mahathir yang kembali berkuasa selepas 15 tahun bersara, menyalahkan dasar ‘perang perdagangan’ yang dilaksanakan oleh Donald Trump sebagai faktor merosotnya ekonomi negara, sedangkan selama 22 bulan pentadbirannya, tidak ada fokus ekonomi yang jelas dan komprehensif untuk ‘membaiki Malaysia’.

Daim Zainudin, bekas Menteri Kewangan kesayangan Dr Mahathir, yang kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan juga turut merungut mengenai apa yang berlaku ketika PH memerintah. Menurut Daim, enam bulan pertama ‘adalah mencukupi untuk belajar’ tetapi jika belum memahami tanggungjawab sebagai menteri selepas ‘enam bulan’ adalah sesuatu yang tidak patut, atau melampau.

Memang itulah perkara yang menukarkan euforia rakyat terhadap Pakatan Harapan. Janji 100 pertama tidak dapat ditunaikan sepenuhnya, bahkan penggantian kaedah percukaian lama (SST) setelah GST dilihat ‘punca kenaikan harga barangan’ tidak menunjukkan hasilnya dengan lebih baik. Harga barangan terus meningkat, maka berkatalah beberapa menteri, akibat kedegilan para peniaga ‘menurunkan harga’ dan rakyat tidak perlu lagi mengharapkan ‘bantuan kerajaan’.

Untuk itu, rakyat disarankan mengikat perut dan berikan masa lebih panjang untuk PH merombak atau memperbaikinya. Semuanya tidak menjadi, kerana terlalu sibuk untuk berteka-teki ‘proses peralihan kuasa’ hingga akhirnya, satu perhimpunan di Hotel Sheraton memalukan Dr Mahathir yang dianggap mampu melakukan yang terbaik atas pengalamannya selama 22 tahun sebagai perdana menteri tiada lagi ‘sentuhan ajaib’.

Apa yang diutarakan olehnya, tidak lagi disambut dengan ‘dada terbuka’ da nada ketikanya disanggah sebagai seorang tua yang sibuk membina laluan untuk meletakkan anaknya, Mukhriz dalam kelompok elit kuasa teratas, dan kerana itu, tidak menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim walaupun bertekad, tidak memungkiri janji dan Anwar sangat percaya sehingga sanggup berkata “Dr Mahathir boleh sahaja menjadi Perdana Menteri” dan ‘boleh tentukan masanya yang sesuai”. Dia tidak tergopoh gapah, yang penting ialah proses peralihan kuasa berjalan dengan baik dan berlangsung secara harmoni.

Ia tidak menjadi sebagai suatu petunjuk keharmonisan politik dalam PH. Ia membangkitkan ‘sendu dan kemarahan’, krisis yang berpanjangan sehingga kini, pelbagai sindiran, ejekan dan lelucon politik memasuki urat nadi setiap rakyat Malaysia, makin lama makin dilihat ‘amat pedih’ dan ‘menyiksakan’. Dr Mahathir memberi amaran, PH tidak akan mendapat sambutan daripada orang Melayu jika dirinya tidak memimpin semula PH Plus, sedangkan Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang sudah hilang keyakinan rakyat.

Defisit keyakinan rakyat terhadap Anwar telah beberapa kali timbul akibat kegelojohannya sendiri. Sebaik sahaja menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, Anwar cuba membersihkan penyokong-penyokong Azmin sehingga turut memberikan kesan ke atas anak perempuannya sendiri. Nurul Izzah menolak pelantikan sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang (Majlis Pimpinan Negeri) dan hanya akan kekal sebagai wakil rakyat Permatang Pauh dan Ketua Cabang Permatang Pauh (surat Nurul Izzah bertarikh 17 Disember 2018).

Nurul Izzah juga meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR. Komen ayahnya, Nurul Izzah meletakkan jawatan kerana tidak boleh menerima isu ‘lompat parti’ manakala Dr Mahathir berkata, tindakan Nurul Izzah itu ‘ada sebab-sebab tertentu’. Ertinya, antara Anwar dan Nurul Izzah ada perbezaan yang jelas tentang budaya politik, dan dia bukan lagi seperti Nurul Izzah yang pertama kali menang di Lembah Pantai dalam PRU ke-12 (2008).

