SETIAP 31 Disember, ramai dalam kalangan kita yang menunggu detik bermulanya tahun baharu. Maka, di situ juga bermulanya semangat baharu berserta azam yang ingin dicapai.

Islam mengajarkan kepada kita bahawa setiap hari merupakan satu anugerah yang tidak terhingga kerana dengan izinNya kita dapat hidup dan menjalani kehidupan kita dengan baik.

Selaku umat Islam seharusnya kita sedar bahawa tahun baharu bukan hanya sekadar tentang perubahan waktu tetapi persoalan yang paling penting adalah berapa banyak ketaatan kita kepada Allah yang telah dilakukan?

Terdapat banyak kenikmatan yang kita dapat dalam sehari-hari mengenai nikmat kehidupan, nikmat kesihatan, nikmat pendengaran, nikmat penglihatan, nikmat kedua tangan dan kedua kaki, nikmat udara air serta nikmat makanan.

Dengan kita mengetahui dan merasai nikmat-nikmat diatas akan menjadikan manusia itu sentiasa dalam keadaan bersyukur pada setiap waktu dan saat. Firman Allah didalam Surah An-Nahl ayat ke 53:

Maksudnya: Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allahlah ia datang.

Rasulullah sebaik hamba yang bersyukur

Baginda Rasulullah sentiasa mensyukuri segala apa yang Allah kurniakan dalam setiap keadaan sehinggakan isteri baginda Rasulullah pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai perbuatan baginda yang mengerjakan ibadah sehingga pecah tumit kakinya sedangkan Rasulullah telah dijamin oleh Allah di ampunkan dosa baginda yang terdahulu dan yang akan datang. Maka sabda baginda Rasulullah:

Ertinya : bukankah aku perlu menjadi hamba yang banyak bersyukur?. [HR Bukhori 6471]

Keutamaan bersyukur

Allah akan memberikan balasan kenikmatan yang berlipat kali ganda kepada orang-orang yang sering bersyukur kepadanya dalam apa jua keadaan sama ada senang ataupun susah.

Ramai pada hari ini yang akan bersyukur apabila mendapat nikmat akan tetapi akan mengecam apabila mendapat sebaliknya. Iblis sentiasa berusaha menyesatkan manusia agar supaya manusia tidak mensyukuri nikmat Allah. Firman Allah didalam Surah Al-A’raf ayat ke-16:

Maksudnya: Iblis menjawab : “kerana engkau telah menghukum aku tersesat, maka aku benar- benar akan menghalang mereka dari jalan engkau yang lurus”.

Jalan yang lurus seperti kata pengarang kitab Tazkiyah Al-Nafs oleh Sa’id Hawa ialah syukur kerana syukur merupakan maqam yang tinggi.

Orang yang bersyukur merupakan sifat orang-orang yang bertakwa. Firman Allah didalam Surah Al-Imran ayat ke 123:

Maksudnya: Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya.

Setiap orang yang beriman pasti akan memulakan kehidupan dengan ungkapan Alhamdulillah. Jika tidak mensyukuri segala nikmat pemberian Allah maka tidak ada keredhaan Allah padanya.

Perkataan syukur hendaklah dimulakan dari awal-awal pagi ketika bangun dari tidur seperti mana yang diajarkan baginda Rasulullah kepada kita untuk berdoa:

Ertinya: Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah mati (membangunkan kami dari tidur) dan hanya kepadaNya kami dikembalikan.

Kemudian, kita akan bangun untuk mengerjakan Solat Subuh dimulakan dengan bacaan Surah Al- Fatihah dan di dalamnya kita memuji-muji Allah dengan permualaan ayat: Alhamdulillah.

Inilah tanda-tanda orang yang menghargai pemberian Allah dan kita perlulah berusaha pada hari itu dengan sebaik mungkin dalam melaksanakan ibadah kepada Allah seperti mana kita bersyukur dipagi hari.

Keistimewaan bersyukur

Setiap hamba-hambaNya yang bersyukur maka Allah akan menambah dan diberikan balasan kenikmatan. Firman Allah didalam Surah Al-Imran ayat yang ke 145:

Maksudnya: Dan kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.

Firman Allah lagi didalam Surah Ibrahim ayat ke-7:

Maksudnya: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, akan tetapi jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab aku amatlah pedih.

Penambahan nikmat itu adalah dengan diberikannya lima keistimewaan kepada orang yang bersyukur iaitu:

Kekayaan

Doa yang mustajab

Rezeki yang luas

Mendapat keampunan-Nya

Diterima taubatnya.

Siapa yang untung bila bersyukur?

Oleh kerana itu, tidak rugi mensyukuri nikmat Allah yang mana faedahnya akan kembali kepada manusia itu dan ia akan sentiasa diberkati dan ditambah oleh Allah dengan kerahmatan, kasih sayang dan keredaanNya.

Firman Allah didalam Surah Al-Lukman ayat yang ke 12:

Maksudnya: Dan sesungguhnya kami telah memberi kepada Lukman, hikmah kebijaksanaan (serta kami perintahkan kepadanya): bersyukur kepada Allah (akan segala nikmatNya kepada mu).

Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Nikmat syukur yang terbesar

Perkara yang terpenting dalam mensyukuri nikmat Allah adalah mendapat nikmat iman yang mana bukan semua manusia mendapatnya. Alangkah beruntungnya kita serta keluarga apabila mendapat nikmat yang paling besar dan paling penting diatas muka bumi ini.

Iman merupakan hubungan kita dengan Allah sama ada diredhoiNya atau tidak. Ini kerana dengan adanya iman maka, ia akan menjemput kasih sayang Allah kepadanya.

Oleh kerana itu, manusia yang dikurniakan iman oleh Allah seharusnya meminta supaya Allah tidak mencabut kembali imannya selepas diberikan. Seperti didalam doa yang sering dibaca selepas daripada solat. Firman Allah didalam Surah Al-Imran ayat ke-8:

Maksudnya: (mereka berdoa dengan berkata): “ Wahai tuhan kami! Janganlah engkau memesongkan hati kami sesudah engkau memberi pertunjuk hidayah kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu, sesungguhnya engkau jualah tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya.

Marilah kita latih diri kita, keluarga, sahabat-sahabat kita untuk terus memuji-muji Allah dalam apa jua keadaan kerana Allah Maha Kaya lagi Maha Berkuasa dengan nikmat-Nya kita dapat rasai tahun baru. Alhamdulillah…

Oleh Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan

Sumber : mstar.com.my

Translate »