Wawasan 2020 adalah kerangka pembinaan Malaysia yang diutarakan oleh Dr Mahathir bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baharu (1970-1990) yang dirangka pada zaman Tun Razak. DEB mengambil masa 20 tahun untuk menyasarkan pemilikan ekuiti Bumiputera sekitar 30 peratus, tetapi Wawasan 2020 mengambil masa selama 30 tahun untuk melangkah ke negara maju. Permulaan Wawasan 2020 cukup menarik, tetapi semakin lama semakin pudar kerana Dr Mahathir sendiri lebih mengutamakan ‘kemajuan fizikal’ daripada psiko-sosial masyarakat yang boleh menatijahkan konsep ‘bangsa Malaysia’.

Walaupun beliau berjaya menukarkan bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia, persekitaran budaya dan hubungan kaum tidak memaknakan ‘bangsa Malaysia’ yang sebenar, muncul pelbagai konflik perkauman (misalnya insiden Kampong Medan 4 hingga 13 Mac 2001), penolakan Sekolah Wawasan, autoriti Raja-Raja Melayu dan pelecehan agama Islam serta institusi Islam. Hal ini semakin menjadi-jadi ketika PH berkuasa selama 22 bulan.

Tahun 2020 menutup tirai dengan kegagalan Wawasan 2020 dan sebelumnya, Dr Mahathir mahu melanjutkan wawasan itu untuk tempoh 10 tahun lagi (2030) dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2021-2030. Juga, berhasrat untuk kembali menjadikan Malaysia sebagai ‘harimau Asia’ yang pernah dijolokkan oleh John Naisbitt dalam Megatrends Asia (1996) sebelum Asia diserang oleh krisis kewangan (1997).

WKB dengan jelas adalah satu bentuk kerangka pembangunan yang juga mungkin tidak berjaya sebagaimana Wawasan 2020. Kalau DEB gagal kerana sikap dan elit politik Melayu, Wawasan 2020 juga gagal disebabkan ‘kealpaan Dr Mahathir’ sendiri untuk membina asas yang kuat terhadap sosiopolitik dan budaya rakyat. Beliau yang terkenal dengan nepotisme dan kronisme telah melahirkan crony-capitalism selepas Wawasan 2020 diinterpertasikan dalam pelbagai pendekatan pembangunan negara, termasuklah menekankan perihal penswastaan, persyarikatan Malaysia dan memperkuatkan mitos “Melayu Malas”. Sepatutnya beliau tidak melakukan perkara tersebut dan lebih menumpukan kepada pembinaan modal insan yang lebih kreatif, berdaya saing dan keperluan kepada pengembangan pendidikan teknik, vokasional dan kemahiran.

Banyak perkara yang dilakukan oleh Dr Mahathir tidak menyokong kepada perubahan bentuk sistem pendidikan, sebaliknya, lebih mengutamakan kepada pendidikan bersifat akademik. Ia kemudiannya telah mengubah dasar pendidikan sains dan sastera. di mana sebahagian besar sekolah-sekolah menengah tidak lagi berkembang sebagai Sekolah Sains dan menjadi semakin lemah apabila memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Kesan pelaksanaan PPSMI, lebih ramai pelajar luar bandar tidak menguasai bidang sains dan matematik akibat kelemahan menguasai bahasa Inggeris. Bahkan, dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, guru-guru juga mempunyai kelemahan mengajar mata pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris. Ekoran daripada itu, PPSMI dimansuhkan ketika Tan Sri Muhyiddin menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan dan juga Timbalan Perdana Menteri. Beliau memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (keputusan Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai sesi persekolahan 2012).

Isu itu kemudian menjadi semakin malap selepas Tan Sri Muhyiddin dipecat sebagai Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri. Sepatutnya, pada tahun 2021 semula proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Ia tidak dapat dilaksanakan kerana KPM turut memperkenalkan Dual Language Prorgamme di kelas-kelas tertentu dan sebahagian sekolah setelah mendapat kebenaran KPM dan persetujuan ibu bapa. Ini bermakna, proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah arus perdana masih dilaksanakan dalam dwi-bahasa.

Sekolah-sekolah jenis kebangsaan akan terus belajar dalam bahasa ibunda mereka (Tamil dan Mandarin). Sekolah-sekolah vernakular terus dibenarkan bahkan muncul pula sekolah-sekolah menengah vernakular (Mandarin) yang lebih banyak, termasuk Institut Pendidikan Tinggi Swasta yang mengutamakan bahasa selain bahasa kebangsaan (termasuk cawangan universiti dan koleh universiti daripada China, Australia, Britain dan sebagainya). Kalau dahulu, hanya ada program berkembar dengan universiti luar negara (2+1 atau 3+1), kini berkembang sepenuhnya 100 peratus di Malaysia tanpa ada kewajiban untuk lulus dan belajar bahasa kebangsaan sebelum bergraduat. Sebab itulah sistem pendidikan di Malaysia terus dilihat tidak menyumbang kepada sosio-budaya yang kuat kepada penyemarakan nilai dan budaya penyatuan kaum yang jelas.

Tahun 2020 akan menutup ‘huru-hara politik’ yang sangat memilukan rakyat Malaysia atas penyimpangan makna politik itu sendiri kesan daripada percaturan antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim. Setelah PH terlucut kuasa, dua pemimpin tersebut yang sangat banyak kesan politiknya dalam masyarakat tidak lagi dianggap sebagai ‘ahli politik’ yang berwibawa. Anwar akan terus dilabelkan sebagai seorang calon PM yang amat ‘gila nombor’ manakala Dr Mahathir adalah seorang bekas Perdana Menteri yang berusaha menonjolkan dirinya sebagai perdana menteri seumur hidup. Bayangkan, ketika meletakkan jawatan (24 Februari 2020), terus menyalahkan Muhyiddin dan kelompok Azmin kerana menganjurkan perhimpunan di Hotel Sheraton. Tidak ada pengakuan yang jelas, sebab utama peletakan jawatan itu adalah kerana kegagalannya dalam menjadikan PH sebagai ‘kuasa politik’ yang berkesan dan boleh diterima sehingga ke akhir tempoh pemerintahan selama sepenggal.

Kalau Dr Mahathir boleh membina kedudukan yang kuat selama 22 tahun, bererti legasinya telah merudum dalam tempoh 22 bulan sebagai PM ke-7. Dr Mahathir akan dikenang sebagai tokoh yang gagal dan ia telah menghapuskan sedikit sebanyak ‘karisma’ dan ‘keharuman’ legasinya selama 22 tahun ini. Hari ini semakin ramai ‘kuda-kuda politik’ nya bangun mempersoalkan apa yang dilakukan sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri ke-4 sehingga negara menanggung kerugian berkali ganda daripada dakwaan terhadap Najib salah guna wang 1MDB.

Kisah ‘bail-out’ dibangkitkan semula, kerugian BNM berniaga mata wang asing, kisah pemindahan MAS kepada Tajudin Ramli bagi ‘mengambus kerugian BNM dalam FOREX’, faraid aset kerajaan (GLC dan GLic) kepada individu tertentu, kisah ‘black-out’ seluruh negara 1995 sebagai rancangan membina kroni menerusi Penjana Tenaga Bebas (IPP), harga maruah yang terlalu mahal (pembinaan KLCC yang tiada lagi penyertaan peniaga Bumiputera), Daya Bumi (semakin menjadi bangunan gajah putih di tengah kota raya), politik wang yang sudah bermula di zaman beliau adalah presiden UMNO (1981-2003).

Tahun 2020 melengkapkan Anwar dengan kisah empat gagal mengangkat sumpah sebagai PM. Kegagalan pertama ialah tahun 1998 apabila disingkirkan oleh Dr Mahathir, yang kemudiannya, bertekad sehabis tenaga untuk menukarkan kerajaan menjelang 16 September 2008. Kegagalan ketiga ialah ketika Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM ke-7 kerana beliau tidak dinamakan sebagai pengganti, yakni PM ke-8. Kegagalan keempat ialah selepas mengadap Yang di Pertuan Agong tidak dapat membuktikan mempunyai angka yang cukup menyakinkan.

Akibatnya, jika benar ada pemimpin UMNO bersedia bersengkongkol untuk menerima Anwar sebagai perdana menteri, maka persengkongkolan itu telah pecah berderai. Zahid Hamidi yang disebut-sebut akhirnya mengambil keputusan untuk terus menyokong Muhyiddin sekurang-kurangnya untuk menghampiri PRU ke-15. Anwar nampaknya semakin jauh daripada capaian angan-angannya. Akibatnya, tahun 2020 akan dikenang sebagai tahun ‘jatuh tangga’ sebanyak tiga kali. Kali pertama ialah desakan agar Dr Mahathir menyerahkan kuasa sebelum 10 Mei 2020 sebagai igauan yang ngeri kerana 24 Februari 2020, namanya tidak disebut-sebut sebagai pengganti.

Kali kedua, Dr Mahathir mengemukakan cadangan lain, yakni Shafie Afdal sebagai calon perdana menteri dan Anwar ‘kebingungan’ dengan lantunan itu. Anwar kembali menggunakan suara PKR yang semakin sumbang, bahawa dirinya adalah calon yang paling layak seperti beliau lakukan ketika juak-juaknya melabelkannya sebagai ‘pemimpin yang lulus ujian’ dan ‘anugerah terbaik dari Tuhan’. Kali ketiga ialah bila tidak cukup nombor dan pada pembentangan RUU Perbekalan 2021, Anwar tewas lagi dengan tiga undi. PN berjaya mendapatkan sokongan 111 wakil rakyat manakala PH Plus hanya mampu mengumpul sekadar 108 undi.

Ketika di peringkat dasar, pendirian Anwar dibelasah oleh PH sendiri sehingga ada yang mendesaknya melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang. Di peringkat Jawatankuasa, yang diharapkan dapat ‘menjejaskan kedudukan Muhyiddin’ tidak kesampaian kerana suara Ketua Pembangkang tidak cukup kuat menolak PN. Dalam sistem demokrasi, kata Dr Mahathir, kemenangan majoriti satu undi pun sudah cukup untuk memberikan kuasa kepada seseorang.

Itulah yang dapat kita telusuri siapakah sebenarnya ‘gila kuasa’. Senario itu mengilustrasikan yang paling ‘gila kuasa’ ialah mereka yang terlucut atau hilang kuasa, iaitu PH Plus. PH Plus setiap hari meroyan dan mengigau sehingga kadangkala terlupa, mereka terlucut kuasa bukan kerana adanya rampasan kuasa. Apa yang berlaku di Hotel Sheraton pada 23 Februari 2020 adalah satu pemuafakatan agar Dr Mahathir sedia merombak kabinetnya, termasuk mengetepikan DAP dan menjalin kerjasama dengan parti-parti dalam ‘kelompok Melayu’ kerana PH semakin menipis ‘kemelayuan’nya (perhatikan semula kenyataan Dr Mahathir ketika berucap di Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor pada 6 Oktober 2019).

Kongres tersebut membangkitkan kemarahan DAP dan Anwar kemudiannya membalas dengan sindiran bila juak-juaknya menganjurkan pula Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia pada 26 Oktober 2019 di Pusat Konvensyen Bangi (anjuran ABIM, Wadah Percerdasan Ummah (Wadah)  dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia). Hal yang sama pernah berlaku antara Anwar dan Dr Mahathir dalam memperkatakan Nilai-Nilai Asia pada tahun 1990-an. Anwar yang cenderung kepada retorik falsafah kebudayaan berusaha memperkenalkan konsep Renaisanse Asia manakala Dr Mahathir yang cenderung etos kerja masyarakat Jepun dan Korea mengistilahkannya sebagai Nilai-Nilai Asia. Antaranya, saling bergeser dan tidak menghasilkan kesepaduan makna. Akhirnya, antara mereka sering timbul perbezaan pandangan dan kenyataan menghina secara sinikal dalam lelucon politik.

Tentunya, tahun 2021 diharapkan lanskap politik Malaysia akan menjadi lebih baik kalaupun tidak berlaku PRU ke-15. Selagi negara belum dapat memutuskan rantaian COVID-19, selagi itu rakyat mengharapkan PN akan kekal mempertahankan kuasa yang diperolehinya secara berperlembagaan. Biarpun Muhyiddin melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin sedar bahawa kedudukannya tidak cukup kuat. Kedudukan boleh jadi ‘meloncat turun’ sekiranya UMNO terus ‘berperang’ dan mengakhiri ‘gencatan senjata’. Sebab itulah pemimpin-pemimpin Bersatu tidak sepatutnya mengeluarkan ‘kenyataan sombong dan besar kepala’ sebab kedudukan Bersatu tidaklah sekuat UMNO dari perspektik jumlah kerusi.

Bersatu hanya mendapat sedikit kekuatan daripada ‘politikus katak’ dan mereka ini tentunya akan direjam dalam PRU ke-15 sekiranya terus bermain ‘hantu’. Katak-katak ini sebenarnya memperoleh kemenangan atas tiket UMNO, maka tidak memperlihatkan ‘adab politik yang biadab’ dalam tindakannya mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu. Ramai rakyat yakin, antara Bersatu dan UMNO, kededuanya saling memerlukan untuk kelangsungan politik Melayu-Islam, bukan terus bercakaran. Ia bukan sahaja merugikan kuasa politik Melayu-Islam bahkan akan menampakkan bahawa Melayu-Islam itu sendiri tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara, Mereka hanya berusaha untuk menjayakan kemahuan peribadi yang berselindung di sebalik slogan dan retorik ‘perjuangan untuk bangsa, agama dan tanah air’.

PAS memang telah lama diketahui tidak konsistennya perjuangan mereka, sebaliknya lebih bergayut kepada retorik agama. Bayangkan ketika dalam BN (1974-1977), PAS mengkhianati pemuafakatan sehingga menyebabkan UMNO mengambil keputusan menamatkan keanggotaannya. Ketika bertahaluf siyasi dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, PAS mula merasakan keangkuhan DAP. Akhirnya PAS membuat keputusan menamatkan tahaluf siyasi dan enggan bermuafakat dalam Pakatan Harapan. Selepas hanya menang 18 kerusi Dewan Rakyat (PRU ke-14), PAS tidak berdaya menjadi ‘king maker’ mula bekerjasama dengan UMNO (dan BN) membentuk Muafakat Nasional (14 September 2019). Setelah mendapat kedudukan dalam kabinet PN, PAS mula ‘mengigau’ dan membelakangkan UMNO. UMNO dan PAS tidak lagi bersefahaman dalam sokongan menubuhkan Perikatan Nasional. Ia menimbulkan ‘konflik’ dalam Muafakat Nasional.

Akhirnya, PAS tetap menyokong Perikatan Nasional membentuk gagasan politik yang sah. UMNO tidak bersetuju, kerana kerjasama dalam Perikatan Nasional hanya untuk tempoh sebelum PRU ke-15. Diharap tahun 2021, sebelum PRU ke-15 persengketaan itu dapat diselesaikan. Ia umpama menarik rambut di dalam tepong, tepong tidak teburai dan rambut tidak putus. Jika ini dapat dilakukan, ia akan mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam dan tentunya, DAP akan segera perlu menukarkan strateginya, termasuk kemungkinan mengetepikan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim, kerana mereka inilah sebenarnya telah banyak ‘menghuru-harakan politik Malaysia’.

Namun, apa yang dimahu oleh sebahagian besar pengundi ialah memperlihatkan lebih ramai aktivis politik yang lebih ‘bersih’ dan kerana itu, ramai mengharapkan pemimpin-pemimpin yang masih terpaksa memikul ‘bagasi yang berat’ wajar berundur.

Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sudah dicabar oleh ahli DAP sendiri agar berundur dan memberikan laluan kepada pemimpin baharu. UMNO juga perlu bertindak merehatkan pemimpin yang sedang memikul bagasi kerana selagi mereka dikekalkan, defisit keyakinan akan terus merudum dan mungkin boleh hilang secara jelasnya di beberapa kawasan, termasuk kawasan yang dikatakan sebagai ‘kubu kuat seseorang’. Pengundi muda semakin ramai memasuki ‘gelanggang pemilihan’ dan mereka ini kurang tertarik dengan ‘balas budi kepada seseorang’ kerana mereka lebih mahukan perubahan yang dapat memenuhi kehidupan mereka, termasuk ruang kerjaya yang lebih baik, peluang pekerjaan yang lebih besar dan kehidupan yang lebih baik.

Kini, mereka sedang tersepit dengan kesukaran ekonomi, beban sosial yang dicaturkan oleh pemimpin politik yang taksub dengan ‘pengekalan kuasa’ dan ‘ingin terus berkuasa’ seolah-olah mencemek bila ada orang tua menyeru ‘berundurlah’ sebelum ‘tuan dan puan diundurkan’ secara mengejut, mengundi calon lain yang pada pandangan mata kasar adalah begitu ‘low profile’ atau bukan ‘warlords’, meskipun hanya bertanding atas tiket bebas.

Tahun 2020 disulami rasa sengsara                                                                                              Tahun 2021 bersama membina harapan                                                                               Pemimpin bermasalah perlulah dibersara                                                                                        Agar masa depan disimbahi sinaran

 

 

MONOSIN SOBRI

Translate »